November 19th, 2021

Khutbah Jumaat : Anak Masa Depan Kita, Apa Peranan Kita

Petikan Khutbah Jumaat : 19 Nov 2021M / 14 Rabi’ul Akhir 1443H: JAIS

Anak Masa Depan Kita, Apa Peranan Kita

Kanak-kanak merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kepada para hamba-Nya untuk dipelihara serta dididik sehingga menjadi manusia berguna.

Ini bagi memastikan mereka mampu untuk mengambil alih peranan memakmurkan bumi Allah SWT pada masa hadapan dengan sebaik-baiknya berbekalkan fitrah (kesucian) dalam diri setiap insan yang wujud sejak lahir ke dunia lagi.jais.jpg

Hadis daripada Abu Hurairah Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibubapanyalah yang mencorakkanya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” (Riwayat al-Bukhari).

Kewajipan dalam memastikan fitrah terus mekar dalam diri anakanak tanpa ternoda dengan kejahatan sehingga mereka besar adalah tanggungjawab ibu bapa atau penjaga.

Usaha itu mampu direalisasi dengan memberi pendidikan dan bimbingan berkualiti kepada anak-anak khususnya yang berkaitan agama.

Pengetahuan agama yang tepat mampu menjadi panduan dalam membezakan mana yang hak dan mana yang batil.

Pengetahuan agama juga turut mampu mendorong seseorang agar sentiasa mentaati Allah SWT, berusaha menyuburkan Sunnah Rasulullah SAW dan sentiasa mencari ruang untuk berbakti kepada agama, bangsa serta negara.

Anak-anak itu nanti mampu menjadi insan rabbani serta tergolong dalam golongan orang-orang yang diberi kebaikan oleh Allah SWT. Ini  selaras dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Muawiyyah bin Abi Sufyan Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan kepadanya, dia akan diberikan kefahaman tentang agama”

Selain itu, usaha ke arah memberi pemahaman yang baik berkaitan agama melalui pendidikan kepada anak-anak mampu menjadi agenda bagi menyelamatkan diri dan keluarga kita daripada bahang api neraka.

Langkah ini selaras dengan perintah Allah SWT kepada orang-orang yang beriman sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Tahrim, ayat keenam, yang dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri dan keluarga kamu dari neraka ...”

Kita kena ingat, sekiranya tiada usaha untuk memberi pemahaman agama yang tepat dan tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh nescaya anak-anak akan membesar menjadi manusia yang rosak dan tidak beriman kepada Allah SWT.

Nikmat dikurniakan anak kepada kita akan menjadi asbab kita diazab di kemudian hari nanti sekiranya lalai menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Syu’ara’ ayat 132 hingga 135: “Dan berbaktilah kamu kepada Allah yang telah menolong kamu dengan pemberian nikmat-nikmat-Nya yang kamu sedia mengetahuinya. Diberinya kamu binatang-binatang ternak (yang biak) serta anak-pinak  (yang ramai). Dan taman-taman (yang indah permai) serta mata air-mata air (yang mengalir).Sesungguhnya aku takut, (bahawa) kamu akan ditimpa azab seksa hari yang besar (huru-haranya).”

Mendidik anak-anak agar mereka benar-benar memahami agama bukanlah sesuatu tugas yang mudah dan boleh dipandang ringan khususnya di zaman moden ini yang penuh dengan pelbagai cabaran.

Kesukaran semakin bertambah dengan kewujudan norma-norma baharu dalam kehidupan impak pandemik Covid-19 yang melanda bermula dari tahun lalu. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan tugas mendidik anak-anak dengan cuai, melainkan menunaikan tanggungjawab tersebut dengan usaha yang lebih berganda.

Hadis daripada A’isyah Radiallahu’Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah dilakukan secara tekun”. (Riwayat al-Baihaqi).

Kaedah yang perlu digunapakai dalam mendidik perlu bervariasi dan bersesuaian mengikut masa dan keadaan.

Menurut Dr. Abdullah Nasih Ulwan dalam karyanya yang berjudul Tarbiyatul Aulad fil Islam, antara kaedah mendidik yang efektif adalah seperti berikut:
.
Pertama: Pendidikan Melalui Teladan

Pendidikan melalui teladan merupakan kaedah yang paling berkesan kepada kanak-kanak. Ini kerana, apabila kanak-kanak melihat contoh ikutan yang baik pada ibu bapanya, mereka akan mengikut prinsip-prinsip yang baik juga.

Jika ibu bapa ingin melihat anaknya bersifat jujur, amanah, penyanyang dan menjauhi perkara batil, maka ibu bapa perlu memberikan contoh yang baik iaitu dengan melakukan kebaikan, menjauhi kejahatan, berakhlak mulia, mengikut kebenaran dan meninggalkan kebatilan.

Kedua: Pendidikan Melalui Kebiasaan

Kanak-kanak adalah dilahirkan dengan sifat fitrah. Kebiasaan dalam persekitaran mereka akan mempengaruhi sama ada mereka akan terus kekal dengan fitrahnya atau sebaliknya.

Bagi memastikan kanak-kanak terus membesar dengan fitrah, didikan dengan segala kebiasaan yang baik amat perlu. Ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran yang baik bagi membentuk mereka.

Ketiga: Pendidikan Melalui Nasihat Nasihat mampu membuka minda kanak-kanak terhadap hakikat sesuatu perkara dan mendorong mereka melakukan perkara yang mulia, menghias diri dengan akhlak terpuji serta memahami kepentingan pendidikan Islam.

Itulah yang menjadikan banyak ayat-ayat al-Quran dan sabda Rasulullah SAW dipenuhi dengan nasihat. Nasihat yang berhikmah amat perlu diberikan kepada kanak-kanak dalam mendidik mereka.

Keempat: Pendidikan Melalui Pemerhatian

Pendidikan melalui pemerhatian bermaksud menjejaki, menemani, memerhati dan mengawasi kanak-kanak dalam membentuk akidah, akhlak, psikologi dan sosialnya.

Ia dapat dilaksanakan dengan sering bertanya tentang keadaan kanak-kanak dalam aspek jasmani mahupun pencapaian akademik.

Semoga kaedah-kaedah ini mampu memahamkan mereka tentang hal-hal agama, memperbaiki akhlak dan memantapkan pemikiran mereka untuk dijadikan bekalan di dunia dan akhirat.

Sekiranya semua ini mampu dicapai, sudah pasti ia akan menjadi kompas panduan dalam merealisasikan harapan agar anak kita adalah masa hadapan negara.

Semoga dengan itu, Malaysia akan terus menjadi negara aman dan sentosa yang berkekalan selama-lamanya.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, bersempena dengan Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia yang disambut saban tahun, yang bertemakan “Anak Kita: Masa Hadapan Negara”, maka mimbar menyeru supaya

1. Marilah kita bersama-sama menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita.

2. Umat Islam mestilah memastikan pendidikan anak-anak dapat membentuknya menjdi anak-anak soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka di dunia dan di akhirat.

3. Ibubapa mestilah memastikan masa depan anak-anak yang stabil dan seimbang dari segi akidah, akhlak, emosi dan sebagainya.

“Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).” ‏‏) Surah al-Nisa : 9).

Khutbah Jumaat : Kesedaran Jenayah Komersial Kesejahteraan Komuniti

Petikan Khutbah Jumaat 19 November 2021M/ 14 Rabiulakhir 1443H jAWI

Kesedaran Jenayah Komersial Kesejahteraan Komuniti

Islam melarang umatnya melakukan apa sahaja bentuk penipuan, penindasan dan pengkhianatan sesama manusia termasuklah dalam aspek memperoleh rezeki dan pendapatan. Sememangnya perbuatan tersebut adalah zalim dan merampas hak orang lain.
jawi_logo.jpg
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Nisa ayat 29 dan 30 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).”

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT melarang kita daripada memakan harta sesama manusia dengan cara yang batil iaitu seperti riba, judi, menipu, memperdaya dan seumpamanya.


Oleh itu, semua perbuatan ini hendaklah ditinggalkan dan dijauhi sebagaimana yang telah diperintahkan Allah SWT. Rasulullah SAW juga telah memberi amaran dalam perkara ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda : Bermaksud : “Siapa yang mengangkat senjata ke atas kami bukanlah daripada golongan kami dan siapa yang menipu kami bukanlah daripada golongan kami.”


Kebergantungan kita kepada teknologi dan internet semakin meningkat semenjak pandemik COVID-19. Perkara ini dapat dilihat menerusi peningkatan rakyat Malaysia yang menggunakan perkhidmatan e-dagang, memilih dasar bekerja dari rumah (BDR), pembelajaran atas talian di samping pendigitalan perkhidmatan dalam sektor ekonomi dan kerajaan.

Kerancakan ini telah banyak membawa kemudahan dalam komunikasi yang lebih efisien. Namun di sebalik semua ini, ia turut mendedahkan masyarakat kepada pelbagai ancaman dan serangan siber yang semakin membimbangkan.

Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, sebanyak hampir 49,000 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penipuan siber yang dicatatkan berlaku di Malaysia pada Januari 2019 hingga September 2021. Ia sekaligus mencatatkan kerugian hampir RM1.5 bilion.


Daripada jumlah ini, sebanyak 17,000 kes melibatkan penipuan pembelian atas talian, 15,000 kes pinjaman tidak wujud, 7,000 kes pelaburan tidak wujud, 6,000 kes Macau Scam dan 4,000 kes Love Scam atau Parcel Scam.


Jenayah ini berlaku di pelbagai aplikasi seperti Instagram, Facebook, Twitter, WhatsApp, Telegram serta aplikasi permainan dalam talian. Hakikatnya trend jenayah komersial khususnya dalam talian menunjukkan peningkatan kes sejak kebelakangan ini. Kes penipuan ini terjadi dalam kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur, status dan kedudukan termasuklah golongan profesional juga turut menjadi mangsa.


Justeru, perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ia telah memberi impak negatif kepada orang ramai terutama
mangsa dan keluarga yang terlibat.

Jenayah penipuan siber ini adalah jelas salah satu perbuatan mengambil harta orang lain secara haram. Mangsa yang terpedaya telah
mengalami kerugian sehingga mencecah ratusan ribu ringgit. Kesannya, terdapat mangsa yang telah mengalami kesan sampingan seperti masalah  mental dan sosial.


Kerajaan sentiasa memandang serius isu yang melibatkan jenayah komersial kerana ia boleh menggugat kententeraman awam. Pihak
berkuasa sentiasa memantau setiap aktiviti di media sosial sebagai langkah proaktif dalam membendung isu yang melibatkan penyalahgunaan media sosial.


Walaubagaimanapun tanggungjawab ini bukan sahaja terletak pada pihak berkuasa semata-mata tetapi juga pengguna media sosial yang mesti turut sama memainkan peranan.


Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial telah menganjurkan Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) 2021 dalam usaha untuk menangani serta mendidik masyarakat mengenai tanggungjawab bersama dalam memerangi jenayah siber ini.


Orang ramai digesa untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati sewaktu berurusan dalam talian seperti menerima pautan laman sesawang melalui e-mail daripada pihak yang mencurigakan.

Jangan dedahkan maklumat peribadi akaun bank atau kad kredit kepada pihak yang tidak dikenali.


Ketika menggunakan perkidmatan internet tanpa wayar di mana-mana premis, elakkan mengakses perbankan internet atau melakukan transaksi pemindahan wang dalam talian.


Di samping itu, berhati-hatilah dengan sebarang tawaran lumayan berupa wang ringgit yang memerlukan ita membayar wang pendahuluan. Kita juga perlu berwaspada dengan sebarang tawaran barangan yang menarik dan murah ketika melakukan
pembelian atas talian.

Mimbar ingin mengingatkan, sekiranya kita mengesyaki sesuatu penipuan, lakukan semakan dengan pihak berkuasa melalui saluran rasmi seperti Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan lain-lain.



Ambil langkah tepat dengan melaporkan sebarang aktiviti di dunia siber yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Jangan hanya berdiam diri sehingga menyebabkan lebih ramai dalam kalangan kita yang menjadi mengsa kes penipuan ini. Semoga dengan cara ini dapat mengelakkan kita dan masyarakat daripada menjadi mangsa kepada jenayah komersial ini.


Mengakhiri khutbah, hayati beberapa kesimpulan sebagai renungan kita bersama :

Pertama: Islam melarang umatnya melakukan apa sahaja bentuk penipuan, penindasan dan pengkhianatan. Jenayah penipuan siber adalah jelas salah satu perbuatan mengambil harta orang lain secara haram yang menyanggahi syariat.

Kedua: Sebagai masyarakat yang bijak, ikuti nasihat dan saranan pihak berkuasa supaya kita dapat berwaspada dan berhati-hati


ketika menggunakan sebarang aplikasi media sosial, e-mail, perkhidmatan atas talian dan perkhidmatan internet tanpa wayar di mana-mana premis.

Ketiga: Laksanakan tanggungjawab sebagai masyarakat dengan memainkan peranan membantu pihak berkuasa dalam membanteras
kegiatan jenayah komersial atau penipuan siber.


Marilah kita renungkan firman Allah SWT di dalam surah Faatir, ayat 5: “Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia dan janganlah syaitan yang menjadi
sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).”