March 12th, 2021

Khutbah Jumaat: Al-Quran Mukjizat Teragung, Israk Mikraj Anugerah Teristimewa

Petikan Khutbah Jumaat 12 Mac 2021M/ 28 Rejab 1442H JAWI


Al-Quran Mukjizat Teragung, Israk Mikraj Anugerah Teristimewa


Al-Quran adalah wahyu Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia.
jawi_logo.jpg

Penurunannya daripada lauh mahfuz ke dunia secara berperingkat selama 23 tahun untuk menjadi petunjuk kepada manusia ke arah kebenaran.


Firman Allah SWT di dalam surah As-Syura ayat 52 yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati dengan perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (al- Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan al-Quran itu ke jalan yang lurus.”


Setelah melalui banyak tempoh masa dan zaman, isi kandungan al-Quran tetap utuh dan segar. Ia tidak sedikit pun terjejas oleh peredaran zaman yang begitu lama. Inilah sumber utama hukum-hakam Islam yang wajib kita pegang.


Malah, lebih daripada itu ia juga mempunyai peranan yang besar kepada manusia dalam pelbagai aspek kehidupan yang merangkumi sosial, ekonomi, pendidikan dan perundangan.


Justeru, kita mestilah meyakini bahawa al-Quran sangat istimewa dan mempunyai pelbagai kelebihan yang tiada tolok bandingnya di dunia ini. Lihatlah setiap ayatnya mudah dan jelas dengan pelbagai gaya bahasa supaya ianya dapat difahami dan dipelajari dengan baik.


Renungkan firman Allah SWT di dalam surah ad-Dukhan ayat 58: Maksudnya: “Maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan al-Quran dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan
mematuhinya).”


Sesungguhnya al-Quran sangat mulia di sisi Islam. Ia bukan sekadar kitab biasa sebaliknya mempunyai adab dan tertib yang mesti dijaga.


Imam an-Nawawi di dalam kitab at-Tibyan Fi Adab Hamlatil Quran telah menggariskan adab-adab membaca dan berinteraksi dengan al-Quran.

Antaranya ialah kita mestilah berada dalam keadaan suci, memilih tempat yang bersih, mengadap ke arah kiblat, menutup aurat, membaca dengan jelas dan tidak terburu-buru.

Sesungguhnya kita diajar untuk sentiasa memuliakan al-Quran pada setiap masa walaupun ketika hendak melupuskan cebisan kecil daripada ayat-ayat al-Quran.


Amat mendukacitakan apabila melihat ada dalam kalangan masyarakat kita yang mengabaikan tanggungjawab memelihara al-Quran dengan membuang mushaf mulia ini sewenang-wenangnya di merata tempat.

Mimbar mengingatkan sidang Jemaah sekalian, marilah kita sama-sama mengambil tanggungjawab untuk memelihara kesucian dan kemuliaan al-Quran.


Jika terdapat naskhah-naskhah al-Quran walaupun cebisan kecil yang sudah tidak dapat digunakan, rujuklah ke Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam yang diselia oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi melupuskan mushaf-mushaf lama atau boleh juga merujuk pusat pelupusan al-Quran yang bertauliah.


Dalam pada itu, patuhilah dan fahami garis panduan pengurusan pelupusan bahan-bahan penerbitan dan perhiasan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.


Di zaman kecanggihan teknologi masa kini, tentunya kebanyakan dalam kalangan kita memiliki aplikasi al-Quran dalam telefon pintar dan gajet masing-masing.


Justeru, marilah kita menjaga adab ketika menggunakan aplikasi tersebut sebagaimana kita memelihara adab-adab ketika berinteraksi dengan mushaf al-Quran.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, Bersempena dengan peristiwa israk dan mikraj, marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada peristiwa agung ini. Israk dan mikraj adalah peristiwa agung yang dilalui oleh Rasulullah SAW.


Peristiwa yang besar ini telah membawa kepada pensyariatan ibadah solat fardu lima waktu kepada umat Islam.


Sesungguhnya kita wajib meyakini bahawa perjalanan yang dilalui oleh baginda SAW adalah dengan roh dan jasad hanya dalam satu malam.

Pelbagai hikmah dan pengajaran di dalam peristiwa ini yang dapat kita jadikan sebagai pedoman hidup terutamanya kewajipan solat fardu lima waktu yang wajib kita pelihara.


Kita dituntut untuk menunaikan kewajipan solat dengan sempurna, lebih-lebih lagi secara berjemaah.


Justeru, marilah kita merebut peluang untuk bersama-sama mengimarahkan rumah-rumah Allah melalui solat fardu berjemaah. Dalam pada itu, asuh dan didiklah anak-anak sejak dari kecil untuk mendirikan solat.


Semoga dengan kesungguhan kita memelihara solat, kita akan tergolong dalam kalangan mereka yang beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Di samping itu, peristiwa israk dan mikraj juga mengajar kita tentang kewajipan menjauhi perbuatan keji seperti memakan riba, harta anak yatim, perzinaan dan lain-lain.


Rasulullah SAW telah diperlihatkan azab seksa terhadap mereka yang melakukan dosa-dosa tersebut.


Justeru, marilah kita memelihara diri dan keluarga daripada terjebak dengan sebarang perbuatan keji dan mungkar.


Ingatlah bahawa azab Allah SWT sangat pedih kepada mereka yang derhaka terhadap-Nya. Semoga kehidupan kita sentiasa terpandu ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT.

Mengakhiri khutbah, mari kita renungi firman Allah SWT di dalam Surah Al Isra’ ayat 1: Bermaksud : “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Khutbah Jumaat : Israk dan Mikraj : Perjalanan Agung Rasulullah SAW

Petikan Khutbah Jumaat 12.03.2021 l 28 Rajab 1442H  JAIS

Israk dan Mikraj : Perjalanan Agung Rasulullah SAW

Menjelang bulan Rajab, Peristiwa Israk dan Mikraj sering kita perkatakan pada setiap tahun. Ia adalah bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Juga merupakan satu mukjizat kepada Nabi Muhammad SAW.

Menurut Ibnu Mas’ud Radhiallahu Anhu, perjalanan Israk Mikraj berlaku pada suatu malam setahun sebelum Baginda berhijrah ke Madinah.

Peristiwa ini dirakamkan dalam surah al-Israk ayjais.jpgat pertama, sebagaimana dibaca pada awal khutbah ini bermaksud : “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Allah SWT memperlihatkan kepada Rasulullah SAW, berbagai-bagai rahsia alam dunia dan alam akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Najmu ayat 18, “Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.”

Dalam peristiwa itu, Rasulullah SAW bertemu dengan Allah SWT, lantas menerima perintah kewajipan menunaikan Solat. Ini menunjukkan bahawa solat seolah-seolah agenda utama menjadi keperluan dalam hidup kita.

Malah Allah SWT secara berulang-ulang memerintahkan kita mengerjakan solat dengan cara-cara yang tertentu dan memuji-muji orang yang mengerjakan solat itu melalui susunan ayat-ayat-Nya dalam surah alMukminun.

Malah mengurniakan ganjaran yang istimewa kepada orang yang sentiasa menjaga solatnya iaitu Syurga Firdaus sebagaimana firmannya dalam surah al-Mukminun ayat 9-11 : “Dan mereka yang tetap memelihara solatnya, mereka itulah orangorang yang berhak mewarisi.Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”

Menurut Syekh Abdul Halim Mahmud mantan Syekh Al-Azhar, terdapat beberapa kesan daripada Israk dan Mikraj Rasulullah SAW, antaranya:

1. Terpisahnya kaum yang lemah jiwa, yang diselubungi perasaan syak dan teragak-agak daripada kumpulan umat Islam yang sedang bangkit dan mantap iman mereka.

2. Orang-orang Islam Mekah telah melepaskan jiwa mereka daripada segala bentuk tarikan kebendaan, dan telah menyingkirkan diri daripada runtunan hawa nafsu, semata-mata kerana Allah SWT.

3. Orang-orang Islam Mekah semakin sabar dan tabah menghadapi insiden-insiden kekerasan, kezaliman dan siksaan daripada kaum Musyrikin Mekah dan menjadikan jiwa mereka lebih suci menerima takdir Allah SWT.

4. Kepercayaan mereka terhadap Rasulullah SAW, semakin kukuh, menerima apa sahaja yang disampaikan oleh Baginda, hingga sanggup meninggalkan kampung halaman untuk berhijrah ke Madinah, berjihad menegakkan Syiar Islam, sehingga Islam sampai kepada kita hari ini.

Nikmat yang paling istimewa diterima Rasulullah SAW pada malam yang penuh barakah itu ialah Ibadat solat.

Ibadat tersebut dapat menjalin perhubungan erat antara hamba dengan Penciptanya.

Solat merupakan detik-detik munajat, dan penumpuan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Abu Ali al-Daqqaq Radhiallahu Anhu berkata; solat itu kedudukannya seumpama Mikraj.

Ia merupakan perhubungan kita yang amat dekat dengan Allah SWT.

Lantaran itu maka sewajarnya solat itu bersifat sempurna, tersisih daripada alam kebendaan, tersisih daripada alam nafsu dan syahwat, tersisih daripada alam fitnah, agar kita yang melakuan solat itu, bertawajuh sepenuhnya kepada Allah SWT, sampai merasakan kelazatan dan kenikmatan yang dikecapi ketika mengadapnya.

Pentingnya solat itu hinggakan diangkat sebagai rukun Islam yang kedua, selepas mengucap dua kalimah syahadat.

Hadis daripada Umar bin Al-Khatab Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Islam itu engkau bersaksi bahawa sesungguhnya tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah, engkau mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengerjakan ibadah haji ke Baitullah jika engkau mampu melakukannya" (Riwayat Muslim)

Bahkan orang-orang yang enggan menunaikan solat dianggap tidak beragama.

Menurut Ibnu Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda; “ Dan tiada beragama bagi orang yang tidak menunaikan solat. (Riwayat Al-Tabrani) Solat juga adalah ibadat yang pertama sekali disoal pada hari akhirat.

Menurut Hadis daripada Abdullah bin Qart Radhiallahu Anhu katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perkara pertama yang dihisab pada sesaorang hamba pada hari kiamat ialah solatnya. Jika sempurna solatnya, maka sempurnalah segala amalannya. Jika rosak, maka rosaklah seluruh amalannya”. (Riwayat al-Tabrani)

Bagi mengakhiri khutbah pada kali ini marilah kita menghayati saranan berikut agar dapat dijadikan pedoman dalam hidup kita.

1.Umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa Israk dan Mikraj berlaku kepada Nabi Muhammad SAW dengan roh dan jasad.

2.Umat Islam hendaklah istiqamah melaksanakan ibadat solat yang merupakan perintah Allah SWT melalui Israk dan Mikraj.

3.Umat Islam hendaklah mengetahui bahawa Israk dan Mikraj adalah perkara ghaib yang tidak boleh dipertikai melalui akal manusia.

“Dan mereka yang ingkar itu berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya? "Maka jawablah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya perkara yang ghaib itu tertentu bagi Allah; oleh itu tunggulah (hukuman Allah), sesungguhnya aku juga di antara orang-orang yang menunggu.” (Surah Yunus: 20)