mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ilmu mengembalikan kemuliaan umat Islam

KITA sedang berhadapan dengan realiti seperti yang disebut dalam hadis Nabi SAW bahawasanya kita ini ramai tetapi tidak bermanfaat. Allah campakkan penyakit ke dalam hati kita (al-wahn), dan Nabi SAW gambarkan bahawa Allah SWT mencabut perasaan hormat dari jiwa yang benci dan anti kepada Islam. Lalu apakah tindakan kita apabila berada dalam situasi ini?

Serata dunia umat Islam ditindas, dicemuh dan diperolok-olok. Justeru kita tidak boleh meletakkan emosi mendahului iman dan amal. Kita tidak boleh membiarkan emosi mendahului ilmu pengetahuan dalam bertindak. Sabda Nabi SAW, maksudnya "Bukanlah kekuatan itu dengan pergaduhan, tetapi sesungguhnya kekuatan itu adalah orang yang mampu mengekang jiwanya ketika marah."(riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Tanggungjawab pertama dan utama umat Islam ialah mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan khususnya ilmu agama. Sabda Nabi SAW, "Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya, akan difahamkan dia tentang agamanya." (riwayat Bukhari dan Muslim dari Mu'awiyah bin Abi Sufyan RA)

Ertinya orang yang tidak faham agama, Allah tidak inginkan kebaikan baginya. Ini satu cabaran bagi kaum muslimin untuk menambah ilmu. Semua amalan seperti solat fardu, solat jama' dan qasar ketika musafir, etika berpakaian, bermu'amalah, komunikasi sesama muslim atau dengan non-muslim, antara jiran dan tetamu, dan ibadat-ibadat lainnya, terlebih dahulu kita perlu ada ilmu tentangnya.

Kedua, setelah memiliki ilmu kita harus mengamalkan ilmu itu. Untuk apa ilmu jika tidak beramal. Negara Islam pada hari ini menghasilkan ramai sarjana. Masing-masing bersijil, punya master dan Phd dari pelbagai universiti. Hal ini sesuatu yang baik namun timbul masalah apabila para sarjana ini menjadikan ijazah mereka sebagai lesen untuk membenarkan setiap perkataan yang diungkapkan.

Al-Imam Asy-Syafi'i tidak pernah belajar di Oxford, Al-Imam Abu Hanifah tidak belajar di Universiti Madinah, Imam Malik bukan lepasan Universiti Al-Azhar, Imam Ahmad tidak pernah belajar di Universiti Al-Urduniyyah di Jordan. Tetapi penulisan, perkataan, kewibawaan dan ketokohan mereka diiktiraf, dikenali dan diingati sampai ke hari ini.

Ini bererti bukan ijazah, pangkat dan gelaran itu yang harus dijadikan dalil kebenaran seseorang. Dalilnya adalah perkataannya sendiri; adakah sesuai atau tidak dengan neraca Al-Quran dan As-Sunnah yang difahami oleh para sahabat Nabi RA.

Kita tidak menolak ijazah, tetapi yang dimaksudkan adalah jangan gunakan ijazah untuk kepentingan. Jangan jadikan ijazah sebagai dalil untuk membenarkan semua perkataan dan perbuatan. Ini kerana kita bimbang melihat ramai pemegang ijazah kurang mempraktikkan agama, kurang menyerlah usaha-usaha untuk beramal dengan agama. Mereka punya ilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya. Kesannya bukan sahaja pada diri sendiri, tetapi pada ahli keluarga, masyarakat, juga kepada negara. Masyarakat awam akan berdalilkan tindakan mereka, contohnya "Ustaz itu pun buat, apa salahnya. Kalau salah tentu ustaz itu tidak buat." Itu adalah nilaian orang awam yang jahil.

Sebab itu kita perlu menuntut ilmu dan kemudian barulah disusuli dengan amal. Ilmu dan amal itu harus bergantung pada sandarannya; bukan pada batang tubuh manusia tetapi bergantung terus kepada dalil-dalil yang disampaikan. Kesan dan impak beramal dirasai bukan sahaja oleh diri sendiri dan keluarga, bahkan juga oleh masyarakat dan negara. Kalau kita tidak beramal dan tidak menunjukkan contoh yang baik, mana mungkin perubahan dapat berlaku.

Sebab itu Allah SWT mencerca dan menyindir orang yang ada ilmu kemudian dia bercakap tetapi dia tidak mengamalkannya, "Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah apabila kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." (surah Ash-Shaff: 2-3)

Ketiga, sebarkan ilmu setelah beramal. Daripada beramal pergi pula ke peringkat seterusnya iaitu an-nasyru (sebarkan). Islam agama dakwah. Islam agama nasihat. Sabda Nabi SAW, "Agama adalah nasihat. Kami (para sahabat) bertanya, "Bagi siapa?" Baginda menjawab, "Bagi Allah, dan bagi Kitab-Nya, dan bagi Rasul-Nya, dan bagi penguasa kaum Muslimin dan Kaum Muslimin secara umum." (riwayat Muslim no. 55)

Apabila Nabi mengatakan agama ini adalah nasihat, mesti ada kaedah untuk menyampaikan nasihat. Nasihat bukan disampaikan ikut suka hati. Bukan apabila kita melihat orang berbuat salah kita terus menghukumnya.

Nabi telah mengajar kita kaedah menyampaikan nasihat; kaedah penjagaan lisan dan perkataan, kaedah memilih tempat dan keadaan, kaedah melihat karektor seseorang. Jadi orang yang hendak menyampaikan nasihat perlu berhikmah yakni bijak memilih kaedah yang sesuai agar nasihat itu diterima dan memberi kebaikan kepada orang yang dinasihati. Ternyata demonstrasi bukan kaedah penyelesaian masalah di dalam agama Islam.

Kita tidak akan mampu membendung pelbagai jenis manusia yang berhimpun beramai-ramai di dalam demonstrasi. Menjerit, marah, emosi, maki hamun, kutuk, yang akhirnya boleh membawa kepada pergaduhan. Itu bukan kaedah menyampaikan agama kepada orang.

Seorang budak Yahudi yang sedang sakit tertawan dengan Nabi sebelum kematiannya, Nabi pergi kepadanya dan berkata, "Sebutlah kalimah Laa-ilaaha-illallaah. Aku akan bersaksi dengan kalimah ini di hadapan Allah SWT engkau memeluk Islam." Budak ini lalu memberitahu bapanya bahawa Muhammad mengajaknya menyebut Laa-ilaaha-illallaah. Bapanya berkata, taatilah Abul Qasim (Muhammad SAW). Ini adalah kerana akhlak dan budi pekerti Nabi SAW yang mulia dan buat orang tertawan dengannya.

Kita perlu pandai memilih keutamaan. Keutamaan yang perlu kita memperbetulkan adalah akidah dan membasmi kesyirikan. Dahulukan yang paling penting di antara perkara-perkara penting lain. Kita tidak boleh memulakan dakwah dengan menyuruh orang menutup aurat. Orang yang berpuluh tahun tidak pernah menutup aurat, tiba-tiba kita menyuruhnya menutup aurat, dia akan menjadi lebih ego dan menentang. Akhirnya kita sendiri yang sakit hati.

Sebab itu seorang da'i harus pandai memilih keutamaan. Seorang pendakwah yang ingin mendakwah orang lain perlu ada bahan-bahan yang hendak disampaikan maka persiapkanlah diri dengan ilmu. Tingkatkan semula kekuatan yang Allah SWT janjikan kepada umat Islam dengan cara mencari ilmu, beramal, dan dengan dakwah yang kita sampaikan.


FATHUL BARI MAT JAHYA, Ketua Pegawai Eksekutif, Sekretariat Ilmuan Malaysia(iLMU), Ilmuanmalaysia.com Ilmu-islam.com Utusan Malaysia Online Rencana 19 November 2012 / 5 Muharam 1434
Tags: ilmu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments