April 30th, 2021

Khutbah Jumaat : Al-Quran, Mukjizat Agung Sepanjang Zaman

Petikan Khutbah Jumaat 30.04.2021 l 18 Ramadan 1442H JAIS

Al-Quran, Mukjizat Agung Sepanjang Zaman

Al-Quran merupakan mukjizat yang terbesar dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW yang mencabar kekuatan dan pemikiran manusia.

Manusia tidak mampu menandingi Al-Quran sama ada dari segi bahasa, makna dan cerita-cerita yang terkandung di dalamnya.jais.jpg

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 23-24 sebagaimana yang telah dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud; “Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api Neraka yang bahanbahan bakarannya: Manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.”

Tidak seperti kitab-kitab terdahulu yang lain, al-Quran adalah kitab yang Allah turunkan dan Allah yang akan peliharanya.

Al-Quran tidak terbatas hanya pada zaman Nabi SAW sahaja, bahkan mukjizat al-Quran adalah berterusan sepanjang zaman.

Mukjizat-mukjizat hissi yang dapat dilihat dan dirasa seperti tongkat menjadi ular bagi Nabi Musa Alaihis Salam, keluar unta daripada celah batu bagi Nabi Soleh Alaihis Salam berakhir dengan kewafatan nabi-nabi tersebut.

Tetapi bagi Nabi Muhammad SAW disamping memiliki mukjizat hissi, baginda memiliki mukjizat ilmiah iaitu al-Quran yang kekal walaupun baginda telah wafat meninggalkan kita.

Al-Quran adalah ucapan-ucapan dan kalimah yang terdiri daripada Alif Ba Ta biasa tetapi ia mampu masuk ke lubuk hati jiwa manusia membuatkan akal terpaksa mengagungkannya.

Orang-orang kafir cuba memesongkan orang lain daripada al-Quran.

Semakin mereka berusaha melakukan demikian, semakin nampak kesesatan mereka dan terserlah pula kebenaran al-Quran.

Sesungguhnya mukjizat para Nabi diturunkan sesuai dengan cabaran ketika itu. Contohnya umat Nabi Musa Alaihis Salam terkenal dengan sihir maka mukjizat Nabi Musa Alaihis Salam berupa tongkat menjadi ular menelan segala ular tukang sihir Firaun.

Maka al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai mukjizat yang melemahkan masyarakat jahiliah yang mengagungkan sastera dan puisi.

Al-Quran menandingi kepakaran sasterawan dan menandingi puisi yang digantung di dinding Kaabah.

Sesungguhnya al-Quran juga mampu menyelesaikan fitnah yang dihadapi manusia.

Hadis daripada Al-Haris katanya bahawa Ali bin Abi Talib Radhiallahu’anhu mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Akan berlaku fitnah. Aku bertanya: Apa penyelesaiannya wahai Rasulullah? Baginda bersabda : Kitab Allah, di dalamnya berita sebelum kamu, cerita selepas kamu dan hukum di antara kamu”. (Riwayat Al-Tirmidzi)

Al-Quran mendatangkan berita-berita terdahulu, perkhabaran sesudah kita dan menjadi penghukum di antara kita. Ia adalah kata putus bukannya gurauan, sesiapa yang meninggalkannya kerana sombong, Allah akan menghancurkannya.

Sesiapa yang mencari petunjuk selain Allah, Allah akan sesatkannya. Ia adalah tali Allah yang kukuh.

Al-Quran juga adalah peringatan yang bijaksana, jelas dan jalan yang lurus. Ia tidak dapat diseleweng oleh hawa nafsu, ia tidak boleh disamarkan oleh lidah, para Ulama tidak kenyang-kenyang dengannya.

Tidak jemu dengan banyak diulang dan tidak berkurang keajaibannya.

Hadis daripada Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda : “ Al-Quran ini adakah hidangan Allah. Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutnya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tiada henti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun diulang. Bacalah kerana Allah, kerana ia akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf sepuluh ganjaran. Saya tidak katakan Aliif Laam Miim sebagai satu huruf tetapi alif (1 huruf) dan Laam (1 huruf) dan Miim (1 huruf).” (Riwayat Al-Hakim)

Di dalam al-Quran terdapat berita-berita terdahulu yang sahih dan tepat seperti kejadian langit dan bumi, penciptaan Adam dan Hawa, sejarah kaum Nuh, Hud, Soleh, Ashabul kahfi, Habib Al-Najjar dan lainlain.

Begitu juga khabar-khabar terkemudian seperti kisah-kisah Yakjuj dan Makjuj, Hari Kiamat, Mahsyar, Syurga, Neraka dan lain-lain. Malah para ahli sejarah juga merujuk berita-berita ini kepada al-Quran.

Walaupun orang-orang barat cuba menimbulkan keraguan ke atas alQuran dengan menafikan kesahihan pengumpulan al-Quran yang dimulai oleh Saidina Abu Bakar namun ia dapat dipatahkan dengan konsep dan ilmu sanad dalam Islam.

Abdullah bin Al-Mubarak berkata “kalau tiada sanad orang akan berkata apa yang dia hendak katakan”

Antara mukjizat-mukjizat ilmiah al-Quran adalah:-

1. Pembentukkan awan. Allah menghantar angin sebelum datang rahmatnya (hujan) hingga angin membawa awan mendung, Allah halakan kepada negara yang mati iaitu kering kontang, lalu Allah turunkan hujan.

2.Peringkat kejadian manusia. Allah ciptakan manusia daripada pati yang berasal dari tanah kemudian Allah jadikannya pada penetapan yang kukuh. Kemudian Allah ciptakan benih itu menjadi sebuku darah beku, kemudian seketul daging kemudian menjadi beberapa tulang, kemudian Allah balut tulang itu dengan daging.

3.Fungsi tangan dan jari. Allah maha berkuasa menyusun jari jemari. Sangat mudah manusia menyakini bahawa tangan manusia dicipta oleh pencipta dengan tugas-tugas yang luar biasa. Dan banyak lagi mukjizat ilmiah al-Quran dalam bentuk sains.

Manakala golongan Plural yang menganggap manusia dapat sampai kepada tuhan yang sama melalui agama yang berlainan adalah ditentang oleh al-Quran.

Firman Allah dalam surah al-An’am ayat 153 : “ Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain) itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”

Golongan Liberal pula mengajak umat Islam agar tidak menerima apa sahaja daripada teks-teks al-Quran dan hadis nabi SAW, apatah lagi pendapat para ulama.

Menurut mereka, banyak kandungan al-Quran yang sudah tidak relevan dengan kemajuan zaman. Begitu juga banyak lagi aliran-aliran dan fahaman yang menentang al-Quran.

Namun Allah telah berfirman dalam surah al-Taubah ayat 32: “Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).”

Mengakhiri khutbah kali ini, berikut adalah beberapa perkara yang boleh dijadikan pedoman:

1. Umat islam hendaklah meyakini bahawa al-Quran adalah mukjizat ilmiah yang terbesar kepada Nabi Muhammad SAW yang akan kekal hingga hari kiamat.

2. Umat islam perlu sedar al-Quran adalah kitab yang menyelesaikan masalah manusia.

3. Umat islam hendaklah meyakini bahawa mukjizat al-Quran membuktikan kebenaran islam yang tidak mampu ditentang oleh sesiapa sahaja.

“ Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Isra’ : 88)

Khutbah Jumaat: Menggandakan Amalan Memburu Lailatul Qadar

Petikan Khutbah Jumaat 30 April 2021M/ 18 Ramadan 1442H JAWI

Menggandakan Amalan Memburu Lailatul Qadar

Sama ada sedar atau tidak, kita akan memasuki sepuluh terakhir Ramadan. Tentunya inilah fasa yang sangat istimewa kerana padanya terdapat satu malam yang dinamakan al-Qadar.
jawi_logo.jpg

Lailatul Qadar adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang bermujahadah mengharapkan rahmat dan keampunan-Nya.

Betapa hebatnya malam tersebut sehinggakan Allah SWT menyebutkan tentangnya di dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Qadr, ayat 1 hingga 5 yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam al-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.”


Lailatul Qadar merupakan malam yang sangat agung kerana al-Quran telah diturunkan pada malam tersebut.


Pada malam tersebut juga Allah SWT menganugerahkan keberkatan, kerahmatan, keampunan dan kemuliaan kepada hamba-hamba-Nya yang beribadah dengan penuh khusyuk, ikhlas dan semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT.

Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis, daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda : Bermaksud : “Sesiapa yang menghidupkan dengan melakukan ibadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran berserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu.”

Berikutan kemuliaan dan keagungan yang terdapat pada malam tersebut, Rasulullah SAW sangat menggalakkan umatnya memburu Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir Ramadan.


Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari Rahimahullah daripada ‘Aisyah Radhiyallahu ‘anha, Nabi SAW bersabda: Bermaksud: “Carilah malam al-Qadar pada bilangan hari yang ganjil, pada sepuluh hari-hari terakhir di bulan Ramadan.”

Marilah kita bersama-sama berusaha merebut ganjaran yang telah disediakan oleh Allah SWT pada malam al-Qadar dan bermujahadah di sepuluh malam terakhir Ramadan ini dengan istiqamah menghidupkan malam-malam Ramadan dengan ibadah yang lebih berkualiti.


Rebut peluang mengimarahkan masjid dan surau dengan solat fardu berjemaah, solat sunat tarawih dan berniat iktikaf di masjid.


Perbanyakkan amalan-amalan soleh seperti membaca, bertadarus dan menghayati makna al-Quran, beristighfar dan berzikir kepada Allah.


Di samping itu, hulurkanlah sedekah seikhlas hati ke tabung-tabung masjid dan surau serta berikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Di samping itu. jauhilah maksiat dan perkara yang sia-sia. Rebutlah Lailatul Qadar dengan amal keikhlasan. Inilah masa untuk memburu kemenangan melawan godaan nafsu.


Perbanyakkan doa kepada Allah SWT. Mohonlah keampunan kepada-Nya dan bertaubat atas segala dosa yang pernah kita lakukan.

Khatib ingin mengingatkan bahawa di samping ibadah puasa yang difardukan di bulan Ramadan, kita juga diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah.


Ia merupakan zakat badaniah yang telah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah bagi setiap Muslim untuk melaksanakannya dalam tempoh bermula 1 Ramadan sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri.


Jika ibadah puasa mengajar kita erti kesusahan dan kelaparan, maka zakat fitrah mendidik kita supaya mensyukuri nikmat rezeki dan menjauhi sifat bakhil, sombong dan takbur dengan harta yang dimiliki. Jika matlamat puasa adalah untuk mencapai tahap takwa yang tinggi kepada Allah SWT, maka zakat fitrah dapat menyucikan diri kita daripada perkara lalai dan keji.

Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah SAW bersabda : Bermaksud : “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada perkara lalai dan perkataan keji, dan juga untuk memberi makan orang miskin.”

Justeru, mimbar mengingatkan kepada para Jemaah sekalian untuk bersegera mengeluarkan zakat fitrah mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi tahun ini iaitu sebanyak RM5, RM7 dan RM14 mengikut tahap pendapatan dan kemampuan masing- masng. Janganlah bertangguh-tangguh sehingga ke akhir Ramadan supaya kewajipan ini tidak terabai akibat kelalaian diri kita sendiri.

Pelbagai saluran dan kaedah untuk membayar zakat fitrah telah disediakan terutamanya dalam tempoh pandemik ini antaranya melalui aplikasi mobil SnapNPay, e-Wallet Boost dan perkhidmatan JomPay menerusi perbankan internet semua institusi perbankan yang menawarkan kemudahan pembayaran cara ini.


Kita juga boleh membayar terus kepada amil-amil zakat yang bertauliah dengan cara mengakses QR Code SnapNPay bagi membolehkan transaksi tanpa tunai dibuat terus menerusi mereka.


Di samping itu, kaedah bayaran secara pandu lalu di masjid-masjid juga disediakan tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa dan SOP yang ditetapkan.


Mimbar juga mengingatkan para Jemaah sekalian supaya tunaikanlah kewajipan zakat yang lain seperti zakat harta, perniagaan, pendapatan, saham, KWSP, emas, perak, wang simpanan dan sebagainya. Ini juga merupakan satu kewajipan bagi mereka yang berkemampuan.


Pusat Pungutan Zakat-MAIWP turut menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan kita membayar zakat antaranya melalui potongan gaji, perbankan internet, kad kredit Islamik dan kaunter bergerak pungutan zakat.

Dengan zakat yang telah kita keluarkan, ramai asnaf yang telah mendapat manfaatnya melalui agihan yang dilaksanakan oleh MAIWP.


Bagi memudahkan dan mempercepatkan agihan zakat kepada asnaf yang memerlukan bantuan, MAIWP turut menyediakan kaedah wakalah yang diberikan kepada pembayar zakat untuk mengagihkan zakat.


Wakalah merupakan dasar pengembalian wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada entiti yang membayar zakat kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP.


Bagi individu dan syarikat atau organisasi, pengembalian zakat boleh diberikan sehingga 50 peratus daripada jumlah bayaran zakat.


Bagi majikan pula, pengembalian zakat boleh diberikan sehingga 37.5 peratus daripada jumlah potongan gaji zakat kakitangan.


Manakala bagi pusat pengajian tinggi, pengembalian zakat boleh diberikan sehingga 50 peratus daripada jumlah potongan gaji zakat kakitangan.


Bagi individu dan entiti yang layak menerima wakalah, zakat perlu diagihkan sebagai mewakili MAIWP kepada asnaf yang layak.

Di Wilayah Persekutuan ini terdapat ramai dalam kalangan kita yang tergolong dalam kategori miskin bandar yang mesti dibantu.


Justeru, bagi semua yang berkerja dan mencari rezeki di Wilayah-Wilayah Persekutuan hendaklah membayar zakat kepada PPZ-MAIWP.


Dengan jumlah zakat yang kita keluarkan, kita juga memperolehi rebat cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri. Semakin tinggi jumlah zakat, semakin tinggi rebat cukai yang akan diperolehi.


Harus diingat, janganlah membayar zakat kepada pihak-pihak lain tidak berautoriti. Sesiapa yang membayar zakat melalui amil atau pihak yang tidak dilantik oleh MAIWP, maka dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) dan boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.


Sebelum khatib mengakhiri khutbah, marilah kita mengambil pengajaran dan iktibar daripada bicara mimbar pada hari ini, antaranya:

Pertama : Lailatul Qadar adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang bermujahadah mengharapkan rahmat dan keampunan-Nya.

Kedua : Beristiqamahlah melakukan amal ibadah di sepuluh terakhir Ramadan dan meninggalkan perkara-perkara yang sia-sia di samping berdoa sepenuh pengharapan memohon keampunan daripada Allah SWT.

Ketiga : Tunaikanlah kewajipan zakat sama ada zakat fitrah, zakat harta, zakat pendapatan dan sebagainya melalui saluran yang betul demi manfaat asnaf-asnaf di Wilayah Persekutuan. Semoga dengan zakat yang kita keluarkan, Allah SWT akan menyucikan jiwa dan harta yang kita miliki.

Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah an-Nuur ayat 52 : Bermaksud : “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.”