mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tabung Haji sentiasa kemas kini pengendalian urusan perkhidmatan

SAYA dengan segala hormatnya merujuk kepada tulisan Yusof Sujak dari Johor Bahru yang disiarkan dalam ruangan ini pada hari Jumaat, 14 Disember 2012.

Pertamanya pihak pengurusan Tabung Haji (TH) mengucapkan terima kasih di atas surat yang dihantar.

Lembaga Tabung Haji sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengendalian semua urusan berkaitan perkhidmatannya termasuk rekod-rekod simpanan, pendaftaran, pendeposit dan mengerjakan haji dengan baik.

Tidak dinafikan terdapat sebilangan kecil jemaah Malaysia yang mengerjakan haji melalui Tabung Haji mendapat peluang mengerjakan haji lebih dari sekali, khasnya atas pertimbangan kes rayuan seperti berikut:

n Mengiringi/menjadi mahram kepada jemaah haji wanita yang terpilih pada tahun semasa.

n Mengiringi ibu bapa yang terpilih pada tahun semasa kerana faktor kurang upaya dan uzur.

n Menjadi pembantu kepada jemaah haji yang lanjut usia berumur 75 tahun ke atas yang terpilih, pada tahun semasa.

n Mengiringi isteri yang kedua, ketiga atau ke-empat.

Namun begitu terdapat juga segelintir daripada mereka yang telah menunaikan haji, terpilih sekali lagi untuk menunaikan haji (mengikut sistem pendaftaran terbuka) pada tahun semasa kerana:

n Ada di kalangan mereka yang mengerjakan haji terdahulu tidak melalui Tabung Haji atau agensi yang berdaftar.

n Jemaah haji mendaftar haji semula sebaik sahaja pulang dari tanah suci, sebelum larangan mendaftar haji semula dalam tempoh lima tahun, dikuatkuasakan pada 10 Mei 2010.

Untuk makluman penulis, keinginan untuk mengerjakan haji berulang kali dapat dilihat sejak 10 tahun kebelakangan ini kerana faktor peningkatan ekonomi umat Islam di Malaysia. Larangan pendaftaran semula dalam tempoh lima tahun bertujuan memberi laluan dan peluang kepada mereka yang pertama kali mengerjakan haji.

Sehingga kini, tiada rekod jemaah haji yang tertinggal (terkandas) di bawah kelolaan Tabung Haji.

Sekiranya terdapat kes-kes yang dilaporkan, mereka merupakan jemaah haji Malaysia yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat swasta, yang tidak dilesenkan dan tanpa pengetahuan Tabung Haji.

Ada juga di kalangan mereka (terutama penduduk luar bandar) yang menjadi mangsa penipuan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab.

Faktor peningkatan pendaftaran haji sehingga melebihi sejuta orang, adalah sesuatu yang positif. Ia menunjukkan umat Islam yang prihatin sekarang membuat pendaftaran awal, agar apabila tiba giliran mereka untuk mengerjakan haji, mereka mencapai umur yang bersesuaian dan mempunyai wang yang cukup serta persediaan yang mantap dari segi ibadah dan fizikal.



ANIS ZUHANI AHMAD Pengurus Besar Hal Ehwal Awam Kumpulan Lembaga Tabung Haji. Utusan Malaysia Online Rencana 19/12/2012

Tags: haji
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments