May 28th, 2021

Khutbah Jumaat : Jadilah Hamba Allah, Bukan Hamba Ramadhan

Petikan Khutbah Jumaat : 28.05.2021 l 16 Syawwal 1442H  JAIS

Jadilah Hamba Allah, Bukan Hamba Ramadhan

Hari ini sudah 16 hari Ramadhan meninggalkan kita. Adakah kita meneruskan amal kebaikan sebagaimana sepanjang bulan Ramadhan lalu? Ataukah kita beribadat hanya untuk bulan Ramadhan sahaja? Amal soleh adalah perintah Allah sepanjang masa sama ada di bulan Ramadhan, Syawwal atau pun di bulan-bulan yang lain.jais.jpg

Sesungguhnya Allah SWT menyukai hamba yang taat kepadaNya sepanjang masa. Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kita menjadi hamba yang hanya menyembahNya sahaja pada bila-bila masa.

Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 79 sebagaimana dibacakan pada awal khutbah yang bermaksud: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.”.

Ilmu dan amalan puasa yang kita laksanakan di bulan Ramadhan menjadikan kita kuat beribadah, berebut mencari pahala dan bertambah cintakan Allah.

Persoalannya ialah, mampukah kita mengekalkan kelazatan beribadah ini walaupun suasana Ramadhan telah berlalu? Kalau kita benar-benar hanya menyembah Allah sahaja, kita mampu mengekalkan ibadah ini.

Kita beribadah adalah kerana perintah Allah dan kerana mencari keredhaan-Nya, bukan memilih masa dan mencari kelebihan bulan Ramadhan semata-mata.

Patutkah kita sebagai hamba Allah meringan-ringankan atau meninggalkan perintah-Nya sama ada bulan Ramadhan atau bulan lain seperti perintah solat.

Sesungguhnya solat itu perintah Allah yang membentuk hambaNya yang bertaqwa dan menjadi sebab mengundang kebaikan.

Solat juga dapat mengekalkan turunnya rahmat dan kasih sayang Allah kepada hambaNya.

Namun jika solat diabaikan, akan tersebarlah perkara keji dan mungkar yang pasti mengundang bala berupa wabak penyakit yang sukar dibendung dan akhirnya menjadi sebab kemusnahan sejagat.

Sebaliknya jika ibadah solat dipelihara, Allah akan kurniakan jiwa yang selamat, harta yang berkat dan tubuh badan yang sihat.

Sesungguhnya pelaksanaan perintah Allah itu adalah untuk menjadi hamba Allah yang sebenarnya dan bukan menjadi hamba Ramadhan.

Apa yang diperintahkan Allah, laksanakanlah dengan ikhlas dan jujur. Semoga Allah akan jauhkan kita dari sebarang kecelakaan, sebaliknya dijanjikan dengan kegembiraan, kejayaan dan syurga.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Fussilat ayat 30: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”

Berbetulan kita bertemu dengan Hari Guru pada 16 Mei 2021 yang lalu, maka khutbah hari ini juga menyentuh perihal kepentingan bagi umat Islam untuk mempelajari dan mendalami ilmu pengetahuan.

Untuk menjadi hamba Allah yang sebenarnya, umat Islam hendaklah menguasai ilmu dunia dan ilmu akhirat bagi melahirkan hamba Allah yang kuat akidah, betul ibadah dan mulia akhlaknya. Islam meletakkan ilmu sebagai asas utama dalam kehidupan untuk mencapai kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Tanpa ilmu, umat Islam akan mundur dan akan ditimpa dengan bermacam-macam kesengsaraan. Oleh itu, Islam telah mewajibkan seluruh umatnya agar menuntut ilmu.

Dalam konteks keperluan negara hari ini, kita amat memerlukan generasi yang berilmu dalam pelbagai bidang, beriman serta memiliki keperibadian yang tinggi sepertimana seorang guru. Sebenarnya seseorang Guru itu adalah yang berilmu, mulia dan dijamin Allah ketinggian martabatnya.

Allah SWT menjelaskannya dalam surah al-Mujadalah ayat 11: ِ“ Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”.

Hadis yang menyebut tentang kelebihan hamba Allah yang berilmu adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Darda’ Radhiallahu’anhu, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kelebihan orang yang berilmu dibandingkan dengan ahli ibadah adalah seperti bulan pada malam purnama atas seluruh bintang-bintang”. (Riwayat Abu Daud)

Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir alaihimassalam yang dirakamkan dalam al-Quran menerusi Surah Al-Kahfi ayat 66 sehingga ayat 82 menunjukkan betapa tingginya ilmu seorang guru dan indahnya akhlak seseorang penuntut ilmu.

Oleh itu, contohilah akidah yang benar, ibadah yang istiqomah dan akhlak yang mulia di kalangan para nabi, ulama dan guru yang soleh untuk menjadi hamba Allah yang sebenarnya sepanjang masa.

Semoga Allah merahmati kita semua dengan limpahan nikmat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati pengajarannya untuk dijadikan pedoman. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Umat Islam hendaklah menjadi hamba Allah yang beribadah dan menyembah Allah sahaja di sepanjang masa.

2. Umat Islam hendaklah beribadah dengan ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah bukan kerana memilih masa atau kelebihan sesuatu amalan.

3. Umat Islam hendaklah berilmu dan berakhlak mulia untuk menjadi hamba Allah yang sebenarnya sebagaimana para nabi, ulama dan guru-guru yang soleh.

4. Umat Islam hendaklah sentiasa berdoa terutama selepas menunaikan solat fardhu agar kekal beriman dan beramal soleh dengan doa berikut sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 8: “(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” (Surah ali-Imran : 8)

Khutbah Jumaat : Pelihara Nyawa Hindari Musibah

Petikan Khutbah Jumaat 28 Mei 2021M/ 16 Syawal 1442H JAWi


Pelihara Nyawa Hindari Musibah

Islam menuntut agar umatnya memelihara nyawa daripada sebarang perkara yang boleh memudaratkannya malah ia termasuk dalam maqasid al-Syariah.
jawi_logo.jpg

Hari ini kita dapat menyaksikan peningkatan kes jangkitan wabak COVID-19 di samping jumlah kes kematian yang amat meresahkan lebih-lebih lagi apabila mereka yang terkorban juga melibatkan golongan yang masih muda.


Melihat kepada musibah pandemik ini, maka janganlah kita saling salah-menyalahkan antara satu sama lain sebaliknya bersama-samalah kita bermuhasabah dan menginsafi diri bahawa kitalah yang mesti mengambil tanggungjawab menamatkan musibah ini.


Firman Allah SWT menerusi surah al-Shuura, ayat 30 hingga 31: Bermaksud: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa), dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walau pun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau di langit) dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapa pun yang lain dari Allah – sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.”

Al-Quran mengingatkan kita bahawa setiap musibah yang melanda adalah bertujuan memberi kesedaran kepada manusia supaya menginsafi dosa yang dilakukan dan kembali bertaubat kepada Allah SWT.


Realitinya wabak pandemik COVID-19 yang menjadi musibah besar kepada kita hari ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengenal usia.


Justeru, kita seharusnya meningkatkan kewaspadaan diri dan mengambil sikap serius terhadap setiap arahan dan SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan diri kita dan keluarga daripada mendapat jangkitan.


Amat mendukacitakan apabila masih ramai dalam kalangan masyarakat yang mengabaikan tanggunggjawab mematuhi perintah ini sehingga menjadi penyebab kepada penularan wabak yang lebih cepat di dalam komuniti.


Janganlah leka dan mengambil mudah setiap SOP yang dikeluarkan sehingga ada dalam kalangan kita yang dijangkiti wabak ini.


Kita mestilah sentiasa peka dengan SOP dan arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa lebih-lebih berkaitan pengimarahan masjid, surau Jumaat dan surau supaya tiada kluster yang membabitkan institusi keagamaan.

Sebenarnya dalam kita memastikan keselamatan diri daripada dijangkiti wabak ini serta mengelakkan bahaya terhadap nyawa sendiri dan ahli keluarga, aspek pencegahan daripada jangkitan mestilah diutamakan.

Mimbar menegaskan bahawa, pengambilan vaksin adalah langkah yang tepat untuk memastikan tahap imuniti tubuh badan kita dapat melawan virus COVID-19 daripada menjejaskan kesihatan kita.


Justeru, segeralah mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin sebagai ikhtiar melawan wabak yang sangat bahaya ini.


Janganlah terpedaya dengan golongan anti vaksin yang telah mencetuskan kegusaran orang awam sehingga mempengaruhi individu yang mendapat temujanji suntikan vaksin tidak dapat menghadirkan diri pada tarikh tersebut.


Ianya bukan sahaja memberi kesusahan kepada semua pihak yang terlibat malah ia juga telah merencatkan usaha-usaha pihak kerajaan untuk membebaskan kita daripada penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Hari ini, kita dapat melihat masih ada dalam kalangan kita yang tidak memahami kepentingan vaksin kepada kehidupan manusia.


Bagi penyakit COVID-19 ini jika kita tidak mengambil vaksin, kita berkemungkinan lebih mudah untuk mendapat jangkitan malah dibimbangi juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.


Oleh itu, ambillah langkah yang tepat untuk menghindari mudarat yang lebih besar kepada kehidupan kita.


Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah SAW bersabda Bermaksud : “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh berbuat hal yang memudaratkan.”


Dalam usaha menjaga nyawa, kita juga mestilah mengambil berat tentang aspek-aspek keselamatan diri walau di mana sahaja kita berada.


Sempena dengan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia bagi tahun ini, marilah kita bersama-sama memastikan keselamatan diri dan keluarga pada setiap masa.


Tentunya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, kita banyak menghabiskan masa berada di rumah. Oleh itu, utamakan ciri-ciri dan faktor keselamatan dalam setiap tindakan dan pekerjaan bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini.

Sebagai menghargai tugas dan tanggungjawab anggota Bomba, marilah kita menyatakan penghargaan kepada mereka yang telah bertungkus lumus melaksanakan kerja-kerja membantu dan menyelamat serta sentiasa bersiap siaga sepanjang masa menghadapi sebarang kemungkinan.


Dengan adanya mereka, urusan menyelamat menjadi lancar dan banyak nyawa yang dapat diselamatkan.

Mimbar ingin mengambil kesempatan sempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini, marilah kita memberikan penghargaan kepada para guru yang telah banyak mencurahkan ilmu kepada kita dan anak-anak supaya menjadi insan yang cemerlang duniawi dan ukhrawi.


Harus kita akui bahawa terlalu banyak jasa dan pengorbanan para guru demi memastikan pembangunan masyarakat dan negara dapat dicapai.


Justeru, berilah sepenuh komitmen kepada usaha-usaha membina generasi berilmu dan berakhlak mulia yang ditugaskan kepada para pendidik dengan turut serta memainkan peranan menjayakan hasrat murni ini.

Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, marilah kita memastikan anak-anak kita tidak ketinggalan dalam pendidikan terutama ketika proses pengajaran dan pembelajaran di rumah dilaksanakan. Ingatlah bahawa proses pembelajaran adalah sepanjang hayat dan bukan hanya tertumpu di sekolah semata-mata.


Di samping itu, kita juga mestilah membimbing mereka supaya pembelajaran mereka tidak terabai. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah SWT memudahkan para guru mendidik anak-anak kita dan semoga mereka menjadi anak yang soleh, cemerlang dan berjaya di dunia dan di akhirat.

Mengakhiri khutbah, hayatilah beberapa kesimpulan untuk pedoman kita bersama, antaranya :

Pertama: Tingkatkan kewaspadaan diri dan mengambil sikap serius terhadap setiap arahan dan SOP yang dikeluarkan bagi mengelakkan diri kita dan keluarga mendapat jangkitan COVID-19.

Kedua: Jadilah warga yang bertanggungjawab dengan mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin sebagai ikhtiar menamatkan pandemik COVID-19 yang merbahaya ini.

Ketiga: Tingkatkan kewaspadaan dan utamakan aspek-aspek keselamatan nyawa, diri sendiri dan keluarga dalam setiap tindakan dan pekerjaan bagi mengelakkan sebarang musibah yang tidak diingini daripada berlaku.

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah at-Taghabun, ayat 11: Bermaksud : “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”