July 9th, 2021

Khutbah Jumaat : Tuntutan Memelihara Nyawa

Petikan Khutbah Jumaat 09 Julai 2021M / 28 Zulqa’dah 1442H: JAIS

Tuntutan Memelihara Nyawa

Membunuh diri adalah suatu perbuatan jenayah dan tindakan yang menyebabkan kematian kepada diri sendiri. Ia dilakukan dengan pelbagai cara, sama ada dengan mengantung diri sendiri, meminum racun atau terjun dari tempat yang tinggi.

Tindakan membunuh diri merupakan suatu perbuatan yang ditegah dalam ajaran Islam dan merupakan salah satu dosa besar. Ini bertepatan dengan larangan yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW. Ia sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah yang dianjurkan oleh Islam dengan keutamaan memelihara nyawa, agama, akal, keturunan dan harta benda.jais.jpg

Tegahan membunuh diri ditegaskan oleh Allah di dalam ayat yang telah dibacakan pada awal khutbah ini dalam surah An-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu.”

Berdasarkan kepada ayat tersebut, nyawa adalah milik Allah. Dialah yang menghidup atau mematikan seseorang, manusia tidak mempunyai hak menentukan hidup matinya dengan cara menyebabkan kematian kepada diri sendiri.

Sejak akhir-akhir ini kita dapat melihat laporan berita di dada-dada akhbar dan media sosial berkaitan peningkatan kes bunuh diri. Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kita dikejutkan dengan pelbagai insiden bunuh diri.

Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes bunuh diri pada tahun 2019 adalah sebanyak 609 manakala tahun 2020 sebanyak 631 kes dan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun 2021 sebanyak 468 kes bunuh diri dilaporkan.

Secara purata dua kes dilaporkan berlaku setiap hari sejak 2019 hingga Mei 2021. Kebelakangan ini kejadian bunuh diri berlaku akibat daripada tekanan sama ada dari segi mental atau fizikal.

Tekanan emosi dan masalah yang dihadapi boleh mengakibatkan segelintir individu mengambil jalan singkat dan tindakan diluar jangkaan seperti bunuh diri atau mencederakan diri sendiri.

Walau sesukar mana ujian yang ditentukan oleh Allah kita perlu menerimanya dengan penuh kesabaran. Namun begitu, tidak dinafikan wabak Covid-19 adalah satu bentuk ujian Allah Taala.

Jangkitan dan penularan yang merebak dengan pantas menjadikan kita panik. Berlaku kematian dalam kalangan mereka yang kita cintai dan sayangi, diberhentikan kerja dengan kesukaran menyara keluarga akhirnya dihimpit kesempitan hidup sehingga mencetuskan tekanan dan hilang pertimbangan iman.

Oleh itu, ia mendorong keinginan untuk bunuh diri akibat berputus asa dengan rahmat Allah. Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, disitulah berlakunya tekanan.

Apa yang luar biasa kita memilih untuk berkrisis menyalahkan takdir atas apa yang berlaku lantas mendorong keinginan untuk membunuh diri akibat berputus asa dengan rahmat Allah SWT.

Situasi yang berlaku hari ini amat membimbangkan kerana terdapat pertambahan kes pada setiap tahun.

Sebagai Muslim kita perlu berfikir bagaimana perbuatan ini dapat dikekang agar tidak menjadi barah dalam masyarakat.

Dalam hal ini, kita perlu berasa takut dengan ancaman terhadap tindakan bunuh diri yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu’Anhu: “Barangsiapa yang membunuh diri dengan pisau, maka kelak pisau di tangannya, dia akan menikam ke perutnya pada hari kiamat di neraka Jahanam, dia kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa membunuh diri dengan meminum racun, maka racunnya di tangannya, dia akan meminumnya di neraka Jahanam, dia kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa terjun dari (atas) gunung, sehingga dia mati, maka kelak dia akan terjun (dari tempat tinggi) di neraka Jahanam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan kepada hadis Nabi tersebut, bunuh diri merupakan perbuatan terkutuk yang dilarang Allah. Pelakunya akan diazabkan Allah di hari akhirat nanti dan tiada sesiapapun akan terlepas dari azab-Nya.

Individu Muslim perlu memantapkan keimanan agar perbuatan bunuh diri tidak menjadi satu penyelesaian masalah kehidupan apabila berputus asa. Antara saranan khatib untuk menghindari dari melakukan perbuatan tersebut:

Pertama: Bersabar dengan ujian dan istiqamah mendirikan solat. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 153:“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat, sesungguhnya Allah berserta orangorang yang sabar.”

Kedua: Hendaklah sentiasa berzikir lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan ujian kerana dengan berzikir itu akan membawa ketenangan dalam hati dan menghilangkan kegelisahan bahkan dapat mengelakkan diri dari melakukan perkara-perkara lain yang tidak berfaedah untuk merasai ketenangan dan kebahagiaan.

Ketiga: Rawatlah dukacita dengan doa. Nabi SAW pernah mengajarkan beberapa doa yang masyhur kepada para sahabat bagi menghilangkan kesedihan dan dukacita. Antara doa yang dibaca oleh Nabi SAW adalah sepertimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu’Anhu: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari (hal yang) menyedihkan dan menyusahkan, lemah dan malas, penakut dan bakhil, lilitan hutang dan penindasan orang.” (Riwayat al-Bukhari).

Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka maka bersabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Malah setiap ujian dan dugaan hidup perlu dihadapi dengan sabar.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 155 : “Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Keempat: Hendaklah mengajukan permasalahan yang dihadapi kepada ahli keluarga, sanak saudara dan lain-lain individu yang boleh dipercayai untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar.

Oleh itu, semua pihak perlu terlibat memberi sokongan kepada masyarakat yang hidup dalam keadaan tertekan sehingga sanggup mengambil tindakan nekad membunuh diri.

Pimpinan masyarakat, komuniti, NGO dan individu perlu tampil dengan idea dan cadangan untuk membantu dan menyokong masyarakat yang terkesan.

Bersama-sama kita berganding bahu, mendukung aspirasi dan usaha yang digerakkan oleh kerajaan untuk membantu mereka yang terjejas

Mengakhiri khutbah ini, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dan penghayatan agar dijadikan pedoman dan panduan kita. Antaranya ialah:

1. Umat Islam hendaklah memantapkan akidah Islamiah dengan meyakini bahawa ujian yang diberikan oleh Allah SWT adalah tanda sayangnya Allah itu kepada hamba-hamba-Nya.

2. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa kehidupan didunia ini adalah satu ujian yang akan dihisab segala apa yang dilakukannya pada hari akhirat nanti.

3. Umat Islam hendaklah sedar bahawa membunuh diri adalah satu perbuatan yang dilarang oleh Islam dan berdosa besar.

4. Umat Islam hendaklah berusaha mengambil langkah-langkah positif dalam menyelesaikan masalah kehidupan lebih-lebih lagi dalam suasana PKPD ini dengan merujuk pihak-pihak yang berwibawa dan berautoriti

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar : 53).

Khutbah Jumaat : Kebersamaan Membawa Kebahagiaan

Petikan Khutbah Jumaat 9 Julai 2021M/ 28 Zulkaedah 1442H JAWI

Kebersamaan Membawa Kebahagiaan

Penularan pandemik COVID-19 memberikan cabaran yang sangat sukar bagi kita. Bukan sahaja dari sudut kesihatan jasmani, bahkan ia turut memberi kesan kepada jiwa dan mental akibat daripada hilang pekerjaan dan sumber pendapatan sehingga berlarutan kepada masalah keluarga dan rumah tangga.
jawi_logo.jpg
Tekanan jiwa turut dirasai oleh ramai pesakit COVID-19 yang masih belum sembuh dan para petugas barisan hadapan yang terdedah dengan jangkitan wabak setiap hari dengan kes harian yang belum menunjukkan penurunan.

Di samping itu, kegelisahan juga timbul kepada mereka yang menjaga ibu bapa yang uzur mahupun anak-anak kecil di kala bahaya mungkin berada di sekeliling mereka yang merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Ringkasnya, pelbagai situasi yang terpaksa dilalui hari ini telah mengakibatkan emosi masyarakat terganggu serta membawa pelbagai kesan negatif kepada kehidupan masyarakat jika tidak dikawal sebaik mungkin.

Sebagai Muslim, seharusnya kita meletakkan pergantungan hidup kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam Surah Ali Imran, ayat 122 yang bermaksud :“(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.”

Imam al-Ghazali Rahimahullah menyatakan bahawa tawakal bukan menanti nasib sambil berpangku tangan, tetapi berusaha sekuat tenaga dan setelah itu baru berserah diri kepada Allah SWT. Allah SWT sahajalah yang akan menentukan hasilnya.

Dalam mengharungi suasana begini, komunikasi berkesan amat penting. Pendekatan saling mengambil berat dan memberi perhatian antara satu sama lain boleh membantu seseorang mengharungi PKP secara mental dan emosi.

Mimbar sentiasa mengingatkan semua masyarakat agar mengambil berat keadaan anggota keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga di sekeliling kita supaya mereka yang menghadapi kesusahan dapat segera dibantu.

Selain inisiatif daripada pihak kerajaan, tanggungjawab ini juga mesti dipikul oleh semua rakyat yang berkemampuan.

Sebagai masyarakat yang prihatin, buktikanlah kebersamaan dan semangat kejiranan dengan menghulurkan apa jua sumbangan dan bantuan yang termampu. Jika kita turut sama berganding bahu, sedikit sebanyak kita juga dapat mengurangkan tekanan emosi yang mereka alami.
Mimbar pada hari ini juga ingin menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada pihak masjid dan surau yang banyak membantu anak-anak kariah yang memerlukan dengan kerjasama rakan strategik dan individu-individu yang berkemampuan.


Walaupun dalam keadaan sukar, masih ramai dalam kalangan kita yang suka menghulurkan sumbangan dan bantuan.
Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda : Bermaksud : “Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang daripada kamu, sebagaimana kamu membiakkan seekor anak kuda, sehingga sedekah yang hanya sebiji boleh berkembang hingga sebesar gunung Uhud.”
Marilah kita perbanyakkan doa kepada Allah SWT agar memberikan kekuatan rohani dan jasmani kepada seluruh masyarakat, para pesakit dan petugas-petugas barisan hadapan. Berilah sokongan moral kepada mereka yang berjuang melawan wabak ini dan patuhilah setiap arahan pihak berkuasa.
Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan pertambahan bilangan
jemaah bagi solat fardu dan solat Jumaat di Wilayah Persekutuan.


Justeru, mimbar mengingatkan para jemaah sekalian untuk bersama-sama menjaga SOP dengan ketat bagi mengelakkan terjadinya kluster baharu di masjid dan surau.


Mengakhiri khutbah pada pada hari ini, mimbar ingin menegaskan beberapa perkara sebagai kesimpulan :
Pertama : Kita mestilah saling mengambil berat dan memberi perhatian antara satu sama lain dalam kalangan keluarga, sahabat handai dan kejiranan agar semangat kebersamaan dapat dipupuk dan mereka yang mengalami kesusahan dapat dibantu.
Kedua : Sebagai seorang Muslim, kita mestilah sentiasa berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT kerana ia adalah aspek yang sangat penting dalam memelihara kesihatan mental dan emosi lebih-lebih lagi ketika diuji dengan musibah.
Ketiga : Sentiasalah positif, reda dan sedar bahawa situasi pandemik kini merupakan salah satu ujian daripada Allah SWT yang mesti ditempuhi bagi membuktikan keimanan kita kepada-Nya.
Renungkan firman Allah SWT menerusi Surah Al-‘Ankabut, ayat 2 : Bermaksud : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”