mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ketandusan sifat amanah

INDEKS Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International baru-baru ini menunjukan Malaysia naik enam anak tangga ke tempat yang ke-54 daripada 174 negara, berbanding tempat ke-60 pada tahun lalu. Ini menunjukan peningkatan yang positif hasil usaha bersepadu yang telah dilaksanakan kerajaan selama ini dalam membanteras rasuah dan segala jenis korupsi.

Walaupun telah banyak usaha yang dilakukan, namun masih terdapat ruang untuk dipertingkatkan supaya gejala ini dapat dihapuskan sehingga akar umbi.

Gejala rasuah sebenarnya terhasil apabila tandusnya sifat amanah dalam melaksanakan tugas. Ditambah pula dengan sifat tamak haloba dan merasa tidak cukup dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW melarang sekeras-kerasnya amalan rasuah dengan memberikan amaran seksaan berat di akhirat kelak. Baginda juga telah membuat langkah pencegahan dari awal lagi dengan melarang sahabat-sahabat daripada mengkhianati amanah yang diserahkan.

Demikian juga dapat kita perhatikan kepada sahabat-sahabat yang telah menunjukkan semangat integriti yang sangat tinggi ketika memegang apa jua jawatan, termasuklah sebagai khalifah.

Setiap pekerjaan perlu dilakukan dengan penuh amanah dan bebas daripada apa juga unsur rasuah. - Gambar hiasan
Abu Bakar As-Siddiq ra ketika diputuskan oleh sahabat-sahabat sebagai khalifah setelah wafatnya Rasulullah SAW, beliau lantas berkata; "Sesungguhnya aku telah dilantik sebagai pemimpin kepada kamu semua, sedangkan aku bukanlah yang terbaik daripada kalangan kamu. Jika aku benar, maka bantulah aku dan jika aku salah maka luruskan (perbetulkan) aku."


Ucapan hebat ini menunjukkan betapa jelasnya kefahaman Abu Bakar ra dalam menggalas amanah kepimpinan yang diserahkan kepada beliau. Amanah adalah satu taklif (tanggungjawab) dan bukannya tasyrif (kemuliaan). Setiap manusia mempunyai amanah dan tanggungjawab mereka sendiri. Paling kurang, manusia itu pasti mempunyai tanggungjawab terhadap dirinya sendiri.

Amanah yang diserahkan kepadanya ini akan dipikul sebaik mungkin sekiranya dia merupakan seorang yang benar-benar beriman kepada Allah dan menganggap ia satu taklif (tanggungjawab) yang mesti ditunaikan.

Sebaliknya, sekiranya dia merupakan orang yang lemah imannya, maka amanah yang diberikan itu akan dianggap sebagai satu kemuliaan dan kebanggaan tanpa melaksanakannya dengan betul.

Keadaan sebegini menimbulkan kesedaran betapa pentingnya manusia itu mempunyai nilai kehidupan yang baik bagi dijadikan asas dan pedoman hidup.

Bagi orang Islam, tentunya kehidupan yang berkat adalah kehidupan di dalam lingkungan syariat Islam, yang mengawal tingkah laku mereka serta memandu mereka memilih jalan yang diredai oleh Allah SWT.

Bagi seorang Islam yang beriman, mematuhi Syariah adalah suatu tuntutan dan kewajipan. Ini kerana pertimbangan akal dan nafsu sahaja tidak menjamin syarak dipatuhi. Juga jika kita berpandukan terdapat ramai orang yang melakukannya, ini tetap tidak bermakna ia selari dengan syarak.

Oleh yang demikian, kehidupan yang baik adalah keyakinan dan kepatuhan yang teguh terhadap agama. Ini menjadikan manusia sentiasa patuh, taat dan tunduk kepada-Nya. Bila ini terjadi, orang yang memegang amanah akan menunaikannya kepada mereka yang berhak, kerana amanah ini bukan sahaja terhadap manusia tetapi lebih utama ialah terhadap Allah SWT.

Kita perlu yakin hanya dengan keimanan yang teguh akan membawa kita kepada kehidupan yang diredai oleh Allah.




Utusan Malaysia Online Bicara Agama 12 Disember 2012 
Tags: amanah, rasuah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments