mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ikhlas dalam kerja haji

KEPULANGAN mereka yang mengerjakan haji biasanya dikaitkan sebagai seorang yang lebih baik. Alhamdulillah, mereka dijemput menjadi duyufurrahman (tetamu Allah) bagi menunaikan haji ke Baitullah pada tahun ini.

Bagi yang masih tidak berpeluang, jangan putus harapan dan terus berusaha serta berdoa semoga Allah mempermudahkan urusan kita ke sana satu hari nanti.


Setiap pekerjaan haji hanya mengharapkan Allah mengurniakan ganjaran terbesar iaitu haji mabrur. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kesalahan yang berlaku di antara umrah itu diampunkan, manakala haji mabrur pula tidak ada balasan baginya melainkan syurga.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Pengembaraan haji adalah perjalanan ‘meleburkan’ segala dosa silam serta berusaha menjadi insan lebih baik. Malang sekali mereka yang ‘diberi’ peluang mengunjungi Baitullah, namun apabila pulang masih seperti dulu.


Sepatutnya, jika dulu cepat melenting apabila ditegur, mudah marah tetapi selepas menunaikan haji, sifat itu tiada lagi. Malah jiwa semakin tenang, bersedia menerima teguran, lembut hatinya, disenangi orang di sekelilingnya.


Namun, perubahan diri yang diharap bukan berlaku dalam sekelip mata, tetapi beransur-ansur. Haji tidak seperti ibadah lain dalam rukun Islam kerana ia menuntut pengorbanan dan cabaran besar. 

Pendek kata, di tanah suci masa jemaah haji hanya ‘terikat’ mengabdikan diri sepenuhnya untuk bertaubat, solat berjemaah, membaca al-Quran serta amalan tawaf sunat, umrah sehingga selesai menunaikan ibadat haji.

Persediaan ilmu cukup penting bagi mengelak mereka menghadapi masalah sehingga mengganggu kelancaran dalam beribadah. Paling penting sifat sabar. 

Walaupun hanya bertengkar mengenai soal remeh temeh, ia tetap memberi kesan kepada pekerjaan haji. Ulama mengatakan haji mabrur tidak sesekali bercampur dengan perbuatan dosa sama ada kecil atau besar. 

Mungkin tidak ramai mampu menghayati dan lebih sekadar menziarahi kota Makkah dan Madinah tanpa memperoleh pengajaran daripada ibadah yang ditunaikan itu.

Nabi SAW pernah bersabda, sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah kemudian tidak melakukan kerosakan dan tidak fasik, dia akan kembali seolah-olah baru dilahirkan ibunya,” katanya.

Jemaah pastinya akan diuji dari segenap sudut ketika melaksanakan ibadat haji. Namun, dalam menentukan sama ada haji itu mabrur atau tidak, hanya Allah SWT.

Saksikan bagaimana datuk, nenek atau moyang kita dahulu menjadikan ibadah haji sebagai kemuncak dalam kehidupan mereka. Peluang mengerjakan ibadat haji dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, setiap amal ibadah yang dikerjakan perlu bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

“Matlamat akhir pelaksanaan sesuatu ibadah adalah lillahi Ta’ala iaitu kerana Allah SWT. Ia perlu menjadi ingatan setiap tetamu Allah SWT yang diberi kesempatan menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Mereka perlu menjauhi segala perkara yang boleh mencacatkan mutu amal ibadah di Tanah Suci. Mungkin ada segelintir bakal haji yang menginginkan gelaran ‘haji’ sekembalinya mereka ke tanah air nanti. 

“Terdapat juga kelompok Muslim yang menunaikan haji untuk menunjuk kepada jiran mereka memiliki wang dan kemewahan. haji. 

“Semua perkara itu perlu dijauhkan sebelum berangkat ke Tanah Suci. Meskipun mereka dapat menunaikan ibadah haji, ia akan mencacatkan ibadah,” katanya.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah, ayat 196).

Beliau berkata, perkara paling asas bagi mendapat haji mabrur ialah ilmu pengetahuan dan keikhlasan. 

“Kursus bimbingan yang dianjurkan Lembaga Tabung Haji wajar diberi pujian.

“Rasulullah SAW pernah berpesan kepada sahabat supaya mencontohi tatacara mengerjakan ibadah haji seperti mana Baginda sendiri. 

Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Agar kamu sekalian sentiasa mencontohi tatacara mengerjakan ibadah haji daripada aku.” (Hadis riwayat Muslim). 

“Dua perkara penting bagi memperoleh haji mabrur iaitu diterima Allah ialah sentiasa memastikan ibadah itu dilakukan semata-mata kerana Allah SWT. 

“Kedua, sentiasa memastikan setiap ibadah itu mengikut tatacara yang ditunjukkan Rasulullah dalam banyak hadisnya. Amalan bid’ah dan khurafat perlulah dijauhi. 

“Barang siapa melakukan satu amal yang bukan perintah kami, maka amal itu tertolak.” (Hadis riwayat Muslim).

“Ibadah haji mengajar umat Islam tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT. Jika mereka dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang musim haji, ia menjadi medan terbaik mendidik diri patuh perintah Allah,” katanya. 

Larangan yang ditetapkan ketika berihram turut mendidik diri berdisiplin melaksana ibadah dan kehidupan seharian. 

“Ia menggambarkan Islam amat prihatin daripada perkara besar seperti larangan bersetubuh hingga perkara kecil seperti larangan memotong kuku dan memakai minyak wangi. 

“Dalam keadaan bersesak-sesak dengan jutaan umat Islam yang mempunyai pelbagai sifat, kerenah dan kehendak, sifat sabar amat perlu” katanya. 

Katanya, ibadah haji turut mendidik manusia dengan pelbagai sifat terpuji menerusi amalan rukun dan wajib haji. 

“Pemakaian ihram dan ibadah tawaf memberi gambaran setiap manusia itu sama taraf di sisi Allah. 

“Hanya takwa yang dicerminkan melalui mutu ibadah membezakan antara satu dengan lain,” katanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat, ayat 13).

“Lafaz talbiah (labbaikallahumma labbaik) yang dilaungkan jemaah haji, mampu mendidik diri menjadi hamba yang sentiasa mengiktiraf kehebatan dan kebesaran Allah. 

Lafaz talbiah membawa maksud: “Aku sambut (tunaikan) seruan-Mu ya Allah! Aku sambut seruan-Mu Ya Allah! Aku sambut seruan-Mu! Tiada sekutu bagi-Mu, aku sambut seruan-Mu! Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kekuasaan adalah bagi-Mu. Tidak ada satu pun sekutu bagi-Mu.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ibn Majah).

“Jika ibadah haji dapat ditunaikan dengan penuh tertib dan sempurna, menepati tatacara yang dianjurkan Rasulullah wajarlah bagi jemaah menerima ganjaran besar yang dijanjikan Allah,” katanya. 

Perlu menjadi ingatan, antara tanda ibadah haji itu diterima Allah apabila seseorang itu berterusan melaksanakan perintah Allah meskipun kembali ke tanah air masing-masing. 

“Dalam Islam, ibadah tidak ditunaikan secara bermusim. Solat fardu berjemaah tidak hanya terhad di Tanah Suci tetapi perlu diteruskan ketika berada di tanah air. Begitu juga sedekah, zikir dan qiamullail. 

Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Jemaah haji perlu memanfaatkan masa di Tanah Suci berdoa di tempat-tempat mustajab seperti wukuf di Arafah. 

“Rasulullah SAW bersungguh-sungguh berdoa dan berzikir pada hari Arafah sehingga matahari terbenam, iaitu setelah solat Zohor dan Asar. 

“Berdoa untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain termasuk mendoakan ahli keluarga dan rakan menunaikan ibadah haji di masa depan. 

“Inilah ciri-ciri individu yang mendapat haji mabrur, iaitu mengasihi orang lain seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri,” katanya.




Mohd Fadly Samsudin fadly@hmetro.com.my myMetro Variasi Ad Din Khamis 01 November 2012

Tags: haji, mabrur
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments