mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Suami tak wajar ambil kesempatan

RAMAI di kalangan suami lupa antara tanggungjawab terpenting mereka terhadap isteri ialah menanggung serta memberi nafkah.

Isteri berhak mendapat nafkah daripada suami seperti ditetapkan syariah. Meskipun mutakhir, ramai isteri bekerja dan memiliki pendapatan sendiri, memberi nafkah tetap satu tuntutan.

Jika suami gagal membayar nafkah tanpa kerelaan isteri, mereka dianggap berhutang dan isteri boleh menuntutnya.

Allah berfirman dalam Surah An-Nisaa’ ayat 34 yang bermaksud: “Lelaki itu adalah pemimpin bagi perempuan, sebab Allah melebihkan setengah mereka dari yang lain dan kerana mereka (lelaki) memberi belanja dari hartanya (untuk perempuan).

 PENYATUAN DUA HATI...suami bertanggungjawab memimpin rumah tangga dengan baik selain memenuhi hak isteri serta berbuat baik terhadap isteri sesuai dengan ajaran yang disampaikan Rasulullah.. height= PENYATUAN DUA HATI...suami bertanggungjawab memimpin rumah tangga dengan baik selain memenuhi hak isteri serta berbuat baik terhadap isteri sesuai dengan ajaran yang disampaikan Rasulullah.

Jika berlaku perceraian, suami wajib menunaikan nafkah dan berhak menerimanya sepanjang tempoh iddah menurut syarat ditetapkan syarak.


Bagaimanapun, tidak semua isteri yang diceraikan berhak menerima nafkah. Malah, bentuk nafkah yang diterima juga berbeza bergantung kepada keadaan dan jenis perceraian ketika berlakunya perceraian.

Isteri tidak berhak mendapat nafkah apabila mereka nusyuz atau tidak mematuhi kemahuan dan perintah sah suaminya. Jadi, penting isteri mengetahui hak mereka dalam perundangan Islam dan perkahwinan.

Ada sesetengah suami bertuah dan selesa apabila isterinya bekerja malah bergaji lebih tinggi daripadanya. Disebabkan hal itu, ada yang buat acuh tak acuh menunaikan nafkah dan hak kepada isteri.

Kehidupan berumah tangga memang perlu ada sifat memberi dan menerima, namun kepincangan yang berlaku dalam rumah tangga akhir-akhir ini banyak berpunca daripada kegagalan suami membayar nafkah isteri.

Perunding motivasi syariah, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi berkata, dalam kitab Mughni Muhtaj mengikut ulama Al-Syarbini, nafkah ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib atas seorang untuk membiayainya.

“Ia termasuk membiayai semua hajat dan keperluan termasuk pelajaran, makanan, ibadat dan tempat tinggal.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Talaq ayat 7 yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya.”

“Jumhur ulama bersepakat, kewajipan mengeluarkan nafkah itu tanggungjawab suami walaupun isterinya bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.

“Menurut mazhab Syafie, seorang isteri hanya terbatal menerima nafkah sekiranya melakukan nusyuz terhadap suami menurut sisi syarak ataupun isteri bekerja tanpa keizinan suami,” katanya.

Permasalahannya, bolehkah isteri rela tidak menuntut bahagian nafkah daripada suaminya malah membantu perbelanjaan keluarga?


Menurutnya, tindakan murni seorang isteri seumpama itu adalah sangat dipuji dalam Islam kerana sanggup berkorban dan mengetepikan kepentingan diri untuk suami dan keluarga tercinta.

“Namun, tindakan terpuji itu akan mendidik suami melepaskan tanggungjawabnya serta menyerahkan isu nafkah kepada isteri semata-mata.

“Ia akan membawa keluarga ke arah porak peranda pada masa hadapan. Jika perkara asas seperti menyediakan makanan atau membeli barang dapur pun suami tidak mampu menyediakannya, wajar diselidiki apakah status perkahwinannya kerana suami tadi belum mampu untuk berkahwin,” katanya.

Beliau berkata, konsep nafkah itu luas termasuklah menyediakan rumah kediaman, pelajaran anak, makanan, pakaian dan juga kos perubatan berdasarkan kemampuan dan keperluan.


“Jika suami mempunyai kekurangan menyediakan perbelanjaan keluarga, barulah isteri boleh membantunya. Kaedah fiqh menyatakan setiap perkara berdasarkan niatnya.

“Itu mekanisme yang dipakai dalam mahkamah bagi melihat tindakan suami atau isteri bergantung pada niat mereka. Isteri membantu suami dalam menyediakan nafkah adalah tanda isteri sayang dan sanggup berkorban demi keluarga.

“Tetapi jika suami mengambil kesempatan dalam hal pemberian nafkah walaupun dia berkemampuan menunjukkan suami tadi ada ‘agenda’ lain termasuklah berpoligami tanpa kebenaran di luar mahkamah,” katanya.

Perkembangan tidak sihat itu menafikan kuasa mahkamah dalam menilai keadaan suami untuk berpoligami sama ada ‘mampu dan perlu’ untuk berkahwin lain.

Firman Allah dalam surah al-Talaq ayat 6 yang bermaksud, “Tempatkanlah mereka (isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu, dan janganlah kamu menyusahkan mereka, dan menyempitkan hati mereka”.

“Dalil itu menyatakan kewajipan suami mengeluarkan nafkah mengikut kemampuan dan bukannya mengikut sukatan suami. Sebab itu, istilah ‘breadwinner’ diberikan kepada suami.

“Jika mereka hanya mengikis duit isteri, ia bertentangan dengan hukum syarak kerana melanggar fitrah menyediakan nafkah. Malah sabda nabi: “Tidak akan masuk syurga (suami) yang dayus termasuklah mereka yang menyusahkan isteri untuk kepentingan diri sendiri yang diibaratkan sebagai ‘parasit’.

“Itulah yang ditekankan cendekiawan dan pihak kerajaan mengenai perlunya ilmu rumah tangga dimasukkan dalam modul praperkahwinan.

“Sekurang-kurangnya bakal isteri sedar pemberian nafkah adalah tanggungjawab mutlak suami,” katanya.

Menurutnya, kes di mahkamah syariah kebanyakannya berkisar isu nafkah yang menjadi tonggak dalam perancangan kewangan keluarga.

“Kebanyakan pasangan tidak memikirkannya dari awal kerana menganggap kesucian cinta mereka lebih utama. Pemikiran ini perlu dihapuskan kerana manusia dijadikan Allah sebagai khalifah yang dipertanggungjawabkan dengan pelbagai amanah.

“Corak perkahwinan hari ini menjurus ke arah perkahwinan Misyar. Suami dengan pendapatannya mengeluarkan belanja untuk perkara tertentu, malah isteri juga mengeluarkan belanja hasil wang kerjanya untuk membayar perkara tertentu.

“Perancangan kewangan saling bantu membantu ini langkah yang dipuji syarak tetapi menjadi negatif apabila terdapat sikap manusia yang mengambil kesempatan atas pertolongan isteri seperti berkahwin lain.

“Perkara itu menyebabkan isteri akan mengungkit pemberiannya kepada suami dan keluarga. Jika dinilai, indahnya perkahwinan orang dulu apabila suami bekerja dan isteri menjadi suri rumah sepenuh masa,” katanya.

Nafkah tidak bersifat mutlak dan mengikat suami dengan jumlah tertentu yang wajib dikeluarkan setiap bulan kerana ia atas kemampuan dan keperluan.

“Sewajarnya setiap pasangan menyenaraikan perkara yang perlu dan mampu saja. Contohnya, pasangan yang baru mendirikan rumah tangga dan baru bekerja membeli barang perkakasan rumah berdasarkan kemampuan daripada berhutang untuk dilihat mewah.

“Itulah kenangan manis dalam berumah tangga kerana sama-sama susah terlebih dahulu, sanggup bermula dari bawah sebelum menikmati kesenangan,” katanya.

Sabda Nabi yang bermaksud: Dari Muawiyah al-Qusyairi, berkata: “Saya datang kepada Rasulullah lalu saya bertanya, bagaimana pandanganmu Ya Rasulullah mengenai isteri-isteri kami? Sabdanya: “Berilah mereka makan dari makanan yang kamu makan, berilah mereka pakaian dari pakaian yang kamu pakai, janganlah kamu pukul mereka dan jangan pula kamu buruk-burukkan mereka” (Hadis riwayat Abu Dawud).

Suami tidak boleh memberi makanan dan pakaian kepada isterinya lebih buruk daripada yang dimakan dan dipakainya.

“Isteri pula tidak boleh meminta sesuatu di luar kemampuan suaminya. Isteri boleh memberi peringatan kepada suami yang mengabaikan tanggungjawabnya memberi nafkah sama ada mahu memberi belanja atau menceraikannya.

“Menurut Imam Syafie dalam kitab karangan Dr Wahbah Zuhaily, kadar nafkah makanan yang wajib adalah mengikut keadaan suami. Jika suami kaya, nafkah isteri yang diwajibkan ialah dua cupak makanan setiap hari, suami yang miskin satu cupak dan suami yang sederhana satu cupak setengah,” katanya.

Beliau berkata, perkahwinan adalah amanah yang dipertanggungjawabkan bukannya keseronokan semata-mata.

“Kesusahan dan kepahitan melaksanakan amanah itu adalah kemanisan dalam rumah tangga. Malah, menurut ulama, menyediakan nafkah disebut sebagai syahid dunia jika seorang keluar dari rumah mencari nafkah dan mati dalam perjalanan,” katanya.



Mohd Fadly Samsudin fadly@hmetro.com.my myMetro Variasi Ad Din 29 November 2012
Tags: kahwin, nafkah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments