August 6th, 2021

Khutbah Jumaat : Covid-19 Elakkan Bicara Tanpa Pahala

Petikan Khutbah Jumaat 06 Ogos 2021M / 27 Zulhijjah 1442H: JAIS

Covid-19 Elakkan Bicara Tanpa Pahala

Dalam suasana yang tidak menentu kini akibat pandemik Covid-19 dan pelbagai ancaman lain yang sedang meragut kebahagiaan kemanusiaan, terlalu banyak unsur-unsur negatif yang muncul dan memberi kesan kepada perwatakan manusia.jais.jpg

Ada yang menghadapi konflik diri, nilai, kekeluargaan dan persahabatan. Juga konflik pendapatan yang turut membelenggu hidup hingga ada yang terpaksa hidup melarat.

Tuntutan Standard of procedure (SOP) pandemic Covid-19 yang antaranya berteraskan jarak berkomunikasi, sedikit sebanyak memberi kesan agak besar bukan sahaja kepada corak dan bentuk perhubungan, malah yang lebih besar dari itu ialah tertib lisan dan fizikal juga kadangkala mencerminkan kita semua hidup dalam tekanan yang bersangatan sifatnya.

Namun begitu, bagi Manusia yang celik akalnya akan menjadikan modal ‘masa’ yang diberikan oleh Allah SWT memperbaiki kekurangan yang ada dalam hidupnya. Ini kerana dunia ini tidak lama. Masa yang berbaki tinggal sedikit.

Tanda-tanda akhir zaman saat untuk dikiamatkan oleh Allah sudah terlalu hampir dan telah pun ditunjukkan oleh Allah SWT tetapi kita masih lagi dengan perangai yang lama, seolah-olah kita tidak akan mati.

Oleh itu, lakukanlah amal soleh sebaik mungkin. Masa yang ada dan yang akan datang itu sewajarnya dimanfaatkan.

Carilah reda Allah SWT. Kita tidak tahu bila masa kita bakal berjumpa Allah.

Amalan kita sedikit, maksiat kita banyak.

Kita habiskan umur kita dalam keadaan sia-sia.

Manfaatkan diri kita yang masih wujud termasuk lidah kita.

Dengan lidah, kita mampu berzikir atau saling nasihat menasihati sehingga mampu menabung banyaknya ganjaran pahala.

Namun sebaliknya juga dengan lidah mampu mengikis tabungan ganjaran pahala seseorang lalu menyeretnya ke neraka jika tidak dimanfaatkan ke arah kebaikan.

Justeru itu kesedaran seseorang itu terhadap fungsi dan bahaya lidah akan mendorong diri untuk menjaga lidah dengan ertikata lain tidak bercakap-cakap kecuali percakapannya itu bermanfaat yang akhirnya mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Hadis daripada Abu Hurairah Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara kebaikan seseorang Islam itu ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat.” (Riwayat Al-Tirmizi)

Sesuatu yang tidak bermanfaat di dalam hadis ini boleh dimaksudkan berbentuk perkataan atau perbuatan, perkara yang haram ataupun makruh atau perkara yang harus yang tidak memberi manfaat. Justeru itu untuk menghindari dari bicara tanpa pahala ini hendaklah kita berusaha mengucapkan sesuatu yang mengandungi kebaikan-kebaikan.

Kalau tidak mampu melaksanakannya? Maka berdiam diri, kerana itulah tindakan yang lebih bermakna sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia mengucapkan sesuatu yang baik-baik, atau sebaliknya dia diam sahaja.”

Bicara tanpa pahala juga bererti mengungkap kata-kata yang dianggap keji dalam pertuturan seharian.

Biasanya lafaz-lafaz yang berunsur carutan dan lucah, atau yang seumpamanya sama ada berbentuk sindiran atau lebih dahsyat lagi secara terus terang.

Namun bagi orang yang beriman kepada Allah SWT, nescaya tidak akan tergamak melacurkan lidahnya dengan percakapan dan Bahasa-bahasa yang keji.

Hadis daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu’anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seseorang mukmin itu ialah orang yang banyak mencela, bukan yang banyak melaknat, bukan orang yang keji akhlaknya, dan bukan orang yang banyak berkata mencarut.” (Riwayat Al-Tirmizi).

Sebenarnya orang yang buruk sikapnya akan memandang buruk kepada orang lain. Sentiasa bersangka buruk kepada orang lain.
Malah menganggap orang lain tidak ikhlas, ada kepentingan, nak popular dan sebagainya. Sebenarnya dia yang memiliki sifat-sifat buruk tersebut.

Contoh yang berlaku dalam suasana Covid-19 ini ada orang tidak patuh arahan menghadkan bilangan jemaah dan Jumaat dengan menuduh pihak-pihak tertentu makan gaji buta, tak buat apa, jaga periuk nasi sendiri dan memang suka meninggalkan solat Jumaat.

Sesungguhnya bencana keburukan lidah itu jika diperincikan terlalu banyak seperti dusta, mengumpat, mengadu domba dan lain-lain lagi.

Namun apa yang penting semua itu adalah angkara keburukan lisan.

Kadangkala amat sukar untuk mengawal lisan agar kerap berbicara soal yang baik-baik sahaja, tetapi yakinlah jika hari demi hari lisan kita dididik, diasuh dan diajar berzikir, atau berselawat ke atas Nabi SAW, atau dibasahi dengan bacaan al-Quran, tidak mustahil akhirnya kita mampu menguasai kemahuan dan kehendak lisan,

Betapa bertuahnya kita di saat itu, bibir menguntum senyum simpul kerana terbayangkan ganjaran dan keredaan Allah SWT ketika lisan sedang sibuk bertasbih, bertahmid dan bertakbir

Sesungguhnya tiada satu pun perkataan yang terzahir terlepas daripada catatan Allah.

Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat yang siap sedia mengawai dan mencatat segala-galanya sepertimana firman Allah SWT dalam surah Qaf ayat 18: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

Sesungguhnya bukan sahaja perkataan malah perbuatan yang menamsilkan perkataan seperti jari-jemari juga tidak lari dari pandangan Allah, catatan malaikat yang taat dan pertimbangan neraca Allah Taala di akhirat kelak yang akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada diri kita.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita hayati pengajarannya untuk dijadikan pedoman dalam hidup kita.  Antaranya:

1. Umat Islam perlu menjaga tertib diri sepanjang pandemik Covid19 ini dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak pemerintah.

2. Umat Islam perlu jadikan lidah sebagai alat untuk menabung dan memperbanyakkan pahala dengan berselawat, berzikir atau berkata yang baik-baik sahaja.

3. Umat Islam hendaklah mengutamakan adab-adab dalam berbicara dan berkata-kata agar keharmonian hidup sepanjang menghadapi ujian Covid-19 ini terjaga dengan baik.

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (Surah al-Nisa : 114)

Khutbah Jumaat Cintakan Perdamaian Hindarkan Persengketaan

Petikan Khutbah Jumaat 6 Ogos 2021M/ 27 Zulhijjah 1442H JAWI

Cintakan Perdamaian Hindarkan Persengketaan

Islam menuntut umatnya agar sentiasa memelihara kedamaian dan menjauhi persengketaan.
jawi_logo.jpg

Kita mestilah memainkan peranan di dalam usaha penyatuan umat manusia dengan mengelakkan diri daripada memarakkan api permusuhan sesama insan.


Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat, ayat 10 yang bermaskud: “Sebenarnya orang-orang beriman adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”


Di dalam pepatah Melayu, banyak sekali peringatan agar menjauhkan diri dari sifat permusuhan dan perpecahan yang digambarkan dalam peribahasa seperti larangan menjadi batu api, api dalam sekam, gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut dan lain-lain lagi.


Semua perumpamaan yang diungkapkan dalam peribahasa tersebut adalah perbuatan buruk yang
akan membinasakan persaudaraan sesama manusia.


Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, Di zaman teknologi maklumat di hujung jari ini, masyarakat lebih banyak berinteraksi di alam maya dan terdedah dengan pelbagai berita dan maklumat.


Namun ingatlah bahawa Islam mengajar kita untuk mengamalkan adab Islam dalam pergaulan, menjauhi perbuatan fitnah, menghina orang lain dan mengadu domba.


Sebarang perkhabaran yang tidak benar tentang seseorang atau sesuatu perkara pasti mengundang permusuhan dan perselisihan.


Justeru, kita mestilah berhati-hati ketika menerima sesuatu berita dengan mengamalkan sikap tabayyun.


Penerimaan apa-apa jua berita sekiranya tidak dipandu dengan asas ilmu yang betul akan menjerumuskan masyarakat kepada budaya fitnah dan mengumpat melalui hantaran di media-media sosial secara berleluasa.


Perbezaan pandangan, sikap dan pendekatan adalah perkara lumrah dalam kehidupan bermasyarakat.


Walau bagaimanapun adab dan akhlak mestilah sentiasa dipelihara dalam mengharmonikan perbezaan tersebut.


Kebebasan memberikan pandangan di ruang maya juga kadangkala mengundang perselisihan sehingga membawa kepada keretakan hubungan persaudaraan dan menjadi sebab untuk saling membenci sehingga mendedahkan keaiban masing-masing.


Imam al-Tirmizi meriwayatkan hadis daripada Ibn Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud: “Sesiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya, dan sesiapa yang Allah buka aibnya tentulah Allah akan mendedahkannya walaupun dia berada di dalam rumahnya.”


Marilah kita menjauhi sifat taasub dan tanamkan sikap keterbukaan dalam menerima teguran atas nama kebenaran.


Sifat taasub dan fanatic boleh menyebabkan seseorang itu sukar menerima pandangan orang lain yang bertentangan walaupun pandangan tersebut lebih tepat dan benar.


Sikap hormat dan kagum dengan kebaikan dan keilmuan individu atau kumpulan tertentu tidak ditegah oleh syarak namun janganlah keterlaluan sehingga sukar berlapang dada untuk menerima teguran.


Ketika menghadapi pelbagai situasi dalam kehidupan, kembalikanlah niat untuk mengutamakan kepentingan ummah dan keredaan Allah SWT dalam setiap amalan yang dilakukan.


Hanya dengan sifat toleransi, berkasih sayang dan menjauhi perselisihan, agenda membela kebajikan ummah dapat dijayakan.


Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:


Pertama: Kita mestilah memainkan peranan di dalam usaha penyatuan umat dan mengelakkan diri daripada memarakkan api permusuhan sesame insan.


Kedua: Amalkan adab Islam dalam pergaulan, jauhi perbuatan fitnah, mengumpat, menghina orang lain dan mengadu domba terutama ketika berinteraksi di media-media sosial.


Ketiga: Jauhi sikap taasub secara membuta tuli dan tanamkan sikap keterbukaan serta berlapang dada dalam menerima teguran atas nama kebenaran.


Marilah kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Anfal, ayat 46: Bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan Nya janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”