mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perbezaan pendapat dan toleransi dalam Islam

KHILAF atau perbezaan pendapat adalah suatu yang lumrah dalam kehidupan. Perbezaan pendapat diiktiraf dalam Islam, ia dinamakan dengan khilaf yang muktabar.

Pun begitu, pendalilan 'istidlal' terhadap khilaf ini tidak boleh disandarkan pada hadis yang amat lemah 'ikhtilaf ummati rahmah' iaitu perbezaan pendapat di kalangan umatku adalah rahmat. Hadis ini tidak memiliki sandaran sama sekali 'la asla lahu'. Khilaf yang muktabar itu sepatutnya disulami dengan sikap toleransi. Itulah yang diajarkan oleh Nabi SAW dalam sunnah Baginda.

Berdasarkan kenyataan ini, sudah tentulah manusia sentiasa mempunyai kepelbagaian dalam setiap urusan sama ada duniawi mahupun ukhrawi. Allah SWT menyatakan dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya."

Pastinya juga perbezaan ini adalah natijah kepada kepelbagaian mereka dari sudut pendidikan, pemikiran, adat dan alam sekeliling. Aspek-aspek ini disentuh oleh Allah SWT dalam ayat tadi dengan menekankan tujuan penciptaan, iaitu supaya mereka dapat kenal-mengenali, dan bukan sekali-kali mereka saling kecam-mengecam antara sesama manusia.

Dalam satu ayat lain, Allah SWT menjelaskan walaupun perbezaan itu berlaku dan berterusan, akan tetapi orang yang Allah rahmati ialah yang tidak berselisihan dan tidak pula berpecah-belah. Firman-Nya dalam Surah Hud ayat 118-119 yang bermaksud: "Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: "Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)."

Antara contohnya yang boleh kita lihat adalah perselisihan antara Umar al-Khattab dan Hisham bin Hakim bin Hizam dalam lafaz bacaan al-Quran. Dikisahkan oleh 'Umar bin Al-Khattab, "Aku terdengar Hisham bin Hakim bin Hizam membaca Surat-al-Furqan dengan lafaz yang berbeza dengan caraku. Rasulullah telah mengajarkan padaku dengan lafaz yang berbeza.

Aku hampir-hampir saja ingin bertengkar dengan dia (pada saat solat) tapi aku tunggu sampai dia selesai, lalu aku ikat bajunya di sekeliling lehernya dan aku seret dan membawanya menghadap Rasulullah dan berkata, "Aku telah mendengar dia membaca Surah al-Furqan dengan cara yang berbeza dengan yang tuan ajarkan kepadaku." Rasulullah menyuruhku melepaskannya dan meminta Hisham membacakan lafaznya. Kemudian Rasulullah berkata, "Itu (Surah-al-Furqan) dilafazkan begitu." Rasulullah lalu meminta aku membaca (mengikut lafaz yang dipelajari). Ketika aku melakukannya, dia berkata, "Itu (dibacakan) dilafazkan begitu. Al-Quran telah dinyatakan dalam tujuh cara yang berbeza, jadi lafazkan dengan cara yang mudah bagimu." (Riwayat al-Imam al-Bukhari No 5041 dan al-Imam Muslim No 818).

Hendaklah diketahui terdapat perkara prinsip dan dasar yang tiada ruang untuk toleransi seperti dalam akidah. Demikian juga perkara yang sudah menjadi ijmak, contohnya hukuman rejam kepada penzina yang sudah bernikah. Ia adalah satu perkara ijmak di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka adalah tidak dibenarkan untuk kita bertoleransi dalam perkara ini.

Toleransi dibenarkan dalam perkara berkaitan syariah serta hukum-hakam yang masih lagi ada ruang khilaf. Sebagai contoh, hukum kewajipan solat adalah sesuatu yang dasar dan tidak boleh ditoleransikan kewajipannya. Akan tetapi hukum-hukum perincian dalam solat seperti meletakkan tangan di mana; sama ada di bawah pusat, di dada atau di perut ia tiada masalah ditoleransikan selagi semuanya berasaskan dalil.

Begitu juga terdapat khilaf dalam perkara yang membatalkan wuduk. Al-Imam Malik dan al-Imam al-Syafie menyatakan perkara yang keluar daripada selain dua kemaluan seperti muntah, darah dan nanah bukan perkara yang membatalkan wuduk. Al-Imam al-Baghawi menyatakan ini adalah pandangan kebanyakan para Sahabat dan Tabi'in. Al-Imam al-Nawawi menyatakan tiada satu dalil sah Nabi SAW mewajibkan wuduk daripada perkara itu.

Manakala al-Syaikh Abdul Rahman al-Sa'di di kalangan ulama Arab Saudi iaitu guru kepada al-Imam Muhammad Ibn Salih al-Uthaimin menyatakan bahawa pandangan yang sahihnya ialah darah, muntah dan seumpamanya tidak membatalkan wuduk sama ada sedikit mahupun banyak. Ini kerana tiada dalil yang menyatakan perkara itu membatalkan wuduk. Kaedah Usul al-Fiqh menyatakan asal sesuatu perkara itu adalah suci sehinggalah datang dalil yang menyatakan perkara itu tidak suci. Sekiranya ada dalil, barulah kita menyatakan ia tidak suci.

Kaedah ini berbunyi 'al-bara'ah al-asliyyah' yang bererti hukum asal sesuatu perkara adalah bebas daripada keterikatan. Justeru, asal bagi sesuatu perkara itu ialah ia bebas daripada dikaitkan dengan sifat-sifat tambahan. Jika tidak diketahui bahawa sesuatu perkara itu najis atau tidak najis, maka dikira tidak najis kerana sifat najis itu adalah sifat tambahan.

Contohnya, kita lalu di suatu tempat dan ingin bersolat tetapi kita tidak tahu sama ada tempat itu bersih dari najis ataupun tidak maka kita gunakan kaedah 'al-bara'ah al-asliyyah'. Tempat itu dikira suci untuk solat dan tidak boleh dikaitkan dengan kenajisan kecuali jika ada petanda yang menunjukkan ada najis di situ.

Terdapat beberapa riwayat daripada para sahabat yang menyokong kenyataan ini. Contohnya, Umar bin al-Khattab solat semasa darahnya mengalir ketika ditikam oleh Abu Lu'luah al-Majusi yang dilaknat oleh Allah SWT (dan semoga Allah melaknat juga golongan Syiah yang menganggapnya sebagai pejuang). Umar bin al-Khattab tetap meneruskan solat walaupun keluar darah, kerana tiada dalil yang menunjukkan perkara ini membatalkan solat.

Menurut pandangan yang ke-2 pula, al-Imam Abu Hanifah dan juga al-Imam Ahmad mengatakan perkara-perkara tersebut membatalkan wuduk jika keluar dengan banyak dan tidak membatalkan wuduk jika sedikit. Dalilnya adalah hadis Abu al-Darda' bahawa Nabi saw muntah dan Nabi saw mengambil wuduk.

Cuma hadis ini dibahas kembali dengan menyatakan perbuatan Nabi SAW tidak menunjukkan wajib tetapi perbuatan Nabi hanya menunjukkan sunat (mustahab) tetapi tidak sampai ke tahap wajib.

Disebabkan inilah, Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah menyatakan tiada masalah untuk meletakkan hukum sunat mengambil air sembahyang selepas berbekam, muntah dan sebagainya. Akan tetapi untuk mengatakan bahawa hukumnya wajib, maka ini memerlukan dalil yang kuat.

Para ulama dan sarjana Islam menggariskan beberapa adab dan etika ketika berbeza pendapat. Antaranya, tidak fanatik (ta'assub), tidak berkelompok (tahazzub), perlu menghormati orang lain, tidak membidas (jarh) pembuat dengan bidasan yang keras, perlu meredakan punca-punca perbezaan, perlu mengutamakan ukhuwah dan beberapa garis panduan lain.



Prof. Madya. Dr. Fadlan Mohd. OthmanPengerusi Sekretariat Ilmuan Malaysia(iLMU)Merangkap Timbalan Rektor Universiti al-Madinah Antarabangsa (MEDIU)Ilmuanmalaysia.comIlmu-islam.com Utusan Malaysia Online Rencana 11 Disember 2012 
Tags: toleransi
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments