April 9th, 2021

Khutbah Jumaat: Siapkan Dirimu Untuk Ramadan

Petikan Khutbah Jumaat 09.04.2021 l 26 Sya’ban 1442H JAIS

Siapkan Dirimu Untuk Ramadan

Di antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya ialah nikmat berada di bulan Ramadan.

Inilah bulan, di mana Allah akan membuka seluas-luasnya pintu rahmat, keampunan dan pembebasan dari azab neraka, istimewajais.jpg untuk hamba-hambaNya yang ingin melakukan perubahan dalam hidup, bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah AlBaqarah ayat 183 sebagaimana yang telah dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, sampai kamu bertakwa”.

Menjadi suatu yang lumrah bagi umat Islam, saban tahun apabila tibanya Ramadan, kita diperingatkan secara berulang kali kalimah takwa.

Namun, apa yang menjadi persoalannya, sudahkah kita mencapai tahap takwa itu setiap kali datangnya Ramadan?

Di dalam bulan Ramadan juga, Allah menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda kepada hambaNya yang tekun melaksanakan kebaikan.

Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu’anhu bahawa beliau berkata, Nabi SAW bersabda:"Setiap amal anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik-Ku, dan Aku yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwat dan makannya kerana aku”. (Riwayat Muslim)

Bahkan Allah SWT juga menjanjikan pengampunan terhadap segala dosa yang pernah dilakukan oleh hambaNya, berdasarkan kepada sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu’anhu, Nabi SAW telah bersabda “Sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadan dengan keadaan penuh keimanan dan mengharapkan rahmat Allah SWT, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu”. (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Sebagai hamba Allah yang beriman, wajib bagi setiap diri kita, menjadikan bulan Ramadan sebagai medan untuk kita menginsafi dan bermuhasabah supaya menjadi hamba Allah yang benar-benar beriman dan muslim yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Melalui ibadah puasa yang dilakukan dengan kesungguhan, dihiasi dengan amal-amal ibadah yang lain seperti menyantuni golongan fakir, miskin dan anak-anak yatim dengan amalan bersedekah, memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir, bertarawih, berqiamulail dan lain-lain lagi, sebenarnya ia merupakan ubat yang paling mujarab untuk membersihkan jiwa kita daripada kuman-kuman mazmumah disamping mendorong kita kepada kehidupan yang bahagia dan diredai Allah SWT.

Demi memastikan ibadah puasa Ramadan tahun ini benar-benar memberi perubahan yang besar dalam diri kita, persediaan dan persiapan yang cukup rapi mesti kita lakukan. Antaranya ialah :

1. Kita hendaklah mempunyai ilmu dan kefahaman yang mendalam terhadap ibadah puasa yang akan kita lakukan. Sekiranya seseorang itu berpuasa dalam keadaan mengetahui dan memahami batas-batasnya, maka ibadah puasanya akan lebih berkualiti dan memperolehi ganjaran pahala.

Terdapat dalam kalangan masyarakat kita, yang cukup menjaga diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa, dengan mengelakkan diri daripada makan dan minum, namun dalam masa yang sama mereka masih melakukan maksiat kepada Allah SWT, tidak menunaikan solat, berjudi, mendedahkan aurat, melihat perkara-perkara yang haram, boros dan membazir dalam berbelanja dan perkara-perkara mazmumah yang lain.

Akibatnya, ibadah puasanya menjadi sia-sia, hanya sekadar berlapar dan dahaga sahaja. Ingatlah amaran Nabi SAW melalui sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu’anhu bahawa Nabi SAW telah bersabda;  “Boleh jadi orang yang berpuasa, tiada baginya daripada puasa tersebut melainkan hanya lapar semata-mata”. (Riwayat Ibnu Majah)

2. Perbanyakkan amalan sunat seperti puasa Isnin Khamis. Ini dapat kita lihat apabila Nabi SAW melakukan ibadah puasa sunat Isnin dan Khamis secara tetap, bahkan baginda akan lebih kerap berpuasa sunat apabila datang sahaja bulan Sya’ban.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah Radhiallahu’anha pernah menyatakan dengan maksudnya; ”Aku tidak melihat Rasulullah SAW berpuasa genap sebulan melainkan bulan Ramadan dan aku tidak melihatnya mengerjakan puasa pada bulan yang lain lebih banyak daripada yang dikerjakan dalam bulan Syaaban”. (Riwayat Muslim)

3. Menghidupkan rasa rindu, cinta dan seronok dengan kehadiran Ramadan yang semakin hampir dengan memperbanyakkan doa dan pengharapan terhadap Allah SWT. Nabi SAW apabila masuk sahaja bulan Rejab, maka para sahabat kerap mendengar Nabi berdoa dengan penuh pengharapan semoga dapat bertemu Ramadan.

Ini berdasarkan kepada hadis dari Anas bin Malik Radhiallahu’anhu berkata, apabila masuk bulan Rejab, Nabi SAW berdoa yang bermaksud : “Ya Allah, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami (dengan selamat) ke bulan Ramadan”. (Riwayat Al-Tabrani)

Marilah kita memastikan Ramadan tahun ini adalah yang terbaik berbanding Ramadan yang lalu dengan kita melakukan perkara yang dinyatakan tadi.

Jadikanlah Ramadan sebagai bulan pesta ibadah, dengan kita melakukan persiapan yang terbaik untuk merebut ganjaran-ganjaran yang terlalu banyak yang Allah SWT janjikan sepanjang bulan mulia ini.

Jangan pula jadikan Ramadhan sebagai pesta juadah, hanya sibuk memilih menu dan juadah berbuka sepanjang sebulan berpuasa tetapi jauh daripada matlamat berpuasa itu sendiri.

Bagi mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa isi penting khutbah ini sebagai panduan kita bersama iaitu;

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa ibadah puasa Ramadhan adalah difardukan ke atas setiap mukallaf dan akan dihisab di akhirat.

2. Umat Islam wajib mengamalkan segala yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulnya demi kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.

3. Umat Islam mestilah melaksanakan ibadah puasa yang diperintahkan sama ada puasa zahir dan batin bagi mendapatkan sebaik ganjaran daripada Allah SWT.

“ (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, sesiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan sesiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah ayat 185)

Khutbah Jumaat: Di Ambang Ramadan

Petikan Khutbah Jumaat 9 April 2021M/26 Syaaban 1442H JAWI

Di Ambang Ramadan

Sesungguhnya, sama ada kita sedar atau tidak, masa berlalu begitu pantas berjalan meninggalkan kita. Bulan Syaaban telah pun memasuki ke hari-hari terakhirnya, tidak lama lagi kita akan bertemu dengan penghulu segala bulan; Ramadan al-Mubarak.

jawi_logo.jpg
Bulan yang memiliki pelbagai kemuliaan, dijanjikan gandaan ganjaran, dilimpahi keberkatan dan dilimpahi rahmat serta keampunan melalui kewajipan puasa yang dilakukan dengan penuh pengharapan terhadap Allah SWT.


Kewajipan berpuasa sebulan di bulan Ramadan telah dinyatakan oleh Allah SWT supaya hamba-hamba-Nya menjadi orang yang bertakwa.


Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Ramadan bukan hanya sekadar satu bulan di dalam kalendar Islam, malah ia adalah sebuah madrasah yang mampu mentarbiyah jiwa insan.

Kedatangan bulan Ramadan adalah hadiah dan nikmat yang terbesar bagi umat Islam.


Manakan tidak. Bulan mulia yang bakal menjelang tiba ini Allah SWT menyediakan pelbagai tawaran mega kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.


Setiap detik dan saat yang berjalan tidak kira sama ada waktu pagi mahupun petang, malam ataupun siang, segala amal soleh yang dilakukan akan dilipat gandakan nilai ganjarannya oleh Allah SWT.

Ramadan adalah tetamu agung umat Islam yang membawa keampunan, rahmat, kebajikan dan berkat.

