mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Penyiram kasih di Kota Suci

KOTA Suci Mekah pada dekad-dekad lalu sentiasa dihiasi dengan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mengharumkan buminya dengan halaqah-halaqah ilmu Islam yang bermanfaat.

Antara mereka yang menjadi nadi memakmurkan Masjidil Haram dengan ilmu, hikmah dan amal, yang tulus, ikhlas lagi suci hatinya ialah Al 'Allamah Syeikh Muhammad Nur bin Saif bin Hilal al Mahiri Maliki.

Dilahirkan pada 1232 Hijrah bersamaan tahun 1905 Masihi di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Syeikh Muhammad Nur Saif semenjak kecil telah dihantar oleh bapanya menghafaz al-Quran di pusat penghafazan al-Quran dan mempelajari asas-asas ilmu agama.

Pada tahun yang sama Syeikh Ali Zainal Ridha telah mengasaskan Madrasah al Falah yang keempat di Dubai dan meminta agar Madrasah al Falah di Mekah menghantar salah seorang penuntut lepasannya yang paling alim dan berbakat untuk  Syeikh Muhammad Nur Saifmentadbirnya.Kemudian pada 1335 Hijrah, bapanya membawa beliau ke Mekah untuk menunaikan haji dan umrah lalu memasukkan beliau ke Madrasah al Falah dan menamatkan pengajian di sana pada 1347 Hijrah.

Maka Syeikh Muhammad Nur Saif terpilih dan dilantik sebagai pengetuanya memandangkan beliau berasal dari Dubai dan lebih mengenali hal ehwal kehidupan masyarakat Islam di negeri kelahirannya.

Selama 22 tahun Syeikh Muhammad Nur Saif mencurahkan masa dan tenaganya mentadbir Madrasah al Falah yang merupakan pusat ilmu dan benteng Ahli Sunnah Wal Jamaah di Dubai dan madrasah itu telah melahirkan tokoh-tokoh Islam disegani.

Pada masa yang sama juga beliau telah diamanahkan untuk mentadbir Madrasah al Ahmadiah yang merupakan madrasah seliaan kerajaan di Dubai.

Pada 1369 Hijrah, Syeikh Muhammad Nur Saif kembali ke Mekah dan mengajar di Madrasah al Falah Mekah sehingga 1389 Hijrah serta menetap di sana sehingga ke akhir hayatnya.

Syeikh Muhammad Nur Saif amat cintakan majlis ilmu dan begitu bersungguh-sungguh melahirkan generasi Islam yang berkualiti.

Beliau telah ditauliahkan oleh para masyayikh Masjid al Haram sebagai salah seorang tenaga pengajar. Halaqah pengajiannya menyajikan pelbagai jenis ilmu Islam yang bermanfaat. Kemahirannya dalam ilmu Bahasa Arab juga tidak dapat dipertikaikan.

Sepanjang bergelar ahli ilmu, beliau telah memperoleh faedah ilmu dan ijazah daripada ramai ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah terkemuka, sama ada yang berada di Mekah dan Madinah mahupun selainnya.

Di antara mereka yang telah mengasuh, mendidik dan mencurahkan ilmu serta ijazah kepadanya ialah bapanya, Syeikh Saif bin Hilal, Sayyid Muhammad al 'Arabi al Tabbani, Syeikh Umar Hamdan al Mahrisi, Syeikh Muhammad Ali al Maliki, Syeikh Muhammad Yahya Aman al Hanafi, Syeikh Abid al Maliki, Syeikh Ahmad al Tiji, Syeikh Isa Rawwas dan ramai lagi.

Cendekiawan Islam

Hasil didikan dan curahan ilmunya pula telah berjaya melahirkan ramai tokoh cendekiawan Islam yang terkemuka dan masyhur dalam arena keilmuan.

Antara mereka ialah; al Musnid Syeikh Muhammad Yasin al Fadani, Syeikh Abdullah al Lahji, Syeikh Ismail Uthman Zain, Sayyid Muhammad Alawi al Maliki, Syeikh Ahmad Jabir, Syeikh Ahmad Muhammad Nursaif, Sayyid Hamid al Kaf dan lain-lain lagi.

Setelah mencurahkan ilmu dan bakti kepada umat manusia, Syeikh Muhammad Nur Saif dipanggil bertemu Allah pada waktu Zuhur hari Selasa, 30 Jamadilawal 1403 Hijrah bersamaan 21 Februari 1985 Masihi dan disemadikan di tanah perkuburan al Ma'la, Mekah di sisi kubur gurunya, Sayyid Muhammad al 'Arabi al Tabbani al Hasani.

Meskipun beliau telah pergi, namun ingatan terhadapnya kekal berbaki dan jasa baktinya kekal dalam ingatan dan doa insan-insan yang mencintainya selagi mana manusia berpegang dengan al-Quran dan sunnah dalam menempuh jalan yang lurus.

Syeikh Muhammad Nur Saif telah menitipkan dan menyemai benih ilmu dengan penuh kasih-sayang dan kita pula yang telah menjadi kaya dengan hasil tuaiannya pada hari ini.

Semoga Allah merahmati rohnya dan menjadikan persemadian beliau sebagai salah satu dari taman-taman syurga-Nya.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 04/12/2012

Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments