mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sentiasa syukur nikmat Allah

UMAT Islam kini berdepan pelbagai isu membabitkan akidah dan iman. Fahaman pluralisme dan liberalisme yang mula menapak dilihat antara ancaman besar kepada umat Islam.


Penerapan fahaman yang menganggap semua agama itu sama perlu ditolak. Iman adalah perkara terpenting kerana ia membezakan antara orang mukmin dan kafir.


Dengan memiliki keimanan, umat Islam mempercayai dan mempunyai rasa cinta terhadap Allah dan rasul-Nya melebihi segala-galanya.



Bertuah sesiapa yang berjaya mendapat nikmat cinta sejati itu. Mereka bukan saja merasai manisnya iman, tetapi tergolong di kalangan umat Muhammad s.a.w yang akan memperoleh syafaatnya di hari akhirat.


Kemanisan iman hanya boleh dicapai jika berusaha mendapatkannya. Namun, sukar memperolehnya jika jiwa masih dikotori perasaan cintakan dunia, pelaku maksiat tegar serta mereka yang hitam dan mati hatinya.


Akidah juga pastinya tercalar dan rosak akibat perbuatan, pertuturan dan kepercayaan yang bertentangan dengan prinsip keimanan dalam Islam.

Firman Allah SWT di dalam surah As-Syura ayat 52 bermaksud: “Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau suatu roh (al-Quran yang menghidupkan hati) daripada perintah Kami. Engkau belum tahu, apakah kitab dan apakah iman? Tapi Kami jadikan ia (al-Quran) menjadi nur (cahaya penerangan), Kami tunjuki dengannya, siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Sesungguhnya engkau menunjuki ke jalan yang lurus.”

Tidak semua Muslim dapat merasainya. Tingkatan iman dan kemanisan iman yang dinikmati seseorang Muslim bergantung kepada beberapa prinsip iaitu kasih kepada Allah dan rasul-Nya mengatasi segala-galanya, kasih kepada manusia dengan tujuan menuntut keredaan Allah dan membenci kepada kekufuran.

Bagaimanapun, kunci utama menuju jalan Allah ialah apabila seorang hamba menjaga ibadah wajibnya. Golongan yang lalai dengan tanggungjawabnya termasuk dalam kalangan orang yang derhaka dan fasik.

Apabila berada pada tahap iman yang kukuh, seseorang akan merasai kemanisan iman. Ketika itu, imannya sukar digugat sesiapa.

Tiada seorang manusia pun di dunia ini memiliki segala-galanya. Apa saja nikmat sama ada kesenangan atau kesukaran jika tersemat iman di dada, seseorang akan meletak setiap perkara secara seimbang.


Mereka sentiasa menjadi golongan yang bersyukur, sabar, qanaah, reda, berlapang dada dan sentiasa bertawakal dalam setiap nikmat dan dugaan yang ditimpa kepadanya.

Bayangkan, golongan kaya yang sentiasa tidak merasa cukup, bersifat bakhil dan mementingkan diri sendiri apa sumbangan yang dapat mereka lakukan untuk mendapatkan keredaan Allah?

Begitu juga dengan golongan berilmu pula bersikap meninggi diri sehingga merendahkan pandangan orang lain.

Kemanisan iman yang dirasai membuatkan hidup seseorang sentiasa bahagia. Mereka yakin apa yang ditakdirkan Allah semuanya ada hikmah dan kebaikan di sebaliknya.

Keyakinan itu merubah segala yang buruk menjadi kebaikan, kekurangan sebagai kelebihan. Justeru, pemburuan untuk hidup, mati dan akhirnya memasuki syurga Allah dalam keadaan beriman pada hari akhirat kelak perlu diusahakan dan dicapai sepanjang hidup.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, setiap Muslim perlu memastikan diri mereka bukan saja bergelar Muslim malah memiliki keimanan teguh kepada Allah dan rasul-Nya.

“Terdapat rukun iman yang wajib kita percaya dengan kepercayaan qat’i (putus), tanpa sebarang syak dan ragu. Kebanyakan kandungan rukun iman adalah perkara ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

“Ia menjadi perkara asas dalam menguji tahap keimanan seseorang Muslim. Bagi mereka yang mempercayai dan mengimani semua rukun iman itu dengan yakin, iman mereka sentiasa utuh, meskipun cabaran terhadap akidah silih berganti,” katanya.

Dalam al-Quran dan hadis terdapat banyak ayat yang menjelaskan perihal orang beriman.

“Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan, mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta).” (Surah al-Mukminun, ayat 1-5).

“Dalam surah al-Mukminun, Allah SWT secara jelas menyatakan ciri-ciri orang yang beriman menurut kehendak-Nya. Manakala dalam hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, maka hendaklah dia berkata perkara yang baik atau diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Dari ayat al-Quran dan hadis ini, jelas Allah SWT menjelaskan ciri yang perlu ada bagi melayakkan seseorang Muslim bergelar Mukmin. Iman seseorang manusia sentiasa dalam keadaan meningkat dan menurun.

“Justeru, perkara yang dijelaskan Allah berkaitan perbuatan atau amalan orang beriman perlu sentiasa dipraktikkan dalam kehidupan bagi memastikan iman terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam wajib menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang boleh merosak serta memusnahkan iman.

“Yang terbesar sekali ialah dosa syirik kepada Allah. Apabila terjebak dalam jenayah ini, hilanglah iman dan lenyaplah semua amalan yang diusahakan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan kalau mereka menyekutukan Allah (syirik) dengan sesuatu yang lain, nescaya gugurlah daripada mereka, apa yang mereka lakukan (daripada amalan yang baik).” (Surah al-An’am, ayat 88).

“Timbul persoalan bagaimana bagi mendapatkan kemanisan iman. Ia dapat dirasai sekiranya kita sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan ciri orang yang digelar Mukminun (orang yang beriman), menjauhi sifat Musyrikun (orang yang syirik kepada Allah).

“Terdapat hadis Rasulullah yang menjelaskan mengenai ‘halawatul iman’ ini. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang (maka dengan perkara itulah) dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain daripada keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya), sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Menerusi hadis ini, terdapat tiga perkara yang apabila ia diusahakan betul dan ikhlas, individu itu akan merasai kemanisan iman.

“Jika diperhatikan, semuanya berkaitan dengan keimanan kita kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Jelas, keimanan kepada keduanya menjadi tunjang utama bagi mendapatkan kemanisan iman,” katanya.

Sekiranya dalam diri seseorang Muslim masih ada yang lebih utama selain Allah SWT dan rasul tidak mungkin mereka dapat merasai kemanisan iman.

“Allah menjelaskan sekiranya kita cintakan Allah, ikutlah semua perkara yang dibawa Rasulullah. Ikutlah sunnah Baginda dalam setiap aspek kehidupan.

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 31).

“Apa saja yang kita lakukan mesti selari dengan tuntutan Allah dan rasul. Ia perkara asas yang perlu difahami,” katanya.

Menurutnya, Islam menerima dan mengiktiraf perbuatan baik yang dilakukan umatnya selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip yang digariskan.

“Amal kebaikan itu pula tidak akan jadi sia-sia sebaliknya diberi ganjaran.

Setiap keberkatan dan nikmat yang diterima daripada Allah SWT, menjadikan kita terus mengingati-Nya pada setiap masa.

“Itulah tanda kita sedang merasai nikmat kemanisan iman. Ketenangan dalam hidup yang kita rasai hasil daripada mengingati Allah juga antara tanda kita sedang merasai nikmat iman.

“Mana mungkin nikmat turut dirasai mereka yang kufur terhadap-Nya,” katanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (mengingat Allah). Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).



Mohd Fadly Samsudin fadly@hmetro.com.my myMetro Variasi Ad Din 2012/12/20
Tags: syukur
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments