November 5th, 2021

Khutbah Jumaat : Waspada Jangan Terleka

Petikan Khutbah Jumaat 05 Nov 2021M / 29 Rabi’ul Awwal 1443H: JAIS

Waspada Jangan Terleka

Kita sedia maklum pada tanggal 11 Oktober 2021 yang lepas Kerajaan Malaysia telah membenarkan kita untuk merentas negeri setelah beberapa ketika kita terhalang dari berbuat demikian.

Rasa syukur dan gembira tergambar di wajah masing-masing setelah dua tahun kita terhalang untuk balik ke kampung dan berjumpa insan tersayang.jais.jpg

Ia adalah satu rahmat dan kegembiraan namun kita haruslah beringat ia bukanlah satu lesen untuk kita lepas dan tanpa kawalan kendiri dan bebas tanpa SOP.

Dua dos vaksin dan 90% penduduk dewasa telah divaksin bukanlah satu jaminan 100% untuk kita kebal dari wabak yang tidak kelihatan ini, malah sekiranya kita bersikap tidak menghiraukan yang wabak ini berada di sekeliling kita hidup sekali dengan kita dibimbangi ianya akan membawa gelombang baru pandemik Covid-19 dalam masyarakat kita.

Walaupun kita berjaya mengurangkan kadar jangkitan dengan imunisasi vaksin untuk mengekang penularannya, namun berdisiplinlah apabila berjalan di pusatpusat membeli belah, kedai-kedai makan, pusat pelancongan, bersukan dan balik kampung untuk berjumpa ibu bapa, sahabat handai dan ahli keluarga.

Kebebasan ini bukanlah bererti boleh bebas bersalam, bergaul, bersesak sesak dan berhimpit-himpit tanpa menghiraukan peraturan yang ditetapkan dalam SOP. Ini kerana wabak yang tidak kelihatan ini sentiasa mengintai peluang untuk mencari mangsa yang lalai dan terleka.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Nisa’ ayat 29: “dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

Ayat ini mengkhabarkan kepada kita seandainya kita tidak menghiraukan dan tidak mengikut SOP seolah-olahnya kita  mencampakkan diri kita ke lembah kebinasaan dan bererti kita saling memudaratkan dan berbunuhan sesama sendiri.

Satu kajian yang dijalankan oleh Dekan Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan Taylor’s University Prof Emeritus Dr. PT Thomas menjelaskan vaksin tidak akan berkesan 100 peratus kepada semua orang yang menerimanya. Keberkesanan satu vaksin adalah 90 peratus.

Ini bererti daripada 100 orang penerima vaksin 90 orang akan dilindungi dan 10 orang yang lain masih ada kemungkinan dijangkiti virus.

Pentadbir Pengurusan Kesihatan Dr Khoo Yoong Khean berkata mereka yang sudah lengkap menerima vaksin masih terdedah dengan jangkitan Covid 19 meskipun kesannya tidak seteruk mereka yang tidak divaksin.

Ini bermakna tidak ada jaminan 100 peratus mereka yang telah lengkap divaksinasi tidak akan dijangkiti Covid-19.

Ada kemungkinan individu yang telah divaksinasi dan tidak kelihatan tanda-tanda atau simptom ini boleh membawa dan menyebarkan wabak ini kepada orang lain.

Tegasnya ‘kebebasan’ yang diberikan oleh kerajaan bukanlah tiket untuk kita alpa dalam mematuhi prosedur operasi standart (SOP).

Menurut Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, pakar Virologi Universiti Sains Malaysia, sekiranya wujud golongan yang telah melalui vaksinasi menjadi punca kepada penularan Covid-19 maka akan wujud pula tanggapan negatif kepada usaha pemvaksinan kerana program sepatutnya menyumbang kepada pencegahan penularan bukannya punca penularan.

Lebih membimbangkan menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Bin Abdullah bahawa Varian Delta bukan sahaja boleh tersebar dalam tempoh 5-15 saat tetapi boleh membiak dalam hidung orang yang telah divaksinasi.

Ini bermaksud orang yang sudah divaksinasi boleh menyebarkan virus dan kemudian boleh menjangkiti orang lain. Justeru sikap hilangnya kewaspadaan dan munculnya kelekaan boleh mengundang gelombang baru yang menakutkan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 92:“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya).”

Hadis daripada Anas bin Malik Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sikap berhati-hati itu dari Allah dan sikap tergesa-gesa itu dari syaitan. (Riwayat Al-Baihaqi).

Marilah kita bersama sebagai keluarga Malaysia walaupun telah mencapai sasaran 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksin dan boleh berjalan ke sana sini termasuk rentas negeri hendaklah terus waspada jangan terleka.

Teruskanlah budaya taat, berdisiplin dan hidup dengan norma baharu untuk keselamatan dan kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Mengakhiri khutbah kita pada hari ini, marilah sama-sama kita hayati perkara berikut:

1. Kita mestilah beriman dan meyakini bahawa segala musibah dan penyakit datang dari ketentuan daripada Allah SWT

2. Kita hendaklah menjadi umat yang taat dan berhati-hati demi membendung pandemik atau andemik yang berlaku.

3. Umat Islam hendaklah tahu bahawa kebebasan yang diberi bukanlah tiket untuk kita bebas sebebas-bebasnya sehingga terlalai dari menjaga SOP.

4. Kita hendaklah menjadi umat yang perihatin dan istiqamah hidup dengan norma baharu agar kita, keluarga dan Negara kita selamat.

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadah pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Surah al-Zumar : 9).

Khutbah Jumaat Halal Dipatuhi, Kehidupan Diberkati

Petikan Khutbah Jumaat 5 November 2021M/ 29 Rabiulawal 1443H JAWI

Halal Dipatuhi, Kehidupan Diberkati

Allah SWT telah menentukan syariat Islam sebagai panduan dalam segala aspek kehidupan manusia. Aspek pemakanan halal juga menjadi perkara yang sangat penting untuk dituruti oleh umat Islam sehinggakan Allah SWT mengingatkan kita supaya memastikan makanan atau minuman yang dimakan adalah halal lagi baik.jawi_logo.jpg

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud : “Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
Dalam al-Quran perkataan halalan toyyiba disebut berulang kali, menunjukkan betapa Islam sangat mementingkan kita untuk memilih sumber makanan yang halal lagi baik.

Namun begitu, masih ada yang tidak memahami dan mengambil mudah perkara ini. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada an-Nu’man bin Basyir Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda: َِBermaksud : “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas.”
Sebenarnya Islam telah meletakkan garis panduan dalam aspek pemakanan.

Ada yang beranggapan halal itu hanya tidak mengandungi unsur-unsur yang haram seperti khinzir dan arak semata-mata sedangkan
aspek sumber kewangan, kebersihan, kesucian, cara pengendalian dan pemprosesan sesuatu makanan itu juga perlu diberi perhatian.

Dalam pada itu, kita seharusnya memilih makanan yang berzat dan berkhasiat daripada sudut kesihatan dan keselamatan kepada tubuh badan manusia. Aspek pemakanan halal sangat berkait rapat dengan ibadat kita sehari-harian.

Kita bukan sahaja perlu memastikan sumber makanan diberikan kepada isteri dan anak-anak adalah halal lagi baik, bahkan sumber pendapatan daripada perkerjaan kita juga mestilah tidak melanggar aturan syariat.

Kesan daripada sumber makanan yang haram ini menjadi penyebab rosaknya iman, amalan dan doa tidak dikabulkan. Ia juga menjadi asbab kepada kerosakan akhlak bahkan menjejaskan pembinaan keluarga dan pembentukan peribadi terutama pada diri anak-anak kita.

Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud: “Akan tiba satu zaman di mana seseorang itu tidak menghiraukan dari mana datang hartanya, apakah daripada yang halal atau daripada yang haram.”

Islam turut mengajar kita supaya membina sesuatu perkara atas keyakinan tanpa syak dan ragu-ragu. Oleh sebab itu, Islam memberi panduan supaya kita menjauhkan diri daripada perkara atau makanan yang meragukan. Inilah jalan paling selamat supaya kita tidak terjerumus ke dalam perkara yang haram.

Imam Muslim meriwayatkan lagi daripada an-Nu’man bin Basyir, Rasulullah SAW bersabda :Bermaksud : “Sesiapa yang menjaga diri daripada perkara-perkara syubhah maka dia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara syubhah, dia akan jatuh ke dalam perkara haram seperti pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan dibimbangi haiwan ternakannya akan meragut makanan di dalamnya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya bagi setiap raja itu ada kawasan larangan dan kawasan larangan Allah ialah perkara-perkara yang diharamkannya.”

Mimbar ingin mengingatkan para Jemaah sekalian, perbaiki sikap kita dalam pemilihan produk makanan terutama ketika hendak mengunjungi premis-premis makanan.

Beberapa perkara perlu kita lakukan, iaitu :Mimbar ingin mengingatkan para Jemaah sekalian, perbaiki sikap kita dalam pemilihan produk makanan terutama ketika hendak mengunjungi premis-premis makanan. Beberapa perkara perlu kita lakukan, iaitu :


Pertama : Utamakan premis makanan yang dimiliki oleh orang Islam dan menyediakan juadah yang halal lagi bersih. Ini bagi memastikan makanan yang disediakan tersebut benar-benar menepati kehendak syarak dan mencapai halalan toyyiba.


Kedua : Pastikan premis tersebut tidak mencampur adukkan di antara makanan yang haram dan diragui status halalnya bersama dengan makanan lain yang halal. Jika perkara ini berlaku, buatlah aduan kepada pihak berkuasa kerana dibimbangi logo halal yang dipamerkan adalah tidak sah atau berlaku pelanggaran terhadap syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh JAKIM.


Ketiga : Ambil tahu dan cakna terhadap isu pemakanan halal serta berilah kefahaman kepada anggota keluarga untuk memahami kepentingan pemakanan halal dalam pembentukan rohani dan jasmani kita.

Sememangnya ketika ini terdapat banyak premis makanan yang menyediakan pelbagai jenis juadah terutama daripada luar negara. Ingatlah bahawa biarpun hidangan tersebut nampak menyelerakan namun, kita perlu berhati-hati dan teliti supaya kita tidak terjebak dengan pemakanan yang haram dan syubhah.


Keempat : Didik diri sendiri dan ahli keluarga untuk bersama-sama menjaga dan mempraktikkan pemakanan halal setiap masa. Ingatlah bahawa makanan yang halal menjamin keberkatan, makanan yang haram mengundang kemurkaan Tuhan.

Semoga dengan kesungguhan kita memastikan pemakanan halal dalam keluarga melalui sumber pendapatan yang halal akan dilimpahi dengan keberkatan daripada Allah SWT.

Mengakhiri khutbah, renungkan beberapa kesimpulan sebagai panduan kita bersama :

Pertama : Islam memberi panduan dalam segala aspek kehidupan manusia termasuklah aspek pemakanan halal. Allah SWT mengingatkan kita supaya memastikan makanan atau minuman yang diambil adalah halal lagi baik.

Kedua : Fahami konsep halal, haram dan syubhah sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW supaya kehidupan kita terpelihara daripada keburukan dan kerosakkan akibat pengabaian terhadap panduan syariat.

Ketiga : Pastikan sumber makanan diberikan kepada isteri dan anak-anak adalah halal lagi baik serta diperoleh daripada pendapatan yang tidak mengandungi unsur-unsur haram.

Marilah kita hayati firman Allah SWT di dalam surah al-Mukminun ayat 51: Bermaksud: “Wahai rasul-rasul makanlah daripada sesuatu yang baik- baik dan kerjakanlah amalan soleh, sesungguhnya aku mengetahui apa yang kamu kerjakan”.