September 17th, 2021

Khutbah Jumaat: Sepuluh Wasiat Allah Dalam Al-Quran

Petikan Khutbah Jumaat 17 Sept 2021M / 10 Safar 1443H: JAIS

Sepuluh Wasiat Allah Dalam Al-Quran

Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am ayat 151-153 mengandungi sepuluh wasiat Allah yang wajib kita patuhi dan menjadi kandungan utama khutbah pada kali ini.

Wasiat pertama : ِ “Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun...”
jais.jpg
Jangan mensyirik atau menyekutukan Allah. Syirik atau menyekutukan Allah dengan sesuatu adalah perkara yang paling berbahaya, sekaligus mencakupi segala kejahatan, bahkan kejahatan yang teratas yang tidak diampunkan Allah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 116 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu (apa jua) dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan hukum-hukum-Nya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”

Syirik ada dua: iaitu syirik nyata dan syirik tersembunyi. Syirik nyata ialah apa juga bentuk ibadah dan sembahan selain Allah dan syirik tersembunyi ialah riak iaitu beramal untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia.

Wasiat kedua: “...dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa...”

Dalam surah yang lain melalui surah Al-Isra ayat 24 Allah SWT berfirman: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Terlalu banyak celaan orang yang derhaka kepada ibubapa, antaranya tidak masuk syurga orang yang derhaka kepada ibubapanya.

Wasiat ketiga: “Dan janganlah kamu membunuh anak kamu kerana takutkan kelaparan. Kami yang memberi rezeki kepada mu dan anakmu..”

Allah SWT melarang mengubur hidup-hidup anak perempuan dan membunuh anak lelaki kerana takut miskin atau melarat, Allah memberi rezeki kepada ibubapa dan anak yang bakal lahir.

Dari itu jangan takut miskin yang hanya sangkaan, dan jangan pula takut melarat pada masa hadapan. Tanggungjawab kita berusaha dan mendidik dengan baik anakanak kita agar mematuhi ajaran agama yang benar serta berakhlak mulia.

Wasiat keempat: “..dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi..” Iaitu setiap perbuatan dosa besar, kejahatan dan keburukannya, sama ada perkataan atau perbuatan.

Begitu juga kemungkaran yang dilakukan dengan sembunyi-sembunyi dan tertutup. Pada masa jahiliyyah, mereka melihat zina secara sembunyi tidak salah, yang terang-terangan baru dianggap buruk. Samalah seperti perbuatan zina sekarang, ia dianggap salah kalau tiada keredaan kedua belah pihak.

Wasiat yang kelima: “..dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak)..”

Allah melarang membunuh manusia tanpa alasan yang benar. Samalah seperti apa yang berlaku sekarang ini, pembunuhan bayi tanpa ada perasaan kasihan dan lain-lain pembunuhan yang dilakukan dengan kejam.

Wasiat keenam: “Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri)..”

Wasiat keenam ini ialah perintah menjaga harta anak yatim dengan baik. Berdosa besar sekiranya harta anak yatim itu tidak diurus dengan betul dan mengambilnya tanpa alasan yang benar.

Wasiat ketujuh: “…dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya…”

Wasiat dan perintah ini berkaitan menepati timbangan dan ukuran dengan adil. Allah mencela orang yang menipu dalam timbangan dan ukuran. Iaitu orang yang bila menimbang untuk orang ia kurangi, dan apabila menerima timbangan dan ukuran, mereka minta penuhi.

Amaran Allah melalui firman-Nya dalah surah Al-Mutaffifin ayat 1-3 yang bermaksud: “kecelakaan besar bagi orang-orang yang menipu (dalam timbangan dan sukatan) iaitu mereka yang jika mereka menerima timbangan dari orang lain, mereka minta dipenuhi. Dan sebaliknya apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.”

Wasiat kelapan: “..dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu)..”

Sebagai contoh adil dalam memberikan kesaksian, komen, like, share dan subscribe sesuatu mestilah dengan neraca keadilan.

Berdosa besar atas orang yang berbuat zalim kepada sesama manusia walaupun melibatkan kaum kerabat sendiri sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Umar Radiallahu’anhuma bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengambil tanah (meskipun) sedikit tanpa haknya maka dia akan ditenggelamkan dengan tanahnya pada hari kiamat sampai ke dasar tujuh lapis bumi.” (Riwayat al- Bukhari).

Wasiat kesembilan: “..dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan..”

Umat Islam wajib menepati janji yang berkaitan dengan syariat Allah, setiap apa yang dihalalkan, diharamkan, diwajibkan dan apa yang ditentukan hukumnya dalam Al-Quran.

Wasiat kesepuluh ialah mengikuti Al-Quran. “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutinya.”

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita sama-sama mengambil pengajaran dan penghayatan untuk dijadikan pedoman dalam hidup ini seperti berikut:

1. Umat Islam hendaklah mematuhi segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang.

2. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa setiap kebaikan akan dibalas dengan syurga dan setiap kejahatan pula akan dibalas neraka.

3. Umat Islam hendaklah kekal istiqamah dengam agama Islam dan tidak terpengaruh dengan ajaran sesat dan syirik.

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (Agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-An’am: 153).

Khutbah Jumaat: Persamaan Dalam Perbezaan

Petikan Khutbah Jumaat 17 September 2021M / 10 Safar 1443H JAKIM

Persamaan Dalam Perbezaan

Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya bersatu menjadi umat yang kuat dan secara spiritual dan fizikal serta menjaga hubungan kemanusiaan antara sesama umat manusia atas dasar saling menolong, bekerjasama dalam kebajikan dan menjauhkan diri dari meninggalkan agama Allah SWT.
jakim.jpg
Firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 103 yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”.

Berdasarkan dalil ini, kita semua perlu menyedari bahawa hakikat manusia sebenarnya merupakan sebuah keluarga besar yang berasal daripada ibu bapa yang sama (Adam ‘Alaihissalam dan Hawa ‘Alaihassalam).

Setelah itu, keadaan manusia yang bertebaran di muka bumi telah menemukan mereka untuk hidup bermasyarakat dan saling berhajat antara satu sama lain. Hal ini kerana, kebolehan setiap orang dan pemilikan sumber hasil yang berlainan tetapi masing-masing saling memerlukan.

Hari Malaysia merupakan salah satu hari bersejarah Negara kerana ia merupakan sambutan bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh yang sama pada tahun 1963.

Ia menandakan penggabungan bersama Tanah Melayu, Sabah, Sarawak bagi membentuk Negara Malaysia.

Penggabungan ini pastinya telah menambahkan lagi kepelbagaian bangsa dan budaya dalam Negara. Kemajmukan masyarakat dalam negara kita ini merupakan salah satu keunikan yang menunjukkan kepada kebijaksanaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13: Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Al-Quran telah menegaskan tentang hubungan sesama manusia yang berkonsepkan sebuah keluarga besar.

Manusia menjalinkan hubungan silaturrahim dan diwajibkan berta‘aruf serta berta‘awun (berhubungan untuk saling mengenal bagi saling menolong) dalam perkara yang baik dengan semua pihak.

Allah Maha Berkuasa untuk menjadikan seluruh manusia menjadi umat yang satu, yakni menganut satu agama, satu keyakinan, atau satu pendapat, tetapi Allah SWT tidak menghendaki demikian, melainkan memberikan kebebasan kepada manusia untuk memilih.

Walaupun Allah SWT memberi mereka kebebasan memilih, mereka sentiasa tetap berselisih pendapat tentang kebenaran, lantaran mereka mengikuti hawa nafsunya.

Firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 118: Maksudnya: “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.”

Mengenang sejarah kemerdekaan dan pembentukan negara ini akan dapat membangkitkan rasa syukur kepada Allah SWT dan penghargaan yang tinggi kepada generasi terdahulu.

Semua kaum dan bangsa telah bersama-sama menentang penjajah dengan ideologi yang berbeza, tetapi berkongsi hala tuju yang sama iaitu mahu mencapai kemerdekaan daripada cengkaman penjajah yang zalim.

Inilah titik persamaan yang menjadi faktor kepada kesepaduan masyarakat di negara ini yang berbilang agama dan bangsa.

Dalam konteks kehidupan bermasyarakat majmuk, Rasulullah SAW menggalakkan kepada umatnya supaya menimba ilmu dan mengambil pengalaman yang berfaedah walaupun daripada kaum bukan Islam dalam urusan duniawi.

Ilmu dan pengalaman yang ditimba ini seterusnya akan seiring dengan ruh Islam dan akhirnya dapat mengawasi kemajuannya dari aspek positif dan menolak segala aspek yang negatif.

Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk segera mencari jalan keluar sekiranya berlaku sebarang perselisihan.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Kita tidak boleh membiarkan saudara-saudara kita berada dalam perselisihan. Hal ini kerana Rasulullah SAW telah mengingatkan bahawa, tidak akan sempurna keimanan seseorang melainkan dia dapat mencintai saudara seimannya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Membiarkan perselisihan tanpa ada usaha menyelesaikannya akan menghasilkan keburukan dan akibat yang bukan sahaja memberi impak negatif kepada mereka yang berselisih, tetapi juga kepada seluruh umat manusia.

Maka, dalam situasi hari ini, pastinya tumpuan kepada pemulihan negara merupakan matlamat utama seluruh anggota masyarakat walaupun kita berbeza agama, bangsa, kaum dan ideologi.

Titik persamaan inilah yang menjadi titik pertemuan kita semua dalam usaha membangunkan sebuah negara yang berdaulat, selamat sejahtera, dan kukuh dari segi spiritual, ekonomi, kesihatan awam, pendidikan dan sosialnya.

Justeru, marilah kita bersatu pada titik persamaan dengan semangat Keluarga Malaysia.

Janganlah bertindak melampau dalam perbezaan sesama kita, tetapi sentiasa berbincang dengan penuh kebijaksanaan mencari kebenaran dalam perkara yang berbeza.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin merumuskan khutbah kepada beberapa inti pati iaitu;

Pertama: Hakikat asal manusia merupakan sebuah keluarga besar yang berasal dari ibu bapa yang sama iaitu nabi Adam ‘Alaihissalam dan Hawa ‘Alaihassalam.

Kedua: Kemajmukan masyarakat di negara ini perlu disantuni dengan ta’aruf (Saling berkenalan) dan ta’awun (saling menolong dalam perkara kebaikan).

Ketiga: Sebarang perselisihan boleh diketepikan jika kita menumpukan kepada titik persamaan dalam perjuangan pemulihan negara.

Firman Allah SWT dalam Surah al-‘Asr: Maksudnya: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.