March 26th, 2021

Khutbah Jumaat : Jauhi Zina

Petikan Khutbah Jumaat 26.03.2021 l 12 Sya’ban 1442H JAIS

Jauhi Zina

Zina adalah salah satu daripada perbuatan dosa besar yang keji dan terkutuk dalam Islam.

Perbuatan ini boleh menimbulkan berbagai-bagai kerosakan dalam masyarakat.
jais.jpg
Allah SWT bukan sahaja melarang perbuatan zina itu sendiri bahkan melarang apa-apa juga perbuatan yang boleh membawa kepadanya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 32 seperti mana yang telah dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”.

Al-imam Ibnu Kathir menjelaskan bahawa Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya daripada perbuatan zina dan mendekatinya serta melakukan perkara-perkara yang membawa kepadanya.

Perbuatan zina ini boleh menyebabkan rosaknya nasab keturunan dengan lahirnya anak luar nikah, mengundang kepada penyakit-penyakit berbahaya seperti HIV/AIDS, sifilis dan sebagainya, meruntuhkan institusi kekeluargaan yang dibina secara sah, pergaduhan antara suami dan isteri dan sebagainya.

Mengikut statistik pendaftaran kelahiran, lebih 25 ribu anak tidak sah taraf didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak 2019 sehingga Januari 2020 termasuk bagi kelahiran yang tidak mencukupi 6 bulan Kamariah daripada tarikh nikah ibu bapanya

Oleh kerana perbuatan zina adalah suatu dosa besar di sisi Allah SWT, maka Nabi SAW memberi amaran bahawa perzinaan yang sebenar akan dimulai dengan percakapan, penglihatan dan khayalan serta keinginan nafsu untuk melakukan perbuatan keji tersebut.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya” (Riwayat al-Bukhari)

Bagi menghalang kesan buruk akibat daripada perbuatan zina ini, Allah SWT telah menetapkan hukuman yang berat kepada pelaku zina.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Nur ayat 2: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.”

Rasulullah SAW juga pernah memberi amaran kepada pelaku zina menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu, Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan di mana Allah SWT tidak akan berbicara kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak menyucikan mereka (daripada dosadosa) dan Allah SWT tidak akan melihat mereka dan bagi mereka azab yang pedih: iaitu orang tua yang berzina, raja yang pendusta dan orang miskin yang sombong.” (Riwayat Muslim)

Kini, zina tidak lagi dilakukan secara tersembunyi. Seorang lelaki yang digelar sebagai sugar daddy boleh mendapatkan khidmat seorang wanita atau yang digelar sebagai sugar baby dengan mudah bagi melakukan perbuatan zina.

Sejajar dengan perkembangan teknologi, perbuatan tersebut boleh dilakukan dengan hanya menggunakan aplikasi dalam talian seperti Sugarbook.

Pengasas kepada aplikasi berkenaan turut mendakwa bahawa aplikasi tersebut disertai seramai 14,000 pelajar universiti di Malaysia yang menjadi sugar baby. Keadaan ini berlaku akibat daripada keinginan untuk hidup mewah dan juga bagi memenuhi keperluan kewangan harian.

Ingatlah, rezeki yang dicari hendaklah daripada jalan yang halal. Jauhi diri daripada mencari rezeki dengan jalan yang tidak diredai Allah SWT.

Setiap apa yang kita perolehi akan dipersoalkan di akhirat kelak. Dalam sebuah hadis daripada Ka’ab bin ‘Ujrah Radhiallahu‘anhu, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya tidak ada daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram, kecuali neraka lebih layak baginya”. (Riwayat al-Tirmizi)

Banyak sumber rezeki yang boleh diperolehi secara halal berbanding dengan yang haram.

Bagi para pelajar khususnya, pekerjaan separuh masa banyak ditawarkan dan boleh dimanfaatkan pada musim cuti bagi menampung keperluan kewangan harian. Ingatlah, hanya Allah SWT sahaja Maha Pemberi Rezeki.

Mohonlah kepada-Nya dengan mentaati segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-Talaq ayat 2 dan 3: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.

Allah SWT Maha Pengampun. Bertaubatlah kepada-Nya dan kembalilah ke pangkal jalan sebelum terlambat. Mudah-mudahan taubat kita diterima oleh-Nya dan dimasukkan ke dalam golongan hamba-hambaNya yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 5: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian, Bagi mengakhiri khutbah kali ini, marilah kita renung dan ambil pengajaran terhadap perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa larangan mendekati perbuatan zina merupakan perintah Allah SWT yang wajib dipatuhi.

2. Umat Islam hendaklah memelihara diri dan ahli keluarga daripada terjerumus ke lembah maksiat seperti zina yang diharamkan oleh Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah berwaspada dengan bisikan dan hasutan syaitan yang sentiasa menyuruh untuk melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji.

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya)”. (Surah al-Baqarah : 168-169)

Khutbah Jumaat Menempa Kekuatan, Menjalin Kebersamaan

Petikan Khutbah Jumaat 26 Mac 2021M/ 12 Syaaban 1442H JAWI


Menempa Kekuatan, Menjalin Kebersamaan


Dunia hari ini masih belum mampu menamatkan pandemik COVID-19 yang masih belum menunjukkan pengakhirannya.


Kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan dan individu di seluruh dunia dan di negara ini khususnya tidak pernah terjangkau oleh fikiran kita.
jawi_logo.jpg

Begitu juga kematian demi kematian yang mengundang kesedihan dalam kalangan ahli keluarga.
Namun, sebagai umat Islam, kita hendaklah reda dan menerima bahawa ini adalah ketentuan daripada Allah SWT.


Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 286 : Bermaksud : “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”

Walaupun negara kita sedang menghadapi ujian pandemik ini, namun kita akui bahawa kehidupan masyarakat di negara ini sentiasa terpelihara daripada pergolakan, pertelingkahan, perpecahan dan huru-hara.


Keamanan dan keselamatan setiap lapisan masyarakat di negara ini adalah berlandaskan konsep kedaulatan undang-undang. Negara kita pernah dikejutkan dengan ancaman keselamatan seperti pencerobohan di Lahad Datu.


Sebenarnya peristiwa seperti ini telah memberi pengajaran yang amat besar kepada kita bahawa kedaulatan dan keamanan merupakan perkara yang mesti dipertahankan kerana ia melibatkan kesucian maruah tanah air tercinta.


Kita haruslah sedar bahawa suasana aman yang dinikmati hari ini sebahagian besar datangnya daripada penat lelah usaha perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia.


Sememangnya kita amat bertuah kerana memiliki pasukan polis yang sangat komited dalam memelihara kedaulatan negara daripada segala ancaman yang boleh menggugat keselamatan seluruh warganegara tanpa mengira bangsa, etnik dan budaya.


Justeru, melalui tema sambutan Peringatan Hari Polis yang ke-214 pada tahun ini iaitu “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”, adalah diharapkan ia dapat memupuk komitmen masyarakat untuk sama-sama membantu dan menjaga keamanan dan keselamatan negara.


Jadilah mata dan telinga kepada pihak polis supaya sebarang perlakuan jenayah dalam komuniti dapat segera ditangani.


Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, Sedar atau tidak, pandemik COVID-19 telah membuka mata semua pihak mengenai kepentingan agensi-agensi tertentu yang terlibat secara langsung dalam membendung penularan penyakit ini.

Antaranya ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia atau APM yang berperanan besar dalam memberikan ilmu dan kemahiran kepada setiap lapisan masyarakat untuk menghadapi situasi sukar dan tidak diduga yang boleh mengancam nyawa manusia.


Ramai dalam kalangan kita yang tidak menyedari bahawa antara fungsi dan peranan APM adalah untuk melatih dan melengkapkan rakyat dengan ilmu kemahiran pertahanan awam merangkumi ilmu menyelamat, rawatan kecemasan, kaedah memberi perlindungan dan menangani sebarang ancaman kepada keselamatan nyawa, harta benda dan alam sekitar. Ilmu dan kemahiran inilah yang perlu diterap dan dibudayakan dalam diri setiap rakyat di samping memupuk sikap saling membantu sesama kita.


Hal ini selaras dengan ajaran Islam yang menyuruh manusia untuk tolong menolong antara satu sama lain dalam kebaikan dan menghindari daripada sebarang perkara mungkar dan permusuhan.


YAB Perdana Menteri dalam Mesyuarat Sidang Majlis Keselamatan Negara Bilangan 11 Tahun 2021 pada 29 Januari 2021 telah bersetuju bahawa APM, RELA dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dikenali sebagai Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk melaksanakan tindakan-tindakan pemerkasaan komuniti iaitu pemantauan terhadap pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP); memberi nasihat, peringatan, teguran dan panduan kepada ahli komuniti tempatan dalam langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 dalam komuniti; dan membuat hebahan pendidikan kesihatan tentang langkah-langkah pencegahan penyakit ini.

Kesemua aktiviti ini merupakan salah satu daripada inisiatif Kerajaan untuk bersama-sama dengan masyarakat supaya rantaian jangkitan pandemik ini dapat diputuskan dan dileraikan agar krisis kesihatan dan krisis ekonomi dapat kita sama-sama pulihkan.


Sempena Sambutan Hari Pertahanan Awam Sedunia yang ke-90 dan Hari Ulang Tahun Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang ke-69 pada tahun ini yang disambut pada 24 Mac, marilah kita berikan penghargaan terhadap pengorbanan warga APM bersama-sama dan para anggota barisan hadapan negara yang tidak pernah mengenal erti jemu berkorban demi keharmonian kita bersama.


Marilah kita menjadi anggota masyarakat dan warganegara prihatin dengan sama-sama memainkan peranan dalam usaha membantu pihak kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan agensi-agensi lain yang sentiasa menunjukkan komitmen dan kesiapsiagaan untuk memastikan keharmonian, keselamatan dan keamanan negara terus terpelihara.


Di samping itu, marilah kita mempamerkan sikap kesukarelawan yang tinggi untuk membantu mereka yang menghadapi situasi sukar akibat pandemik COVID-19.


Sebagai anak-anak kariah dan masyarakat bertanggungjawab, kita mestilah membantu menjaga keamanan dalam komuniti kita dan mambantu pihak berkuasa dalam usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19.


Kepada semua pihak Jawatankuasa Kariah, uruskanlah masjid, surau Jumaat dan surau dengan baik semasa tempoh pandemik ini dengan memastikan setiap SOP dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dapat dipatuhi sepenuhnya lebih-lebih lagi dengan perluasan kapasiti jemaah bagi solat jumaat, solat fardu dan solat sunat tarawih.

Mimbar ingin menarik perhatian para jemaah sekalian, marilah kita sama-sama mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin COVID-19 kerana jumlah individu yang mendaftar masih lagi tidak mencapai sasaran. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan kerjasama agensi berkaitan akan mengadakan Program Pendaftaran Vaksinasi melalui aplikasi My Sejahtera di masjid-masjid dan Surau Jumaat terpilih di Wilayah Persekutuan.


Sesungguhnya kita sebagai rakyat bertanggungjawab untuk membantu pihak kerajaan bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dalam usaha membebaskan tanah air tercinta daripada cengkaman pandemik COVID-19.


Mengakhiri khutbah, marilah kita sama-sama merenungi firman Allah SWT di dalam surah surah at-Taubah, ayat 51: “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”