February 19th, 2021

Khutbah Jumaat : Keluarga bebas dadah

Petikan Khutbah Jumaat 19.02.2021 l 07 Rajab 1442H JAIS

Keluarga bebas dadah

Hari ini kita mendepani permasalahan sosial yang semakin lama semakin membimbangkan. Antara perkara yang menyumbang kepada permasalahan ini adalah penyalahgunaan dadah.jais.jpg

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan sehingga tahun 2020, terdapat lebih 140 ribu orang penagih dadah direkodkan dan hampir 80 peratus terdiri mereka yang beragama Islam.

Kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit untuk menangani permasalahan ini termasuklah dengan membina pusat-pusat pemulihan serta menggalakkan penubuhan Pusat Pemulihan Persendirian di samping menjalankan kempen pendidikan pencegahan dan kesedaran kepada orang ramai. Namun, usaha-usaha ini belum membuahkan hasil yang boleh dibanggakan.

Banyak kajian menunjukkan berlaku penyalahgunaan dadah berpunca daripada institusi kekeluargaan yang tidak harmoni dan porak peranda. Andai perkara ini berterusan, maruah dan nama baik keluarga akan jatuh.

Keluarga akan terbeban kerana terpaksa menanggung perbelanjaan rawatan bahkan menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk menjaganya.

Akhirnya berlakulah perceraian dan keganasan dalam rumah tangga yang menyebabkan anak-anak terabai hingga mengundang permasalahan sosial kepada mereka pula.

Kesan yang lebih teruk lagi adalah ketenteraman awam akan terancam dengan kejadian jenayah seperti rompakan dan samun.

Perpaduan, kemajuan dan pembangunan masyarakat akan terjejas akibat penglibatan remaja dan belia dengan dadah. Malah mencetuskan persengketaan dan perselisihan antara anggota masyarakat.

Walaubagaimanapun masih belum terlambat untuk keluarga bertindak bagi mengatasinya dengan membebaskan setiap ahli keluarga dari terjebak dalam gejala najis dadah. Dengan itu, antara langkah-langkah penting yang perlu kita ambil perhatian adalah:

Pertama: Memperkukuhkan pegangan akidah, syariah dan akhlak Islam dalam keluarga yang pasti dapat menghindarkan seseorang daripada gejala yang tidak sihat.

Ini kerana iman, amal ibadah dan akhlak mulia yang diamalkan akan dikurniakan kehidupan dan pahala yang lebih baik oleh Allah SWT sebagaimana janji Allah SWT melalui firmanNya dalam surah An-Nahl ayat 97: ”Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”

Sesungguhnya Allah SWT juga menjanjikan bahawa segala perkara keji dan mungkar di dunia ini akan dapat dicegah sepenuhnya jika amalan membaca al-Quran, mendirikan solat dan mengingati Allah dilaksanakan dengan sempurna.

Ini kerana amalan-amalan ini pasti memberikan faedah besar dan kesan baik yang amat ketara dalam membendung permasalahan sosial termasuk penyalahgunaan dadah.

Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 45, ”Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Kedua: Menjalinkan hubungan baik antara ahli keluarga dan masyarakat. Sikap ambil kisah dan peduli dengan permasalahan sosial seperti dadah perlu diperkukuhkan.

Tindakan segera yang sewajarnya seperti menasihati dan melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab hendaklah dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri Radhiallahu Anhu: ”Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kuasa), sekiranya dia tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah (nasihat), sekiranya tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan hati (membencinya) dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman”. (Riwayat Muslim)

Ketiga: Ibubapa hendaklah sentiasa prihatin membentuk keperibadian anak-anak melalui pendidikan Islam. Ini kerana Islam memberikan panduan yang sempurna dan lengkap dalam mendidik anakanak dari kecil lagi supaya mereka terpelihara daripada anasir yang tidak baik.

Hadith yang diriwayatkan oleh Amru bin Syuaib dari ayah dan datuknya, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Suruhlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).” (Riwayat Abu Daud)

Keempat: Ibubapa juga hendaklah menjadi contoh yang baik dalam tuturkata dan tingkahlaku serta sentiasa berdoa agar Allah memelihara ahli keluarga dan menganugerahkan zuriat keturunan yang baik.

Antara doa yang dianjurkan sebagaimana Allah SWT berfirman di dalam Surah alFurqan ayat 74: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa”.

Mengakhiri khutbah, antara penghayatan yang boleh dijadikan pedoman melalui khutbah pada hari ini ialah:

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa berpegang kepada akidah, syariah dan akhlak Islam adalah asas pembentukan keluarga yang baik, bahagia dan bebas dari dadah.

2. Umat Islam hendaklah berperanan dan saling bekerjasama di dalam menyelesaikan permasalahan dadah demi melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

3. Setiap ketua keluarga hendaklah bertanggungjawab memelihara diri dan ahli keluarganya daripada azab seksa api neraka di hari akhirat nanti dengan beriman kepada Allah SWT, beramal solih dan berakhlak mulia.

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (Al-Tahrim : 6)

Khutbah Jumaat Institusi Kekeluargaan Pemangkin Komuniti Bebas Dadah

Petikan Khutbah Jumaat 19 Februari 2021M/ 7 Rejab 1442H JAWI

Institusi Kekeluargaan Pemangkin Komuniti Bebas Dadah

Mempunyai keluarga bahagia adalah impian setiap manusia. Islam telah memberikan tanggungjawab yang besar kepada ketua keluarga untuk membina sebuah keluarga yang bahagia berteraskan syariat dalam segenap perkara.

jawi_logo.jpg
Kebahagiaan dalam keluarga bukan semata-mata diukur pada keperluan harta bahkan lebih dari itu ia seharusnya dipenuhi dengan kasih sayang yang erat sesama ahli keluarga.


Sebagai muslim, marilah kita renungi firman Allah SWT di dalam surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud : “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Saban hari kita sering mendengar isu-isu berkaitan masalah sosialyang semakin membimbangkan. Tidak dinafikan lagi, antara isu yang menyumbang kepada permasalahan ini adalah penyalahgunaan dadah.

Lihatlah, walaupun ketika kita masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, namun apa yang menyedihkan penyalahgunaan dadah dilaporkan masih lagi berlaku. Ini menunjukkan bahawa isu ini masih membelenggu kehidupan masyarakat di negara ini.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sehingga tahun 2020, terdapat lebih 140 ribu penagih dadah telah direkodkan. Daripada jumlah tersebut, hampir 80 peratus terdiri daripada bangsa Melayu dan beragama Islam.


Kajian menunjukkan bahawa antara faktor penyumbang kepada penyalahgunaan dadah adalah berpunca daripada kepincangan institusi keluarga yang membawa kepada tekanan hidup dan perlakuan di luar batas.


Ini termasuklah pengaruh rakan yang dianggap sebagai teman bagi menumpang kasih dan perhatian yang akhirnya hanya mengundang kehancuran.

Sebenarnya kerajaan telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk menangani isu penyalahgunaan dadah ini dengan membina pusat-pusat pemulihan bahkan turut menggalakkan penubuhan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP).


Kerajaan juga telah menjalankan pelbagai kempen pendidikan dan pencegahan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahayanya gejala ini.


Namun, tanpa kerjasama daripada semua pihak terutama masyarakat, gejala ini sukar untuk ditamatkan.

Justeru, sebagai anggota masyarakat yang prihatin, kita mestilah sama-sama berganding bahu dan mengambil langkah-langkah yang proaktif bagi membendung gejala sosial dalam dalam masyarakat daripada terus membarah.


Marilah kita mengorak langkah bermula daripada keluarga kita sendiri, antaranya ialah:

Pertama : Perkukuhkan pegangan akidah dan amalkan kehidupan beragama di dalam keluarga.


Dengan kehidupan beragama yang sempurna sudah pasti akan menghindarkan seseorang daripada gejala yang tidak sihat kerana agama adalah benteng paling ampuh dalam memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara yang menyanggahi syariat.

Kedua : Pastikan ahli keluarga menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat. Hubungan yang baik atau jalinan yang erat dalam kalangan masyarakat akan menimbulkan nilai keperihatinan dengan keadaan sekeliling.


Hal ini secara tidak langsung akan menjadikan anggota masyarakat itu bersikap penyayang, peduli dan saling menasihati.


Ketiga : Sentiasalah prihatin dan mengambil berat tentang perkembangan anak-anak dari sudut jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sahsiah.


Ketahui perkembangan atau perubahan diri dan peribadi anak-anak. Kenali siapa rakan-rakan mereka sama ada sewaktu di sekolah, pusat pengajian tinggi dan sebagainya.


Awasilah penggunaan telefon pintar mereka supaya mereka tidak terlibat dengan aktiviti-altiviti tidak bermoral.

Keempat : Berdoalah agar masyarakat kita sentiasa terpelihara dan dilindungi oleh Allah SWT daripada sebarang keburukan seperti gejala penyalahgunaan dadah ini.


Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin apatah lagi doa ibu bapa terhadap kebaikan, keselamatan dan pemeliharaan anak-anak daripada kerosakan dan keburukan.


Realiti hari ini, generasi anak-anak muda berhadapan dengan pelbagai perkara negatif yang boleh mempengaruhi pembentukan diri mereka.


Bukan sahaja dalam isu penyalahgunaan dadah, malah lebih dari itu mereka juga berhadapan dengan pengaruh gejala-gejala sosial yang merosakkan.

Lihatlah, baru-baru ini kita dikejutkan dengan isu penglibatan anak-anak gadis yang masih menuntut di pusat pengajian tinggi telah mendaftarkan diri sebagai ‘sugar baby’ di aplikasi Sugarbook. Inilah yang meresahkan ramai ibu bapa.


Aplikasi yang memberi penjenamaan semula maksiat ini seolah-olah mahu mengaburi mata masyarakat.


Apa yang dibimbangi ialah lama-kelamaan aktiviti maksiat ini dilihat seolah-olah sesuatu yang biasa di mata masyarakat terutama remaja.


Justeru, kerajaan telah mengambil tindakan yang sewajarnya dengan menghalang sebarang akses untuk menggunakan aplikasi ini.



Sebagai muslim dan warga yang prihatin, marilah kita sama-sama berusaha memastikan diri kita dan ahli keluarga terutama anak-anak tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang meruntuhkan akhlak.


Inilah cabaran kita dalam membendung medium maksiat yang pelbagai ini dengan memperkasakan dakwah kepada masyarakat dan menguat kuasakan undang-undang yang berkesan bagi menyekat perkembangannya.


Sebagai ibu bapa, berilah sepenuh perhatian kepada pendidikan agama, akidah dan akhlak anak-anak supaya mereka terpelihara dan tidak terjebak dengan sebarang aktiviti yang membinasakan masa depan mereka.


Sekiranya para jemaah mempunyai sebarang maklumat berkaitan gejala tidak bermoral ini,laporkanlah kepada pihak berkuasa.


Sama-samalah kita berdoa dan berusaha agar anak-anak dan saudara seIslam kita tidak terjebak dan terjerumus dalam aktiviti yang tidak sihat ini.


Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita merenungi peringatan Allah SWT melalui Surah at-Tahrim, ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."