mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pemimpin amanah, jujur jamin kesejahteraan ummah

Hidup bermasyarakat, memang soal kepemimpinan menjadi keperluan asas yang tidak boleh diketepikan kerana fitrah manusia inginkan keselamatan, kesejahteraan, kebajikan sentiasa terpelihara dan dilindungi.

Tidak ada pemimpin dalam masyarakat di sesuatu tempat yang menggambarkan suasana hidup yang tidak keruan, mengikut hawa nafsu dan menyuburkan kekacauan tidak berkesudahan.

Pemimpin memang insan yang bertanggungjawab menentukan keadaan masyarakat atau umat.


Pemimpin umpama nakhoda sebuah kapal. Jika nakhoda tidak berusaha untuk mengawal kapal ketika berdepan dengan ombak besar atau mengelak daripada menempuh batu karang, nescaya kapal akan pecah berkecai lalu tenggelam semua penumpang yang ada dalamnya.

Begitulah besar tanggungjawab seorang pemimpin atau ketua. Benarlah apa yang diungkapkan oleh Baginda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya seorang imam (pemimpin) adalah perisai (bagi masyarakat). Di belakangnya dia berjuang, dan di dalamnya dia berlindung.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika pemimpin bersifat jujur, baik hati dan amanah, nescaya masyarakat atau rakyat dapat mengecapi kesejahteraan hidup. Sebaliknya, jika pemimpin tidak jujur dan khianat, pasti rakyatnya akan hidup dalam tusukan kesengsaraan.

Jika kita meneliti sirah Nabi, penduduk Madinah bertahun-tahun lamanya hidup dalam suasana kekacauan, pergaduhan yang berlarutan dan tiada peraturan dapat menjamin kehidupan yang adil dan sejahtera.
Puak Aus dan Khazraj berperang sejak sekian lama dan paling hebat ialah peperangan Buath. Berikutan itu, mereka sangat mengharapkan kedatangan seseorang yang layak untuk menjadi pemimpin mereka.

Saat kemunculan Rasulullah SAW, semua penduduk Madinah, termasuk orang Yahudi bersetuju menerima Baginda sebagai pemimpin selepas melihat ciri kepemimpinan yang ada pada diri Baginda, termasuk jujur dan amanah.

Menjadi kewajipan setiap muslim untuk memilih atau melantik seseorang yang boleh dijadikan pemimpin mengikut pandangan Islam iaitu bersifat jujur dan amanah. Dengan demikian, kehidupan masyarakat berada dalam keadaan selesa, sejahtera dan terjamin.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah An-Nisa’, ayat 58)

Kita sebagai Muslim perlu menyemai rasa takut kepada azab Allah SWT akibat perbuatan yang tidak jujur dan amanah.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak seorang pun yang telah dikehendaki Allah memimpin rakyat, kemudian ketika mati ia masih dalam keadaan menipu rakyatnya, melainkan Allah pasti mengharamkan syurga atasnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berita Harian Online Agama 09/02/2013
Tags: amanah, jujur, pemimpin
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments