mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hijrah diterjemah laksana transformasi

Kuala Lumpur: Pendekatan Hijrah telah diterjemahkan dalam melaksanakan transformasi negara demi membawa Malaysia ke suatu keadaan lebih baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata berpegang kepada definisi hijrah bermaksud perpindahan atau perubahan, Malaysia melakukan perubahan sehingga berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Hasilnya, Malaysia kini menjadi antara negara yang sering mendapat pengiktirafan dan pujian negara luar sebagai sebuah negara Islam yang dinamik dan progresif, kata Najib dalam perutusan Maal Hijrah beliau dalam blog www.1Malaysia.com.my, di sini, semalam.

Melafazkan rasa syukur kerana Malaysia masih dapat menyambut Maal Hijrah 1434H tahun ini melalui kesederhanaan dan kesejahteraan rakyat, Najib berkata, ia bertepatan dengan tema Maal Hijrah kali ini iaitu Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.

Berhijrah kata Najib, adalah sebahagian daripada melaksanakan misi ketakwaan dan ia adalah satu perintah yang perlu dilakukan sepanjang masa.

Kita mestilah sentiasa berhijrah bagi mengharapkan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat...mesti sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah, katanya, merujuk ayat 218 Surah Al-Baqarah yang menyentuh konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah SWT.

Najib berkata, syariat Islam secara fitrahnya jika diamalkan akan menyatukan ummah dilihat daripada kesatuan dan kepemimpinan yang mampu menghilangkan sempadan kaum, bahasa dan warna kulit.

Katanya, Malaysia telah menjana satu fikrah berkenaan tonggak kesatuan dan perpaduan melalui pendekatan wasatiyyah yang digarapkan dalam segenap perkara dalam pelaksanaan pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang di negara ini.

Sesungguhnya melalui pendekatan wasatiyyah, keutuhan perpaduan dan persaudaraan sesama kaum dan agama dapat ditingkatkan, kata Najib yang menambah bahawa konsep itu juga dapat mempertingkatkan nilai kualiti kebersamaan dalam kemajmukan yang menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah secara keseluruhannya.

Najib berkata, konsep kesederhanaan itu telah diketengahkan oleh Malaysia dalam menyelesaikan sesuatu konflik dalam dan luar negara.

Antaranya, baru-baru ini, Malaysia bertindak sebagai pengantara melalui pendekatan kesederhanaan sehingga berjaya menyelesaikan krisis 40 tahun antara Barisan Pembebasan Islam Moro dan Kerajaan Filipina.

Kita juga mengambil pendekatan sama dalam isu keganasan etnik dan agama di Rakhine, Barat Myanmar dengan menekankan soal kemanusiaan dengan memberi bantuan kepada mangsa keganasan itu tanpa mengira latar belakang dan agama mereka, katanya.

Baru-baru ini, katanya, ulama terkemuka dunia Dr Yusuf Al-Qaradawi juga memberi pengiktirafan dan pujian kepada Malaysia di atas komitmen jitu negara dalam membantu dan menyokong rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis di bumi Gaza.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan sama menyeru Umat Islam memperbaharui azam untuk terus menempa kejayaan dan kemajuan, sekali gus bersatu menghadapi cabaran dan rintangan.

Katanya, Islam tidak menggalakkan umatnya berpeluk tubuh dan hanya berdoa mengharapkan rezeki datang bergolek tanpa berusaha.

Ajaran Islam juga menuntut umatnya memelihara silaturrahim dan tidak melemparkan fitnah sesama sendiri atau melakukan tindakan yang akhirnya akan melemahkan umat Islam, katanya.

Najib dan Muhyiddin bersama keluarga masing-masing mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharam 1434H kepada seluruh umat Islam.


Berita Harian Online Nasional Khamis 15 November 2012
Tags: hijrah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments