August 13th, 2021

Khutbah Jumaat: Memahami Makna Peristiwa Hijrah Rasul

Petikan Khutbah Jumaat 13 Ogos 2021M / 04 Muharram 1443H: JAIS

Memahami Makna Peristiwa Hijrah Rasul

Perjalanan hijrah Nabi Muhammad SAW ialah suatu perjalanan kemenangan Islam.jais.jpg

Perjalanan yang diperintahkan oleh Allah SWT yang sudah tentu bukan sebuah perjalanan pelarian seperti yang difahami oleh sesetengah pihak.

Jika pun ada konspirasi untuk membunuh Nabi Muhammad SAW ia bukanlah faktor utama kerana ia adalah perjalanan ketaatan kepada Allah SWT.

Perjalanan Hijrah Nabi Muhammad SAW yang penuh berliku ialah episod pengorbanan dan kejayaan seorang Rasul pembawa obor keimanan.

Kesusahan dan kepayahan yang dilalui merupakan cabaran yang mesti dilalui demi ketaatan kepada Allah SWT walaupun terpaksa meninggalkan sanak saudara dan harta benda.

Namun rahmat Allah dan keampunan-Nya bakal menanti.

Firman Allah SWT dalam surah alBaqarah ayat 218 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan Agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Peristiwa Hijrah Rasul yang menjadi inspirasi kepada ummah mempunyai pelbagai hikmah dan pengajaran.

Ia merakamkan betapa besar maknanya perintah Hijrah ini dalam kelangsungan membawa syiar Islam sebagai agama tauhid.

Malah kejayaan dakwah Nabi Muhammad SAW amat berkait rapat dengan strategi khususnya dalam menjawab sebarang tohmahan musuh-musuh Islam terhadap usaha dakwah Nabi SAW.

Peristiwa Hijrah mencerna minda kita bahawa betapa perancangan yang teratur dan strategik menjadikan rancangan Hijrah itu berjalan dengan begitu sempurna disebalik dugaan yang mendatang.

Lihat sahaja bagaimana tokoh-tokoh penting dalam hijrah Nabi SAW sebagai pembantu-pembantu Nabi yang pintar dalam strategi risikan dan perang saraf, bantuan makanan dan lain-lain lagi yang mesti kita singkap peranan dengan mengkajinya.

Tokoh seperti Saidina Abu Bakar RadhiAllahu Anhu, Saidatina Aisyah RadhiAllahu Anha, Asma’ binti Abu Bakar, Saidina Umar Al-Khattab, Abdullah bin Abu Bakar, Saidina Ali bin Abi Talib dan ramai lagi sahabat Baginda SAW.

Selain itu antara perkara yang mesti diperhati dan dipraktik ialah penggunaan Takwim Hijrah dalam kehidupan harian kita.

Masih ramai lagi yang tidak fasih dan tidak tahu tentang nama-nama bulan dalam kalendar hijrah. Bermula dengan Muharram, Safar, Rabi’ul Awwal, Rabi’ul Akhir, Jumadal Ula, Jumadal Akhirah, Rajab, Sya’ban, Ramadhan, Syawwal, Zulqa’dah dan Zulhijjah. Memang tidak salah menggunakan kalendar Miladi tetapi Kalendar Hijrah itulah sebenarnya identiti kita sebagai umat Islam.

Melihat kepada pentingnya kalendar hijrah kepada umat Islam, sepatutnya umat Islam mengambil roh hijrah dalam kehidupan seharian. Ini kerana berhijrah bukan sahaja berpindah daripada satu tempat ke satu tempat lain tetapi juga hijrah kepada yang lebih baik dan meninggalkan segala larangan Allah Taala.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru Radiallahuanhuma bahawa nabi SAW bersabda: “Seorang muslim itu ialah seseorang yang orang Islam lain selamat daripada (kejahatan) lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah itu ialah seseorang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah”. (Riwayat al-Bukhari).

Semangat Hijrah Nabi Muhammad SAW wajar diambil pedoman dalam situasi berhadapan wabak Covid-19 sekarang ini.

Hijrah mengajar umatnya agar sentiasa bersiap siaga dan berusaha dalam memastikan setiap matlamat dapat dicapai dengan jayanya disamping berdoa dan bertawakal.

Bukan itu saja kesukaran hidup kesan wabak telah dirasai dan memerlukan motivasi dan semangat juang yang tinggi.

Saat ini betapa pentingnya semangat Muhajirin dan Ansar wajar dipraktikkan oleh kita semua dalam usaha membantu saudara-saudara kita yang hilang mata pencarian mereka akibat wabak yang telah melanda.

Kesukaran hidup mengingatkan kita bahawa peristiwa hijrah mengajar umatnya sentiasa menyerahkan segala daya usaha hanya kerana Allah.

Segala kekecewaaan dan kesengsaraan yang dihadapi mengajar kita erti kehidupan.

Oleh itu, teruskan perjuangan kita walaupun terpaksa menghadapi rintangan demi rintangan dalam hidup.

Semoga tahun baru hijrah yang disambut ini memberi nilai dan kekuatan kepada kita dalam menempuh cabaran yang mendatang.
Mengakhiri khutbah kita pada kali ini maka beberapa perkara penting yang mesti difahami antaranya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa hijrah Nabi Muhammad SAW adalah perintah daripada Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah memastikan setiap hijrah ke arah kebaikan didahului dengan perancangan yang rapi.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa berusaha untuk berhijrah ke arah yang lebih baik bagi mendapat ganjaran dan keredaan Allah SWT

“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Nisa’ : 100).

Khutbah Jumaat: Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti

Petikan Khutbah Jumaat 13 Ogos 2021M/ 4 Muharam 1443H JAWI

Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti

Kita telah memasuki tahun baru 1443 hijri dalam suasana yang berbeza daripada kebiasaan akibat pandemik COVID-19.

Biarpun begitu, semangat hijrah mestilah sentiasa dipertingkatkan demi perjuangan meninggikan kalimah Allah SWT dengan sepenuh jiwa dan harta.
jawi_logo.jpg
Firman Allah SWT menerusi Surah At-Taubah, ayat 20: “(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

Tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini ialah Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti yang membawa pengertian yang amat penting kepada umat Islam.

Manhaj Rabbani membawa maksud jalan untuk menjadikan umat ini sentiasa meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dalam segala amalan, perbuatan dan matlamat hidup.

Apabila kita meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dalam cara hidup, sudah semestinya kita dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti. Al-Quran dan hadis sentiasa dijadikan panduan kehidupan.

Inilah asas pembudayaan ilmu pengetahuan yang menjadi kunci utama bagi meningkatkan iman dan takwa untuk melahirkan ummah yang memiliki minda kelas pertama yang berpengetahuan, berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral.

Minda kelas pertama turut difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat menyeluruh.

Justeru, ummah yang berkualiti mestilah menjauhi sikap kelas minda ketiga seperti malas berfikir dan bekerja, suka berlengah, membuang masa, tiada berhemat, kerja sambil lewa, tidak bersemangat, leka dan sebagainya.

Mengambil hikmah daripada peristiwa hijrah, marilah kita berazam untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Realiti hari ini menyaksikan berlakunya keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan masyarakat.

Media-media sosial tidak hanya menjadi sumber ilmu pengetahuan tetapi juga dipenuhi
dengan gejala keruntuhan akhlak terutama dalam kalangan anak-anak muda.

Justeru, kita semua bertanggungjawab dalam memperbetulkan keadaan ini dengan sama-sama melakukan hijrah bermula daripada diri kita sendiri seterusnya menerapkannya dalam keluarga.

Imam an-Nasaie meriwayatkan hadis, daripada Abi Fatimah Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud : “Hendaklah kamu berhijrah kerana ia tiada tandingannya.”

Marilah kita perbetulkan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan bukan hanya kerana keduniaan.

Jalanilah kehidupan beragama menurut al-Quran dan al-Sunnah sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan generasi terdahulu.

Sebagai umat Islam yang cintakan kesucian agama ini, marilah kita bersatu padu dan mengelakkan perselisihan yang boleh membawa kepada perpecahan dan permusuhan sesama kita.

Contohilah golongan Muhajirin dan Ansar, biarpun tiada pertalian darah dan keturunan, tetapi hubungan persaudaraan dan perpaduan yang dijalinkan oleh Rasulullah SAW ini telah menjadikan mereka umat yang paling terbaik, cemerlang, terbilang dan berkualiti.

Justeru, marilah kita  menjayakan aspirasi untuk membentuk ummah yang berkualiti dengan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin menegaskan beberapa perkara sebagai kesimpulan :

Pertama : Semangat hijrah mestilah sentiasa dipertingkatkan demi perjuangan meninggikan kalimah Allah SWT di muka bumi dengan sepenuh jiwa dan harta.

Kedua : Jayakan manhaj Rabbani dengan meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dalam cara hidup supaya kita dapat membina ummah yang berkualiti.

Ketiga : Jadilah ummah berkualiti dengan memiliki minda kelas pertama yang berpengetahuan, berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral.

Renungi Firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah, ayat 218 : Bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang- orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”