September 3rd, 2021

Khutbah Jumaat : Kepentingan Hadis Nabi Dalam Beragama

Petikan Khutbah Jumaat 03 Sept 2021M / 25 Muharram 1443H: JAIS

Kepentingan Hadis Nabi Dalam Beragama


Al-Quran dan hadis Nabi SAW adalah sumber wahyu yang saling melengkapi antara satu sama lain. Al-Quran berfungsi sebagai kitab yang menjelaskan ajaran agama secara umum.

Sementara hadis Nabi pula berperanan memperincikan ajaran-ajaran umum berkenaan supaya ia dapat diamalkan.
jais.jpg
Sebagai contoh, al-Quran telah memerintahkan umat Islam agar menunaikan solat dan mengeluarkan zakat, seperti yang disebut di dalam surah al-Baqarah ayat 43: “Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat, serta rukuklah kamu (berjemaah) bersama orang-orang yang rukuk.”

Namun, ayat ini hanya menjelaskan perintah solat dan zakat secara umum dan tidak memperincikan hal-hal lain yang berkaitan.

Maka di sinilah, datangnya peranan hadis-hadis Nabi SAW yang memperincikan jenis-jenis solat yang wajib dan yang sunat, menjelaskan waktu solat dan bilangan rakaat, mengajarkan bacaan-bacaan tertentu ketika berdiri, rukuk, iktidal, duduk dan sujud, menghuraikan syarat sah solat, perkara-perkara yang membatalkan solat dan sebagainya.

Demikian juga dengan ibadah zakat. Hadis-hadis Nabi berfungsi menghuraikan jenis-jenis harta yang wajib dizakatkan, menjelaskan kadar minimum yang menjadikan sesuatu harta itu wajib dizakatkan, memperincikan kadar-kadar zakat seperti 2.5%, 1/10, 1/20 dan sebagainya dari harta-harta tertentu.

Semua perincian ini tidak akan diketahui andainya tidak ada hadis Nabi yang memberikan penjelasan lanjut.
Atas sebab inilah Imam al-Awza`iy menegaskan bahawa kitab alQuran sentiasa memerlukan penjelasan agama daripada hadis Nabi SAW.

Demikian juga Imam Ahmad menjelaskan bahawa sunnah-sunnah Nabi berfungsi sebagai penjelas dan pentafsir kepada ayat-ayat al-Quran yang umum.

Tanpa hadis Nabi, banyak ajaran agama tidak dapat difahami dan dilaksanakan dengan betul.

Malah Imam al-Syafie di dalam kitabnya ‘alRisalah’ juga berkata, seandainya tidak ada keterangan dari hadis-hadis Rasulullah, kita tentu tidak tahu bagaimana melaksanakan sesuatu ibadah. Justeru, mengikut hadis-hadis Nabi SAW hakikatnya adalah mengikut perintah Allah SWT jua.

Hal ini telah ditegaskan di dalam surah al-Nisa` ayat 80: Sesiapa yang mentaati Rasulullah, sesungguhnya dia telah mentaati Allah juga.

Para ulama telah menjelaskan bahawa hubungan hadis dengan alQuran berlaku dalam tiga bentuk:

Pertama : Hadis Nabi SAW berperanan sebagai mengukuhkan perkara-perkara yang sudah ada dalam al-Quran seperti kewajipan mempercayai rukun iman, larangan mensyirikkan Allah, kewajipan menunaikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, melaksanakan haji, tegahan menderhaka kepada kedua ibu bapa, keharusan berjual beli dan sebagainya.

Pengulangan isu yang sama di dalam hadis Nabi adalah sebagai pengukuhan terhadap apa yang sudah disebutkan di dalam alQuran.

Kedua : Hadis Nabi SAW berfungsi memperincikan ayat-ayat alQuran yang umum dan mutlak, seperti menghuraikan kaifiyat melaksanakan solat, berpuasa, berzakat, menjelaskan jenis jual beli yang dibenarkan dan yang diharamkan, menghuraikan bentuk-bentuk riba dan seumpamanya.

Perkara-perkara seumpama ini tidak akan dapat difahami melainkan dengan merujuk kepada huraian Nabi dalam hadis-hadisnya.

Ketiga : Hadis Nabi SAW juga menjelaskan perkara-perkara yang tidak pernah disebutkan oleh al-Quran, sama ada dalam bentuk mewajibkan, mengharamkan atau mengharuskan sesuatu perkara, seperti mengharamkan pemakaian emas dan sutera kepada kaum lelaki, menegah memakan haiwan-haiwan yang bertaring dan berkuku tajam, keharusan kontrak perniagaan tertentu seperti kontrak pelaburan, perkongsian untung-rugi dan sebagainya.

Perkara-perkara ini tidak disentuh di dalam al-Quran. Namun hadis-hadis Nabi berperanan memberikan maklumat tambahan kepada manusia.

Ketiga-tiga hubungan ini menunjukkan betapa umat Islam wajib memahami agama Islam melalui al-Quran dan Hadis.

Namun, golongan yang menolak hadis berpendapat, cukuplah alQuran sebagai rujukan dan tidak perlu ditokok tambah lagi dengan hadishadis Nabi SAW.

Golongan ini sebenarnya persis sepertimana yang telah dikhabarkan kepada kita tentang kemunculannya melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Rafi’ Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah sesekali aku temui seseorang daripada kamu yang sedang bersandar di atas sofanya, kemudian datang satu perkara daripada urusanku sama ada perkara itu yang aku suruh atau yang aku larang, namun dia berkata: Aku tidak tahu, apa yang kami temui dalam kitab Allah sahaja yang kami ikut”.

Sedangkan, mengambil hadis dalam beragama bukanlah bererti kita mengetepikan ajaran al-Quran.

Malah merujuk kepada hadis dan sunnah Nabi Muhammad SAW itu sendiri adalah sebahagian dari suruhan alQuran.

Lihatlah bagaimana al-Quran sendiri telah memerintahkan kita supaya mentaati Rasulullah SAW dalam suruhan dan tegahannya menerusi surah al-Hasyr, ayat 7 sepertimana disebut pada awal khutbah ini yang bermaksud: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, hendaklah kamu terima dan amalkannya. Dan apa jua yang ditegahnya kepada kamu, hendaklah kamu patuhi larangannya. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya.”

Justeru, umat Islam tidak boleh mengasingkan hadis daripada alQuran kerana ia akan menimbulkan salah faham dan kesesatan dalam beragama.

Secara logiknya, jika hadis Nabi ditolak dan tidak diamalkan, bagaimana kita dapat mendirikan solat dengan betul? Bagaimana cara berpuasa? Harta apakah yang wajib dizakatkan? Bagaimanakah proses ibadah haji dilakukan? Apakah ciri-ciri halal dan haram dalam jual beli? Dan sebagainya. Separuh dari ajaran agama ini tidak dapat dilaksanakan jika hadis Nabi ditolak ke tepi.

Demikianlah pentingnya hadis Nabi dalam beragama. Tanpa hadis, tentunya umat Islam tidak akan mampu untuk melaksanakan amalanamalan agama.

Barangkali setiap orang akan melaksanakan ajaran agama mengikut selera dan kefahamannya sendiri. Ini akan menyebabkan agama Islam dilihat sebagai cacamarba dan tidak bersistematik.

Justeru, bagi membetulkan asas dalam beragama, Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar menjadikan al-Quran dan hadis sebagai rujukan bersama.

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku telah meninggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab al-Quran dan sunnahku.” (Riwayat Al-Hakim)

Mengakhiri khutbah ini, terdapat beberapa kesimpulan dan pengajaran yang boleh kita fikir dan renungkan.

1. Umat Islam wajib memahami bahawa ajaran agama Islam hanya dapat dilaksanakan dengan betul apabila kita merujuk kepada alQuran dan hadis-hadis Nabi SAW.

2. Umat Islam mestilah menolak golongan anti hadis, golongan yang mempertikaikan keperluan hadis, dan golongan yang berfahaman liberal, sekular dan sebagainya.

3. Umat Islam wajib menyedari bahawa menolak hadis dalam beragama akan menyebabkan ketempangan dalam amalan, kesesatan dalam memahami ajaran Islam dan menyebabkan amalan kita tidak diterima di sisi Allah SWT.

“Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri keluar (dari majlis Nabi) secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintah-Nya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah al-Nur : 63)

Khutbah Jumaat Pemantapan Akidah Tanggungjawab Bersama

Petikan Khutbah Jumaat 3 September 2021M/ 25 Muharam 1443H JAWI

Pemantapan Akidah Tanggungjawab Bersama


Islam menegaskan bahawa akidah yang mantap adalah asas pertama yang perlu disemai ke dalam jiwa anak-anak.
jawi_logo.jpg
Sebagai ibu bapa atau penjaga, kita mestilah memainkan peranan menyempurnakan tanggungjawab besar ini.

Teladani Luqman al-Hakim sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat ke 13 yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya sedang dia menasihatinya “Wahai anak kesayanganku, janganlah kamu mensyirikkan Allah (dengan sesuatu apa pun), sesungguhnya syirik itu benar-benar suatu kezaliman yang besar.”

Memupuk akidah yang mantap ertinya menanamkan keyakinan terhadap Allah SWT sebagai Tuhan yang layak disembah dan yang memiliki kuasa mutlak dalam menentukan apa juga takdir ke atas semua makhluk-Nya.

Di samping itu, akidah yang mantap mampu mendorong mereka melakukan amal kebaikan dan menghindarkan diri dari dosa lantaran gerun pada azab neraka.

Asas akidah ini akan membantu anak-anak kita kuat dan mampu menghadapi apa juga cabaran hidup sebagai hamba Allah.

Tanpa iman, perlakuan maksiat dan dosa dipandang remeh bagaikan tiada apa-apa.

Inilah yang dinyatakan Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari daripada Abdullah bin Mas’ud RA : Maksudnya: “Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosa-dosanya seolah-olah dia duduk di bawah gunung yang ditakuti akan menimpanya, sebaliknya seorang fajir (pelaku dosa) melihat dosanya hanya bagaikan seekor lalat yang hinggap di hidungnya.”

Usaha-usaha memantapkan akidah perlu dilakukan sejak di awal usia dan dibuat secara berterusan.

Tingkatkan penghayatan Islam dengan pengajian bersumberkan al-Quran dan al-Hadis.

Pupuk jiwa mereka dengan akhlak dan pekerti mulia berasaskan keikhlasan dan kesedaran betapa Allah sentiasa mengawasi semua hamba-Nya.

Hasilnya, anak-anak yang membesar dalam suasana keimanan ini akan mampu menjalani kehidupan di dunia dengan bahagia dan membahagiakan insan-insan lain.

Jiwa mereka subur dengan watak kehambaan lantaran dibajai dengan rasa bertuhan yang ampuh.

Mimbar mengambil kesempatan untuk mengingatkan para jemaah sekalian supaya berwaspada dan berhati-hati dengan ajaran-ajaran yang menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar dan memastikan anak-anak serta ahli keluarga tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran sesat tersebut.

Baru-baru ini telah tular di media sosial mengenai kumpulan ajaran tertentu yang menggunakan media sosial untuk mendoktrin fahaman ajaran menyeleweng yang menggusarkan masyarakat Islam.

Media sosial seperti facebook, youtube dan telegram digunakan sebagai medium utama untuk menyebarkan fahaman mereka antaranya mendakwa boleh berinteraksi secara nyata dengan malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

Fahaman-fahaman ini boleh membawa kepada keruntuhan akidah yang benar.

Justeru, marilah kita turut sama memainkan peranan dalam memastikan diri kita dan keluarga terutama anak-anak sentiasa mendapat didikan Islam yang sebenar serta jauh daripada sebarang ajaran dan fahaman yang membawa kepada penyelewengan akidah.

Berdoalah selalu agar kita sentiasa dibantu dan dipandu dalam usaha memantapkan akidah anak-anak.

Semoga impian melahirkan generasi umat Islam yang sentiasa mendapat limpahan rahmat dan keampunan Allah SWT terlaksana jua.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Ibu bapa atau penjaga mestilah menyempurnakan tanggungjawab menyemai akidah yang mantap ke dalam jiwa anak-anak.

Kedua: Akidah yang mantap membantu anak-anak untuk kuat menghadapi cabaran hidup dan mendorong mereka melakukan kebaikan dan menghindari dosa.

Ketiga: Pastikan diri kita dan keluarga sentiasa mendapat didikan Islam yang sebenar serta jauh daripada sebarang ajaran dan fahaman yang membawa kepada penyelewengan akidah.

Marilah kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 14: Bermaksud: “Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan Kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika Kami menyembah yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."