November 12th, 2021

Khutbah Jumaat : Jadilah Pengguna Yang Bijak

Petikan Khutbah Jumaat 12 Nov 2021M / 07 Rabi’ul Akhir 1443H: JAIS

Jadilah Pengguna Yang Bijak

Kempen pengguna bijak merupakan penerangan secara konsisten untuk menyampaikan mesej kepenggunaan kepada umat Islam. Ini kerana, rata-ratanya masyarakat masih belum menghayati prinsip kepenggunaan.

Pengguna yang bijak mempunyai ilmu tentang asas-asas kepenggunaan dan perlu mengetahui hak-hak tertentu yang boleh dipertahankan.
jais.jpg
Namun begitu, kempen Karnival Hari Kepenggunaan dilihat hanya mempromosikan pelbagai acara serta jualan barangan.

Sebaliknya, kempen kepenggunaan perlu lebih memberi penekanan kepada kesedaran yang mendalam terhadap masyarakat mengenai perkhidmatan, amalan atau isu-isu semasa berkaitan kepenggunaan.

Ini kerana, setiap individu dan masyarakat mempunyai hak yang selayaknya tanpa wujud ruang untuk ditindas atau dieksploitasi oleh pihak lain.

Dalam memahami asas dan prinsip kepenggunaan, kita memerlukan tafsiran untuk mencari keredaan Allah SWT terhadap harta atau produk halal lagi baik yang dapat memberi manfaat kepada pengguna. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 168: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Antara strategi dan langkah kempen kepenggunaan adalah menyebarkan maklumat bagi membolehkan lebih ramai masyarakat mengetahui hak dan pilihan, seterusnya dapat mendidik individu sebagai  pengguna yang bijak.

Penyampaian maklumat kepenggunaan dapat diperluaskan dalam menghadapi kenaikan harga barangan dan memudahkan orang ramai melaporkan kepada pihak berwajib bagi memastikan harga barangan kawalan tidak dinaikkan sesuka hati.

Secara tidak langsung, kempen pengguna bijak dapat mendidik masyarakat dari penipuan peniaga yang memanipulasi pengguna untuk meraih keuntungan dengan mudah.

Dengan kempen yang konsisten, peniaga berintegriti serta pengguna yang bijak, insiden penipuan dalam kes-kes yang dilaporkan di dada akhbar dan di media sosial dapat diatasi secara berkala melalui komunikasi berkesan antara pihak berkuasa dan pengguna prihatin .

Realitinya, dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, dan kos sara hidup yang semakin meningkat, kita perlu memahami hak sebagai pengguna. Saban hari, terdapat laporan dan aduan pengguna yang terpedaya dengan urusniaga yang merugikan ibarat sudah terantuk baru tengadah.

Antara modus operandi terkini sindiket penipuan yang menggunakan platform e-dagang sebagai medium untuk menipu pengguna.

Selain itu juga, berbagai bentuk manipulasi dalam isu kepenggunaan antaranya scammer, penipuan transaksi online, produk tidak halal serta penipuan sijil halal.

Selain itu juga, tiada tanda harga pada barangan yang dijual, label barang tidak lengkap dan penipuan pada sukatan dan timbangan, adalah antara insiden yang dibangkitkan oleh pengguna.

Sebagai pengguna yang bijak, kita perlu berhati-hati menyemak maklumat perniagaan yang ditawarkan sebelum menjalankan sebarang urus niaga atas talian, urusan tawar menawar dan sebagainya.

Begitu juga, jangan cepat terpedaya dengan promosi iklan jualan murah dan tawaran kerja dengan pendapatan yang tidak munasabah.

Senario ini menyebabkan kita mudah menjadi mangsa kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil peluang di atas kelemahan kita.

Ini kerana, tiada rasa takut dan gentar dengan azab Allah SWT dan tiada lagi sifat amanah yang dipraktikan dalam urusan jual beli. Jika bukan kita, siapa lagi yang akan mengangkat sifat amanah.

Bahkan sifat amanah menjadi benteng utama pengukur tahap keimanan seorang mukmin.

Ini jelas, larangan melakukan penipuan oleh Rasulullah SAW menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahu’Anhu bahawa Baginda SAW bersabda: “Barangsiapa yang menipu, maka dia bukanlah dari golongan kami.” (Riwayat al-Tirmizi).

Terdapat beberapa langkah dan amalan untuk menjadi pengguna yang proaktif dan bijak. Pertama, pengguna boleh membandingkan harga dalam risikan pasaran yang luas.

Maka, pilihlah harga yang minimum namun berkualiti agar dapat berbelanja secara berhemah lebih-lebih lagi kita masih terkesan dengan ekonomi yang merundum selepas wabak Covid-19.

Kedua, pengguna yang bijak seharusnya mengelak daripada berhutang sehingga membebankan diri dan keluarga untuk terus membayar hutang secara berkala.

Berbelanjalah sekadar mengikut kemampuan dan janganlah berbelanja melebihi pendapatan. Ibarat mengukur baju biarlah di badan sendiri.

Manakala, pengurusan kewangan yang bijak dan betul menjadi jambatan melahirkan pengguna yang bijak. Ini kerana, ajaran Islam sangat mementingkan bersederhana dalam erti kata tidak terlalu kikir atau kedekut dan juga tidak terlalu boros atau membazir sehingga tidak mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT.

Oleh itu, didiklah diri berbelanja dengan mengutamakan barangan buatan tempatan, secara tidak langsung ia dapat membantu merangsang pertumbuhan ekonomi domestik sejak terkesan dengan wabak Covid-19 .

Dalam prinsip kepenggunaan apabila kita mempraktikkan amalan kepenggunaan yang bijak, kita akan merasa lebih tenang meskipun cabaran kos sara hidup yang semakin tinggi.

Oleh itu, dalam konteks menampilkan ciri pengguna yang bijak, pengguna bukan sahaja bijak memilih barang berkualiti dan halal, akan tetapi bijak dalam menguruskan sisa bahan buangan bagi menjamin kebersihan dan kelestarian alam sekitar seperti tidak membuang sisa-sia buangan minyak terpakai ke sungai-sungai, parit-parit, longkang dan kawasan sekitar sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran.

Bahkan pelupusan bahan sisa buangan perlu dilakukan dengan betul dan tidak mengancam kesihatan penduduk.

Hadis daripada A’isyah Radiallahu’Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah dilakukan secara tekun”. (Riwayat al-Baihaqi).

Beberapa pengajaran dan penghayatan yang dapat diambil daripada khutbah ini adalah:

1. Sebagai pengguna Islam yang bijak, kita hendaklah mencari keredaan Allah SWT terhadap apa sahaja yang diurus, dibeli dan dijual.

2. Sebagai pengguna Islam yang bijak, kita mestilah memenuhi etika, adat kesopanan dan kelakuan terpuji dengan mengetepikan sifatsifat tercela seperti menipu untuk meraih keuntungan duniawi sematamata.

3. Sebagai pengguna yang bijak, Umat Islam janganlah mendatangkan kemudaratan kepada orang lain mahupun persekitaran di dalam membuang sisa-sisa makanan seperti minyak terpakai dan sebagainya.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum : 41)

Khutbah Jumaat Pelihara Amanah Tingkatkan Integriti

Petikan Khutbah Jumaat 12 November 2021M/ 7 Rabiulakhir 1443H JAWI

Pelihara Amanah Tingkatkan Integriti

Amanah adalah satu perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia.

Hakikatnya, setiap manusia mempunyai amanah yang mesti dipikul biarpun sebagai anak, ibu bapa, pekerja, penguatkuasa, pentadbir, wakil masyarakat dan sebagainya.jawi_logo.jpg

Amanah ini harus dijaga dan dilaksanakan dengan sebaiknya kerana ia akan memberi kesan kepada manusia dan persekitaran.

Sekiranya sesuatu amanah itu dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab, maka manfaatnya akan dinikmati oleh masyarakat.

Sebaliknya jika sesuatu amanah itu dikhianati, pasti akan menyebabkan kerosakan yang besar kepada sesebuah masyarakat dan negara.

Oleh itu, Allah SWT melarang keras perbuatan khianat dan tidak amanah menerusi firman-Nya di dalam surah al-Anfal ayat 27 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah mengkhianati Allah dan rasul-Nya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diamanahkan kepada) kamu sedang kamu mengetahuinya.”

Jenayah rasuah merupakan suatu pengkhianatan kepada amanah dan menjadi ancaman besar kepada masyarakat dan negara. Tahun 2020 menyaksikan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia jatuh ke kedudukan 57 berbanding kedudukan 51 pada tahun 2019.

Ini memberi isyarat bahawa jenayah rasuah semakin meningkat berlaku di dalam negara. Persoalannya, mengapa masih terdapat mereka yang berani melakukan rasuah walaupun diancam dengan laknat daripada Allah SWT?

Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, daripada Abdullah bin ‘Amru Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda :
Bermaksud : “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Pelbagai faktor yang menjadi punca kepada berlakunya jenayah rasuah. Menurut laporan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019, terdapat sembilan punca rasuah yang dinyatakan iaitu kegagalan pentadbiran, konflik kepentingan dalaman, kelemahan kawalan serta ketidakpatuhan, kurang ketelusan, kurang sokongan serta kesedaran rasuah, kerenah birokrasi, kurang pengesanan awal, kurang pencegahan dan kelemahan penguatkuasaan.

Punca-punca ini harus segera ditangani secara drastik bagi memastikan jenayah rasuah dapat dibendung

Sesungguhnya pelaku-pelaku jenayah rasuah memiliki sifat tamak terhadap kemewahan dunia sehingga sanggup mengorbankan integriti untuk memperoleh habuan tertentu.

Sifat tamak inilah yang mengheret manusia untuk melakukan apa sahaja agar dapat memenuhi keinginan nafsu sehingga akhirnya syariat diketepikan.
Kesan jenayah rasuah yang dilakukan hari ini turut dirasai. Masyarakat dan negara menghadapi pelbagai masalah mendatang.

Tidak syak lagi,jenayah rasuah merupakan musuh pembangunan, menjejaskan perjalanan demokrasi dan pentadbiran yang cekap, merosakkan akauntabiliti, mencabul keutuhan undang-undang, mengikis sistem pengurusan dan merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap kepimpinan negara.

Justeru, rasuah pasti akan membawa kehancuran dalam sesebuah masyarakat, bangsa dan negara bahkan merencatkan perkembangan dan pembangunan ummah.

Mimbar mengajak sidang Jemaah sekalian, marilah kita bersama-sama memainkan peranan bermula dengan penerapan pegangan agama dan moral yang kukuh kepada keluarga terutama anak-anak sejak dari usia kecil.


Kita mahukan anak-anak membesar dalam pemahaman bahawa betapa kotor dan jijiknya rasuah.


Di samping penguatkuasaan yang telah digerakkan oleh penguatkuasa, kempen-kempen kesedaran yang dijalankan secara berterusan juga diharapkan dapat mendidik masyarakat agar menjauhi segala bentuk rasuah yang ada.


Ingatlah bahawa, harta yang dikumpul melalui jalan yang salah dan sumber pendapatan yang diberikan sebagai nafkah isteri dan anak-anak bukan sahaja tiada keberkatan bahkan ia turut mengundang kemurkaan dan kebinasaan sehingga menjadikan hidup porak peranda.

Sebagai seorang yang beriman, marilah kita membina nilai integriti dalam semua perkara terutama dalam pengurusan amanah yang diberikan.

Utamakan aspek ketelusan, kebenaran dan etika kerja yang baik di samping memastikan sebarang unsur-unsur yang boleh membawa kepada pelanggaran etika dan pecah amanah dapat dielakkan. Integriti dalam pengurusan juga menjadi bukti keteguhan iman seseorang muslim itu.

Sebagai rakyat dan anggota masyarakat yang prihatin, kita juga mestilah memberikan kerjasama kepada agensi penguatkuasa sekiranya kita mempunyai maklumat berkaitan rasuah yang berlaku di hadapan mata kita.


Kita tidak perlu gentar untuk membantu membanteras kes rasuah dan pecah amanah yang berlaku di dalam sesebuah organisasi atau komuniti setempat kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan pemberi maklumat adalah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.


Pemberi maklumat yang menjadi saksi bagi sesuatu kes rasuah pula dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, khatib ingin menekankan beberapa kesimpulan sebagai pedoman buat kita semua:

Pertama: Rasuah merupakan satu dosa besar di sisi Islam. Pemberi dan penerima rasuah akan dilaknat oleh Allah SWT di dunia bahkan perbuatan mereka akan mengundang azab yang pedih di akhirat.

Kedua: Mainkan peranan dengan menerapkan pegangan agama dan moral yang kukuh kepada keluarga terutama anak-anak sejak dari usia kecil supaya mereka memahami betapa kotor dan jijiknya jenayah rasuah.

Ketiga: Berikan kerjasama kepada agensi penguatkuasa sekiranya kita mempunyai maklumat berkaitan rasuah dan pecah amanah yang berlaku di dalam sesebuah organisasi atau komuniti supaya pelaku-pelaku tersebut dibawa ke muka pengadilan.

Marilah kita renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 188: “Dan janganlah kamu makan harta orang lain antara
kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa padahal kamu mengetahui salahnya”.

Menilai Keberkesanan Kepimpinan Mengikut Penampilan

Gambar-gambar calon bakal PRN Melaka dan tidak lama lagi gambar calon bakal PRN Sarawak akan disiarkan di media .

Pastinya, semua mengaku merekalah calon pilihan terbaik dan termasuk bakal calon MUDA.

Kita semua juga pernah mendengar tentang kepentingan tanggapan pertama.


Penyelidikan terbaru dari Jurnal Kepimpinan dan Kajian Organisasi menunjukkan bahawa kita sebenarnya boleh meramalkan personaliti seseorang dengan agak tepat hanya daripada gambaran individu tersebut.

Dan, kita boleh mengaitkan keberkesanan kepimpinan mereka secara spesifik dengan ciri personaliti yang kita temui dalam foto mereka. (Harms, Han & Chen , 2012)

Seratus lima pelajar kolej di Amerika Syarikat dtunjukkan gambar 71 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cina. Mereka diminta menilai umur CEO, personaliti (kepintaran, dominan, mengambil risiko dan menyokong), daya tarikan, mood emosi (positif atau negatif), dan keberkesanan kepimpinan.

Keputusan menunjukkan bahawa keberkesanan yang dirasakan adalah “sangat berkaitan dengan kecerdasan, penguasaan, sokongan, positif emosi dan daya tarikan”.

Setelah penyelidik mengawal umur, saiz dan jenis organisasi, orang Barat menggunakan tiga faktor untuk menilai keberkesanan pemimpin: “berdasarkan emosi positif, kecerdasan, dan dominasi”.

Walau bagaimanapun, tiada satu pun daripada faktor ini dikaitkan dengan ukuran prestasi Pulangan Atas Ekuiti dan Pulangan Atas Aset.

Hanya pengambilan risiko yang dianggap dikaitkan dengan prestasi sebenar.

Penulis kajian berpendapat bahawa pelajar Barat menggunakan “norma budaya” mereka sendiri untuk kepimpinan yang baik, dan menerapkannya kepada pemimpin Cina.

Penyelidikan terdahulu tentang kepimpinan Cina menunjukkan bahawa walaupun secara sejarah gaya kepimpinan berwibawa adalah perkara biasa, gaya “mengambil risiko” baharu telah muncul merangkumi kedua-dua kreativiti dan mengambil risiko. (Wang et al, 2011 seperti yang dipetik dalam Harms et al.)

Penilai Barat bagi CEO Cina ini tidak menganggap pengambilan risiko sebagai faktor penting dalam keupayaan kepimpinan yang dilihat, tetapi pengambilan risiko adalah satu-satunya faktor yang dikaitkan dengan prestasi sebenar.

Jadi apakah garis dasar untuk pemilihan ini?

Pertama, apabila berkembang masuk ke China, sama ada melalui usaha sama, pengambil alihan atau operasi lapangan hijau, memilih pemimpin tidak akan menjadi begitu mudah, kerana ciri-ciri yang diperlukan untuk kepimpinan yang berjaya di China agak berbeza daripada yang kita percaya diperlukan di Amerika Syarikat

Kedua, sebagai pemimpin, mungkin berguna untuk mempertimbangkan sama ada pekerja anda mempunyai konsep budaya kepimpinan berkesan yang berbeza.

Apabila tenaga kerja domestik kita menjadi lebih pelbagai budaya, sifat teladan kita mungkin menjadi lebih pelbagai.

Mungkin berbaloi untuk mengadakan perbincangan yang jelas tentang sifat dan tingkah laku kepimpinan yang dilihat.

Akhirnya, kejutan terbesar bagi kita ialah penampilan seorang pemimpin itu adalah penting.
Kita sering menetapkan dan berkeras untuk mengaitkan ciri muka dengan tingkah laku. “…apabila didedahkan kepada gambar muka orang yang tidak dikenali, peserta telah dapat menilai dengan tepat kerjasama, keagresifan, tingkah laku beretika dan jenayah.”. Sesuatu untuk difikirkan.

(Azizi Ahmad adalah mantan pendidik yang menggunakan kaitan ciri muka dengan tingkah laku dalam ilmu psikologi. Artikel tulisan beliau ini tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Azizi Ahmad Solidaritas Politik 12 November 2021