July 20th, 2021

Khutbah Aidiladha Manifestasi Pengorbanan

Petikan Khutbah Aidiladha 20 Julai 2021M/ 10 Zulhijjah 1442H JAWI

Manifestasi Pengorbanan


Alhamdulillah, sekali lagi Aidiladha dapat kita sambut meskipun dalam suasana yang begitu sederhana.

Masih ramai dari kalangan kita mampu menyempurnakan ibadah korban pada tahun ini.jawi_logo.jpg

Namun, tidak kurang pula yang tidak mampu melaksanakannya lantaran kesempitan hidup yang dihadapi pada waktu ini.

Hakikatnya, Hari raya Korban tahun ini benar-benar mengajar kita erti pengorbanan.

Aidiladha mengajar umat Islam erti pengorbanan yang begitu besar  tuntutannya di sisi agama. Hari raya korban ini pastinya mengembalikan ingatan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup meninggalkan isteri dan anak kecilnya di Mekah semata-mata kerana mentaati perintah Allah SWT.

Setelah dipertemukan, baginda diuji pula dengan perintah mengorbankan anak kesayangannya, Nabi Ismail AS dan baginda berjaya melaksanakannya.

Demikian juga Rasulullah SAW dan para sahabat baginda yang telah mengorbankan nyawa dan harta sehingga sanggup berhijrah ke Madinah semata-mata kerana Allah.

Kaum Ansar pula ikhlas mengorbankan apa yang mereka miliki demi membantu kaum Muhajirin yang memerlukan, meskipun mereka juga dalam kesusahan.

Mereka berkorban tanpa  mengharapkan imbalan demi membuktikan iman dan mengharapkan keredaan Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al- Hasyr ayat 9: Bermaksud: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang- orang yang berjaya.”

Bersama ibadah sembelihan korban yang dilaksanakan, kita juga turut dianjurkan untuk memberikan pengorbanan-pengorbanan lain yang sangat besar tuntutannya di waktu ini.

Berkorbanlah dengan tabah menghadapi kesempitan dan kepayahan hidup yang menekan jiwa.

Berkorbanlah dengan terus berusaha mencari sumber pendapatan yang halal meskipun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan.

Berkorbanlah dengan apa yang masih kita miliki untuk menghulur bantuan kepada kaum keluarga, jiran tetangga dan sesiapa juga yang keputusan bekalan keperluan asas demi meneruskan kelangsungan hidup.

Berkorbanlah dengan sabar mengawal perasaan yang inginkan kebebasan keluar demi mematuhi arahan PKP dan PKPD serta SOP yang ditetapkan kerajaan bagi mencapai matlamat membebaskan negara dari wabak COVID-19.

Berkorbanlah dengan kepatuhan menjalani program vaksinisasi yang telah dijadualkan untuk menjayakan usaha kerajaan mencegah pendemik ini dari terus menyelubungi hidup kita.

Ini semua adalah pengorbanan besar yang sedang kita lakukan.

Maka bersabarlah, kerana apa sedang kita lakukan ini adalah jihad yang dijanjikan ganjaran pahala syahid. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Sayidatina Aisyah Radiyallahu ‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang wabak taun, lalu baginda menjelaskan:

Bermaksud; "Sesungguhnya ia adalah azab yang Allah utuskan kepada sesiapa yang Dia mahu, namun Allah menjadikannnya sebagai rahmat untuk orang beriman. Tiada seorang hamba yang ditimpa wabak taun lalu dia kekal tinggal di negerinya dengan bersabar, sedar betapa tiada yang menimpanya selain ketetapan Allah untuknya, melainkan pasti dia diganjari pahala syahid."

Rasulullah SAW menyebut bahawa bersama musibah ini ada rahmat buat kita. Lihatlah perubahan gaya hidup kita yang lebih berdisiplin, berhemah mengurus kewangan dan patuh kepada pemerintah demi mencapai kemenangan.

Bahkan, musibah ini juga menyuburkan naluri
insani kita untuk lebih prihatin terhadap insan-insan lain yang memerlukan dengan memberikan kerjasama, sokongan dan menyampaikan bantuan.

Mengakhiri bicara khatib, dititipkan beberapa kesimpulan sebagai pedoman buat kita semua, antaranya:

Pertama: Allah SWT menuntut kaum muslimin berkorban bagi membuktikan ketulusan iman dengan berpandukan paparan ibrah daripada al-Quran.

Kedua: Aidiladha adalah perayaan yang membangkitkan seruan berkorban yang perlu dimanifestikan dengan maksud pengorbanan yang lebih luas.

Ketiga: Bersabarlah dalam merealisasikan pengorbanan kerana di sinilah nilai sebenar kejayaan insan beriman.

Firman Allah dalam surah al-Jin, ayat 16: Maksudnya : “Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka beristiqamah di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kesejahteraan) juga menurunkan hujan lebat kepada mereka.”

Westergaard simbol kemarahan, kekecewaan dunia Islam

COPENHAGEN: Kartunis Denmark, Kurt Westergaard yang menghina Nabi Muhammad SAW menerusi lukisan karikatur dilaporkan meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Menurut keluarganya, Westergaard meninggal dunia selepas menderita lama akibat penyakit yang tidak dinyatakan.

Lelaki itu berkhidmat sebagai kartunis untuk akhbar parti konservatif, Jyllands-Posten sejak awal 1980-an.

Dia kemudiannya ‘dikenali dunia dengan rekod paling buruk’ pada 2005 selepas menyiarkan karikatur Nabi Muhammad dalam akhbar.

Terbitan itu mencetuskan tunjuk perasaan dalam kalangan umat Islam di Denmark, selain kerajaan negara ini menerima kritikan dan teguran keras daripada negara Islam di seluruh dunia.

Gelombang kemarahan itu terus merebak di kebanyakan negara Islam pada 2006, menyaksikan pejabat kedutaan Denmark menjadi sasaran serangan penunjuk perasaan, selain pulihan maut.

Malah, sehingga kini penerbitan karikatur itu terus menyemarakkan rasa marah serta kecewa umat Islam.

Antara insiden yang jadi perhatian termasuk serangan bersenjata di pejabat majalah satira Perancis, Charles Hebdo pada 2015 selepas menyiarkan karikatur Nabi Muhammad, menyaksikan 12 petugasnya maut.

Hidup Westergaard juga tidak ‘aman’ apabila dia sering menerima ancaman mati daripada pelbagai pihak, sehingga memaksanya bersembunyi buat sementawa waktu dan mengupah pengawal peribadi bagi menjaga keselamatannya selama beberapa tahun.

Lebih memalukan, Westergaard menerusi temu bual bersama Reuters pada 2008 memaklumkan dia sedikit pun tidak menyesal dengan lukisan karikatur tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia Luar Negara 20 Julai 2021


Oleh Media Mulia 20 Julai 2021, 9:29 am