July 2nd, 2021

Khutbah Jumaat: Ulama dan Ilmu

Petikan Khutbah Jumaat 02 Julai 2021M / 21 Zulqa’dah 1442H: JAIS

Ulama dan Ilmu

Jika ditelusuri sejarah, kita akan dapat menyaksikan usaha para ulama silam menyampaikan dakwah kepada seluruh manusia mengenai ajaran Islam dengan berpandukan kepada al-Quran, al-sunnah Rasulullah SAW, alijmak dan al-Qias.jais.jpg

Dalam konteks negara kita, para ulama yang kebanyakannya datang dari tanah besar Arab membawa bersama ajaran Islam untuk disebarkan.

Amalan-amalan yang berunsur syirik dan khurafat yang telah sebati dalam masyarakat telah dapat dimurnikan hasil usaha keras mereka.

DaIam Islam, ulama berada pada kedudukan yang mulia kerana mereka bertanggungjawab menerangkan apa yang baik dan buruk, benar dan salah, boleh dan yang tidak boleh dilakukan.

Apa yang disampaikan oleh mereka kesemuanya tidak terkeluar daripada dua rujukan terpenting umat Islam iaitu al-Quran dan al-sunnah Rasulullah SAW.

Seseorang yang bergelar ulama terdiri daripada kalangan mereka yang pakar dalam ilmu-ilmu Islam.

Menurut Kamus Dewan, ulama bermaksud orang yang ahli (pakar) dalam pengetahuan agama Islam.

Manakala dalam Islam, Mereka menguasai ilmu-ilmu dalam Islam seperti tafsir, hadis, tauhid, fiqh, fiqh semasa, tasawuf, qiraat dan sebagainya.

Antara ulama yang boleh dijadikan contoh adalah Imam al-Ghazali yang terkenal dengan gelaran Hujjatul Islam.

Beliau menguasai pelbagai ilmu seperti fiqh, usul fiqh, tasawuf, ilmu kalam dan sebagainya.

Disebabkan penguasaan ilmu dan istiqamahnya amalan mereka, maka merekalah yang berada dalam golongan yang bertaqwa dan sentiasa berasa takut dan bimbang untuk melanggar segala perintah Allah SWT.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Fatir ayat 28 yang telah dibacakan di awal khutbah ini yang bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”

Rasulullah SAW juga ada menjelaskan siapakah yang digelar ulama itu melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Darda’ Radhiaallahu’anhu: “Sesungguhnya ulama mewarisi para nabi, para nabi tidak mewariskan kepada mereka dinar dan dirham (harta benda), sesungguhnya hanyalah yang mereka wariskan adalah ilmu, maka barang siapa yang mendapatkan ilmu itu, sungguh dia telah mendapat keuntungan yang banyak.” (Riwayat al-Tirmizi).

Pada masa kini, masyarakat umum termasuk segelintir umat Islam sudah mula berani untuk mempertikaikan peranan ulama.
Golongan yang dikenali sebagai Islam Liberal dan Anti Hadis menolak warisan tradisi ulama silam.

Bagi mereka cukup dengan penggunaan akal sahaja untuk menafsir al-Quran dan memahami ajaran-ajarannya.

Tidak cukup dengan itu, mereka menuduh pula para ulama sebagai berbahaya bagi umat Islam kerana bersikap jumud.

Golongan-golongan seperti ini perlu dijauhi supaya kita tidak hanyut dan tersesat dari jalan sebenarnya

Ilmu yang diperolehi melalui pembacaan kemudian cuba untuk difahami secara sendiri bukanlah merupakan jalan yang terbaik dalam Islam.

Penguasaan sesuatu ilmu hendaklah bersama dengan guru yang akan menerangkannya. Peranan guru amatlah besar lebih-lebih lagi dalam ilmu agama.

Untuk mendapatkan ilmu yang betul, perlulah berguru dengan ulama yang betul. Ulama yang betul adalah ulama yang mempunyai ilmu yang muktabar dan diiktiraf oleh syariat.

Islam juga mengajar umatnya agar menghormati dan menjaga adab dengan seseorang yang bergelar ulama.

Seseorang ulama dihormati kerana tingginya ilmu dan mendalamnya pengetahuan mereka tentang agama. Di antara adab-adab yang perlu dijaga adalah:

1. Menerima teguran dan nasihat yang diberikan
2. Mendampingi mereka supaya memperoleh keberkatan ilmu
3. Menghindari sikap suka membantah, mempertikai atau melawan
4. Menghindarkan menutur kata-kata yang boleh menyinggung perasaan
5. Menurut arahan dan perintah selagi tidak bercanggah dengan syarak.

Seorang Muslim yang baik adalah yang memahami dan menyedari betapa pentingnya pematuhan terhadap setiap arahan dan nasihat-nasihat yang diberikan oleh ulama dan pemerintah.

 Sebagai contoh di Selangor ini kewujudan pihak berkuasa Agama seperti Majlis Agama Islam dan Jabatan Mufti yang bernaung dibawah Sultan itu sendiri sebagai ketua Agama Islam adalah berperanan untuk mengawal umat Islam agar tidak terkeluar daripada landasan agama Islam berlandaskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Apa sahaja perintah dan arahan Pihak Berkuasa Agama bagi memelihara dan mempertahankan kesucian agama Islam hendaklah dipatuhi oleh umat Islam.

Oleh itu, mana-mana orang yang menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah dan arahan Pihak Berkuasa Agama ini adalah melakukan suatu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang berdasarkan Seksyen 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita hayati dan ambil iktibar terhadap perkara-perkara berikut untuk dijadikan pedoman dalam hidup kita, antaranya:

1. Umat Islam hendaklah sedar bahawa ulama amat berperanan dalam memberikan kefahaman mengenai ajaran Islam berpandukan al-Quran dan al-sunnah kepada masyarakat.

2. Setiap muslim hendaklah tahu bahawa seseorang yang bergelar ulama adalah mereka yang menguasai ilmu-ilmu utama dalam Islam.

3. Umat Islam janganlah terpengaruh dengan golongan yang cuba mempertikai dan menolak peranan ulama dalam menyebarkan dakwah.

4. Umat Islam hendaklah sentiasa merujuk ulama-ulama yang muktabar untuk memahami dan mengamalkan ajaran-ajaran Islam dengan lebih baik dan sempurna.

“Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Nahl : 43).

Khutbah Jumaat Patuh Syariah Menjamin Keberkatan Harta

Petikan Khutbah Jumaat 2 Julai 2021M/ 21 Zulkaedah 1442H JAWI

Patuh Syariah Menjamin Keberkatan Harta

Allah SWT menciptakan harta sebagai wasilah bagi memenuhi keperluan manusia.jawi_logo.jpg

Islam meletakkan kepentingan kepada umatnya untuk menjaga dan menguruskan harta secara bijaksana, tersusun dan patuh Syariah kerana ia akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Furqan ayat 67 yang bermaksud : “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

Islam telah mengatur aktiviti-aktiviti ekonomi berlandaskan syariat di bawah konsep muamalah termasuklah aspek perancangan harta, pembiayaan patuh syariah, pengurusan simpanan dan lain-lain.

Sesungguhnya, perancangan pengurusan kewangan merupakan salah satu tuntutan agama yang bertujuan untuk mengharmonikan kehidupan kita seterusnya mencapai keredaan dan kerahmatan daripada Allah SWT.

Pandemik COVID-19 telah mengubah struktur kehidupan masyarakat dan landskap kewangan setiap individu. Ia menuntut kita untuk mengubah cara hidup supaya kita dapat menguruskan kewangan yang lebih stabil dan berdaya tahan.

Mimbar mengingatkan kepada para jemaah dan masyarakat, sekiranya sedang berhadapan dengan masalah kewangan atau yang berkaitan dengan pembiayaan dan memerlukan khidmat nasihat kewangan, silalah berhubung dengan pihak yang berkaitan iaitu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Sejak ia ditubuhkan pada tahun 2006, hampir 1.2 juta individu telah menerima khidmat nasihat kewangan.

Daripada jumlah tersebut, lebih daripada 330,000 orang telah mengambil bahagian dalam program pengurusan kredit iaitu pelan pembayaran balik yang sesuai dengan kemampuan melalui rundingan dengan penyedia perkhidmatan kewangan.

Pihak ini akan menawarkan penyelesaian secara percuma bagi membantu individu, perusahaan kecil dan sederhana untuk menguruskan perbelanjaan dan hutang serta menggalakkan amalan pengurusan kewangan yang berhemat.

Salah satu daripada aktiviti utama di dalam pengurusan kewangan Islam ialah menyimpan harta. Ingatlah bahawa Islam mencegah umatnya memperoleh dan mengumpul harta melalui jalan riba, perjudian dan penipuan sama ada sedikit atau banyak.

Sesungguhnya menjadi tanggungjawab kita untuk segera beralih kepada produk pembiayaan, takaful dan simpanan yang berkonsepkan patuh syariah termasuklah simpanan persaraan kita dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Simpanan Syariah KWSP merupakan pilihan yang ditawarkan bagi membolehkan ahli KWSP memilih untuk akaunnya diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip patuh Syariah bagi mengelakkan elemen seperti riba, gharar (ketidakpastian dalam kontrak), perjudian dan perkhidmatan tidak halal.

Walau bagaimanapun sejak ia dilancarkan pada tahun 2016, peratusan pencarum beragama Islam yang memilih untuk menukar simpanan konvensional mereka kepada simpanan Syariah KWSP masih lagi rendah.

Justeru, segeralah membuat penukaran akaun simpanan KWSP kepada simpanan Syariah jika masih belum melaksanakannya.

Ingatlah bahawa harta yang diperolehi daripada sumber yang halal, disimpan dan dibelanjakan dengan cara patuh syariah akan membawa keberkatan dalam hidup kita dan keluarga.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, renungkan beberapa kesimpulan sebagai pedoman kita bersama:

Pertama: Harta adalah amanah Allah SWT. Uruskanlah harta dengan cara yang menepati Syariah demi meraih keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Kedua: Dapatkan nasihat kewangan daripada pihak yang berautoriti seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit bagi menyelesaikan masalah kewangan yang berkaitan dengan pembiayaan dan memerlukan khidmat nasihat kewangan.

Ketiga: Pilihlah produk pembiayaan, takaful dan simpanan yang patuh syariah termasuklah simpanan persaraan kita dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). .

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Kahfi ayat 46: Bermaksud : “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh Yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.”