May 7th, 2021

Khutbah Jumaat : Istimewanya Lailatul Qadr Dan Malam Raya

Petikan Khutbah Jumaat 07.05.2021 l 25 Ramadhan 1442H JAIS

Istimewanya Lailatul Qadr Dan Malam Raya

Ramadhan al-Mubarak yang mengunjungi kita kini sudah hampir meninggalkan umat Islam beberapa hari lagi. Ada hati yang mula menangis. Tetamu yang mulia ini akan pergi dan pasti akan kembali lagi.
jais.jpg
Namun, adakah kita berkesempatan lagi untuk bertemu dengan bulan yang agung ini?

Apa yang sudah berlalu, tidak dapat lagi kita ulangi. Apa yang mampu kita lakukan hanyalah berdoa, beristighfar dan berserah kepada Allah.

Berdoa dan berserah agar segala yang telah kita lakukan di sepanjang Ramadhan lalu diterima oleh Allah SWT.

Walaupun akan berakhirnya Ramadhan bukanlah penamat segala kebaikan dan limpahan rahmat Allah SWT.

Sebaliknya, malam raya yang bakal tiba iaitu malam 1 Syawwal adalah satu malam yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Alangkah ruginya, jika sepanjang Ramadhan ini kita mampu bersungguh-sungguh melakukan amal ibadah dan segala kebajikan, tibatiba pada malam yang penuh barakah ini, kita dilekakan dengan kesibukan persiapan hari raya.

Lebih teruk lagi sekiranya ia dicemari dengan dosa dan maksiat.

Memang tidak salah kita bergembira mensyukuri nikmat kerana dapat menyempurnakan ibadah pada bulan Ramadhan tahun ini, tetapi kegembiraan kita janganlah sampai menyebabkan kita rugi daripada mendapat keuntungan yang amat besar.


Sepanjang Bulan Ramadhan ini, selain malam al-Qadr itu kita ditawarkan dengan malam 1 Syawwal yang banyak Kelebihannya jika beribadah pada malam tersebut.

Abu Hurairah Radhiallahu’anhu berkata, telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “…Dan diampunkan bagi mereka (umat Muhammad SAW) pada terakhir Ramadhan.” Lalu seseorang bertanya: “Wahai Rasulullah SAW adakah malam ini malam al-Qadr?” Jawab Rasulullah SAW: “Tidak! tetapi seorang pekerja akan diberikan upah setelah dia menyelesaikan pekerjaannya!” (Riwayat Ahmad)

Oleh sebab itu, malam hari raya itu hendaklah diisi dengan takbir, memperbanyakkan doa dan zikir tertentu. Nabi SAW menyarankan umatnya untuk menyambut hari raya dengan memperbanyakkan memuji kebesaran Allah SWT.

Malah umat Islam sangat digalakkan untuk memahami dan menghayati setiap ungkapan takbir yang dilaungkan. Ia sarat mengandungi makna keagungan dan keEsaan Allah, serta kebenaran janjiNya untuk memberi pertolongan kepada orang Mukmin.

Bahkan ia juga mengingatkan kita tentang peristiwa perang Ahzab, di mana Allah telah memberikan kemenangan kepada umat Islam dengan memporak-perandakan barisan tentera Ahzab dengan kekuasaanNya.

Bermula pada malam Eidul Fitri sehingga solat sunat Eidul Fitri, kita amatlah digalakkan melaungkan takbir raya.

Sambutannya bermula menghidupkan malam raya dengan melakukan ibadah-ibadah solat, zikir dan laungan takbir bagi membesar dan mengagungkan Allah. Takbir raya juga menzahirkan rasa kemenangan dalam diri selepas sebulan berpuasa.

Takbir kemenangan umat Islam ini mampu meningkatkan semangat dan iltizam untuk membuat yang lebih baik pada tahun berikutnya. Takbir boleh dilakukan secara berkumpulan samada dengan duduk atau berjalan.

Takbir juga boleh dilakukan secara nyaring di rumah-rumah, masjidmasjid, pasar-pasar dan jalan-jalan raya iaitu semasa menuju ke masjid hinggalah bermulanya solat Eidul Fitri.

Bertakbir pada malam Hari Raya Eidul Fitri adalah sangat-sangat dituntut berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 : “…..Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur."

Sebenarnya jika kita lihat pada hari ini, budaya bertakbir di malam raya semakin berkurangan, mungkin disebabkan kesibukan umat Islam membuat persiapan raya dan kesibukan di gerai-gerai jualan penghabisan stok malam raya.

