mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Gema cintai Rasulullah

SEWAKTU subjek Pendidikan Islam, saya mendengar ustazah menceritakan kisah Nabi Muhammad bersama seekor kucing. Ketika Rasulullah hendak menunaikan solat, kucing tersebut tidur di atas tikar baginda lantas baginda mengambil pisau," kata Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Muhammad Fitri Abdullah dalam nada cemas.

Sangkaan awalnya, pasti pisau itu akan digunakan untuk membunuh haiwan tidak berdosa itu. Tetapi ia meleset apabila rupa-rupanya Nabi Muhammad menggunakan senjata tajam itu untuk memotong tikar di mana kucing itu tidur. Kemudian, baru baginda mendirikan solat hingga selesai.

"Begitulah tinggi dan mulianya akhlak Rasulullah SAW. Sehingga baginda selesai solatpun, kucing tersebut masih lena tanpa sebarang gangguan," ujar Fitri lagi.

Malah pada saat itu juga sudah terdetik di hatinya untuk bertemu dengan empunya diri insan yang bernama Muhammad bin Abdullah itu.

Takdir Allah, 20 tahun kemudian, Fitri mengucap dua kalimah syahadah dan ini memberi peluang untuknya lebih mengenali kekasih Allah SWT itu.

Kisah menarik ini dikongsinya sewaktu mempengerusikan Forum Perdana Sempena Maulidur Rasul 1434 Hijrah Bersama Saudara Muslim bertempat di Surau Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Fitri, pengalamannya berkenalan dengan seorang pelajar dari Sudan sewaktu menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) bernama Muhammad Thalith yang bermaksud, Muhammad Tiga mempunyai kisah yang tidak kurang lucunya.

Ini kerana nama tersebut diberikan oleh bapa temannya itu disebabkan kecintaannya kepada Rasulullah SAW, maka kesembilan anak-anaknya diberi nama Muhammad Awwal hinggalah Muhammad Tis'a (sembilan).

Forum anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan tajuk, 'Kami Merinduimu Wahai Rasulullah SAW' itu disertai seramai 300 peserta daripada kalangan Saudara Muslim berketurunan Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh, Filipina dan Indonesia.

Majlis dimulakan dengan selawat kepada Nabi yang dipimpin oleh kumpulan Rabbani, sekali gus mereka menyampaikan lagu Rabiulawal, Muhammad Ya Habibi serta Laukana Bainana.

Penyelaras program, Amran Abdullah berkata, program itu merupakan satu kaedah bagi mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan Saudara Muslim dan perpaduan serta ukhuwah di kalangan mereka.

Menurut Amran, selain menambahkan penghayatan terhadap sambutan tahun ini, Perkim turut memastikan pengisian forum atau majlis ilmu memberikan manfaat serta memperkasa ilmu agama serta memupuk perasaan cinta dan sayang kepada Nabi SAW melalui kisah atau riwayat baginda.

Ahli panel forum yang lain, Pensyarah Kanan, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Roslan Mohamed mengajak peserta bersama-sama melahirkan rasa sayang, cinta dan kasih kepada Nabi Muhammad SAW agar dapat temui dan menatap wajah baginda di akhirat kelak.

Roslan yang juga ahli panel program Al-Kuliyyah TV3, Halaqah TV9, Tanyalah Ustaz TV9 dan Madrasah Akhlak TV Alhijrah menjelaskan bahawa terdapat pelbagai kisah, akhlak, watak, kelakuan, adab, kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW yang diriwayatkan di dalam al-Quran dan hadis.

Lantaran itu, ujar Roslan bagi menghayati peribadi Rasulullah SAW dengan lebih mendalam, beliau mengajak para peserta mendapatkan buku berjudul, Syamail Muhammadiyah - Keanggunanmu Ya Rasulullah yang dikarang oleh Imam Tarmizi yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Roslan turut menganjurkan agar berselawat kepada Nabi Muhammad kerana baginda merupakan Nabi penyelamat umat Islam di padang mahsyar kelak melalui syafaat baginda kepada umat Islam.

Cara sayang Nabi

"Kita sayangkan Nabi tidak perlu mengeluarkan wang ringgit seperti mana kita sayangkan isteri, anak-anak dan ibu bapa kita, sehingga meraikan mereka dengan memberikan hadiah, belanja makan dan sebagainya, tetapi menyayangi baginda, baginda tidak pernah tuntut wang ringgit, tetapi tuntut kasih sayang melalui amal ibadah," jelasnya.

Sementara itu, pendakwah bebas, ahli motivasi dan pengamal perubatan Islam, Amran Yusoff dalam ceramahnya pula berkata, sayangnya sebahagian daripada umat Islam sekadar melaungkan selawat dan marhaban tetapi tidak memahami makna di sebaliknya.

Tegasnya, setiap Muslim haruslah memahaminya dan beramal sebagaimana diriwayatkan dalam hadis Bukhari: Siapa-siapa yang Allah hendak memberi kebaikan kepadanya, Allah akan berikannya ilmu agama.

Sebelum itu, Roslan turut mengajak peserta memahami asas kalimah, 'Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah' yang merupakan tiket sebagai Mukmin yang diterima oleh Allah seperti kisah sahabat Rasulullah, Amru bin Jamuh yang merupakan seorang mualaf yang tempang kakinya inginkan berjihad di jalan Allah walaupun dilarang oleh anak dan isterinya. Amru mendapat syahid Allah di medan perang atas impiannya mendapat syurga Allah dan dua kalimah syahadah.

Oleh itu, semoga kisah tersebut menjadi pemangkin semangat kepada peserta yang hadir untuk mendalami agama Islam agar lebih mengenali, mencintai dan mengasihi Nabi Muhammad, sekali gus dapat menyebarkan dakwah Islamiah kepada ibu bapa, adik-beradik, saudara dan rakan yang masih belum beragama Islam.

Tambah Roslan, Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menterjemah akhlak atau perkataan Nabi Muhammad dan hadis pula melalui perbuatan baginda.

Sahabat Nabi bertanya kepada Ibnu Mas'ud melalui riwayat Abi Hakim: "Takwa itu apabila kamu meletakkan Allah untuk ditaati bukan diingkari, untuk disyukuri bukan dikufuri dan untuk diingati bukan dilupai."

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (al-A'raf: 179)

Majlis diserikan dengan ucapan perasmian oleh Penolong Setiausaha Agung Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa yang mewakili Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada peserta yang sudi meraikan peristiwa besar umat Islam itu.

Hasbullah menasihatkan peserta agar dapat menjadikan forum, ceramah, diskusi atau majlis ilmu sebagai satu garis panduan serta perubahan besar kepada diri sendiri, sekali gus memantapkan ilmu agama.

"Perkim merupakan organisasi Islam berperanan untuk mengajak dan memperjelaskan kepada mereka yang belum bersama kita untuk mengenali Islam kerana kerja kita hanya menyampaikan serta berdakwah kerana hidayah itu adalah hak Allah SWT," ujarnya.

Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah cabutan nombor bertuah kepada peserta dan jamuan makan tengahari dan solat Zuhur berjemaah.

Turut hadir, Pengarah Dakwah Perkim; Abdul Hanif Harun, Penolong Pengarah Tajdid Pemikiran Islam; Ustaz Wan Abdul Hamid Wan Teh, Pegawai Dakwah dan Penyelidikan; Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Pengawai Dakwah dan Pendidikan; Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdulllah.



MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 12/02/2013
Tags: rasulullah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments