August 20th, 2021

Khutbah Jumaat : Rasuah Suapan Yang Terlaknat

Petikan Khutbah Jumaat 20 Ogos 2021M / 11 Muharram 1443H: JAIS

Rasuah Suapan Yang Terlaknat

Sebagai umat Islam kita dianjurkan untuk mencari rezeki yang halal. Islam memberi kebebasan kepada umatnya untuk menjana harta dan kekayaan selagi mana tidak melanggar syariat Allah dan batas-batas kemanusiaan.

Salah satu dari larangan Allah ialah jenayah rasuah. Tahun 2020 menyaksikan kedudukan negara Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah telah jatuh dari tangga 51 ke tangga 57 sekaligus menunjukkan peningkatan rasuah sebanyak 23% peratus, peningkatan ini agak membimbangkan dan sekaligus mengancam kesejahtaraan negara dan keselamatan masyarakat dari pelbagai sudut.jais.jpg

Firman Allah SWT yang dibacakan di awal khutbah tadi dipetik dari Surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orangorang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Rasuah merupakan kezaliman terhadap harta, berupa penerimaan dan pemberian, suapan atau sogokan agar sesuatu kepentingan tercapai.

Suapan tersebut boleh jadi dalam bentuk penerimaan wang yang bukan hak seseorang itu untuk menerimanya, ganjaran atau apa jua yang bernilai.

Kesalahan rasuah termasuk juga penyalahgunaan kuasa boleh berlaku dalam beberapa situasi seperti berikut:-

1. Penerimaan dan pembayaran sebagai dorongan untuk menyegerakan, meluluskan dan menyelesaikan urusan yang berkaitan tugas rasmi.

Contohnya seorang pemohon projek menghadiahkan pakej percutian ke luar negara kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan tender projek kepada syarikat berkenaan.

2. Seseorang menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan keuntungan dengan memberikan kontrak atau kerja-kerja tender kepada ahli keluarga.

Sedangkan seorang yang berintegriti akan mengisytiharkan maklumat itu dan mengecualikan dirinya dari terlibat dengan sebarang keputusan yang berkaitan tender tersebut.

Mereka yang terlibat dengan rasuah telah memilih untuk menjatuhkan maruah diri, mencalarkan kebahagiaan keluarga, menjejaskan keharmonian masyarakat dan mengancam kesejahteraan negara.

Di sisi Rasulullah SAW pula mereka adalah golongan yang terlaknat. Hadis yang daripada Thauban Radiallahu’ahnu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya” (Riwayat Ahmad).

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa setiap orang yang terlibat dengan rasuah iaitu pemberi dan penerima rasuah, pengantara atau proksi bagi kedua-duanya atau sesiapa yang sanggup menjadi keldai tunggangan jenayah rasuah ini, mereka semua dilaknat dan dikutuk.

Seorang yang dilaknat sudah tentu akan jauh dari rahmat dan petunjuk Allah. Lebih hina lagi jika diamati dalam keadaan hidupnya masih bergelumang dengan rasuah yang keji.

Kita dapat melihat kesan buruk jenayah rasuah ini dalam perkara berikut:

Pertama: Rasuah melindungi kejahatan dan menggalakkan berlakunya jenayah secara berleluasa dalam masyarakat.

Kedua: Berlakunya kezaliman dalam tadbir urus kerana menafikan hak mereka yang benar-benar layak.

Ketiga: Kehancuran sistem keadilan dalam sesebuah negara. Rakyat akan hilang kepercayaan terhadap sistem pentadbiran dan pengurusan negara.

Sifat pentingkan diri sendiri, tamak dan ingin hidup mewah dengan cara mudah menjadi pendorong utama kepada seseorang melakukan jenayah rasuah ini.

Iman dan takwa tidak lagi penting baginya, pahala dan dosa tidak dihiraukan kerana dikaburi dengan ganjaran yang banyak di samping kesenangan duniawi.

Faktor tekanan hidup dan kurang sabar, kelemahan dalam pengawalan diri, jahil tentang kesan rasuah terhadap institusi dan negara, kurang ketelusan dan pemantauan dalam pentadbiran sehingga mewujudkan ruang dan peluang untuk melakukan rasuah, semuanya ini turut menyumbang kepada terjadinya gejala rasuah.

Orang yang terlibat dengan rasuah doanya terhijab, amal ibadahnya tidak diterima, sedekahnya tertolak dan di akhirat kelak dia akan bangkit sebagai seorang yang muflis.

Rasuah tidak akan menjadikan seorang itu tenang, kekayaan yang dimiliki akan menjadi bebanan jiwa sepanjang hayat, ketahuilah rezeki terlaknat rezeki yang tiada berkat.

Bayangkan pula anak-anak dan keluarga yang makan dari sumber dan hasil yang haram, pengkhianatan apa yang sedang dilakukan terhadap keluarganya? takutlah jika neraka menjadi tempat kembalinya di akhirat nanti.

Hadis daripada Ka’ab bin ‘Ujrah Radiallahu’anhu bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Ka‟ab bin „Ujrah, tidaklah daging manusia tumbuh dari barang yang haram kecuali neraka lebih utama atasnya.” (Riwayat al-Tirmidzi).

Umat Islam hendaklah mencari dan memastikan rezeki yang diperolehi adalah dari sumber yang halal sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 168: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Bersempena munculnya tahun baru Hijrah 1443 ini kita perlu teruskan tekad dan azam membina kehidupan diri, keluarga dan masyarakat yang lebih baik.

Marilah bersama-sama kita hindari sebarang bentuk rasuah dengan membina jati diri, keimanan, integriti dan sifat amanah yang unggul.

Bersama-sama membanteras penjenayah rasuah sama ada pemberi, penerima atau pengantara dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. Semoga negara kita bebas dari rasuah.

Mengakhiri khutbah hari ini marilah sama-sama kita ambil penghayatan seperti berikut:

1. Umat Islam hendaklah takut kepada azab Allah SWT atas amalan rasuah yang terkutuk.

2. Umat Islam perlu bersatu dan bekerjasama demi mengekang gejala rasuah yang keji ini.

3. Umat Islam hendaklah mengutamakan yang halal dan meninggalkan yang haram dengan serta merta walau apa jua keadaan sekalipun.

“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (al-Baqarah : 195).

Khutbah Jumaat Hubungan Alam dan Pelaksanaan Ibadah

Petikan Khutbah Jumaat 20 Ogos 2021M / 11 Muharam 1443H JAKIM

Hubungan Alam dan Pelaksanaan Ibadah

Ilmu berkaitan astronomi atau disebut sebagai ilmu falak ini merupakan salah satu disiplin ilmu atau yang mengkaji alam langit dan perjalanan objek-objek di langit seperti bintang, bulan dan matahari. Ilmu falak memiliki peranannya yang sangat penting lebih- lebih lagi kepada umat Islam dalam menyempurnakan pelaksanaan ibadah-ibadah tertentu.jakim.jpg

Dari sudut pandang Islam, ilmu falak ini ialah ilmu yang mengkaji segala objek di langit menurut lingkungan syara’.

Kajiannya pula mencakupi aspek kejadian dan kewujudannya, sifat fizik dan metafiziknya, hubungannya dengan Penciptanya, aplikasinya dalam ibadah dan gunaannya dalam pembentukan akhlak.

Asas kepada ilmu astronomi ialah tauhid, mengesakan Allah SWT serta mengembalikan segala teori yang ada kepada Allah SWT dan tidak bertentangan dengan syariat-Nya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Yunus ayat 5 yang dibacakan pada mukaddimah khutbah tadi yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmah sesuatu yang dijadikanNya)”.

Perkembangan ilmu falak telah bermula sejak kewujudan manusia di muka bumi. Sifat manusia yang sentiasa ingin tahu tentang kejadian-kejadian alam, pertukaran malam dan siang, pergerakan matahari, perubahan fasa-fasa bulan, dan taburan bintang di langit menyebabkan manusia sentiasa mengkaji dan meneliti kejadian-kejadian alam tersebut.

Pemerhatian objek-objek di langit digunakan sebagai panduan ketika pelayaran, pertanian, berburu dan lain-lain lagi.

Dapat dirumuskan bahawa pengkajian dan penelitian terhadap objek-objek di langit ketika awal tamadun manusia lebih tertumpu untuk kegunaan pekerjaan manusia sesuai dengan masa, tempat dan pekerjaan masyarakat ketika itu.

Aspirasi awal umat Islam yang menuntut ilmu, menyelidik serta menjalankan aktiviti cerapan bertitik tolak daripada ajaran Islam yang mewajibkan umatnya untuk menuntut ilmu.

