mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Zakat, cukai tak sama

PERSOALAN sering berlegar di kotak pemikiran kita ialah bolehkah zakat disamakan dengan cukai?

Pada asasnya zakat dan cukai adalah dua perkara yang tidak boleh disamakan. Zakat diwajibkan Allah malah dalam al-Quran banyak disebut perkataan seperti ‘infaq’ dan ‘sadaqah’ yang membawa maksud zakat.

Cukai pula adalah suatu peraturan baru yang wujud hasil pemikiran manusia atau didasari ijtihad saja.

Di zaman Rasulullah s.a.w, hanya zakat dikenakan pada golongan Muslim sementara cukai dikenakan pada golongan bukan Muslim.

Ia bermula dengan jizyah iaitu cukai kepala kepada bukan Islam, kharaj iaitu cukai tanah kepada bukan Islam dan usyur iaitu cukai perdagangan yang dikenakan kepada kapal-kapal milik orang bukan Islam yang berlabuh di negara Islam.


Bila kita memperincikan kedua-dua jenis pembayaran ini, ia mempunyai beberapa perbezaan. Di antaranya, zakat tertakluk penerimaannya kepada asnaf yang lapan sedangkan cukai dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan umum seperti pembinaan infrastruktur, urusan keselamatan dan pembayaran gaji kakitangan awam.

Zakat umumnya dikeluarkan 2.5% sedangkan kadar cukai akan ditentukan pihak berkuasa.

Di Malaysia, umat Islam yang membayar zakat diberi rebat ke atas cukai pendapatan mereka.

Jika zakat yang dilunaskan seseorang Muslim menyamai atau melebihi jumlah cukai pendapatan, beliau tidak lagi perlu menunaikan cukai itu.

Memadai dengan hanya mengemukakan resit pembayaran zakat berkenaan kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Untuk makluman, pembayaran zakat hanya diberikan rebat oleh LHDN berdasarkan tarikh resit zakat yang dibayar dalam tahun taksiran cukai pendapatan.

Ia bermaksud, jika seseorang itu membayar zakat pada tahun taksiran 2011, maknanya rebat akan diberikan pada tahun berkenaan saja.

Justeru itu, apa yang penting ialah tarikh zakat dibayar bukannya tarikh haul.

Jika seseorang itu membayar zakat bagi haul tahun 2009 di dalam tahun 2011, resit akan tertera haul zakat 2009 namun ia hanya dikira untuk rebat pada 2011 saja.

Berapakah jumlah zakat yang diizinkan pihak LHDN untuk dibuat pelepasan atau rebat?

Menurut Akta Cukai Pendapat 1967, Seksyen 6A (3), selagi pembayaran dibuat atas nama pembayaran yang wajib di sisi agama, ia sah untuk mendapat rebat ke atas cukai.

Namun, menjadi kewajipan kepada individu yang telah melaksanakan zakat untuk menyimpan dengan baik dan selamat segala bukti pembayaran sama ada resit bayaran zakat fitrah atau zakat harta.

Bagi mereka yang terbabit dalam Potongan Cukai Berjadual (PCB), pihak LHDN memberikan hak pelarasan dengan pembayaran zakat melalui Skim Potongan Gaji Zakat (SPG).

Mengikut Warta Kerajaan bertarikh 1 Januari 2001 berkenaan dengan kaedah-kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) (Pindaan) 2000 dan berkuat kuasa mulai Januari 2001, apabila seseorang pekerja telah membuat bayaran zakat kepada pihak berkuasa zakat, majikan boleh membuat penyesuaian (pelarasan) kepada PCB yang harus dipotong selepas melihat bukti bayaran zakat itu.

Keputusan ini memberikan kesan yang besar kepada amalan zakat di Malaysia, kerana setiap orang Islam yang menunaikan zakat, khususnya menerusi Skim Potongan Gaji Zakat (SPG) dan mereka juga dikenakan PCB, mereka berhak mendapatkan pelarasan ini secara automatik.

Pelaksanaan pelarasan ini juga amat memudahkan mereka, kerana tidak lagi perlu menunggu sehingga ke tahun berikutnya bagi memperoleh pelarasan di antara cukai dan zakat daripada LHDN.

Secara tidak langsung umat Islam harus merebut peluang ini untuk menunaikan zakat mereka dan kemudiannya membuat pelarasan dengan cukai yang dikenakan demi meringankan beban cukai mereka.



myMetro Variasi Ad Din 2012/12/20
Tags: cukai, zakat
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments