April 16th, 2021

Khutbah Jumaat: Dunia Medan Ujian, Akhirat Tempat Pembalasan

Petikan Khutbah Jumaat 16.04.2021 l 04 Ramadan 1442H JAIS

Dunia Medan Ujian, Akhirat Tempat Pembalasan

Hari ini manusia di seluruh dunia berdepan dengan pelbagai ujian yang getir. Seluruh dunia sedang berdepan dengan wabak virus yang mengancam nyawa dan kesihatan.jais.jpg

Di sesetengah daerah berlaku kemiskinan dan kemelaratan.

Di bahagian yang lain pula sedang berlaku pergolakan dan peperangan merebut wilayah.

Pencemaran alam dan kemusnahannya berleluasa dan pelbagai lagi isu yang seolah-olah tiada rehat dan noktahnya. Inilah hakikat kehidupan dunia yang merupakan medan ujian untuk kita semua.

Dunia sebagai medan ujian bagi manusia ini telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-quran sebagai peringatan kepada kita agar menyedari bahawa dunia ini bukan tempat asal kita yang sebenar.

Sebaliknya ia menjadi medan untuk manusia membuat persiapan terbaik untuk kembali ke alam akhirat yang lebih kekal, itulah tempat tinggal kita yang sebenarnya.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Mulk, ayat 2 : “ Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)

Daripada ayat ini, jelas menyedarkan kita bahawa seluruh kehidupan yang kita lalui sehingga kita menemui ajal maut dipenuhi dengan pelbagai ujian yang bertujuan untuk dinilai siapakah yang tetap bertahan menghadapi ujian ini dengan sabar dan istiqomah mentaati perintahNya sehingga akhirnya dia mati dalam keadaan diredhai Allah atau sebaliknya siapakah yang lalai, putus asa dan semakin jauh dari rahmat Allah yang akhirnya mati dalam kemurkaanNya.

Kita ada tugas dan tanggungjawab yang wajib disempurnakan dalam hidup kita ini.

Sekiranya kita renung sedalam-dalamnya, tujuan hidup kita di dunia ini bukanlah semata-mata untuk bersenang-lenang dengan kenikmatan yang ada di dunia ini.

Dunia ini diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita untuk dimakmurkan dengan menjunjung segala perintah Allah SWT dalam setiap urusan kehidupan sama ada sosial, ekonomi, politik dan lain-lain lagi.

Oleh itu, manusia yang ingkar dengan perintah Allah SWT, hakikatnya mereka adalah manusia yang khianat dengan amanah yang diberikan Allah SWT dan selayaknya mereka dimurkai Allah dan dihumban dalam api neraka yang pedih.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hajj, ayat 38 : “Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang khianat, lagi tidak bersyukur.”

Hari ini, perbuatan dosa dan maksiat seolah-olah menjadi kebiasaan dalam masyarakat muslim hari ini. Lihatlah sahaja berita-berita yang dipaparkan di media cetak dan elektronik saban hari ada sahaja perbuatan jahat dan maksiat dipaparkan.

Seolah-olah manusia sudah tidak takut dengan kemurkaanAllah SWt lagi.

Hakikatnya segala perbuatan jahat seperti berjudi, berzina, membunuh tanpa sebab, berprasangka buruk, membuat tuduhan palsu, memfitnah, mengadu-domba, mencari-cari kesalahan orang lain, mencaci dan menghina orang dengan gelaran yang buruk serta perbuatan jahat yang lain wajib dihindari kerana ia merupakan pengkhianatan yang besar kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Nisa’, ayat 107 : “Dan janganlah engkau berbahas untuk membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa”.

Ingatlah! Kita semua akan berhadapan dengan kematian. Apabila kematian datang kepada diri kita, terputuslah segala nikmat dunia yang selama ini kita kecapi.

Pada waktu itu, segala penyesalan sudah tidak berguna lagi.

Segala perbuatan kita sama ada yang baik atau buruk akan kita bawa bersama di dalam kubur.

Bagi roh orang beriman, mereka akan berdoa kepada Allah SWT agar disegerakan kiamat kerana terujanya mereka bertemu dengan Allah SWT dan menikmati balasan syurga yang dijanjikan olehNya.

Sebaliknya bagi roh orang kafir mereka akan merayu kepada Allah agar tidak berlaku kiamat kerana takutnya mereka dengan azab yang bakal mereka hadapi di akhirat.

Suatu hari Rasulullah SAW berpesan : Sesiapa yang suka bertemu dengan Allah, maka Allah akan suka bertemu dengannya. Sesiapa yang benci bertemu Allah, maka Allah akan benci bertemu dengannya.

Saidatina Aisyah Radhiallahu’anha berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bila seorang mukmin menemui kematian, maka ia digembirakan dengan rahmat dan keredaan Allah SWT serta kurniaan syurgaNya. Maka ia lebih suka bertemu dengan Allah SWT dan Allah SWT pun ingin bertemu dengannya. Sedangkan bila seseorang kafir itu menemui kematian, maka ia digembirakan dengan azab Allah SWT dan siksaNya. Ia benci berjumpa dengan Allah SWT dan Allah SWT pun benci berjumpa dengannya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Oleh itu, bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan yang barakah ini, ayuhlah kita bersungguh-sungguh memanfaatkan bulan ini dengan memperbanyakkan amal soleh, beristighfar dan berdoa agar segala amal kita diterima Allah SWT.

Mengakhiri khutbah pada kali ini, khatib menyeru dan mengajak seluruh umat Islam supaya menghayati beberapa pengajaran berikut untuk dijadikan pedoman dalam hidup kita :

1. Sedarlah bahawa setiap manusia pasti tidak terlepas daripada pelbagai ujian dunia. Maka kita hendaklah sentiasa bersabar dan istiqamah mentaati segala perintah Allah SWT .

2. Kita hendaklah jadikan Ramadan tahun ini sebagai pemangkin kearah kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

3. Setiap muslim hendaklah ingat bahawa setiap perbuatan sama ada baik atau buruk yang kita lakukan di dunia akan memberi kesan nanti di akhirat.

“(Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertakwa untuk mengadap (Allah) Ar-Rahman, dengan berpasuk-pasukan. Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke Neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga.” (Surah Maryam : 85-86)

Khutbah Jumaat Rahmat Ramadan

Petikan Khutbah Jumaat 16 April 2021M/ 4 Ramadan 1442H JAWI

Rahmat Ramadan

Bulan Ramadan telah dipilih Allah SWT sebagai bulan yang difardukan padanya ibadat puasa kepada umat Islam supaya dapat menjadikan mereka hamba-hamba-Nya yang bertakwa.
jawi_logo.jpg

Orang yang berasa gembira dengan kehadiran Ramadan membuktikan dirinya tahu kelebihan bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain.


Ayat 183 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu,supaya kamu bertaqwa.”

Puasa merupakan ibadah yang dapat mendidik jiwa bagi meraih taqwa.


Puasa bukan sahaja ibadah yang diperintahkan kepada Nabi SAW dan umatnya, malah turut dilaksanakan oleh umat-umat Nabi terdahulu sebelum Baginda SAW.

Marilah sama-sama kita gunakan kesempatan pada bulan barakah ini untuk memburu rahmat Allah SWT melalui ibadah puasa yang sempurna semata-mata kerana Allah SWT demi mencapai darjat puasa yang tertinggi.

Ambillah peluang di bulan yang mulia ini untuk melaksanakan solat fardu secara berjemaah di masjid, surau dan di mana sahaja serta disusuli dengan solat sunat rawatib.


Berniat iktikaflah ketika berada di masjid kerana ia sangat dituntut untuk dilakukan di bulan Ramadan.


Namun janganlah diabaikan tanggungjawab untuk mematuhi setiap peraturan dan SOP yang  telah ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk mengalakkan berlakunya penularan wabak pandemik COVID-19 di rumah ibadat.

Di samping ibadah di siang hari di bulan Ramadan, marilah kita beristiqamah melakukan qiyam Ramadan dengan ibadah yang disunatkan iaitu solat tarawih.


Imarahkanlah masjid dan surau dengan sama-sama menunaikan solat isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah.


Hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Abu Zar RA, Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya sesiapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah telah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam.”

Kesempatan di bulan Ramadan ini juga, marilah kita melakukan ibadah-ibadah yang disukai oleh Rasulullah SAW antaranya ialah melazimi membaca al-Quran.


Rasulullah SAW mengulangi bacaan al-Quran bersama Jibril AS sekali pada setiap tahun dan ketika tahun kewafatannya,


Baginda SAW mengulanginya bersama Jibril sebanyak dua kali.


Lihatlah para alim ulama’ dan salafussoleh, apabila tibanya bulan Ramadan, mereka mengagungkan al-Quran dengan membaca serta mengkhatamkannya sepertimana Imam as-Syafi’e Rahimahullah yang mengkhatamkan al-Quran sebanyak enam puluh kali pada bulan Ramadan di luar bacaan solat.

Setiap masa yang terluang di bulan Ramadan seharusnya kita isi dengan membaca al-Quran malah lebih baik kita bertadarus bersama ahli keluarga mahupun sahabat handai yang baik bacaannya.


Tiada alasan untuk tidak membaca al-Quran kerana di zaman ini terdapat pelbagai aplikasi al-Quran dalam telefon pintar.


Ketahuilah bahawa biarpun kita tidak lancar untuk membacanya atau kurang mahir, namun Allah SWT akan memberikan ganjaran pahala kerana kesungguhan kita untuk membaca kitab suci ini.

Sesungguhnya Rasulullah SAW juga banyak melakukan amalan bersedekah dan memberi makan berbuka puasa di bulan Ramadan.


Ini menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis, daripada Ibn ‘Abbas Radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata : “Adalah Nabi SAW seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril AS bertemu dengannya...”

Marilah kita merebut kelebihan bersedekah di bulan Ramadan dan memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka.


Tentunya ada dalam kalangan keluarga mahupun jiran tetangga yang menghadapi kesulitan hidup. Justeru, inilah saat terbaik untuk kita meningkatkan amalan bersedekah sepenuh keikhlasan mengharapkan rahmat dan keredaan Tuhan.

Marilah kita mengambil keberkatan Ramadan untuk menguatkan rasa cinta dan kasih sayang sesama insan. Semaikan nilai kasih sayang di dalam keluarga, terutamanya kepada kedua ibu bapa.


Sentiasalah berhubung dengan mereka. Penuhi hajat dan keperluan mereka sebaik-baiknya lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia ini.


Jika ada sengketa dan perbalahan dalam kalangan kita, segeralah bermaaf-maafan dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

Di samping ibadah puasa dan amalan soleh yang kita lakukan, peliharalah diri dengan menjauhi segala perbuatan, pertuturan, penglihatan dan pendengaran yang merosakkan pahala amalan.


Alangkah ruginya jika keberkatan Ramadan dicemari dengan umpatan, celaan dan fitnah.


Jagalah adab sebagai seorang muslim terutama di media sosial seperti facebook, whatsapp, twitter, instagram dan sebagainya.


Bulan rahmat ini sewajarnya dipenuhi dengan segala amalan kebaikan dan kebajikan yang mengundang pahala yang berganda-ganda.


Sentiasalah mengingati Allah, bersabar dengan ujian dan dugaan, bersangka baik dan reda dengan takdir-Nya.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, Mimbar mengambil kesempatan untuk mengingatkan para jemaah sekalian mengenai keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini.


Utamakan aspek kebersihan ketika menyediakan juadah berbuka puasa. Pastikan bahan mentah yang digunakan adalah segar, bersih dan berkualiti.


Bagi mereka yang berkunjung ke bazar Ramadan, patuhilah SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa, pilihlah juadah secara bersederhana dan tidak membazir.


Carilah juadah yang halal lagi baik, bersih dan selamat. Belilah makanan daripada peniaga yang mengamalkan kebersihan.


Pastikan juadah yang dibeli ditutup dengan sempurna dan tidak terdedah kepada pencemaran serta utamakan pemilihan makanan yang dapat membina kesihatan diri supaya dapat melakukan ibadah dengan khusyuk dan sempurna.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menjayakan ihya’ Ramadan dan menjadikan bulan ini sebagai medan tarbiah membina kekuatan rohani dan jasmani.


Renungkan firman Allah SWT di dalam surah Ali ‘Imran, ayat 133: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”