April 23rd, 2021

Khutbah Jumaat : Zakat Fitrah Pelengkap Puasa

Petikan Khutbah Jumaat 23.04.2021 l 11 Ramadan 1442H JAIS

Zakat Fitrah Pelengkap Puasa

Dalam Islam, ibadah zakat fitrah mempunyai beberapa elemen yang dekat dengan ibadah puasa.

Pertama, zakat fitrah difardukan pada tahun kedua hijrah, seiring dengan kefarduan puasa.jais.jpg

Kedua, zakat fitrah juga mempunyai dua rukun, sama dengan puasa yang juga mempunyai dua rukun.

Ketiga, zakat fitrah dilaksanakan demi meringankan nasib orang-orang miskin, maka puasa juga mendidik kita menjiwai kelaparan yang sering ditanggung oleh orang-orang miskin.

Ibnu ‘Abbas Radhiallahu’anhuma menyatakan bahawa: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada perkara lalai dan perkataan keji, dan juga untuk memberi makan orang miskin.” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Lalu timbul satu pertanyaan, sejauh manakah kita yang berpuasa pada hari ini dapat merasakan perkaitan antara puasa dan zakat fitrah?

Adakah zakat fitrah yang kita tunaikan itu hanya sebagai rutin, demi melepaskan kewajipan semata-mata?

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah alBaqarah, ayat 183 bahawa tujuan utama difardukan puasa adalah untuk takwa, maka ia disempurnakan oleh ibadah zakat fitrah di penghujungnya. Ibarat seorang pelari merentas desa, di hujungnya dia wajib menempuh halangan garisan penamat, menyentuh dan memutuskan tali reben.

Jika diibaratkan puasa itu seperti merentas desa, maka zakat fitrah itu adalah tali rebennya.

Dengan menunaikan zakat fitrah, maka sempurnalah pakej puasa kita.

Sempurnalah sudah usaha kita untuk mencapai darjat takwa dan seterusnya menjadi manusia yang ‘baharu dari segi iman dan akhlaknya’ setelah selesai melalui madrasah Ramadan.

Lantas layak pula untuk menerima hadiah luar biasa di atas kejayaan itu. Hadis daripada Ali bin Abi Talib Radhiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat kamar yang luarnya dapat dilihat dari dalamnya, dan dalamnya dapat dilihat dari luarnya. (Kemudian) berdirilah seorang Arab badwi lantas bertanya: Kepada siapakah (kamar tersebut disediakan) wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Bagi mereka yang berkata baik, memberi makan (termasuklah menunaikan zakat fitrah), rajin berpuasa dan mengerjakan solat kerana Allah di malam hari di saat manusia lain sedang terlena.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Hadis tersebut jelas menunjukkan kepada kita bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menyediakan hadiah yang istimewa khusus bagi mereka yang menunaikan kewajipan amalan zakat fitrah  seiring dengan amalan puasa. Demikianlah betapa zakat fitrah dapat menyempurnakan amalan puasa kita.

Hakikatnya, kebanyakan dari permasalahan dunia ini berpunca daripada buruknya lisan dan buruknya akhlak seperti bersikap bakhil, tamak dan haloba.

Dengan berpuasa, hakikatnya kita telah memaksa diri untuk merasai serba sedikit kesusahan yang dialami oleh fakir miskin. Bayangkan, 13 jam lamanya usus kita dibiarkan kosong hingga kita menjadi lapar dan lesu.

Latihan amali ini akhirnya perlu disimpulkan dengan satu perbuatan mulia, iaitu saling berkongsi rezeki dengan memberi sedekah dan menunaikan zakat fitrah.

Apalah maknanya jika sudah merasai jerih perih orang miskin menahan lapar, namun pada akhirnya masih diselaputi rasa bakhil untuk berkongsi rezeki dengan mereka?

Maka, zakat fitrah hadir sebagai pembatas, adakah kita sudah dapat melentur sifat tamak dalam diri dan dapat menundukkan kebakhilan, atau masih bersifat seperti enau dalam belukar yang hanya melepaskan pucuknya masing-masing?

Sehingga 31 Disember 2020, direkodkan terdapat lebih 60 ribu buah keluarga miskin yang berdaftar secara rasmi di Lembaga Zakat Selangor.

Jumlah itu bukanlah sedikit, kerana jika diperincikan kepada bilangan individu, maka hakikatnya ia melebihi 350 ribu orang.

Justeru, Lembaga Zakat Selangor saban tahun sentiasa berusaha memastikan agar mereka ini mendapat bantuan yang cukup bagi menyambut hari raya dengan lebih sempurna.

Pada tahun 2020 yang lalu, lebih RM27 juta telah diagihkan menjelang hari raya. Lembaga Zakat Selangor juga memastikan bahawa setiap individu atau keluarga miskin mendapat bantuan Raya dengan minimum RM300 dan jumlah ini akan meningkat mengikut bilangan tanggungan sehingga maksimum RM1,000 bagi sebuah keluarga.

Atas dasar itu, maka pihak Lembaga Zakat Selangor tidak jemu-jemu menyeru agar semua umat Islam di negeri ini menjadikan zakat fitrah sebagai ladang pahala.

Malah, jika dahulu zakat fitrah hanya sekadar RM7.00, maka kini Lembaga Zakat Selangor menggalakkan umat Islam agar memilih harga zakat fitrah yang lebih sesuai dengan hidup mereka.

Sama ada RM14.00 atau RM21.00 seorang mengikut jenis beras yang biasa mereka makan setiap hari.

Ya, jika kita mampu makan makanan yang enak dan beras yang lebih mahal, maka sewajarnyalah kita memilih harga fitrah yang bersesuaian dengan kemampuan kita.

Ini menepati apa yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW. Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu’anhuma menyatakan: "Rasulullah SAW memerintahkan (kami) supaya membayar zakat fitrah segantang kurma atau segantang barli. Maka orang ramai menyamakan (segantang itu) dengan dua cupak hintah (gandum yang paling baik)." (Riwayat Al-Bukhari)

Inilah yang dianjurkan oleh Islam, iaitu berusaha mencari yang terbaik tatkala beramal sebagaimana difirmankan Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 148: “Maka berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.” Sebenarnya, Lembaga Zakat Selangor telah menyediakan pelbagai saluran pembayaran zakat, sama ada secara atas talian, potongan gaji, kad kredit, ATM, ejen zakat dan sebagainya.

Pastikan kita membayar di saluran yang betul dan kepada amil yang bertauliah, demi memastikan zakat kita menjadi sah dan benar-benar sampai kepada asnaf yang berhak.

Hal ini selaras dengan apa yang telah dititahkan oleh DYMM Sultan Selangor dan juga keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, bahawa zakat hendaklah disalurkan kepada Lembaga Zakat Selangor sebagai entiti yang bertauliah menguruskan zakat di negeri ini

Mengakhiri khutbah kali ini, berikut adalah beberapa perkara yang boleh dijadikan pedoman:

1. Umat Islam hendaklah memahami zakat fitrah adalah ibadah yang sangat besar fadilatnya di sisi ibadah puasa untuk membentuk takwa.

2. Umat Islam hendaklah menunaikan kewajipan zakat fitrah sesuai dengan kemampuan diri dengan memilih harga fitrah yang telah ditentukan.

3. Umat Islam hendaklah menunaikan zakat fitrah dan zakat harta menerusi Lembaga Zakat Selangor agar zakat itu dapat diagihkan secara menyeluruh kepada semua asnaf yang berhak.

“Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun ditempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyairenyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah maha melihat akan apa yang kamu lakukan”. (Surah Al-Baqarah : 265)

Khutbah Jumaat: Kalam Suci Anugerah Ilahi

Petikan Khutbah Jumaat 23 April 2021M/ 11 Ramadan 1442H JAWI

Kalam Suci Anugerah Ilahi

Ramadan adalah bulan kemuliaan yang padanya diturunkan al-Quran oleh Allah SWT daripada Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia.
jawi_logo.jpg

Setelah itu ia diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS selama 23 tahun.

Al-Quran adalah mukjizat teragung Baginda Nabi SAW yang terpelihara sehingga ke hari ini.

Firman Allah SWT di dalam surah Saad ayat 29 yang bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

Menurut Syeikh Sya’rawi Rahimahullah ketika menafsirkan kalimah ‘Mubarak’ dalam ayat tersebut, ia membawa maksud benda yang sedikit tetapi manfaat dan kebaikannya jauh melebihi apa yang digambarkan.


Ayat-ayatnya mempunyai keberkatan dari sudut hukum zahir yang dapat mentarbiyahkan jiwa untuk hidup dengan istiqamah.


Hakikatnya istiqamah tidak memberi beban walaupun sedikit dan yang membebankan hidup manusia adalah perbuatan penyelewengan.

Al-Quran sangat memberi peranan kepada aspek kehidupan manusia antaranya ialah aspek ekonomi.


Zaman jahiliyyah suatu ketika dahulu menyaksikan sistem ekonomi yang berteraskan riba dan penindasan, namun al-Quran hadir membawa sistem ekonomi Islam yang bebas daririba, penindasan, penipuan dan paksaan malah menetapkan prinsip-prinsip ekonomi yang berteraskan akhlak, keadilan sejagat, pengagihan kekayaan secara adil dan memberi kesejahteraan kepada masyarakat.
Al-Quran juga membawa peranan yang besar untuk mendidik manusia dalam menjalani kehidupan di dunia ini.


Melalui konsep ta’alim, tarbiyyah dan ta’dib, al-Quran bukan sahaja menerapkan ilmu-ilmu berkaitan fardu ain bahkan juga ilmu-ilmu fardu kifayah seperti perniagaan, kedoktoran, ekonomi, fizik, astronomi dan sebagainya.


Bahkan al-Quran telah memainkan peranan yang cukup penting dalam pembinaan tamadun Islam agar umatnya terus belajar, mengkaji dan mencari ilmu.

Di samping itu, Al-Quran juga sangat menitik beratkan aspek sosial masyarakat, persaudaraan, perdamaian, kebersamaan, tolak ansur, tolong- menolong, belas kasihan dan sebagainya.


Malah, al-Quran juga mendidik manusia supaya menghindari daripada perpecahan, perbalahan, kezaliman, diskriminasi, perbuatan khianat, dengki dan lain-lain.

Sebagai perlembagaan teragung umat Islam, al-Quran menjadi sumber utama kepada hukum-hakam dan peraturan-peraturan hidup manusia yang mencakupi ibadah, munakahat, jinayat, muamalat dan sebagainya.


Justeru, al-Quran menjadi asas utama kepada perundangan Islam.


Dasar-dasar perundangan yang dinyatakan oleh al-Quran sentiasa memberi keadilan mutlak kepada seluruh manusia dan memelihara maqasid al-syariah iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.


Di saat kita sedang menghampiri pertengahan Ramadan, mimbar ingin menyeru sidang jemaah sekalian agar terus mendampingi al-Quran.


Bagi yang belum melakukan apa-apa, masih ada kesempatan lagi untuk menyahut seruan ini.


Usahlah dibiarkan Ramadan yang kita lalui berlalu dengan begitu sahaja tanpa kita membaca, menghayati dan bertadabbur ayat-ayat suci al-Quran.


Ingatlah hak al-Quran mesti sentiasa dibaca dan difahami. Jika melihat al-Quran pun telah dijanjikan ganjaran oleh Allah SWT, apatah lagi jika kita membaca, menghafaz, memahami dan mengamalkannya.


Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis daripada ‘Aisyah Radhiyallahu ‘anha, Rasulullah SAW bersabda : Bermaksud : “Perumpamaan orang membaca al-Quran sedangkan dia menghafaznya, maka dia akan bersama para malaikat mulia. Sedangkan perumpamaan seorang yang membaca al-Quran dengan tekun dan dia mengalami kesulitan atasnya, maka dia akan mendapat dua ganjaran pahala.”


Justeru, berazamlah untuk menjalani kehidupan dengan mendampingi al-Quran.


Kita boleh membacanya dengan menggunakan pelbagai aplikasi al-Quran namun, pastikan aplikasi tersebut yang telah dipasang pada telefon pintar adalah tepat dan betul untuk digunakan.


Di samping dapat membaca, kita juga dapat memahami makna setiap ayat dengan pantas.
Marilah kita mengajak isteri, anak-anak dan saudara-mara untuk melazimi membaca dan bertadabbur al-Quran menggunakan aplikasi moden seperti whatsapp dan sebagainya.


Mimbar ingin menegaskan bahawa kita mestilah mengamalkan apa yang telah dibaca bukan setakat memahami tanpa menjadikannya sebagai panduan hidup.

Marilah kita membudayakan amalan membaca, memahami dan bertadabbur ayat-ayat al-Quran dalam kehidupan walau di mana sahaja kita berada dan bekerja.


Ingatlah bahawa setiap seorang daripada orang Islam seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya senaskhah al-Quran. Justeru, amatlah digalakkan kita menghadiahkan al-Quran kepada ahli keluarga, kenalan dan rakan sekerja.


Di samping itu, kita juga boleh mewakafkan al-Quran kepada pihak-pihak yang memerlukan.


Dalam suasana keindahan melakukan ibadah di bulan Ramadan ini, marilah kita mengambil peluang untuk bertadarus al-Quran di masjid, surau, rumah, pejabat dan di mana sahaja yang sesuai demi meraih keberkatan dan kerahmatan daripada Allah SWT.

Al-Quran merupakan anugerah terbesar bagi kehidupan kita. Ia adalah penawar bagi segala penyakit rohani dan jasmani manusia. Ia menjadi pengubat buat jiwa manusia yang sedang dilanda keresahan, kebimbangan dan keluh kesah.


Dalam situasi Pandemik COVID-19, tidak dinafikan kebanyakan masyarakat kita hari ini dihimpit dengan pelbagai tekanan hidup kesempitan dan kesusahan.


Justeru, al-Quran adalah penawar yang dapat mententeramkan dan mengharmonikan jiwa insan yang dihimpit pelbagai mehnah dan ujian.


Mudah-mudahan dengan keberkatan al-Quran yang selalu kita lazimi di bulan yang mulia ini, Allah SWT akan menghapuskan wabak pandemik COVID-19 dari bumi ini.

Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 82: Bermaksud : “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”