Selepas berlakunya peristiwa Hijrah dan pembukaan Kota Mekah, sahabat-sahabat Baginda telah dihantar ke serata kawasan di luar Mekah dan Madinah bagi menyebarluaskan ajaran Islam.

Dengan itu, semakin ramai manusia yang terdiri dari Tamadun Yunani, China dan India ketika itu memeluk Islam dan mengembangkan lagi Tamadun Islam dengan identiti mereka tersendiri. Seterusnya, penterjemahan karya-karya monumental dari Bangsa Yunani dan karya ilmu astronomi India ke dalam Bahasa Arab merancakkan lagi perkembangan ilmu falak Islam.

Perkembangan ilmu falak ini berterusan sehingga zaman Uthmaniyah selepas kurun ke-17 Masihi khususnya di Damsyik dan Kaherah. Empayar Moghul di India dicatatkan sebagai lokasi terakhir terbinanya balai cerap dalam Tamadun Islam.

Antara tokoh ilmuwan Islam yang masyhur dalam ilmu falak dan menjadi rujukan termasuk kepada pengkaji bukan Islam ialah al-Khawarizmi dan al-Biruni.

Awal perkembangan ilmu falak ke negara kita sebahagiannya dipengaruhi oleh ulama Melayu yang menuntut ilmu di Mekah dan Madinah yang didedahkan dengan ilmu falak.

Para ulama ini kemudiannya menyalin semula naskhah-naskhah utama untuk dibawa balik ke Alam Melayu atau membuat karya baharu berdasarkan sumber yang telah dipelajari.

Alam Melayu juga memiliki beberapa tokoh ulama yang masyhur dalam ilmu falak seperti Syeikh Tahir Jalaluddin yang menghasilkan karya Pati Kiraan dan Natijah al-Ummi serta Syeikh Abdullah Fahim yang terlibat dengan peristiwa falak Kemerdekaan Tanah Melayu.

Dalam konteks umat Islam di Malaysia, kepentingan ilmu falak dilihat dalam ruang lingkup yang lebih khusus. Contohnya dalam penentuan waktu solat, penentuan arah kiblat, dan penyusunan takwim.

Malah, pada waktu ini juga waktu penentuan solat sunat gerhana, penetapan awal Ramadhan dan hari raya, serta hari-hari kebesaran Islam yang lain juga berpandukan ilmu falak.

Begitulah pentingnya ilmu falak dalam kehidupan manusia lebih-lebih lagi kepada umat Islam.

Bahkan, yang lebih penting ialah ilmu falak ini membuktikan dan memberikan dalil akal yang jelas lagi nyata tentang kewujudan dan kekuasaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Jaathiyah ayat 3: Maksudnya: “Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman”.

Sempena sambutan Bulan Falak Malaysia sepanjang Bulan Muharram 1443H, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama NGO  dan Jabatan Mufti Negeri-Negeri sedang giat mengadakan pelbagai info, program dan aktiviti falak.

Penganjuran Bulan Falak Malaysia ini bertujuan memberi pendidikan, pendedahan dasar dan ketetapan baharu kerajaan dalam hal ehwal falak, pengaplikasian dalam ibadah dan pelancaran Kriteria Imkanur Rukyah Baharu 1443H yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS )Malaysia, Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Republik Singapura) melalui Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Negara MABIMS pada tahun 2019 yang bertempat di Singapura.

Semoga dengan usaha ini dapat memberi pengetahuan dan input yang banyak serta kefahaman yang jelas kepada seluruh umat Islam seterusnya mencetuskan minat orang ramai bagi mendalami ilmu falak.

Justeru, mengakhiri khutbah pada minggu ini, kesimpulan yang dapat diambil sebagai pengajaran buat kita semua iaitu;

Pertama: Setiap sesuatu yang dijadikan oleh Allah SWT sama ada di bumi dan di langit memiliki peranan dan kepentingan masing-masing yang tersendiri.

Kedua: Ilmu falak atau ilmu astronomi merupakan salah satu disiplin ilmu Islam yang telah melahirkan ramai tokoh dan menjadi rujukan sehingga ke hari ini.

Ketiga: Ilmu falak Islam menekankan konsep ketauhidan kepada Allah SWT.

Keempat: Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

Renungkan firman Allah SWT dalam Surah al-Ra’d ayat 2: Maksudnya: “Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Dia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan)”.