May 14th, 2021

Khutbah Jumaat : Istiqamah Selepas Ramadhan

Petikan Khutbah Jumaat 14.05.2021 l 02 Syawwal 1442H JAIS

Istiqamah Selepas Ramadhan

Ramadhan yang telah berlalu pastinya meninggalkan seribu satu kenangan terindah dalam diri kita semua. Masih terasa lagi keindahan kita berpuasa di siang hari dan bertarawikh di malamnya pula.

Ditambah lagi dengan amalan tadarus Al-Quran, qiamullail dan lain-lain lagi. Itulah keistimewaan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain.    jais.jpg

Perasaan sedih meninggalkan Ramadhan dan harapan untuk bertemu lagi Ramadhan pada tahun hadapan merupakan fitrah jiwa orang yang cintakan amal soleh sepertimana dinyatakan oleh Mu’alla bin AlFadhl, salah seorang ulama tabi’ tabiin berkata : “Para salaf terdahulu, selama enam bulan sebelum datangnya Ramadhan, mereka berdoa agar Allah mempertemukan mereka dengan bulan Ramadhan. Kemudian, selama enam bulan sesudah ramadhan, mereka masih berdoa agar Allah menerima amalan mereka sepanjang bulan Ramadhan.”

Oleh itu, sebagai tanda syukur kita dengan nikmat Bulan Ramadhan yang telah berlalu, marilah! kita pertingkatkan lagi amal-amal soleh kita seperti hadir ke masjid dan surau untuk solat berjemaah, mencintai majlis ilmu, bersedekah, membaca Al-Quran dan puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari di bulan Syawwal.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Ansari Radhiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di Bulan Syawwal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa selama setahun.” (Riwayat Muslim)

Oleh itu, sewajarnya semangat dan kesungguhan kita dalam mentaati perintah Allah sepanjang Ramadhan yang lalu diteruskan disepanjang hidup kita. Itulah matlamat Ramadhan yang sebenarnya untuk membentuk seseorang itu menjadi insan yang bertakwa.


Pada hari ini khatib ingin berkongsi panduan untuk kita semua terus istiqamah dengan amal soleh sepertimana yang dicapai di bulan Ramadhan.

Antaranya adalah:

1. Sentiasalah ikhlas dalam setiap amalan yang kita lakukan. Persoalannya, mengapakah semangat kita beramal soleh pada bulan Ramadhan lebih hebat berbanding dengan keadaan kita di bulan yang lain? Adakah kita beramal hanya kerana disebabkan bulan Ramadhan? Sekiranya amal soleh yang kita lakukan ikhlas kerana Allah SWT, sepatutnya segala kebaikan tersebut kita istiqamah laksanakannya sepanjang masa dalam kehidupan. Apabila kita istiqamah menambah amalan maka, akan bertambahlah keimanan.

2. Perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar kita dikurniakan kekuatan untuk melakukan amal soleh dan dijauhkan daripada godaan iblis dan syaitan yang sentiasa menghasut kita untuk melakukan maksiat. Rasulullah SAW sering berdoa sepertimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadis apabila Syahr bin Hausyab Radhiallahu’anhu bertanya pada Ummu Salamah Radhiallahu’anha, isteri Rasulullah SAW tentang doa yang sering diucapkan oleh Rasulullah SAW ketika berada di rumahnya bersama Ummu Salamah Radhiallahu’anha. Lalu dijawabnya:"Baginda (Nabi SAW) sering berdoa : Wahai Tuhan yang membolakbalikkan hati-hati, teguhkanlah hati ku di atas AgamaMu. (Riwayat Al-Tirmizi)

3. Berusahalah mencari sahabat yang suka melakukan kebaikan kerana mereka akan sentiasa mengajak kita melakukan kebaikan bahkan menegur kesalahan dan dosa yang kita lakukan. Berkaitan memilih sahabat yang baik dalam hidup ini, Abu Musa Al-Asyaari Radhiallahu’anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan sahabat yang baik dan teman yang jahat itu seperti penjual kasturi dan tukang besi, maka si penjual kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun si tukang besi mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

4. Hayatilah sirah para nabi, rasul-rasul Alaihimussolatuwassalam dan kehidupan para sahabat Rasulullah Ridhwanullahi’alaihim. Mencontohi perjuangan mereka yang sentiasa istiqamah di jalan kebenaran. Mereka bukan sahaja diuji dengan kesusahan bahkan dihina, dicaci, dipulau dan lain-lain dugaan tetapi segala ujian tersebut tidak melunturkan keimanan mereka sebaliknya mereka tetap teguh mentaati perintah Allah SWT.

5. Mulakanlah amal soleh secara berperingkat tetapi berterusan. Bermula dengan jumlah yang sedikit kepada jumlah yang banyak. Dari Aisyah Radhiallahu’anha, beliau mengatakan bahawa Rasullulah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah SWT ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat Al-Bukhari)

Sebagai contohnya, mulakanlah amalan membaca Al-Quran dengan jumlah yang sedikit dan ringan. Begitu juga amalan puasa sunat, mulakanlah dengan puasa sunat pada hari Isnin atau Khamis. Lakukanlah secara berterusan tanpa jemu sehingga akhirnya kita dapat melazimi segala ibadah tersebut. Menurut satu kaedah Fiqh dinyatakan bahawa :“Jika tidak mampu mengerjakan semua, maka janganlah meninggalkan semuanya.”


Mengakhiri khutbah pada kali ini, khatib menyeru dan mengajak seluruh umat Islam supaya menghayati beberapa pengajaran berikut untuk dijadikan pedoman hidup kita:


1. Umat Islam hendaklah berusaha untuk mengikhlaskan hati dalam beramal di sepanjang kehidupan.

2. Umat Islam hendaklah menguatkan hubungan dengan Allah SWT dengan memperbanyakkan doa agar diperkuatkan hati supaya istiqamah melaksanakan syariat Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah menghayati sirah perjuangan para Nabi dan sahabat Rasulullah Ridhwanullahi’alaihim yang bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah Allah SWT demi mempertahankan aqidah dan Agama Allah SWT.

4. Setiap muslim hendaklah bersegera melakukan amal soleh dan jangan bertangguh. Kerana sikap bertangguh membuka pintu kegagalan dan godaan syaitan.

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa;” (Surah Ali Imran: 133)

Khutbah Jumaat: Istiqamah Amalan Selepas Ramadan

Petikan Khutbah Jumaat 14 Mei 2021M/ 2 Syawal 1442H JAWI


Istiqamah Amalan Selepas Ramadan


Alhamdulillah, bulan Ramadan yang dipenuhi dengan rahmat, kemuliaan, keberkatan dan keampunan telah sama-sama kita lalui dengan jayanya.


Selama sebulan kita mengisinya dengan pelbagai ibadah sebagai bukti ketaatan kepada Allah SWT untuk mengukuhkan ketakwaan kepada-Nya.
jawi_logo.jpg

Segalanya dilakukan semata-mata mengharapkan ganjaran dan keredaan Allah SWT. Mudah-mudahan segala amal ibadah yang telah kita laksanakan diterima oleh Allah SWT.


Berakhirnya bulan Ramadan tidak sepatutnya menamatkan segala amal kebaikan dan kebajikan.


Namun lazimnya, berakhirnya bulan ini mengembalikan kita kepada tabiat, rutin dan sikap lama seperti meninggalkan solat berjemaah, tidak melazimi membaca al-Quran dan kurang melakukan ibadah-ibadah sunat. Ingatlah bahawa, sesiapa yang beribadah kerana Ramadan, maka sia-sialah amalannya.


Namun, sesiapa yang beribadah semata-mata kerana Allah SWT, sudah pasti keampunan dan kerahmatan yang ditagih dapat diraih.


Segala amal ibadah, kebaikan dan kebajikan yang dilakukan dengan sepenuh keikhlasan walaupun sedikit dapat menjadikan kita terus istiqamah dan konsisten untuk melakukannya.


Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Sufyan bin Abdullah alThaqafi Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW telah ditanya: Bermaksud: “Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku satu perkataan tentang Islam perkataan yang aku tidak perlu bertanya kepada orang lain selepasmu atau selainmu. Rasulullah SAW bersabda: Katakanlah aku beriman dengan Allah kemudian beristiqamahlah.”


Istiqamah bermaksud ketaatan menjalankan sesuatu suruhan termasuk urusan agama secara terus-menerus.


Dengan lebih khusus, istiqamah ialah ketaatan berterusan dalam mengikut perintah dan menjauhi larangan Allah SWT sebagaimana yang diberikan penekanannya di dalam al-Quran dan as-Sunah.


Sesungguhnya istiqamah itu amat berat kerana itu Allah SWT menjanjikan balasan yang amat besar kepada mereka yang istiqamah.


Firman Allah SWT di dalam surah Fussilat ayat 30 yang dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya (istiqamah) dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”


Justeru, marilah kita berusaha untuk istiqamah dalam melakukan amalan ketaatan kepada Allah SWT melalui beberapa saranan, antaranya ialah dengan memelihara hati, percakapan dan perbuatan agar konsisten dalam ketaatan. Ikhlaskan diri dalam beramal. Sesungguhnya keikhlasan merupakan ruh terhadap segala amal ibadah.


Di samping itu, sentiasa meningkatkan diri dengan ilmu pengetahuan agama. Sesungguhnya manusia mudah mengikuti atau mempengaruhi orang lain.


Justeru, bersahabatlah dengan orang-orang soleh supaya kita dapat menguatkan lagi semangat untuk terus berada di dalam ketaatan kepada Allah SWT.


Kita juga mestilah bersederhana dalam melakukan amal ibadah dan kebajikan mengikut keupayaan supaya kita dapat menghindari daripada merasa penat sehingga menimbulkan rasa jemu yang akhirnya membawa kepada meninggalkan amalan.


Rentetan momentum daripada bulan Ramadan, maka pada Syawal bulan kegembiraan ini marilah sama-sama kita meneruskan amalan-amalan sunat dan kebajikan.


Ambillah peluang di bulan ini untuk melakukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Ayyub al-Ansari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.”


Hakikat daripada puasa enam hari di bulan Syawal merupakan sebahagian tanda kesyukuran hamba ke atas segala nikmat yang dikurniakan Tuhannya.


Oleh itu, marilah kita merebut peluang ini untuk melakukan ibadah sunat ini dan mengajak ahli keluarga untuk sama-sama melakukannya.


Semoga Allah SWT menerima amal ibadah kita dan memasukkan kita bersama golongan mereka yang memperoleh kejayaan di dunia dan di akhirat


Mengakhiri khutbah pada hari ini. Marilah kita menghayati beberapa kesimpulan:


Pertama: Segala amal ibadah, kebaikan dan kebajikan yang dilakukan dengan sepenuh keikhlasan walaupun sedikit dapat menjadikan kita terus istiqamah untuk melakukannya.


Kedua: Ramadan merupakan bulan tarbiah untuk melahirkan insan yang istiqamah dalam ketakwaan dalam melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya.


Ketiga: Laksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal sebagai tanda kesyukuran kita ke atas segala nikmat kurniaan Allah SWT. Semoga kita memperolah ganjaran puasa sepanjang tahun yang telah dijanjikan.



Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 8:Bermaksud: “(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya."