mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Peringatan agar bertaubat

SETELAH Allah SWT menyebut perihal orang musyrik yang tidak mahu memerhatikan tanda kekuasaan-Nya yang dapat disaksikan di mana-mana sahaja di alam semesta ini, selanjutnya Dia menyebut pula perihal mereka yang tidak mahu memerhatikan ayat-ayat al-Quran yang disampaikan kepada mereka yang mengandungi peringatan dan ancaman bagi mengelakkan azab seperti yang telah menimpa kaum-kaum sebelum mereka.

Kemudian Allah SWT meneruskan pula kecaman terhadap mereka kerana tidak mahu bersikap belas kasihan sesama makhluk kerana mereka tidak membelanjakan harta untuk menolong orang yang memerlukannya.

Firman Allah SWT: Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini), dan apa yang ada di belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat, (mereka tidak mengendahkannya). (Yasin: 45)

Mujahid berkata: "Daripada berbagai-bagai dosa."

Ibnu Kathir berkata: "Ketakwaan kamu, maka Allah SWT merahmati dan menyelamatkan kamu daripada azab-Nya."

Al-Maghari berkata: "Apabila dikatakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT "awaslah, kamu pasti akan menerima bencana seperti yang pernah menimpa umat sebelum kamu. Begitu juga kamu hendaklah takut terhadap bencana-bencana yang pernah menimpa umat yang sebelum kamu kerana melakukan kemusyrikan dan mendustakan rasul Allah SWT."

Di samping itu pula kamu akan menerima azab yang lebih keras dan kamu mati dalam keadaan kafir. Semoga peringatan ini menjadikan kamu mahu bertaubat.

Ayat ini dengan jelas menunjukkan watak orang kafir dan tidak beriman sentiasa mempertikaikan keputusan Allah SWT dan segala bentuk janji Allah, mereka mempermainkannya.

Mereka tidak merasa gementar dan takut, sebaliknya dengan bersahaja mempertikaikannya termasuk hari kiamat dan janji Allah. Golongan seperti ini sentiasa wujud di sepanjang zaman. Semoga Allah memelihara kita daripada disesatkan mereka.

Firman Allah SWT: Dan (Itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan Tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya). (Yasin: 46)

Ibnu Kathir berkata: "Mereka tidak berharap dan tidak menerimanya serta menolak manfaat daripadanya."

Al-Maghari berkata: "Setiap kali ditunjukkan kepada mereka bukti-bukti keagungan ciptaan Allah SWT yang membukti keEsaan-Nya, dengan serta-merta pasti mereka menolak dan mendustakan serta mengejeknya."

Hakikatnya mereka itu tidak mahu membebankan diri mereka dengan mempercayai keEsaan-Nya dan kebenaran rasul. Allah SWT menyebut keengganan mereka menerima ayat-ayat-Nya, selanjutnya Dia menyebut pula kekejaman mereka sesama makhluk Allah SWT.

Dalam ayat-ayat yang dibincangkan di atas jelas mempamerkan sifat ingkar, protes dan tidak bersyukur atas kurniaan Allah yang pelbagai dan banyak.

Justeru, mereka sewajarnya mengambil iktibar berdasarkan kebenaran yang diserlahkan dalam al-Quran serta realiti sebenar yang berlaku dari semasa ke semasa. Begitu juga dengan penemuan saintifik jelas menunjukkan kebenaran Ilahi.

Ulama berpendapat bahawa ayat ini turun berkenaan masa sulit yang dihadapi masyarakat Mekah. Ketika itu Nabi Muhammad SAW menganjurkan kepada semua pihak termasuk kaum musyrikin membantu fakir miskin, namun mereka enggan.

Orang miskin yang telah memeluk Islam tidak lagi diberi bantuan dan ketika itulah kaum musyrikin mengucapkan kalimat yang kasar itu.

Marilah sama-sama kita sentiasa tadabbur ayat Allah untuk mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan juga wasiat Tuhan kepada kita semua.




DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 30/11/2012

Tags: taubat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments