mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Makna kemajmukan, keislaman

Perkara yang selalu berbangkit ialah kemajmukan bangsa, suku kaum, masyarakat dan umat membawa konotasi kepelbagaian. Dalam tradisi Islam kepelbagaian itu adalah rahmah. Apabila kedatangan para Nabi dan Rasul sebagai utusan Allah ia memberi landasan kepada rahmah alamiah.

Konsep rahmah alamiah ini luas maksudnya. Konotasi darinya membawa maksud litaarrafu (kekenalan) seperti yang terungkap dalam Surah al Hujurat : 13, yang mendukung maksud terdapat ciri-ciri kesejagatan yang boleh dikongsi dalam tradisi, budaya dan tamadun yang memiliki faedah berbanding yang tinggi.

Daripadanya akan tercetus rasa persefahaman yang tinggi. Hal-hal yang berbeza, berbezalah! Hal-hal yang banyak membawa asas tasamuh atau toleransi, bertoleransilah. Harus wujud kaedah bersetuju di mana patut bersetuju dan bersetuju untuk tidak bersetuju. Etika perbezaan (ethics of differences) ini dijadikan landasan supaya terbina kaedah persamaan dan perbezaan (adab al ikhtilaf) seperti yang terbina dalam sistem berfikir Islam yang membolehkan kerjasama berlaku dan perbezaan dihormati.

Kemajmukan dari sudut agama juga berlaku. Tetapi kepelbagaian ini tidak menuntut dipaksakan persamaan dari sudut akidah atau sistem kepercayaan. Secara prinsipnya dalam kalangan penganut agama-agama mempunyai titik perbezaan. Malah perbezaan ini secara Islami tidak menuntut umat Islam atau penganut agama lain saling menghina kepercayaan masing-masing.

Islam memberi pedoman laqum deenukum walya deen - kamu agama kamu dan kami agama kami. Asas ini menjadi pedoman penting dan pedoman terbaik kepada orang Islam supaya jangan menghina anutan agama lain kerana ia memungkinkan orang lain menghina agama Islam sendiri.

Tetapi banyak titik persamaan dari sudut etika dan prinsip amalan yang mendukung budaya sesuatu anutan. Isu-isu tentang amanah, kejujuran, belas kasihan, rasa menghormati, kesungguhan bekerja, menepati waktu, cintakan ilmu, kerajinan berfikir dan melakukan penyelidikan, penghasilan karya-karya bermanfaat adalah antara hal-hal yang memberi manfaat kepada manusia.

Hal-hal seperti ini kalau dapat disuburkan pemahaman dan aplikasi ia akan mampu membina persefahaman yang sifatnya manusiawi. Di tengah-tengah terdapatnya masyarakat yang cenderung kepada gelagat yang haiwani, kefahaman terhadap etika yang bermanfaat dan pengertian terhadap nilai-nilai yang mengancam dan merosakkan menjadikan hubungan masyarakat menjadi kucar-kacir dan tidak tentu arah.

Umat Islam tidak perlu meleburkan jati diri Islaminya dengan asas akidah yang dianut untuk menyamakan dengan orang lain. Ia adalah perkara pokok yang harus difahami dan dimengerti oleh penganut agama lain. Penganut agama lain yang faham akan hakikat ini tidak meminta orang Islam menyamakan anutan itu kerana mereka faham bahawa yang berbeza itu berbezalah.

Nilai paling utama (Supreme Values) atau akidah tauhid yang terdapat pada Islam adalah isu pokok yang sifatnya teologikal. Tetapi memanfaatkan nilai-nilai interaktif (Interactive Values) yang tersaring dari faktor budaya dan tamadun adalah sesuatu yang selalunya terkait dengan etika dan nilai-nilai yang universal.

Ia memberi jalan kepada jalur bersama yang boleh dikongsi. Nilai amanah dan adil, kerjasama dalam hal-hal yang dibolehkan bekerjasama, sifat bijaksana dan daya toleransi yang tinggi umpamanya adalah etika dan nilai-nilai yang bermanfaat yang patut dikembangkan. Daripadanya lahir persefahaman bahawa walaupun akidah berbeza tetapi terdapat asas-asas manusiawi yang membolehkan kerjasama dan persefahaman terjadi.

Orang Melayu umpamanya adalah suatu bangsa ciptaan Allah. Seperti juga bangsa Cina, India, Arab dan lain-lain adalah ciptaan Allah. Kepelbagaian yang terjadi adalah suatu fitrah. Orang Melayu ditindikkan dengan sistem nilai yang dinamakan Islam menyebabkan konsep umat itu dihubungkan kepada Melayu itu sendiri dan menjadikan mereka umat Melayu.

Menghubungkan ciri-ciri suatu bangsa dengan Islam, menjadikan konsep umat Melayu lebih luas dan terkandung asas tamadun yang mendukung prinsip kesejagatan yang perlu bagi membina suatu umat atau bangsa yang Islami sifatnya.

Al-Quran memberi asas dalam Surah Al Imran : 110 mengenai khayra ummah iaitu umat terbaik dengan menghubungkannya ke arah kecintaan kepada yang makruf, kebencian terhadap kemungkaran dan beriman kepada Allah. Ia menjadi tasawwur atau pandangan semesta yang amat kental memahami maksud umat terbaik.

Umat Melayu yang terbaik tidak saja jelas akidahnya tetapi sifat tauhidik itu terpancar dalam pemikiran, bahasa, budaya dan tamadun sehingga bila terhubung dengan Bahasa Melayu terdapat asas nilai yang terhubung dengan bahasa itu sendiri. Perkataan musyawarah, berkat, nikmat, adil, amanah, ikhlas dan lain-lain adalah antara ribuan istilah yang diambil daripada sumber al-Quran dan menjadikan bahasa Melayu mendukung makna dan maksud yang tidak bercanggah dengan Islam.

Bahasa Melayu mendukung isi dan makna, pemikiran dan falsafah yang Islami dan jika ia disuburkan dalam aplikasi dan amalan ia bakal mendukung imej bahasa itu dengan imej yang amat universal. Bahasa Melayu tidak sekadar bahasa yang bermula dengan etos setempat tetapi mengalami perubahan apabila Islam ditindikkan kepada bahasa itu.

Suatu ketika dalam pembinaan Andalusia sebagai pusat tamadun Islam, bahasa Arab menjadi bahasa yang paling penting mengembangkan nilai-nilai ketamadunan tidak saja dalam aspek pemikiran dan falsafah tetapi ilmunya berkembang dalam lingkungan sains, teknologi, perubatan, ilmu angkasa lepas dan pembedahan hingga menyebabkan Barat mengambil langkah menterjemahkannya ke dalam bahasa Latin, Hebrew dan Ibrani dan menjadikan tubuh ilmu dengan nilai-nilai sekular.

Eropah terhutang ilmu kepada tamadun Islam dan ia menjadi sebab lahirnya reformasi dalam ilmu dan tamadun, menghasilkan Renaissance dan mencetuskan Revolusi Industri dan menjadikan Barat sebagai kuasa penakluk dengan menyebabkan sebahagian besar umat Islam terjajah dan memberi kesan perubahan tasawur atau pandangan semesta ke arah faham sekular dan akhirnya membawa fahaman liberal yang bercanggah dengan Islam.

Oleh itu memurnikan balik tasawur Melayu ke arah maksud Islam yang sebenar ialah memperteguhkan maksud umat Melayu itu kepada diri orang Melayu itu supaya jalur berfikirnya tidak hanya terbatas dalam jalur bangsa tetapi berkembang dalam jalur ummatik yang mendukung tamadun.

Apabila Umat Melayu memiliki imej yang universal ia adalah baik untuk orang lain. Warga Umat Melayu yang faham maksud kepimpinan yang Islami akan sentiasa menjadikan amanah, adil, jujur, telus dan tulus dalam menguruskan sesuatu dan ia baik juga untuk orang bukan Islam. Kalau pedoman ini tidak ada, orang Melayu boleh menjadi perkauman dan asabiyyah dan menyebabkan bangsa lain menjadi terpinggir.

Risalah Islami mendukung konteks rahmah alamiah. Ada nilai-nilai kesejagatan yang dibawa oleh Islam supaya manfaatnya tidak saja kepada orang Islam tetapi terhadap umat manusia yang lain. Larangan terhadap riba' umpamanya memberi maksud eksploitasi, penindasan, monopoli tidak dibenarkan oleh Islam kerana amalan itu mendatangkan mudarat kepada manusia dan kemanusiaan.

Berzina, berbohong, melakukan kezaliman dan penindasan, malas, tidak menepati waktu, sangka buruk terhadap orang-orang lain adalah sesuatu yang ditegah oleh Islam. Sekiranya umat Melayu tidak mendukung amalan mungkar itu, menjadikan diri Melayu memiliki imej yang teguh, kukuh dan dipercayai.

Nilai-nilai dan etika yang Islami ini yang boleh menjadikan umat Melayu sebagai umat terbaik untuk melaksanakan amanah kekhalifahan atau kepimpinan dan menjadi penaung dan sumber ikutan dan pengiktirafan orang lain.

Oleh itu kemajmukan bukanlah menjadi isu terhadap mereka yang faham terhadap keindahan Islam. Islam melarang umatnya memaksa orang lain menerima anutan Islam sebagai suatu agama atau sistem kepercayaan. Tetapi keindahan Islam yang menampilkan pekerti mulia, keadilan sejagat, kualiti manusiawi yang tinggi, etika dan akhlak yang baik, jujur dan adil adalah sesuatu yang amat universal sifatnya dan bermanfaat bagi orang-orang bukan Islam.

Asas-asas ini kalau dapat dikembangkan dalam pemikiran dan amalan umat Melayu, ia bakal mendukung faktor persefahaman, integrasi yang lebih bermakna dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah model yang baik.


PROF. DATUK DR. SIDEK BABA, Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 08/01/2013
Tags: islam, majmuk
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments