July 23rd, 2021

Khutbah Jumaat: Memperkasa Institusi Kekeluargaan

Petikan Khutbah Jumaat 23 Julai 2021M / 13 Zulhijjah 1442H:JAIS

Memperkasa Institusi Kekeluargaan

Institusi kekeluargaan merupakan komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat dan negara.

Tanpa institusi keluarga yang cemerlang, pembinaan sebuah negara yang stabil dan maju tidak akan tercapai dengan sempurna.jais.jpg

Islam meletakkan institusi kekeluargaan sebagai institusi penting dalam membentuk masyarakat yang beriman dan cemerlang.

Matlamat dan visi memperkasakan institusi kekeluargaan mampu membangunkan negara dengan aman dan makmur.

Oleh itu, setiap ahli keluarga perlu bersatu dan menjadi tulang belakang agar kebahagiaan rumah tangga dapat dibina dan perpecahannya dapat dihindarkan.

Syariat Islam amat menititkberatkan soal pembentukan keluarga bahagia yang beriman. Ini kerana, keluarga yang beriman menjadi asas kepada lahirnya generasi yang bakal mewarisi kecemerlangan umat manusiawi.

Rasulullah SAW merupakan model terbaik dalam memimpin bahtera rumah tangga bahagia.

Malah, Rasulullah SAW sendiri menyifatkan Baginda adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya.

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu’Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap kaum keluarganya dan aku sebaik-baik orang terhadap keluargaku.”

Pemerkasaan pembangunan keluarga Islam perlu menjadi agenda utama yang perlu disampaikan secara adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat.

Ia merupakan misi penting dalam konteks membina keluarga sakinah khususnya mereka yang berdepan dengan krisis kekeluargaan.

Dengan memperkasakan institusi kekeluargaan segala cabaran, isu dan keganasan rumahtangga dapat dikekang dan dihindarkan.

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini pembentukan institusi kekeluargaan dilihat semakin jauh dari nilai-nilai kehidupan manusiawi. Ini dapat dilihat dari kes-kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan.

Saban hari kita dapat melihat laporan berita di media sosial dan dada-dada akhbar sejak bermulanya tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu.

Menurut statistik, laporan keganasan rumah tangga meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan penularan wabak Covid19.

Peningkatan mendadak keganasan rumah tangga ini dilihat sesuatu perkara yang membimbangkan.

Perbuatan jenayah keganasan yang dilakukan dalam rumahtangga kian meningkat saban hari dan ia merupakan masalah sosial yang boleh membawa barah dalam masyarakat sekiranya tidak dibendung dari awal.

Menurut statistik yang dilaporkan oleh Bahagian Undang-Undang Keluarga JAIS, sebanyak 191 kes keganasan rumahtangga telah dicatatkan sepanjang bulan Januari hingga Mei tahun ini.

Kawasan bandar mencatatkan kes lebih tinggi dengan peratusan 70.7% daripada 191 kes.

Manakala bentuk-bentuk keganasan yang dicatatkan adalah seperti dipukul, didera secara mental dan fizikal, bersikap ganas terhadap pasangan lantaran sifat panas baran dan gagal mengawal emosi.

Antaranya adalah berpunca daripada pengambilan alkohol yang berlebihan atau penyalahgunaan dadah, masalah kewangan, dibuang kerja, curang dengan pasangan dan mempunyai akhlak yang buruk dan keji.

Tidak dinafikan bahawa sebahagian kes tersebut adalah terkesan dari pandemik Covid 19 yang masih melanda dalam negara. Hadirin sekalian,

Antara kesalahan-kesalahan yang boleh disabitkan ke atas pasangan suami isteri menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah:

1. Meninggalkan langsung isteri pada Seksyen 127

2. Menganiayai isteri atau suami pada Seksyen 128

3. Tidak memberi keadilan yang sewajarnya terhadap isteri pada Seksyen 129.

4. Isteri tidak menurut perintah pada Seksyen 130. Kesemua kesalahan tersebut boleh dikenakan denda RM1000 atau penjara 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Usaha-usaha berterusan perlu dilaksanakan dalam menangani isu-isu keganasan rumah tangga yang melanda masyarakat hari ini.

Antara beberapa sikap yang perlu dititikberatkan dalam memperkukuhkan institusi kekeluargaan adalah dengan meningkatkan aspek amalan komunikasi kekeluargaan secara berhikmah dan bijaksana, mengawal percakapan dengan lemah lembut, sentiasa bertolak ansur, sabar dalam menghadapi masalah dan tekanan serta mengutamakan sikap saling hormat-menghormati dalam institusi kekeluargaan.

Begitu juga, aspek yang perlu dititik beratkan dalam membentuk keluarga bahagia adalah dengan menanamkan sikap saling memaafkan.

Sikap yang mulia ini dapat menghakis sifat dendam seterusnya dapat menghindarkan persepsi buruk dalam diri pasangan dan keluarga.

Jangan sesekali berburuk sangka dan mudah terpengaruh dengan gosip dan fitnah yang boleh meruntuhkan hubungan kekeluargaan dalam apa cara sekalipun termasuklah melalui kesan-kesan viral media massa.

Dalam melayari kehidupan alam rumah tangga, suami dan isteri perlu tahu peranan dan tugas masing-masing.

Saling memahami dan menyokong pasangan demi menjana kebahagiaan alam rumah tangga.

Saling memperkuatkan hubungan pertalian dengan Allah dengan menjaga kefarduan solat terutamanya menunaikan solat secara berjemaah.

Pengabaian perintah solat dan kewajipannya terhadap anak-anak mengakibatkan roh kebahagian dan kedamaian rumah tangga dilihat semakin jauh dan sempit. Justeru, hidupkanlah amalan solat berjemaah dalam rumah.

Tidak dinafikan, terdapat banyak kelebihan solat berjemaah sama ada secara zahir atau batin.

Namun, kita gagal menjadikan solat berjemaah sebagai wadah utama dalam kehidupan rumah tangga sekali gus menggagalkan usaha membina institusi kekeluargaan menjadi kuat dan bersatu padu.

Mengakhiri khutbah kali ini, marilah sama-sama kita ambil pengajaran dan penghayatan sebagai pedoman dalam hidup ini.

Antaranya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa keluarga itu merupakan anugerah Allah SWt yang tidak ternilai bagi setiap insan.

2. Setiap insan hendaklah melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dalam memperkukuhkan institusi kekeluargaan.

3. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa kejayaan dan kebahagiaan sesebuah keluarga itu menjadi faktor kebahagiaan dan keharmonian sesuatu masyarakat.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah : 71)

Khutbah Jumaat: Kematian Suatu Kepastian

Petikan Khutbah Jumaat 23 Julai 2021M/ 13 Zulhijjah 1442H JAWI

Kematian Suatu Kepastian

Kematian adalah suatu yang pasti akan tiba bagi sesiapa jua tanpa dilewatkan atau diawalkan biarpun sesaat.

Tanpa mengira usia, penyakit atau di mana sahaja kita berada, ketentuan Allah SWT itulah yang mengatasi segala-galanya.jawi_logo.jpg

Sesungguhnya bagi orang yang beriman dengan qada’ dan qadar tidak akan sekali-kali menyesali atau mempertikaikan segala ketentuan Allah SWT apatah lagi jika melihat kematian seseorang yang sangat dikasihi di depan mata.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab, ayat 16 yang bermaksud : “Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja.”

Bersediakah kita untuk menghadapi saat kematian? Masihkah lagi kita berterusan hidup dalam kealpaan?

Justeru, marilah kita persiapkan diri dengan bekalan amalan dan kebajikan, sentiasa melakukan taubat atas segala dosa yang pernah dilakukan, banyakkan mengingati mati, meminta maaf daripada orang lain dan memaafkan, melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebaik-baiknya dan pupuklah jiwa untuk mencintai akhirat melebihi segala isi dunia.

Kebelakangan ini kita menyaksikan kematian yang disebabkan oleh wabak COVID-19 sangat tinggi di negara ini.

Betapa sedih dan pilu bagi mereka yang kehilangan orang yang tersayang akibat penyakit ini bahkan tidak dapat menatap wajah buat kali terakhir dan mengiringi ke pusara kerana akur dengan arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri mereka.

Oleh itu, percayalah bahawa COVID-19 itu benar. Jangan sampai kehilangan insan yang dikasihi barulah kita sedar untuk mematuhi arahan pihak berkuasa sedangkan Islam mengajar kita untuk menjauhi mudarat.

Hargailah pengorbanan para petugas barisan hadapan yang setiap hari mempertaruhkan nyawa demi melepaskan negara kita daripada cengkaman pandemik ini.

Kita amat bersyukur kerana segala tugas pengurusan jenazah COVID-19 di hospital dan di tanah perkuburan dapat diuruskan dengan sangat baik.

Biarpun para petugas termasuklah penggali kubur dan pengurus jenazah berhadapan dengan risiko jangkitan, namun mereka dapat menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan sempurna.

Semoga Allah SWT memberikan ganjaran pahala yang besar kepada mereka atas pengorbanan menjalankan fardu kifayah tanpa mengira masa.

Mimbar mengambil kesempatan ini untuk mengajak sidang Jemaah sekalian untuk mendoakan para petugas pengurusan jenazah diberikan kekuatan, kesabaran, pemeliharaan dan keselamatan daripada jangkitan wabak.

Marilah juga kita mendoakan mereka yang telah terkorban agar dikurniakan kerahmatan, keampunan dan ketenangan serta doakan ahli keluarga mereka dikurniakan ketabahan, kesabaran dan dihilangkan kesedihan.

Semoga Allah SWT mengangkat musibah wabak ini daripada kehidupan kita.

Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Usamah bin Zaid Radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah SAW bersabda : Bermaksud : “Sesungguhnya milik Allah lah segala yang dia ambil dan milik-Nya segala yang Dia beri. Segala sesuatu memiliki ajal yang telah ditetapkan disisi-Nya. Maka dari itu bersabarlah dan berharaplah pahala.”

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, bersama-samalah kita membantu kerajaan dan semua agensi yang terlibat dengan pengurusan musibah ini dengan terus memberikan kerjasama terhadap usaha-usaha memutuskan penularan wabak ini agar tiada lagi nyawa yang terkorban.

Mengakhiri khutbah, hayatilah beberapa kesimpulan sebagai panduan kita bersama:
Pertama: Kematian adalah suatu yang pasti tiba kepada setiap orang. Persiapkan diri untuk menghadapi kematian demi kebahagiaan abadi di akhirat.

Kedua: Percayalah bahawa COVID-19 itu benar. Pelihara nyawa dengan mematuhi setiap arahan pihak berkuasa untuk mengelakkan mudarat yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Ketiga: Hargai pengorbanan para petugas barisan hadapan yang setiap hari mempertaruhkan nyawa demi melepaskan negara kita daripada cengkaman pandemik ini.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Mulk ayat 2  Bermaksud : “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”