February 25th, 2021

Khutbah Jumaat Vaksin Covid 19: Mencegah Kemudaratan

Petikan Khutbah Jumaat 26.02.2021 l 14 Rajab 1442H JAIS

Vaksin Covid 19: Mencegah Kemudaratan

Kesihatan merupakan nikmat yang sangat bernilai dan sangat berharga daripada Allah SWT.

Tanpa kesihatan yang baik, kita tidak mampu menjalankan tugas dan urusan harian dengan sempurna.
jais.jpg
Nikmat sihat yang diberi hendaklah disyukuri dan dijaga sebaiknya supaya kita boleh terus beribadah dan menjalani kehidupan dengan selesa.

Justeru, kita dituntut mengamalkan gaya hidup sihat, sentiasa bersih dan berusaha mencegah segala bentuk penyakit yang membawa kemudaratan dan kebinasaan.

Umat Islam hendaklah berusaha mencegah diri dari terdedah dan tercampak ke dalam jurang apa sahaja kebinasaan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195 “…..dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil).”

Kaedah Fiqh menyebutkan, “Menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”.

Justeru, dalam konteks penjagaan kesihatan lebih-lebih lagi semasa wabak covid 19 ini, aspek pencegahan amatlah penting dan diutamakan.

Arahan kerajaan menetapkan beberapa langkah pencegahan seperti memakai pelitup separuh muka, penjarakan fizikal 1 meter dan yang terbaru suntikan vaksin covid 19 hendaklah dipatuhi oleh semua rakyat.

Ini kerana virus covid 19 boleh menyebabkan berlakunya kemudaratan dan kemusnahan dengan begitu cepat dan menyeluruh.

Kerajaan telah membuat ketetapan untuk memberi suntikan vaksin covid 19 secara percuma kepada setiap rakyat.

Ketetapan ini hendaklah diterima kerana ia adalah suatu keputusan yang mendatangkan maslahah dan kebaikan kepada rakyat.

Ini berdasarkan satu kaedah fiqh menyebutkan: “Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat adalah terikat dengan maslahah”

Oleh itu, suntikan vaksin ini merupakan pencegahan yang paling berkesan dan selamat bagi membendung wabak penyakit covid 19 in sya Allah.

Malah bahan vaksin ini telah disah dan dihukumkan harus penggunaannya oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020 dengan menyatakan, “Hukum Penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan ianya wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.”

Perlu ditegaskan di sini bahawa menolak vaksin secara total adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang dilarang oleh syara’.

Ia bukan sahaja boleh memudaratkan diri sendiri, bahkan akan memudaratkan seluruh komuniti.

Ini kerana jika sebahagian besar masyarakat tidak dilindungi daripada jangkitan sesuatu penyakit cegahan vaksin, maka virus penyebab penyakit tersebut senang mencari seseorang yang boleh dijangkiti, sekali gus bakal memudaratkan komuniti.

Justeru, imuniti kelompok perlu diutamakan dan ia hanya boleh dicapai dengan liputan imunisasi yang tinggi. Ini bertepatan dengan prinsip Islam yang mementingkan pencegahan daripada sebarang kemudaratan, sebagaimana kaedah :“Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan”

Dari sudut aqidah, kita sebagai umat Islam yang beriman hendaklah yakin bahawa Allah SWT pasti menurunkan ubat dan penawar bagi mengawal penyebaran segala penyakit termasuklah penyakit covid 19.

Ini sebagaimana hadis daripada Abu Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu berubat dengan (perkara) yang haram”. (Riwayat Abu Daud)

Setelah segala usaha pencegahan dan doa dilakukan, Islam mengajar kita agar menyerahkan segala urusan seterusnya kepada Allah SWT iaitu tawakkal atau penyerahan diri yang mutlak kepada Allah.

Inilah pegangan akidah sejati seorang muslim, yang menghimpunkan antara usaha, doa serta tawakkal kepada Allah dalam menghadapi pendemik covid 19.

 Namun, sekiranya segala usaha telah diambil dan dipatuhi, kita tetap diuji juga dengan penyakit, maka hendaklah kita bersabar, tenang dan redha dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 51:“Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa nikmat dan musibah serta sihat dan sakit adalah datangnya daripada Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah sentiasa berusaha dan berdoa untuk menjauhkan dan dijauhkan dari perkara-perkara yang mendatangkan kemudaratan diri, keluarga, masyarakat dan Negara.

3. Umat Islam hendaklah kekal mematuhi segala arahan dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan suntikan vaksin dan amalan kebersihan diri bagi membendung wabak covid 19.

“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekalikali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.” (Al-Fussilat : 46)