September 10th, 2021

Khutbah Jumaat: Kesenangan Dan Kesusahan Adalah Ujian

Petikan Khutbah Jumaat 10 Sept 2021M / 03 Safar 1443H: JAIS

Kesenangan Dan Kesusahan Adalah Ujian

Setiap daripada kita pasti pernah melalui pahit getir ujian dan dugaan, kepayahan menghadapi cabaran hidup serta kesedihan yang sukar dilupakan.

jais.jpgBukan itu sahaja, pasti kita juga pernah mengalami saat-saat bahagia, nikmat kegembiraan apabila mendapat apa yang dihajati serta rasa manisnya kehidupan apabila memperoleh banyak kesenangan.

Kesemua situasi itu adalah sebenarnya ujian yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kita hamba-hamba-Nya untuk menduga kekuatan iman dalam hati kita.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’ ayat 35: “Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

Ayat ini memberitahu kita bahawa ujian daripada Allah bukan sekadar datang dalam bentuk kepayahan atau kesedihan.

Kita juga akan diuji melalui pelbagai nikmat, kebahagiaan dan kesenangan untuk melihat sama ada kita akan menjadi hamba Allah yang bersyukur atau kufur dengan nikmat yang diberikan.

Pernahkan kita mengalami situasi di mana kita sering diuji dengan kepayahan dan pelbagai masalah, sehingga kadangkala membuatkan kita berasa seperti dunia ini tidak adil, kerana hidup kita tidak seindah kehidupan orang lain?

Perasaan ini tidak sepatutnya terdetik sama sekali dalam hati kita, kerana ia seolah-olah kita menyalahkan Allah SWT atas apa yang berlaku kepada diri kita.

Sebaliknya, sebagai seorang hamba-Nya yang bertakwa, kita hendaklah menganggap setiap kepayahan itu sebagai ujian daripada Allah untuk mengajar kita erti sabar dan erti berusaha serta tidak berputus asa terhadap apa yang kita mahukan.

Percayalah kepada janji-janji Allah kepada orang yang sabar, bahawa nikmat sabar itu amat indah dan hanya Dia yang Maha Mengetahui akan hikmah di sebalik setiap ujian yang menimpa hamba-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 156-157 sebagaimana dibacakan pada mukaddimah khutbah ini yang bermaksud: “…(iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun’.

Mereka itulah orang yang mendapat keberkatan sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.”

Justeru, bagaimana untuk memastikan bahawa kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang berburuk sangka kepada Allah SWT?

Jawapannya, adalah kita hendaklah sentiasa bersabar dan bersyukur dengan setiap ujian, menjaga solat dan memelihara hati daripada perasaan-perasaan yang tidak selayaknya sebagai seorang hamba.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 45: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”

Justeru itu, janganlah sesekali kita menganggap ujian itu sebagai satu bentuk seksaan, hukuman mahupun ganjaran yang akan berkekalan.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW dan para anbiya’ yang lain juga diuji dengan pelbagai ujian yang lebih dahsyat, apalah sangat jika hendak dibandingkan ujian yang menimpa kita, sebagai insan biasa ini.

Jadi, selepas ini, jika kita diuji dengan nikmat atau kesusahan, teruskan bersabar, jaga hubungan kita dengan Allah dan pelihara hati dan jiwa daripada melakukan sesuatu yang menjejaskan keimanan kita.

Relevan dan hubungkait antara tajuk khutbah pada kali ini ialah isu global yang berlaku di negara kita khususnya dan dunia amnya ialah penularan wabak Covid-19 yang sehingga kini masih belum reda dengan laporan-laporan terkini yang berlaku.

Sebagai umat Islam, apa sahaja yang terjadi di atas muka bumi ini sekalipun gugurnya sehelai daun dari pokok jatuh ke tanah, pegangan kita bahawa:

1. Berlaku dengan izin dan ketentuan dari Allah.

2. Berlaku dengan kekuasaan Allah.

3. Berlaku dalam ilmu Allah.

Antara pegangan asas umat Islam dalam isu ini ialah sabar, mengadu, merintih dan terus bergantung harap kepada Allah SWT.

Lihat bagaimana kisah yang dirakamkan oleh Allah SWT yang menguji Nabi Ayub Alaihissalam dengan penyakit yang misteri dan membelenggu dirinya. Sikap Nabi Ayub Alaihissalam tidak membentak dan merungut dengan mempertikaikan ketentuan ujian atas dirinya. Baginda terus bersabar sekalipun Iblis cuba untuk mendatangkan keraguan dan merosakkan imannya dengan ujian yang menimpa atas dirinya.

Dalam keadaan ditimpa musibah seperti wabak Covid-19 ini, umat Islam wajib bersangka baik pada menerima ketentuan dari Allah.


Ini kerana Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dalam ketentuan-Nya setiap kesabaran atas kesusahan yang dialami sampai masa diizinkan oleh-Nya maka keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala.

Hadis daripada Ibnu Abbas Radiallahu’anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dan ketahuilah, sesungguhnya pada kesabaran ke atas apa yang kamu tidak sukai adanya kebaikan yang banyak, sesungguhnya pertolongan-Ku (dari Allah) bersama sifat sabar, dan sesungguhnya kelapangan itu bersama kepayahan, dan sesungguhnya kesusahan itu bersama kesenangan.” (Riwayat Ahmad).

Antara hikmah sesuatu ujian ke atas manusia ini ialah tapisan dari Allah bagi memperlihatkan sikap kalangan orang beriman yang sebenarnya atau sebaliknya.

Sebab itu sikap orang beriman, sentiasa mencari hikmah di sebalik sesuatu ujian dan kejadian agar mereka kembali kepada Allah.


Bersabar dan semakin tinggi keimanan kepada Allah yang Maha Berkuasa. Firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 31: “Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orangorang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.”

Bersangka baiklah, mungkin Allah hendak mengangkat darjat kita melalui ujian yang diberikan itu. Allah mahu menghapuskan dosa-dosa kita, dan Allah mahu memberi pahala kepada kita. Maka, senyum dan berbahagialah menjadi insan pilihan yang diuji-Nya.


Bukan beratnya ujian yang membuat kita lemah, tapi ringannya hubungan kita dengan Allah yang menyebabkan kita seakan tidak dapat menanggungnya.

Mengakhiri khutbah kali ini, khatib ingin berpesan kepada hadirin sekalian agar mengambil pedoman-pedoman berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa kesenangan dan kesusahan adalah ujian yang akan dihisab di akhirat kelak.

2. Umat Islam hendaklah mempersiapkan diri dengan sifat sabar apabila diuji dengan kesenangan dan kesusahan.

3. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa orang yang beriman pasti akan diuji sama ada ujian kesenangan atau ujian kesukaran.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”. (Surah al-Ankabut : 2).

Khutbah Jumaat Bersama Bangunkan Negara, Kita Keluarga Malaysia

Petikan Khutbah Jumaat 10 September 2021M/ 3 Safar 1443H JAWI

Bersama Bangunkan Negara, Kita Keluarga Malaysia

Islam adalah agama yang mengajar erti persaudaraan dan kasih sayang sesama insan.

Hakikatnya manusia saling memerlukan antara satu samalain seumpama sebuah keluarga. Inilah fitrah kejadian manusia yang tidak mampu untuk hidup bersendirian.
jawi_logo.jpg
Biar pun kita datang daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya, namun kita dapat bersatu atas dasar kemanusiaan.

Perkara ini jelas menerusi firman Allah SWT, surah an-Nisa’, ayat 1 yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang telah menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.”

Jelas menerusi ayat tersebut Allah SWT menarik perhatian manusia supaya kembali mempertaut hubungan silaturrahim dan mengenepikan sebarang permusuhan kerana hakikat asal-usul kejadian semua manusia adalah berpangkalkan Nabi Adam AS dan isterinya Hawa.

Menerusi ajaran Islam, kita bukan sahaja dituntut untuk saling memberi pertolongan antara satu sama lain, malah kita juga perlu menjaga keutuhan dan mengukuhkan persaudaraan sesama insan.

Ingatlah peringatan Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada ‘Aisyah Radhiyallahu ‘anha, Baginda SAW bersabda:  Bermaksud: “Orang yang paling Allah benci adalah orang yang keras kepala lagi suka membantah.”

Membangunkan negara adalah suatu usaha yang berat dan memerlukan kerjasama yang padu daripada semua pihak.

Tambahan pula situasi negara pada masa kini yang masih berhadapan dengan ketidakstabilan ekonomi dan ancaman kesihatan ekoran wabak COVID-19 serta pelbagai lagi ujian yang telah menimpa kehidupan kita.

Jika kita masih lagi berbalah sesama kita dan tidak bersedia untuk berlapang dada serta bersikap toleransi, maka sudah pasti pembangunan masyarakat dan negara akan turut terjejas.

Aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ oleh kerajaan adalah suatu yang tepat ketika negara berdepan dengan pelbagai krisis.

Pendekatan ini sejajar dengan tuntutan kebersamaan semua pemimpin dan masyarakat untuk saling bantu membantu tanpa mengira latar belakang, warna kulit, bangsa, agama dan politik.

Ia menuntut muafakat dan semangat solidariti kita bersama untuk saling berganding bahu menangani situasi mencabar yang dihadapi oleh mereka yang sangat terkesan dengan pandemik ini.

Ingatlah firman Allah SWT menerusi surah al-Maidah, ayat 2: Maksudnya: “... Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Ketika kita berhadapan dengan suasana getir untuk menjayakan agenda pemulihan negara, ikatan dan nilai kekeluargaan ini adalah suatu yang amat berharga.

Justeru, khatib menyeru semua pihak untuk mengetepikan perbezaan yang ada dan memperbaharui azam dan tekad untuk menabur khidmat bakti kepada masyarakat serta terus fokus kepada agenda membangunkan negara.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Fitrah kejadian manusia tidak mampu untuk hidup bersendirian. Biar pun kita datang daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya, namun kita dapat bersatu atas dasar kemanusiaan.

Kedua: Sebagai warganegara kita bertanggungjawab untuk turut sama dalam usaha membangunkan negara dengan memelihara keharmonian dan mengelakkan perbalahan.

Ketiga: Marilah kita bermuafakat dan menyatakan solidariti untuk saling berganding bahu menjayakan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ supaya agenda pemulihan negara dapat dicapai.

Marilah kita hayati firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 175: Bermaksud : “Oleh itu, orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (ajaran al-Quran) ini, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya (yang khas iaitu Syurga) dan limpah kurnia-Nya (yang tidak terkira), dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (jalan agama Islam), yang membawa kepada-Nya.”