Mereka lebih mengutamakan persiapan berbentuk duniawi berbanding persiapan ukhrawi. Tiada salahnya jika membuat persiapan tersebut, tetapi alangkah indahnya, jika malam-malam yang penuh keberkatan ini, dipenuhi dengan pengisian jiwa yang baru.

Selain bertakbir, kita juga disunatkan menghidupkan malam raya dengan memperbanyakkan zikir, bacaan al-Quran, bertasbih dan beristighfar

Hadis daripada Abu Umamah Al-Bahili Radhiallahu’anhu dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menghidupkan (beribadah) dua malam raya dengan mengharapkan keredhaan Allah, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari yang mati semua hati.” (Riwayat Ibnu Majah)

Pada pagi 1 Syawwal itu pula, disunatkan beberapa amalan seperti mandi sunat Eidul Fitri termasuk juga wanita yang dalam keadaan haid, memakai pakaian paling elok beserta wangian dan sarapan pagi terlebih dahulu sebelum menghadiri solat Eidul Fitri.

Inilah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu’anhu : “Adalah Rasulullah SAW tidak pergi solat Aidilfitri sehinggalah Baginda makan beberapa biji kurma” (Riwayat al-Bukhari)

Selesai menjamah sedikit makanan maka bersegeralah pergi menghadiri tempat solat lebih awal untuk menunaikan zakat fitrah, bertakbir, menunaikan solat sunat Eidul Fitri dan mendengar khutbah raya termasuk bagi wanita yang dalam keadaan haid.

Selain itu juga, kita disunatkan pergi ke masjid dan baliknya melalui jalan yang berbeza. “Abu Hurairah Radhiallahu’anhu menyatakan bahawa adalah Rasulullah SAW apabila keluar menunaikan solat Hari Raya. Baginda SAW melalui satu jalan dan kemudian pulang melalui jalan yang berbeza.” (Riwayat al-Tirmidz)

Hikmah melalui jalan berbeza adalah agar disaksikan oleh para Malaikat dan makhluk Allah yang lain disamping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan umat Islam.

Semoga Syawwal yang menyusuli pemergian Ramadhan dapat disambut dengan kegembiraan sejati. Sebagaimana gembira dan bersukarianya para malaikat atas kurniaan Allah yang melimpah ruah ke atas kita.

Janganlah pula kegembiraan kita membuatkan kita alpa tentang betapa besar dan mulianya fadhilat malam raya dan betapa terbuka luasnya rahmat Allah tatkala kita berhimpun untuk solat Hari Raya.

Mengakhiri khutbah kali ini, marilah kita mengambil pengajaran daripada perkara-perkara berikut.

Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan dalam mengakhiri hari-hari Ramadhan dan menyambut 1 Syawwal yang diberkati:

1. Umat Islam hendaklah mengakhiri hari-hari terakhir Ramadhan dengan memperbanyakkan lagi ibadah dan memburu pahala yang disediakan oleh Allah SAW.

2. Umat Islam hendaklah menyakini dan menginsafi bahawa malam 1 Syawwal adalah malam memuji, mengagung dan membesarkan Allah.

3. Umat Islam hendaklah menjauhi amalan sia-sia dan menambah dosa terutama sekali pada malam-malam akhir Ramadhan dan malam 1 Syawwal, bahkan sehingga ke akhir hayatnya.

“Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh), Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk).” (Surah al-A’la : 14-15)

Khutbah Jumaat Muhasabah Ramadan Menuju Kejayaan

Petikan Khutbah Jumaat 25 Ramadan 1442H/ 7 Mei 2021M JAWI

Muhasabah Ramadan Menuju Kejayaan


Sedar atau tidak, hari ini merupakan hari Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan pada tahun ini. Betapa hibanya hati seorang Mukmin apabila menyedari akhir Ramadan semakin mendekati.

jawi_logo.jpg

Hampir sebulan menikmati keindahan beramal soleh di bulan penuh barakah ini, namun tentunya kita akan berpisah dengan bulan yang penuh dengan keberkatan, kerahmatan, kemuliaan dan keampunan ini.


Bersyukurlah kerana biarpun kita masih dalam pandemik COVID-19, Allah SWT masih lagi memberikan peluang untuk kita menikmati ibadah di bulan mulia ini.


Mari kita sama-sama renungkan maksud firman Allah SWT di dalam surah al-‘Ankabut, ayat 69” “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

Tentunya ketika di awal Ramadan, kita telah menanam azam dengan penuh iltizam untuk melakukan perubahan sempena hadirnya Ramadan dengan memperbanyakkan solat sunat, mengkhatamkan al-Quran, bersedekah pada setiap hari sepanjang Ramadan, menutup aurat sepenuhnya, memperbanyakkan zikir serta selawat dan sebagainya.