Imam an-Nasaie meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah menyampaikan khabar gembira kepada para sahabat tentang kedatangan Ramadan melalui sabda Baginda SAW : “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati, Allah SWT telah mewajibkan kepadamu berpuasa di dalamnya, pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan akan dibelenggu; juga terdapat dalam bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak memperolehi kebaikannya, maka dia tidak memperolehi apa-apa.”

Sebagai menghargai kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini, marilah kita mempersiapkan diri untuk meraih segala anugerah yang dijanjikan.

Perbetulkanlah niat dan azam menyambut ramadan semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Janganlah mensia-siakan peluang beribadah di dalam bulan ini. Dengan niat dan azam yang betul, insyaAllah kita dapat melaksanakan ibadah dan amal soleh dengan sempurna.

Di samping itu, banyakkanlah mengulangkaji mengenai Ramadan terutama terhadap segala hukum-hakam berkaitan puasa supaya kita dapat melaksanakan tuntutan puasa dengan sempurna.

Bagi menyambut ketibaan Ramadan ini, marilah kita melahirkan kegembiraan dan berdoa kepada Allah SWT agar kita dapat melakukan sebanyak-banyak amal soleh dan kebajikan pada bulan Ramadan tahun ini.

Kita juga berdoa semoga Allah SWT mempertemukan kita dengan bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh Baginda Nabi SAW, para sahabat dan orang-orang soleh.


Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang rugi, yang dipertemukan dengan Ramadan tetapi dosa-dosanya tidak diampunkan Allah SWT.

Ramadan tahun ini tentunya berbeza daripada tahun lepas. Walaupun kita terikat dengan pelbagai peraturan dan prosedur operasi standard (SOP), namun kita masih lagi beruntung kerana berpeluang untuk mengimarahkan masjid dan surau pada Ramadan kali ini.


Justeru, marilah kita sama-sama mematuhi setiap SOP yang ditetapkan. Datanglah awal ke masjid dan surau supaya kita dapat melakukan ibadah dengan tenang dan sempurna.

Untuk makluman para Jemaah sekalian, pada tahun ini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan akan melaksanakan Program Dapur It'am yang objektifnya untuk memberi juadah berbuka puasa kepada kira-kira 10,500 orang secara percuma setiap hari yang boleh memberikan manfaat kepada 315,000 orang sepanjang bulan Ramadan.


Di samping itu pihak Baitulmal MAIWP juga telah memberikan sumbangan sebanyak RM9,230,000.00 untuk tujuan pengimarahan masjid, surau jumaat dan surau sepanjang Ramadan iaitu RM15,000 kepada setiap masjid, RM12,500 kepada setiap surau Jumaat dan RM11,000 kepada setiap surau.


Justeru, kepada pihak pentadbir dan jawatankuasa kariah, gunakanlah kesempatan ini untuk melaksanakan program yang bersesuaian dengan pematuhan kepada SOP yang telah dikuat kuasakan.

Sebelum mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar mengambil kesempatan, bersempena dengan sambutan hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kali ke-75, marilah kita menjadi pengguna jalan raya yang bersama-sama membantu pihak JPJ selaku agensi yang menguatkuasa dan mentadbir undang-undang jalan raya Malaysia dengan sentiasa mematuhi setiap peraturan yang telah dikuatkuasakan.

Jadilah pengguna jalan raya yang beradab sopan, tidak mementingkan diri sendiri serta amalkanlah sikap hormat dan bertolak ansur terhadap pengguna jalan raya yang lain.


Ambillah ibrah daripada kefarduan ibadah puasa. Jika kita mampu mengawal nafsu dan bersabar di sepanjang Bulan Ramadan, maka inilah yang seharusnya kita amalkan ketika berada di jalan raya.

Sebagai hamba yang bersyukur, marilah kita menghargai nikmat nyawa yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT dengan berusaha
memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan diri sendiri mahupun memudaratkan orang lain terutamanya ketika di jalan raya.


Justeru, peliharalah nikmat nyawa dengan sebaik-baiknya kerana ia adalah amanah yang amat berharga.


Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah, ayat 51 : “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”