June 11th, 2021

Khutbah Jumaat: Kaedah Syarak Menangani Covid-19

Petikan Khutbah Jumaat 11 Jun 2021M / 01 Zulqa’dah 1442H: JAIS

Kaedah Syarak Menangani Covid-19

“Allah tidak menjadikan keatas kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama”. Itulah Maksud ayat yang menjadi mukaddimah khutbah kita pada hari ini. Allah tidak membebankan perkara yang menyulitkan.jais.jpg

Hadis yang diriwayatkan daripada A’isyah Radhiallahu’anha bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan dengan membawa agama yang mudah”. (Riwayat al-Tabarani).

Dalam suasana pandemik Covid-19 dan lockdown ini, ada pihak yang berpandangan secara negatif dengan mengatakan; “S.O.P. Covid-19 dalam pelaksanaan fardu Jumaat dan solat-solat fardu yang lain telah dihadkan bilangan jemaahnya, menetapkan penjarakan antara jemaah, memakai penutup separuh muka, tidak bersalaman, adalah kehendak Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau W.H.O. yang tidak perlu kita ikut”.

Andai pandangan yang tidak berasas ini mempengaruhi penilaian sebilangan besar masyarakat, pastinya penularan wabak Covid-19 ini akan berganda-ganda peningkatannya.

Prinsip  agama yang mudah membolehkan kita berpegang kepada kaedah :“Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum disebabkan perubahan masa dan tempat.”

Pendekatan Kaedah Fiqhiyyah yang boleh dirujuk dalam mencegah wabak Covid-19 adalah: Salah satu kaedah yang dikemukakan oleh Imam Muhammad ‘Izzuddin bin Abdul Salam mengembalikan fiqh keseluruhannya kepada dua kalimah: “Menolak kerosakan hendaklah didahulukan daripada mencari kemaslahatan.”

Dari kaedah inilah terpecahnya lima puluh kaedah, bahkan ada yang mengatakan 200 kaedah.

Dalam isu menghadkan bilangan jemaah solat Jumaat, melakukan penjarakan antara saf, memakai pelitup muka, sudah disepakati oleh pakar perubatan yang ianya boleh menghindari penularan wabak Covid-19. S

ementara terdapat golongan yang mendakwa tuntutan amalan syariat seperti merapatkan saf, galakan mengimarahkan masjid dan surau adalah tuntutan syariah dan mengandungi maslahah.

Kaedah yang digunakan dalam Islam Antara menolak mafsadah (keburukan) dan mendatangkan maslahah, menolak keburukan hendaklah diutamakan.

Contohnya dosa dengan pahala, meninggalkan dosa lebih diutamakan dari membuat perkara galakan kerana wabak disini adalah mafsadah (keburukan) sedangkan merapatkan saf, meramaikan

Jemaah adalah maslahah (kebaikan). Maka menolak keburukan hendaklah didahulukan dari mencari kemaslahtan.

Apatah lagi wajib kita menolak kemudaratan tersebut, sedangkan maslahah yang hendak dibuat itu hukumnya sunat. Apabila bertembung antara wajib dan sunat, utamakan yang wajib

Kaedah Fiqhiyyah yang kedua: Kemudharatan hendaklah dihilangkan”. Sumber kaedah ini adalah merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abi Saad Radhiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak memudaratkan orang lain dan tidak dimudaratkan oleh orang lain”. (Riwayat Ibn Majah).

Dalam hal berkenaan penularan wabak, panduan daripada peringatan Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru Radhiallahu’anhuma yang bermaksud: “Jika kamu mendengar wabak melanda sesuatu negeri, maka jangan kamu memasukinya. Dan jika kamu berada di daerah itu janganlah kamu keluar darinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Panduan Nabawi ini menunjukkkan pelaksanaan S.O.P.-S.O.P. PKP dan Lockdown adalah seiring dengan tuntutan syariat dan bertujuan untuk tidak memudaratkan diri sendiri dan orang lain

Kaedah ketiga: Kesulitan mengundang kemudahan”. Ada orang berpandangan: dengan menghadkan bilangan kehadiran Jemaah solat Jumaat dan solat fardu lain di masjid dan surau, juga mengadakan S.O.P. adalah perbuatan meringan-ringankan hukum agama.

Sekali-kali tidak, bahkan ia seiring dengan kaedah tersebut. Merapatkan saf, memenuhkan masjid adalah tuntutan.

Namun apabila kita tidak lagi pergi dan berhimpun beramai-ramai di masjid dan merapat-rapatkan saf ketika wabak sedang melanda akan lebih memudahkan umat Islam mengamalkan ibadah tersebut dirumah.

Kaedah keempat ialah:  Adat menjadi Hukum”. Kaedah ini berdasarkan athar yang diriwayatkan daripada ibnu Mas’ud radhiallahu’anhu bahawa beliau berkata: َ “Apa yang dianggap oleh kaum muslimin baik, maka ia disisi Allah juga baik”. (Riwayat Ahmad).

Adat semasa penularan wabak Covid-19 telah berubah. Salam tidak lagi diiringi dengan bersalaman dan berpelukan. Kesemua itu menjadi adat yang baru dalam kehidupan era pandemik ini.

Adat ini telah menjadi hukum yang baru dalam situasi kita pada hari ini untuk menyelamatkan nyawa sendiri dan orang lain.

Kaedah kelima: Segala perkara sesuai dengan maksud pembuatnya”.

Kaedah ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh umar bin al-Khattab Radhiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “Sesungguhnya segala amalan itu berdasarkan niat”. (Riwayat al-Bukhari)

Apabila dihadkan bilangan kehadiran dalam solat-solat fardu di masjidmasjid ataupun surau-surau, ini membawa kepada sebahagian umat Islam tidak lagi dapat berjemaah terutamanya solat fardu Jumaat.

Maka ada pula yang berpandangan: “berdosa bagi lelaki yang tidak melakukan solat Jumaat tiga kali berturut-turut dan wajib bertaubat. Pendapat ini tidak tepat, kerana ketidakhadiran mereka untuk menunaikan solat Jumaat adalah mengikut hukum ketika darurat.

Tidak sedikitpun niat mereka untuk meringanringankan tuntutan Jumaat. Hukum ini diputuskan oleh pemerintah dengan merujuk kepada Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Ini selaras juga dengan kaedah fiqhiyyah yang lain: “Tindakan pemerintah terhadap rakyat mestilah dihubungkan kepada kemaslahatan”. Tindakan pemerintah adalah sejalan dengan kepentingan umum, bukan kepentingan diri

Pengajaran dan penghayatan yang sama-sama dapat kita renungkan daripada khutbah hari ini adalah:

1. Umat Islam hendaklah sedar bahawa penetapan S.O.P. berkait dengan Covid-19 adalah bertepatan dengan maksud pensyariatan hukum syarak dengan mengguna cara dan kaedah yang sahih dan diterima pakai.

2. Umat Islam hendaklah memahami bahawa tiada seorang pun boleh mengeluarkan hukum semasa sebelum meneliti fakta sebenar dan melalui proses dan kaedah-kaedah pengeluaran hukum.

3. Kita hendaklah memberi kepercayaan penuh kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri sebagai pihak yang berautoriti dalam menentukan hukum terhadap permasalahan semasa.

4. Ulama yang takutkan Allah SWT adalah ulama yang tidak akan memberikan pandangannya dengan cara yang menyebabkan kekeliruan dan pertelagahan dalam kalangan masyarakat dan menimbulkan kebencian kepada individu tertentu atau pihak berkuasa agama.

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al-Nisa’ : 59).

Khutbah Jumaat : Menerima Rukhsah, Mengelakkan Mudarat

Petikan Khutbah Jumaat 11 Jun 2021M/ 30 Syawal 1442H JAWI


Menerima Rukhsah, Mengelakkan Mudarat


Pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan negara kita telah merubah segalanya. Pelbagai sektor telah terjejas termasuklah sektor sosial yang melibatkan pengimarahan masjid dan surau terutama solat jumaat dan solat fardu berjemaah.

jawi_logo.jpg
Ramai yang tidak dibenarkan hadir sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi terhadap kerajaan.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac 2020 menyatakan persetujuan berhubung isu penangguhan aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah berdasarkan pertimbangan terhadap mudarat yang amat besar.


Walaubagaimanapun, dalam tempoh PKP yang sedang dikuat kuasakan kali ini, solat Jumaat dan solat fardu berjemaah tetap dilaksanakan di masjid, surau Jumaat dan surau dengan menghadkan bilangan jemaah dan hanya dibenarkan kepada pegawai dan ahli jawatankuasa kariah sahaja.

Tentunya ramai dalam kalangan umat Islam yang merasa gusar dan resah kerana terpaksa meninggalkan solat Jumaat dan digantikan dengan solat zohor memandangkan ia adalah suatu kewajipan dalam Islam.


Benar,melaksanakannya adalah suatu ‘azimah iaitu hukum asal yang disyariatkan pada permulaannya.


Namun, Islam juga telah memberikan rukhsah iaitu keringanan kepada umatnya sebagai suatu rahmat daripada Allah SWT kerana sebab-sebab tertentu seperti wabak yang menular dan merbahaya ini.


Firman Allah SWT menerusi surah al-Nisa’, ayat 28 yang dibacakan di permulaan khutbah tadi : Bermaksud: “Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.”

Melaksanakan solat Jumaat adalah suatu kefarduan dalam Islam khususnya kepada kaum muslimin. Dalam melaksanakan kewajipan ini, Islam sangat tegas dan memberi ancaman terhadap golongan yang meremehkan serta bersikap ambil mudah untuk meninggalkannya.


Kita juga perlu sedari bahawa, ajaran Islam adalah bersifat praktikal dan mempunyai keluasan agar ia tidak membebankan umatnya.


Dalam hal ini, Imam Abu Daud RH meriwayatkan daripada Usamah bin ‘Umair al-Huzli RA: Bermaksud: “Sesungguhnya beliau menyaksikan Nabi SAW ketika (peristiwa) Hudaybiah pada hari Jumaat, hujan telah turun kepada mereka (para sahabat) yang belum (tahap) membasahi bahagian bawah selipar mereka. Lalu Baginda memerintahkan mereka agar menunaikan solat di
persinggahan mereka (masing-masing).”

Berdasarkan hadis tersebut, terdapat dua perkara yang menjadi faktor diberikan rukhsah untuk meninggalkan solat Jumaat.


Selain faktor musafir, rukhsah juga diberikan atas faktor keuzuran kerana kebimbangan terhadap cuaca yang buruk. Jika cuaca buruk seperti hujan turut diberikan rukhsah dan keringanan, apatah lagi situasi kini dengan penularan wabak COVID-19 yang membawa ancaman kepada kesihatan dan sangat berisiko tinggi sehingga boleh menyebabkan kematian.


Bukankah Islam mengajar kita untuk menjauhi mudarat yang besar bahkan ianya termasuk dalam aspek maqasid as-Syariah iaitu memelihara nyawa manusia.


Justeru, mereka yang tidak dibenarkan hadir solat Jumaat dalam keadaan ini tidak tertakluk kepada hukum makruh atau haram kerana mereka termasuk dalam golongan yang mendapat uzur untuk tidak pergi melaksanakan solat Jumaat.

Tentunya dalam tempoh PKP ini, ramai dalam kalangan mereka yang melazimi solat berjemaah di masjid tidak dibenarkan hadir.


Namun ingatlah bahawa Allah SWT tetap memberikan ganjaran kerana kelaziman mereka menghadirkan diri ke rumah Allah.


Kepatuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan ini juga sebenarnya adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh iaitu ‘kemudaratan mesti dihilangkan’ dengan cara kekal berada di rumah.

Justeru, laksanakanlah solat secara berjemaah di rumah bersama anak dan isteri di samping memperbanyakkan akitiviti kerohanian seperti berzikir, membaca al-Quran dan bermunajat kepada Allah SWT.

Dalam kesempatan ini juga, khatib ingin mengingatkan kepada semua masyarat supaya akur dengan perintah pihak berkuasa terutama mengenai pengimarahan masjid dan surau.


Jauhilah perbuatan provokasi di media-media sosial dengan mempertikaikan setiap arahan dan SOP sehingga mempengaruhi orang lain dan menjadi asbab kepada pelanggaran terhadap arahan ini.


Kepada para agamawan, pemimpin setempat dan influencer,marilah bersama-sama memberi peringatan dan mendidik masyarakat untuk menjadi warga yang berdisiplin tinggi demi memastikan keselamatan diri daripada ancaman wabak pandemik ini.

Sebagai seorang Muslim, kita mestilah berusaha menjauhi perbuatan yang boleh menimbulkan keresahan dan kebimbangan orang ramai, apatah lagi memburukkan keadaan.


Jadilah warganegara yang bertanggungjawab untuk kesejahteraan negara. Sesungguhnya sebagai rakyat, kita wajib meletakkan ketaatan dan kepatuhan kepada pemerintah selagi mana ianya dilakukan demi kemaslahatan umat dan negara.


Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Fahamilah mengenai rukhsah meninggalkan solat Jumaat dalam tempoh pandemik COVID-19 supaya kita dapat mengelakkan sebarang keraguan.


Kedua: Laksanakanlah solat secara berjemaah di rumah bersama anak dan isteri di samping memperbanyakkan akitiviti kerohanian di rumah seperti berzikir, membaca al-Quran dan bermunajat kepada Allah SWT.

Ketiga: Jauhi perbuatan yang boleh menimbulkan keresahan dan kebimbangan orang ramai. Jadilah warganegara yang bertanggungjawab demi kesejahteraan negara.

Marilah kita hayati firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 59: Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”