Malah kita juga berazam untuk membuang segala sifat mazmumah yang mengotori jiwa insan. Kini tibalah masanya untuk bermuhasabah sejauh manakah azam tersebut dapat kita tunaikannya dengan sebaik-baiknya.


Dengan bermuhasabah, kita dapat memperbaiki amalan bahkan kita juga dapat membina semangat untuk terus beristiqamah dengan pelbagai amal baik dan kebajikan.


Contohilah Rasulullah SAW yang sangat tekun melakukan amal ibadah di hari-hari terakhir Ramadan sedangkan baginda Nabi SAW telah dijanjikan oleh Allah SWT untuk memperolehi ganjaran syurga yang kekal abadi.


Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Aisyah Radhiyallahu ‘anha, beliau berkata : Bermaksud : “Adalah Rasulullah SAW itu bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh yang terakhir (dari bulan Ramadan) melebihi ibadah baginda pada hari-hari yang lain.”


Ramadan hampir menutupkan tirainya dan tidak lama lagi ia akan berlalu meninggalkan kita. Maka seharusnya kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana telah memberikan kesempatan kepada kita untuk beribadah sepanjang bulan Ramadan kali ini. Kita berdoa mudah-mudahan Allah SWT memanjangkan umur kita untuk bertemu dengan Ramadan yang seterusnya.

Tanda bersyukur kepada Allah SWT itu ialah dengan meneruskan amalan kebaikan meski pun berada di luar bulan Ramadan. Ia sebagai bukti bahawa seseorang itu benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.


Jika di bulan Ramadan kita banyak membaca dan mampu mengkhatamkan al-Quran, maka begitulah sepatutnya pada bulan-bulan yang lain. Jika kita banyak bersedekah dalam bulan Ramadan, maka demikian jugalah pada bulan-bulan seterusnya. Ini kerana tawaran ganjaran berganda pada bulan Ramadan bukanlah matlamat terakhir amalan kita.

Justeru, pada hari-hari akhir Ramadan yang berbaki ini, marilah kita bulatkan tekad dan keazaman untuk memanfaatkannya sebaik mungkin.


Pastikan kita dapat laksanakan solat Tarawih dan qiamullail pada hari terakhir ini meskipun dalam kesibukan membuat persiapan menjelang hari raya.


Sebelum berakhirnya Ramadan, marilah kita bersungguh-sungguh kembali kepada perintah Allah SWT serta bertaubat di atas segala dosa dan kesilapan kita pada masa lalu. Sesungguhnya Allah SWT suka memberikan keampunan-Nya terutamanya di dalam bulan ini.


Sebaliknya, orang yang tidak mendapat keampunan Allah SWT, merekalah golongan yang paling rugi.


Ibnu Hibban mencatatkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa ketika Nabi SAW menaiki mimbar lalu bersabda: Bermaksud : “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila kamu menaiki mimbar, kamu telah berkata amin, amin , amin”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Celakalah siapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin. Dan sesiapa sempat dengan kedua orang tuanya tetapi tidak berlaku baik kepada mereka. Kemudian dia meninggal maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin. Dan sesiapa yang disebutkan kamu kepadanya dan dia tidak berselawat kepadamu, maka dia akan dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”.

Merenungi hadis ini, kita mengetahui betapa malangnya mereka yang tidak mendapat pengampunan di dalam bulan Ramadan kerana mereka turut diancam dengan neraka dan dijauhkan dari rahmat Allah SWT.


Justeru, marilah kita bersungguh-sungguh melaksanakan amal soleh agar kita mendapat rahmat serta diampuni segala dosa. Mudah-mudahan, muhasabah ini menjadikan kita seorang mukmin yang bertakwa dan berjaya mengharungi madrasah Ramadan sebagaimana yang dituntut Allah SWT.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, renungkan beberapa kesimpulan sebagai peringatan kita bersama :

Pertama : Lakukanlah amal yang terbaik di dalam bulan Ramadan ini. Contohilah Rasulullah SAW yang semakin tekun beribadah pada sepuluh akhir Ramadan.

Kedua : Bersyukurlah kepada Allah SWT yang memanjangkan usia kita sehingga di fasa terakhir Ramadan tahun ini dan berdoalah agar kita bertemu lagi dengan Ramadan yang akan datang.

Ketiga : Mohonlah keampunan daripada Allah SWT sebelum berakhirnya Ramadan dan bertaubatlah atas segala dosa yang pernah kita lakukan.

Renungkan firman Allah SWT di dalam Surah an-Nisa’, ayat 40 : Bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.”