March 5th, 2021

Khutbah Jumaat : Menggapai Reda Ilahi

Petikan Khutbah Jumaat 05.03.2021 l 21Rajab 1442H JAIS

Menggapai Reda Ilahi

Seandainya kita berada di dalam sebuah perahu di tengah-tengah lautan tanpa pedoman, ditambah pula dengan ombak yang mengganas. Bagaimana keadaan kita di masa itu? Sudah tentu kita kehilangan arah dalam keadaan lautan yang bergelora tadi.

Andaian di atas boleh difahami secara mudah dengan ombak yang mengganas sebagai serangan musuh-musuh Islam yang bakal menenggelamkan kita.
jais.jpg
Pedoman yang kita perlukan pula adalah syariat Islam yang dapat membimbing kita keluar daripada lautan yang bergelora tadi. Islam sebagai agama yang membimbing kehidupan manusia keluar daripada kejahilan menuju kepada jalan kebenaran.

Sejarah telah menyaksikan perutusan Rasulullah SAW untuk membawa risalah Islam kepada masyarakat Arab jahiliyyah. Tidak lain dan tidak bukan untuk membimbing mereka keluar daripada kejahilan menuju kebenaran.

Sebagai agama yang membawa kebenaran, segala petunjuknya termaktub dalam kitab suci al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah alIsra‟ ayat 9: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar”.

Kitab suci ini diturunkan kepada Rasulullah SAW dan adalah menjadi tugas Baginda untuk menjelaskan kepada seluruh umat manusia.

Di samping al-Quran, al-sunnah juga menjadi panduan dalam kehidupan beragama. Ia berperanan menjelaskan ayat-ayat al-Quran.

Maka, kedua-duanya menjadi pegangan dan rujukan utama umat Islam dalam menjalani kehidupan sebagai Muslim yang sejati.

Kepentingan berpegang kepada alQuran dan al-sunnah Rasulullah SAW dirakamkan Allah SWT dalam alQuran menerusi surah al-Maidah ayat 92: “Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata”

Jelas sudah kepada kita bahawa al-Quran dan al-sunnah adalah pegangan dan rujukan utama umat Islam. Namun kini terdapat segolongan umat Islam yang terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Antaranya ajaran yang cuba untuk membebaskan diri daripada ikatan syarak dan mengagungkan hukum akal melebihi wahyu.

Sebenarnya al-Quran menggalakkan manusia untuk menggunakan akal bagi memikirkan tentang keEsaan dan kekuasaan Allah SWT.

Banyak ayat-ayat al-Quran yang mengarahkan manusia untuk menggunakan akal fikiran. Antaranya firman Allah SWT dalam surah ali „Imran ayat 190: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal”.

Namun, akal yang terbatas tidak dapat memikirkan hal-hal yang berkaitan dengan perkara-perkara ghaib lain seperti alam barzakh dan akhirat.

Oleh itu, agamalah yang akan membimbing akal dalam memahami dan memperinci perkara-perkara yang berkaitan akidah, akhlak dan hukum syarak.

Akal yang berpandukan agama mampu menapis setiap berita dan maklumat yang diterima daripada internet apatah lagi dalam memahami perkara berkaitan hukum hakam dalam islam agar segala tindakan dan keputusan yang diambil tidak menyeleweng dan menyesatkan kita.

Untuk memahami ajaran Islam tafsiran para ulama mestilah dirujuk agar tidak menyimpang daripada maksud sebenar yang dikehendaki lebihlebih lagi apabila ia merupakan perintah daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Nahl ayat 43:“Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orangorang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui”.

Rasulullah SAW turut menjelaskan peranan ulama menerusi hadis daripada Abu al-Darda‟ Radhiallahu „Anhu, Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya ulama pewaris para nabi, para nabi tidak mewariskan kepada mereka dinar dan dirham (harta benda), sesungguhnya hanyalah yang mereka wariskan adalah ilmu, maka barang siapa yang mendapatkan ilmu itu, sungguh dia telah mendapat keuntungan yang banyak”. (Riwayat al-Tirmizi)

Bagi mengakhiri khutbah dan agar kita beroleh redha Allah SWT, marilah kita semua mengambil pengajaran terhadap perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa al-Quran dan al-Sunnah adalah panduan hidup kita untuk menggapai keredaan Ilahi.

2. Umat Islam hendaklah merujuk kepada para ulama yang muktabar dalam memahami al-Quran dan al-Sunnah.

3. Umat Islam hendaklah berwaspada dengan pemikiran liberal dan plural yang bercanggah daripada al-Quran dan al-Sunnah.

“Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali”. (Surah al-Nisa’: 115)

Khutbah Jumaat Media Sosial: Gunakan Dengan Bijak

Petikan Khutbah Jumaat 5 Mac 2021M/ 21 Rejab 1442H JAWI

Media Sosial: Gunakan Dengan Bijak

Islam adalah agama yang menyeru manusia agar hidup dalam suasana yang aman dan harmoni, tanpa perselisihan faham atau persengketaan.

Dewasa ini, perbalahan sesama manusia seringkali berlaku akibat daripada pendustaan dan penularan maklumat yang tidak benar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

jawi_logo.jpg

Dalam hal ini, Islam menyuruh kita supaya menyelidik dan menyemak kesahihan atau kebenaran setiap berita yang diterima.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini; dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya); sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Imam Ibn Jarir rahimahullah dalam menafsirkan ayat ini mengatakan, “hendaklah kamu tabayyun dengan makna tangguhkan seketika maklumat atau berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu ketahui dan yakin dengan kebenarannya. Jangan sekali-kali bersikap gelojoh untuk menerimanya.”

Demikianlah yang diajar oleh Islam supaya kita tidak bertindak dalam keadaan jahil dan terburu-buru.

Dalam era kecanggihan media sosial hari ini, amat mudah bagi seseorang individu menyebarkan sesuatu maklumat kepada masyarakat.

Lihatlah pelbagai teori dan spekulasi dicetuskan oleh sesetengah pihakdalam isu vaksin COVID-19 sehingga mencetuskan kegusaran masyarakat.

Jika kita amati di media sosial, ramai dalam kalangan kita yang terpedaya malah secara tidak sengaja telah menjadi agen propaganda menyebarkan maklumat tidak sahih dan meragukan.

Justeru, sebagai muslim yang bertanggungjawab, marilah kita pastikan segala maklumat yang disalurkan adalah tepat dan sahih.



Jauhilah sikap suka menjadi orang yang pertama dalam menyebarkan sebarang maklumat tanpa terlebih dahulu meneliti akan kebenarannya.

Isu penyebaran ini dibimbangi ia adalah berita palsu yang boleh mendatangkan keresahan dan panik dalam kalangan masyarakat lebih-lebih lagi ketika negara kita masih lagi berhadapan dengan pandemikCOVID-19.

Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Bermaksud: “Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun).”

Oleh itu, marilah kita gunakan nikmat akal kebijaksanaan dalam menilai dan memproses maklumat yang diperolehi sebelum ia disebarkan kepada orang lain terutama di media sosial.


Janganlah kita menjadi seperti burung kakak tua yang hanya tahu mengulang kembali apa yang didengarinya tanpa mengetahui apa-apa berkaitannya.

Islam amat menitikberatkan soal memelihara hubungan persaudaraan.

Justeru, sebagai seorang yang bertanggungjawab marilah kita menggunakan telefon pintar dan media sosial sebaik mungkin sebagai medium untuk membina dan merapatkan ukhwah di samping sentiasa menjaga aib dan maruah. Ingatlah, banyak kesan buruk yang timbul akibat sikap suka menularkan banyak perkara sehingga mencetuskan salah faham, fitnah, prasangka buruk dan budaya mengumpat dalam kalangan pengguna media sosial.


Di samping itu, janganlah kita mudah membuat sebarang komentar yang berbaur kecaman kepada orang lain kerana ia hanya mencerminkan keburukan akhlak diri sendiri.


Sebagaimana kita beradab sopan dalam kehidupan yang nyata, begitulah juga yang mesti kita lakukan ketika bersosial di alam maya.


Dalam pada itu, kita juga mestilah bijak menggunakan pelbagai aplikasi yang ada dalam dunia siber menepati hukum syarak dan mengikut peraturan atau undang-undang negara.

Mengakhiri khutbah, marilah kita mengamalkan sikap tabayyun dalam menerima sesuatu berita supaya kita dapat menghindarkan diri daripada menjadi penyebab kepada penyebaran berita palsu yang jelas akan mengundang kemurkaan Allah SWT.


Hayatilah firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab, ayat Bermaksud: “Dan orang-orang yang menganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”