May 20th, 2021

Khutbah Jumaat : Selamatkan Bumi Al-Aqsa

Petikan Khutbah Jumaat 21.05.2021 l 09 Syawwal 1442H JAIS

Selamatkan Bumi Al-Aqsa

Pada masa ini wilayah Palestin semakin sempit hanya tinggal 'sekangkang kera' iaitu Genting Gaza dan Tebing Barat. Umat Islam Palestin semakin terhimpit dan terhapus di bumi Palestin.jais.jpg

Sehingga ke hari ini tidak terkira rakyat Palestin yang terkorban dan tercedera sejak tercetusnya pencerobohan yang dilakukan oleh Yahudi laknatullah.

Palestin telah melalui sejarah yang panjang dalam tamadun manusia sehinggalah ianya menjadi hak umat Islam.

Tanah yang suci ini mempunyai kedudukan yang istimewa dalam hati setiap muslim sejak zaman berzaman.

Keistimewaan Palestin juga disebutkan dalam al-Quran, al-Hadis dan kitab-kitab sejarah yang mencatatkan bahawa bumi bertuah itu adalah tanah kelahiran para Nabi ‘Alaihimussolatu Wassalam.

Masjid al-Aqsa yang terbina merupakan masjid kedua yang dibina di atas bumi Allah ini. Masjid ketiga paling suci selepas Masjid al-Haram dan Masjid alNabawi.

Sejarah juga mencatatkan bahawa masjid ini telah menjadi kiblat pertama bagi umat Islam bahkan menjadi saksi berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Israk, ayat 1: “Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk perlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang amat mendengar lagi amat mengetahui”.

Sesungguhnya bumi Palestin adalah watan yang perlu dipertahankan oleh umat Islam seluruh dunia. Ianya semakin terancam dengan apa yang telah dilakukan oleh bangsa Yahudi laknatullah.

Kezaliman demi kezaliman dilakukan oleh rejim Zionis yang bermula pada tahun 1948 setelah terbinanya negara haram Israel telah menyaksikan bukan sahaja isu-isu kemanusiaan semata-mata tetapi lebih daripada itu.

Ia melibatkan isu akidah umat Islam, tanah air, maruah dan peradaban. Serangan yang dilancarkan oleh rejim zionis pada 8 Mei lalu bukan sesuatu yang baharu.

Ia adalah rentetan daripada tuntutan dan dakwaan Zionis Israel yang mengatakan bahawa kawasan Masjid al-Aqsa itu adalah Temple Mount iaitu kuil suci bagi orang Yahudi.

Sejak berzaman lagi yahudi berusaha untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa bermula dengan siri pengebomannya terhadap masjid suci ini pada 1 Mei 1980 setelah mereka berusaha untuk memusnahkannya dengan membakarnya pada tahun 1969.

Kini Masjid al-Aqsa dalam keadaan lebih terancam. Usaha menguasai sepenuhnya daripada tangan umat Islam giat diusahakan oleh zionis yahudi.

Pencerobohan ke atas bumi al-Aqsa tidak akan terhenti selagimana matlamat untuk menguasai sepenuhnya setiap inci tanah suci umat Islam itu masih belum tercapai.

Islam menuntut umatnya bersatu menentang musuh-musuhnya tidak kira agama, bangsa yahudi atau sesiapa sahaja yang cuba menentang Agama Allah ini.

Adalah satu hakikat bahawa umat Islam tidak boleh bergantung kepada simpati dan bantuan golongan kuffar. Oleh kerana itulah Allah SWT memberikan kita peringatan bahawa golongan kuffar tidak sekali-kali akan melindungi Islam dan umatnya melainkan mereka dijadikan ikutan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 120: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”

Islam mengajar kita bahawa umat Islam adalah bersaudara dan wajib dibela. Amatlah salah, kita membiarkan saudara kita di Palestin menderita, tanpa kita melakukan apa-apa.

Justeru itu, mimbar menyeru kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia, marilah kita membantu meringankan penderitaan saudara kita di Palestin dengan sama-sama mengambil tindakan berikut:

Pertama: Memperbanyakkan munajat dan berdoa kepada Allah SWT agar mengurniakan kepada seluruh penduduk Palestin kekuatan, semangat dan kecekalan hati serta kemenangan dalam menghadapi kezaliman Yahudi sehingga menyebabkan penceroboh Yahudi itu dihalau keluar daripada negara umat Islam Palestin.

Kedua: Menghulurkan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita melalui badan-badan diiktiraf oleh kerajaan yang akan menyalurkannya melalui Kementerian Luar Negeri atau Wisma Putra;

Ketiga: Bersama-sama memboikot dan memulau perkhidmatan seperti perbankan, insuran dan barangan seperti produk makanan, syarikat minyak atau yang mempunyai kepentingan dengan Amerika dan Yahudi.

Keempat: Menginsafi akan bahaya perpecahan kepada ummah dan perlunya tindakan segera dalam menyatupadukan ummah dalam kalangan umat Islam negara ini dan negara-negara Islam seluruh dunia; dan

Kelima: Berjuang tanpa jemu, memastikan bahawa penjenayah Zionis Yahudi dibawa kemuka pengadilan dan terus memburu mereka walau di mana jua

Terdapat hadis yang menyebut bahawa tidak akan terjadi kiamat hingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi, lalu membunuh mereka hingga orang Yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pohon.

Sebagaimana dinyatakan dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda “ Tidak akan terjadi kiamat hingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi, lalu membunuh mereka hingga orang Yahudi bersembunyi disebalik batu dan pohon. Bagaimanapun batu dan pohon berkata: “Wahai Muslim! Wahai hamba Allah! Ini Yahudi di belakangku, kemarilah padaku, bunuhlah dia!” Kecuali pohon ghorqod kerana ia pohon orang Yahudi.” (Riwayat Muslim)

Mungkin sekali imbas amat sukar untuk kita mengalahkan Yahudi dan sekutunya, kerana memiliki peralatan ketenteraan dan senjata yang hebat kecuali dengan kuasa Allah.

Oleh itu, khatib menyeru seluruh umat Islam agar buanglah sikap lalai dan leka, jangan banyak membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah, menyibukkan diri dengan isu-isu yang remeh-temeh hingga memporak perandakan masyarakat, bersikap bakhil dan hanyut dengan kemewahan serta diasyikkan dengan budaya hiburan yang melampau dan mengkhayalkan yang akhirnya kita lupa dengan apa yang berlaku terhadap saudara-mara seakidah dengan kita

Mengakhiri khutbah pada hari ini. Marilah kita menghayati dan mengambil pengajaran supaya dapat dijadikan pedoman dalam hidup kita. Antaranya :

1) Pertama: Umat Islam hendaklah meyakini bahawa mempertahankan dan menyelamatkan Masjidil Aqsa adalah tuntutan aqidah.

2) Umat Islam wajib bersatu berganding bahu untuk membina kekuatan ummah bagi mempertahankan maruah umat Islam.

3) Umat Islam hendaklah menghulurkan derma, sebarang bantuan termasuk doa bagi membantu pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa.

4) Umat Islam hendaklah sedar bahawa tugas untuk mengembalikan kekuasaan al-Quds dan Masjid al-Aqsa adalah tanggungjawab semua umat Islam di dunia ini.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan hartabenda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang-orang yang memakmurkan masjid sahaja), dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”. (Surah al-Taubah: 20).

Khutbah Jumaat : Ujian Semakin Berat, Kebersamaan Bertaut Erat

Petikan Khutbah Jumaat 21 Mei 2021M/ 9 Syawal 1442H JAWI

Ujian Semakin Berat, Kebersamaan Bertaut Erat

Ujian adalah sunnatullah dalam kehidupan kita sebagai hamba yang beriman kepada Allah SWT. Ia bertujuan untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita kepada-Nya.jawi_logo.jpg

Setiap insan diuji dengan ujian yang berbeza bergantung kepada keupayaannya dalam menghadapi ujian tersebut.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah, ayat 214 yang bermaksud : “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”

Setelah setahun berlalu, negara kita masih lagi menghadapi musibah pandemik COVID-19 yang belum menunjukkan tanda-tanda ia akan berakhir, bahkan saban hari kita diberitakan mengenai peningkatan jumlah kes jangkitan dalam negara. Keadaan ini sungguh merisaukan kita.



Pelbagai inisiatif dan ikhtiar telah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menangani keadaan yang serius ini khususnya dalam menyeimbangkan antara keutamaan kesihatan dan kepentingan ekonomi.



Justeru, sebagai rakyat dan warganegara yang bertanggungjawab, mimbar menegaskan bahawa kita mestilah sama-sama memainkan peranan membantu pihak kerajaan mendepani wabak COVID-19 ini supaya kita dapat melandaikan semula keluk jangkitannya.



Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan tidak akan berjaya andai kita terus berdegil dan hanya tahu menuding jari menyalahkan pihak lain berbanding diri sendiri.


Mimbar mengajak para jemaah sekalian, marilah kita bersatu dan berpadu tenaga memerangi wabak COVID-19 ini dengan meletakkan kepatuhan yang tinggi terhadap setiap arahan dan SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.


Sepatutnya norma baharu telah menjadi kebiasaan setelah setahun kita melaluinya. Amalkan sikap lebih berhati-hati dan sentiasalah mengamalkan kawalan kendiri.


Dalam situasi yang sangat merbahaya ini banyakkan berada di dalam rumah, janganlah keluar jika tiada sebarang keperluan yang mendesak. Marilah juga kita menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan segera mendaftar sebagai penerima vaksin.

Hari ini kita dapat melihat kebanyakan masyarakat dalam pelbagai lapisan umur dan peringkat sangat aktif menggunakan media sosial seperti facebook, twitter, instagram dan whatsapp.


Oleh itu, kita diingatkan supaya menggunakan media sosial dengan cara yang bijak. Jika dilihat di media-media sosial, terlalu banyak paparan yang tidak benar dan meragukan ditularkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Kesannya, ramai dalam kalangan kita yang terpedaya malah ada yang berani mempertikaikan pelbagai inisiatif dan tindakan pihak berkuasa untuk memerangi pandemik ini.

Sebagai pengguna yang bijak, marilah kita menggunakan setiap media sosial yang ada untuk menyokong usaha-usaha kerajaan dalam memerangi pandemik ini.


Janganlah hanya pandai mencemuh dan mengkritik sedangkan kita sendiri tidak membantu walau secebis nasihat atau peringatan kepada orang lain supaya mematuhi arahan dan SOP yang dikeluarkan.


Di samping itu, marilah kita tingkatkan disiplin diri dan jadilah barisan hadapan kepada keluarga kerana mudarat akibat kecuaian dan kealpaan akan mengundang musibah yang menyesalkan.

Dalam kita sedang bergelut memerangi pandemik COVID-19 pada ketika ini, saudara-saudara kita di Palestin pula sedang menghadapi pencerobohan dan siri serangan ganas daripada pihak Zionis Israel bermula di Masjid al-Aqsa sehingga berlarutan ke Semenanjung Gaza.


Luka lama kembali berdarah, tangisan dan raungan kembali bergema. Banyak jiwa yang tidak berdosa telah terkorban termasuklah wanita dan kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa.


Keperitan, kesukaran dan kesengsaraan mereka ini turut membekas di jiwa kita kerana selain isu kemanusiaan, lebih besar lagi ialah mereka merupakan saudara seiman dengan kita.


Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis, daripada al-Nu‘man bin Bashir Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Kamu melihat kaum mukminin dalam kasih sayang, rasa cinta, dan saling membantu sesama mereka seperti sebuah jasad. Apabila satu anggota mengadu sakit, anggota lain pun tidak boleh tidur dan merasa demam.”


Saudara-saudara kita di Palestin kini berhadapan dengan kesulitan dan kesukaran yang berkali ganda daripada kita. Selain ancaman wabak COVID-19, nyawa mereka turut terancam dengan bedilan dan letupan daripada rejim penjajah Zionis.


Mereka turut berhadapan dengan kemusnahan harta benda, terputus bekalan makanan, kehilangan rumah kediaman dan kematian ahli keluarga tersayang.


Sesungguhnya mereka sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada kita. Selain memanjatkan doa kepada Allah SWT, marilah kita menghulurkan sumbangan untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka.

Sebagai tanda keprihatinan dan kecaknaan kepada kesusahan dan kesengsaraan rakyat Palestin, mimbar menyeru para jemaah dan anggota masyarakat untuk memberikan sumbangan dan derma menerusi tabung masjid dan surau yang telah disediakan bagi membantu rakyat Palestin.

Dana dan sumbangan ini akan disalurkan kepada Tabung Musaadah Palestin yang diuruskan oleh JAWI dan akan diselaraskan oleh agensi agama di bawah Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai tanda kecintaan, kebersamaan dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin.


Semoga dengan sumbangan yang dihulurkan ini, dapat membantu mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup, memenuhi keperluan harian, mendapat ubat-ubatan dan meredakan kesengsaraan yang dihadapi mereka.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, Mengakhiri khutbah, marilah kita renungkan beberapa kesimpulan untuk kita hayati bersama :

Pertama : Kita mestilah sama-sama memainkan peranan membantu pihak kerajaan mendepani wabak COVID-19 dengan mematuhi arahan dan SOP, melakukan kawalan kendiri, berdisiplin dan mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.

Kedua : Gunakan media-media sosial dengan bijak, beri sokongan kepada setiap inisiatif dan pelan tindakan kerajaan melawan pendemik ini dan janganlah menyalahgunakan media sosial sehingga mencetuskan pertikaian, kritikan negatif, cemuhan dan perbalahan di dalam masyarakat.

Ketiga : Sebagai tanda keprihatinan dan kecaknaan kepada rakyat Palestin, marilah kita mendoakan mereka dan memberikan sumbangan dana bagi meringankan bebanan yang sedang mereka hadapi.

Hayati firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 120: Bermaksud : “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.”