April 2nd, 2021

Khutbah Jumaat: Al-Quran: Petunjuk Sepanjang Zaman

Petikan Khutbah Jumaat: 2 April 2021M/ 19 Syaaban 1442H JAWI

Al-Quran: Petunjuk Sepanjang Zaman

Bulan Ramadan adalah bulan yang sinonim dengan al-Quran. Pada bulan ini al-Quran diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan utama dalam memenuhi dan melengkapi kehidupan manusia.
jawi_logo.jpg
Kedudukan al-Quran sebagai mukjizat teragung bukan hanya untuk memandu manusia ke jalan yang benar semata-mata, bahkan menjauhkan manusia daripada terjerumus ke lembah kesesatan.

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 185:Bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”


Beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut kedatangan Ramadan al-Mubarak. Bulan yang amat dirindui dan dinanti-nanti oleh orang-orang yang bertaqwa.


Bagaimana agaknya persediaan al-Quran kita dalam menyambut bulan Ramadan ini? Apakah kita telah membudayakan pembacaan al-Quran dalam jadual seharian atau masih tidak endah akan kepentingan membaca dan memahami al-Quran?


Ayuh, kita persiapkan minda, jiwa dan roh untuk menjadikan al-Quran sebagai tetamu utama sepanjang bulan Ramadan.


Lihatlah, bagaimana kesungguhan Nabi SAW dengan al-Quran setiap kali tibanya bulan Ramadan. Baginda akan mengulangkaji bacaan al-Quran dengan malaikat Jibrail AS.


Justeru, persiapkanlah diri kita sebelum memasuki gerbang Ramadan dengan sebaik-baiknya supaya kita dapat mendekatkan diri dengan al-Quran secara optimum.

Al-Quran berperanan besar dan pelengkap dalam memenuhi aspek-aspek kehidupan manusia. Ia bukan sahaja membina akidah yang sahih dan mantap, bahkan mensejahterakan minda, membezakan di antara perkara yang hak dan yang batil, membentuk dan mencorak kehidupan berlandaskan ilmu serta memandu manusia dalam mengatur dan membina sebuah sistem sosial yang sempurna.


Dalam pada itu, al-Quran juga turut berperanan dalam pembentukan institusi kekeluargaan, memelihara dan memulihara alam sekitar, sistem kejiranan, kemajuan sains dan teknologi, sumber kuasa elektrik dan air, sistem pendidikan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan apa sahaja yang perlu dan mendesak dalam kehidupan manusia di atas dunia.



Inilah kehebatan al-Quran yang diturunkan di bulan Ramadan yang mulia ini yang merupakan jantung kehidupan umat Islam sepanjang masa.

Peranan al-Quran ini tentunya memberi impak yang besar dalam sistem pengurusan dan tadbir urus kehidupan manusia.


Panduan daripada al-Quran sememangnya adalah yang terbaik. Justeru, jadikanlah al-Quran sebagai rujukan utama dan bukan hanya memberi tumpuan dalam pembacaan al-Quran semata-mata tanpa mengambil manfaat daripada intipati al-Quran itu sendiri.

Sesungguhnya, memuliakan al-Quran adalah satu keutamaan. Namun,masih terdapat dalam kalangan masyarakat yang tidak peka dan bermain-main dalam isu memuliakan al-Quran.


Antaranya, pertama: kurang membaca al-Quran.


Dalam mendepani kesibukan dunia janganlah berlalu satu hari dalam kehidupan kita tanpa memberi masa kepada al-Quran.


Amat malang dan rugilah mereka yang diberikan kesihatan dan akal yang sihat oleh Allah SWT, tetapi tidak mampu mengatur masa dan ruang untuk al-Quran.


Hari demi hari, bulan demi bulan semuanya berlalu tanpa lidah digerakkan dan dibasahi dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.


Kedua: Tidak gemar melihat dan memerhati al-Quran sama ada dalam bentuk mushaf, aplikasi al-Quran dalam telefon pintar, gajet dan seumpamanya.


Ketiga: Tidak suka mendengar ayat-ayat al-Quran yang diperdengarkan.


Keempat: Tidak mahu menghafal atau menambah hafalan.


Kelima: Tidak percaya atau rasa keberatan menggunakan ayat-ayat al-Quran sebagai rawatan alternatif dalam penyembuhan penyakit di samping perubatan moden.



Keenam: Tidak mahu berfikir untuk melihat isu-isu kehidupan melalui minda al-Quran. Al-Quran hanya dijadikan sebagai rawatan jiwa dan bukan cara fikir serta tadabbur.

Ketujuh: Tidak mahu menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan berkeluarga, sistem kewangan, penjagaan alam sekitar, pengurusan tadbir urus, pengendalian jenayah dan setiap lapangan kehidupan.



Renungi hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi daripada Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:Bermaksud: “Orang yang tidak ada di dalam dadanya sepotong pun ayat al-Quran adalah seperti rumah yang ditinggalkan kosong”.

Sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia, marilah kita mempersiapkan minda dan jiwa kita untuk memberi perhatian yang lebih kepada al-Quran.


Tingkatkan mutu dan kualiti pembacaan, tambahkan koleksi hafalan ayat-ayat al-Quran dan berusahalah memahami al-Quran melalui bacaan terjemahan, tafsir dan tadabbur makna.


Carilah guru-guru al-Quran yang mursyid dalam membantu kita memahami makna sebenar ayat-ayat al-Quran.


Dalam pada itu, marilah kita berusaha menggunakan ruang dan peluang sebaik-baiknya pada bulan Ramadan nanti untuk bermuhasabah kembali hubungan kita dengan al-Quran.


Latihlah diri dengan ketahanan dan keterujaan untuk hidup dalam gelombang al-Quran dengan membuat persediaan menyusun aktiviti al-Quran.


Dalam tempoh pandemik COVID-19  yang masih belum berakhir ini, kita seharusnya menjadikan pembacaan al-Quran sebagai rutin harian bersama keluarga secara fizikal atau maya.

Semoga al-Quran akan sentiasa tersemat dalam hati dan sanubari kita sekeluarga bukan sahaja pada bulan Ramadan, bahkan di sepanjang kehidupan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 9:  Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul(agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

Khutbah Jumaat : Jangan hina Islam

Petikan Khutbah Jumaat 02.04.2021 l 19 Sya’ban 1442H JAIS

Jangan hina Islam

Musuh-musuh Islam sering menjadikan Agama yang suci ini sebagai sasaran dalam pelbagai bentuk.

Sindiran dan persepsi yang jauh terpesong daripada kebenaran adalah antara bentuk-bentuk penghinaan yang sering berlaku.

Fenomena ini disokong oleh perbuatan biadap umat Islam itu sendiri yang bersikap acuh tidak acuh terhadap ilmu agama, malah membiarkan diri dalam kejahilan dan ketirisan akhlak.

Ada yang sanggup melakukan senda gurau terhadap hukum-hukum Islam, mengolok-olokkan syariat dan peraturan, mempermain-mainkan hukum untuk menghina syariat beragama.jais.jpg

Allah berfirman dalam Surah al-Taubah ayat 65 seperti yang dinyatakan di permulaan khutbah tadi membawa maksud; “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main. Katakanlah: Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”.

Hari ini, ada manusia yang suka mempermainkan kalimah Allah malah mengeluarkan kenyataan dan pandangan yang bercanggah dengan akhlak dan aqidah Islam.

Tidak sedarkah mereka dengan kebiadapan sebegini mengundang kemurkaan Allah? Alpakah mereka bahawa tindakan itu amat bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW?

Dalam hal ini Allah SWT menegaskan melalui firmanNya dalam surah al-An’am ayat 70: “Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab Neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).”

Syeikh Dr. Abdul Karim Zaydan menyatakan bahawa semua perkataan dan perbuatan yang terkandung di dalamnya sebarang penghinaan terhadap Allah, para Rasul, ayat-ayat Al-Quran dan peraturan agama Islam adalah membawa kepada murtad.

Syeikh Dr. Wahbah AlZuhayli pula menegaskan bahawa seorang Muslim yang mencerca atau menghina Allah SWT, Nabi Muhammad SAW, mana-mana Malaikat atau para nabi yang telah diutuskan dianggap telah kufur.

Keimanan terpelihara dan terbukti dengan cara meletakkan keutamaan ketaatan kepada Allah dan RasulNya.

Ini termasuklah mempertahankan ajaran Islam, menghindari sebarang bentuk penghinaan terhadap Islam dan sentiasa memelihara diri daripada sebarang perlakuan yang bertentangan dengan Agama.

Benarlah sabda Nabi SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu‘anhu: “Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dia akan merasai kemanisan iman: seseorang yang menjadikan Allah dan RasulNya sebagai yang paling dicintainya, tidak mencintai seseorang melainkan keranaNya dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Bagaimana yang dikatakan sebagai menghina agama? Ia boleh berlaku dengan banyak cara. Antaranya ialah seperti;

1. Perbuatan atau perkataan yang mencerca Allah SWT, menghina Nabi Muhammad SAW dan mempersendakan Al-Quran.

2. Mempersenda dan meremehkan sebarang hukum Agama yang dinyatakan oleh al-Quran dan al-Hadith.

3. Menghina sunnah Rasulullah SAW dalam apa jua bentuk. Ini kerana segala apa yang diterima daripada Rasulullah SAW adalah merupakan wahyu Allah SWT kepada Rasulullah SAW yang mengandungi segala aspek ajaran Islam.

4. Enggan melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam alQuran dan al-Sunnah.

5. Menghina ajaran Islam yang bersifat qat’ie dengan cara perkataan, komen, ulasan atau tulisan, sama ada secara kesemuanya atau salah satu daripadanya.

6. Mempermain-mainkan syiar Islam dan tidak menjaga adab terhadap perlakuan sunat dalam Agama seperti memperlekehkan seruan azan.

Demi mempertahankan kemuliaan Islam ini, para pemimpin hendaklah sentiasa berperanan dan bersikap tegas berlandaskan nas Syariat serta peruntukan perundangan negara.

Sebanyak 25 kali perkataan ‘Islam’ dinyatakan jelas meliputi pelbagai aspek dalam keseluruhan 183 perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ditambah pula dengan sekitar 30 kali perkataan ‘Agama’ dan perkataan ‘Syarak’ yang turut merujuk kepada Islam selaku Agama Persekutuan yang perlu difahami, dipatuhi dan dipelihara sepanjang masa.

Semoga Allah terus mengurniakan kekuatan kepada para pemimpin pelbagai peringkat untuk mempertahankan kesucian agama. Negeri Selangor Darul Ehsan amat mengambil berat berkenaan jenayah menghina dan mempermain-mainkan agama islam.

Ingatlah semua! Menghina agama Islam merupakan suatu kesalahan jenayah syariah di negeri Selangor Darul Ehsan dan semua negeri lain di Malaysia.

Peruntukan-peruntukan yang membabitkan kesalahan ini diletakkan dalam bahagian yang berkaitan dengan kesucian agama Islam dan institusinya. Menghina agama dalam apa jua cara adalah kesalahan jenayah menurut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 pada Bahagian III. Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya juga boleh dilihat dalam seksyen 9, 10 dan 11.

Peruntukan ini termasuklah kesalahan bagi mana-mana orang mempersenda, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat al-Quran atau al-Hadith yang apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Mengakhiri khutbah Jumaat pada hari ini, mimbar mengemukakan penegasan pengajaran dan pelan tindakan yang boleh kita tekuni, amati dan amalkan;

1. Setiap orang Islam berkewajipan untuk menjaga kesucian Agama Islam.

2. Setiap muslim Jangan sekali-kali mempersenda dan mengambil mudah sebarang hukum agama seperti yang dijelaskan dalam al-Quran dan al-Hadith.

3. Kita hendaklah hormati dan taati sumber perundangan keputusan dan ijmak, qiyas dan fatwa mengenai hukum hakam serta hal ehwal kesejahteraan umat Islam yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Mufti dan Muzakarah Fatwa peringkat Kebangsaan.

4. Sentiasalah awasi diri dan ahli keluarga serta masyarakat sekeliling daripada menghina Islam atau mempersenda Allah dan rasulNya kerana termasuk dalam erti kata menyakiti Allah dan RasulNya.

“Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.” (Surah al-Ahzab : 57)