June 4th, 2021

Khutbah Jumaat : Tuntutan Amanah Dalam Bekerja

Petikan Khutbah Jumaat 04 Jun 2021M /32 Syawwal 1442H: JAIS

Tuntutan Amanah Dalam Bekerja

Seorang muslim hendaklah menjadikan seluruh kehidupannya sebagai ibadah. Ibadah bukan sekadar mendirikan solat, puasa, haji dan sebagainya. Kalau hanya solat dijadikan ibadat, Ia tidak lebih setengah jam sahaja daripada 24 jam sehari.

Sedangkan waktu yang paling banyak dihabiskan setiap hari adalah dalam melakukan pekerjaan. 3 syarat utama untuk menjadikan seluruh pekerjaan kita sebagai ibadah adalah:jais.jpg

1) Niat bekerja hanyalah kerana Allah SWT semata-mata.

2) Pekerjaan dan cara bekerja mestilah menepati syarak ataupun selari dan tidak bercanggah dengan hukum syarak.

3) Matlamat bekerja adalah untuk kebaikan, seperti mencari nafkah keluarga dan seumpamanya.

Sudah menjadi lumrah, ada pekerja yang kuat dalam ibadahnya tetapi ketika melakukan pekerjaan ada sahaja perlakuan yang boleh membatalkan nilai ibadah dalam pekerjaannya seperti perbuatan maksiat, sering culas dalam menepati masa, tidak menyelesaikan tanggungjawab bahkan ada yang terlibat dengan rasuah dan sebagainya.

Maka sifat amanah perlu diterapkan dan dipraktikkan oleh individu yang bekerja, bagi memastikan setiap pekerjaan yang dilakukan menepati kualiti yang diharapkan. Inilah salah satu ciri dan sifat pekerja muslim yang sebenar.

Sebaliknya mengabaikan amanah dalam bekerja adalah merupakan suatu pengkhianatan seperti mana larangan keras oleh Allah SWT dalam surah alAnfal ayat 27 yang dibaca diawal khutbah tadi yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanahamanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

Dalam ayat ini, Allah SWT telah memberi peringatan kepada hambaNya yang beriman supaya tidak mengkhianati amanah yang telah diberikan kerana implikasinya sangat besar.

Sedarlah bahawa kepercayaan yang diberikan kepada kita akan dipersoalkan dan seterusnya tercatat sebagai rekod hitam untuk jangka masa yang panjang. Ingatlah bahawa mengkhianati amanah adalah salah sati ciri munafik dalam amalan.

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu’anhu bahawa Rasullullah SAW bersabda; “Ada tiga tanda munafiq: Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia memungkirinya dan apabila diberi amanah ia khianati”. (Riwayat al-Bukhari)

Sebaliknya jika kita menjaga amanah yang diberikan, ia akan mendorong individu melakukan sesuatu kerja dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh. Ia akan mencurahkan seluruh masa, tenaga dan pemikirannya untuk memperolehi hasil kerja yang lebih berkualiti.

Segala tuntutan kerja akan dilaksanakan dengan rasa tanggungjawab dan dedikasi malah kita akan dihormati dan dikenali sebagai Muslim yang baik dan menjadi contoh kepada masyarakat termasuk kepada orang bukan Islam.

Cara bekerja seperti inilah yang disukai oleh Allah SWT sebagai mana dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu’anha bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan teliti.” (Riwayat al-Baihaqi).

Dalam menjaga amanah, beberapa perkara perlu kita titikberatkan seperti menjaga waktu bekerja, ikhlas dalam memberi pandangan, tidak terjebak kepada penyelewengan seperti rasuah, pecah amanah dan juga penyalahgunaan kuasa.

Sebaliknya, kita perlulah melakukan pekerjaan dengan sebaik mungkin, menggunakan seluruh keupayaan diri, potensi dan kepakaran yang dimiliki dalam melaksanakan tugas yang diberikan tanpa sebarang pengabaian dan penyelewengan.

Perkhidmatan yang disulami sifat takwa dan amanah serta norma-norma Islam adalah rahsia untuk suatu pencapaian yang hebat dan utuh sepanjang zaman.

Sejarah telah membuktikan di mana sifat amanah yang ada pada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW sehingga digelar sebagai 'Al-Amin', telah menjadikan baginda seorang usahawan yang berjaya ketika beliau berkhidmat bersama Abu Talib dan juga Saidatina Khadijah.

Dalam pada itu juga, pengurusan masa adalah penting bagi individu yang diberi amanah. Mereka seharusnya menggunakan sebaik mungkin waktu kerja yang telah ditetapkan dengan cekap dan berkesan.

Individu yang mempunyai sifat amanah akan sentiasa menghargai dan menepati masanya. Ia sama sekali tidak akan mengabaikan kualiti kerja yang dilakukan, bahkan ia akan berusaha memperbaiki diri bagi mendepani cabaran masa akan datang.

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Tunaikanlah amanah kepada orang yang telah menyerahkan amanah (kepercayaan) kepadamu dan jangan engkau khianati orang yang telah mengkhianatimu.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi).

Justeru, seorang pekerja wajiblah berusaha bersungguh-sungguh demi menjalankan tanggungjawab serta amanah dan kepercayaan untuk melaksanakan sesuatu tugasan dengan memikirkan bahawa hasil daripada pendapatan itulah yang akan menjadi sumber utama rezeki seterusnya membawa kepada punca kebahagiaan untuk diri, keluarga dan juga masyarakat.

Mudah-mudahan kita memahami betapa pentingnya sifat amanah dan tanggungjawab dalam pekerjaan yang akan membuahkan hasil yang baik dalam kerjaya dan kehidupan kita.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin mengajak supaya kita sama-sama dapat mengambil iktibar dan intipati daripada isi khutbah seperti berikut;

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa amanah dalam pekerjaan adalah suatu tuntutan dan akan dihisab di hadapan Allah di akhirat kelak.

2. Umat Islam hendaklah berusaha memberikan komitmen yang terbaik dalam setiap amanah yang diberikan demi manfaat diri, keluarga dan organisasi.

3. Umat Islam hendaklah sedar bahawa rezeki yang halal dan baik berpunca daripada sifat amanah dalam pekerjaan.

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (Surah al-Taubah : 105)

Khutbah Jumaat : Patuh Syariah Menjamin Keberkatan Harta

Petikan Khutbah Jumaat 4 Jun 2021M/ 23 Syawal 1442H JAWI

Patuh Syariah Menjamin Keberkatan Harta

Allah SWT menciptakan harta untuk keperluan manusia. Dalam kehidupan individu, harta adalah sebagai wasilah bagi memenuhi keperluan.jawi_logo.jpg

Sementara bagi Negara pula, harta sebagai wasilah pembangunan dan sumber kekuatan. Islam meletakkan kepentingan kepada umatnya untuk menjaga dan menguruskan harta secara bijaksana, tersusun dan patuh Syariah kerana ia akan dipertanggungjawabkan kepada kita di akhirat kelak.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Furqan ayat 67 yang bermaksud : “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

Islam telah mengatur aktiviti-aktiviti ekonomi berlandaskan syariat di bawah konsep muamalah termasuklah aspek perancangan harta, pembiayaan patuh syariah, pengurusan simpanan dan lain-lain.

Sesungguhnya, perancangan pengurusan kewangan merupakan salah satu tuntutan agama yang bertujuan untuk mengharmonikan kehidupan kita seterusnya mencapai keredaan dan kerahmatan daripada Allah SWT.


Pandemik COVID-19 telah mengubah struktur kehidupan masyarakat dan landskap kewangan setiap individu. Kesannya ramai dalam kalangan kita yang terjejas pendapatan akibat perniagaan tergendala, hilang pekerjaan, peningkatan kos sara hidup serta pelbagai lagi kesan yang dihadapi.


Situasi ini menuntut kita untuk mengubah cara hidup supaya kita dapat menguruskan kewangan yang lebih stabil dan berdaya tahan.

Mimbar mengingatkan kepada para jemaah dan masyarakat, sekiranya sedang berhadapan dengan masalah kewangan atau yang
berkaitan dengan pembiayaan dan memerlukan khidmat nasihat kewangan, silalah berhubung dengan pihak yang berkaitan sama ada Bank Negara Malaysia (BNM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) atau Institusi-institusi lain yang berkaitan.


Dengan cara ini, ianya sedikit sebanyak dapat membantu kita menguruskan kewangan walaupun berhadapan dengan kesan pandemik ini. Tambahan pula, perancangan pengurusan kewangan merupakan salah satu tuntutan agama.

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sejak ditubuhkan pada tahun 2006 telah memberikan perkhidmatan kaunseling kepada hampir 1.2 juta individu melalui khidmat nasihat kewangan.


Daripada jumlah tersebut, lebih daripada 330,000 orang telah mengambil bahagian dalam program pengurusan kredit iaitu pelan pembayaran balik yang sesuai dengan kemampuan melalui rundingan dengan penyedia perkhidmatan kewangan.


Pihak ini akan menawarkan penyelesaian secara percuma bagi membantu individu, perusahaan kecil dan sederhana untuk menguruskan perbelanjaan dan hutang serta menggalakkan amalan pengurusan kewangan yang berhemat.

Salah satu daripada aktiviti utama di dalam pengurusan kewangan Islam ialah menyimpan harta. Sememangnya menjadi kewajipan setiap muslim untuk menyimpan harta mereka menurut kaedah yang patuh syariah melalui kontrak-kontrak yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan kewangan.


Ingatlah bahawa Islam mencegah umatnya memperoleh dan mengumpul harta melalui jalan riba, perjudian dan penipuan sama ada sedikit atau banyak.


Allah SWT telah memberi amaran melalui firman-Nya di dalam surah al-Baqarah ayat 279 : “Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”

Di sinilah peranan syariat Islam untuk melindungi masyarakat daripada kehancuran yang sering terdapat di dalam pelaburan atau simpanan di dalam perbankan konvesional dan syarikat insurans.


Oleh kerana itu, menjadi tanggungjawab kita untuk segera beralih kepada produk pembiayaan, takaful dan simpanan yang berkonsepkan patuh syariah termasuklah simpanan persaraan kita dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Simpanan Syariah KWSP merupakan pilihan yang ditawarkan bagi membolehkan ahli KWSP memilih untuk akaunnya diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip patuh Syariah dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus.


Semua aset pelaburan akan melalui proses saringan Syariah yang ketat bagi mengelakkan elemen seperti riba, gharar (ketidakpastian dalam kontrak), perjudian dan perkhidmatan tidak halal. Walau bagaimanapun sejak ia dilancarkan pada tahun 2016, peratusan pencarum beragama Islam yang memilih untuk menukar simpanan konvensional mereka kepada simpanan Syariah KWSP masih rendah.

Justeru, mimbar mengajak sidang Jemaah dan rakyat sekalian, segeralah membuat penukaran akaun simpanan KWSP kepada simpanan Syariah jika masih belum melaksanakannya. Ingatlah bahawa harta yang diperolehi daripada sumber yang halal, disimpan dan dibelanjakan dengan cara patuh syariah akan membawa keberkatan dalam hidup kita dan keluarga.


Sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini sangat memerlukan keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT.


Marilah kita menjadi warga yang prihatin dengan menghulurkan sumbangan berupa wang ringgit dan barang keperluan harian kepada mereka yang terjejas pendapatan dan menghadapi kesusahan terutamanya dalam tempoh PKP 3.0 ini.

Lihatlah jiran tetangga yang memerlukan bantuan terutama mereka yang sedang dikuarantin kerana tentunya ada kalangan mereka yang turut terjejas sumber pendapatan mereka.


Dalam pada itu, masjid, surau Jumaat dan surau juga mestilah turut sama menghulurkan sumbangan kepada anak-anak kariah yang memerlukan bantuan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.


Mimbar mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Wilayah Persekutuan yang prihatin dan suka memberikan pertolongan tanpa mengira agama, kaum dan warna kulit sama ada di dalam negara atau luar negara seperti rakyat Palestin baru-baru ini.

Sesungguhnya Allah SWT pasti akan memberikan ganjaran yang berlipat kali ganda kepada mereka yang ikhlas menghulurkan pertolongan dan sumbangan demi mengharapkan rahmat dan keberkatan-Nya.

Sebagai bukti kehambaan kita kepada Allah SWT, marilah kita berdoa semoga Allah SWT menmberikan kejayaan kepada usaha-usaha melawan pandemik COVID-19. Ingatlah juga bahawa kita mesti berganding bahu, saling berdamai, tolong-menolong, sokong-menyokong, empati dan saling mendoakan antara satu sama lain untuk memastikan negara ini bebas daripada cengkaman pandemik ini.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, renungkan beberapa kesimpulan sebagai pedoman kita bersama:

Pertama: Harta adalah amanah Allah SWT. Uruskanlah harta dengan cara yang menepati Syariah demi meraih keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Kedua: Dapatkan nasihat kewangan daripada pihak yang berautoriti seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit bagi menyelesaikan masalah kewangan yang berkaitan dengan pembiayaan dan memerlukan khidmat nasihat kewangan.

Ketiga: Pilihlah produk pembiayaan, takaful dan simpanan yang patuh syariah termasuklah simpanan persaraan kita dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). .

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Kahfi ayat 46: Bermaksud : “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh Yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas Yang memberi harapan.”