mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Alternatif segerakan perbicaraan

PROSES perbicaraan di mahkamah sivil dan mahkamah syariah seringkali dikaitkan dengan kelewatan perbicaraan. Ramai yang mencari alternatif kepada perbicaraan dengan mencari jalan penyelesaian yang cepat dan tidak membebankan. Perantaraan atau mediation merupakan alternatif yang baik bagi penyelesaian pertikaian dengan segera.Di Malaysia Akta Mediasi 2012 telah diluluskan bagi menjamin kelancaran proses mediation.

Akta ini memperincikan ciri-ciri mediasi yang diiktiraf. Namun tiada satu badan khusus ditubuhkan bagi memajukan proses ini di Malaysia.

Proses mediation mengikut prinsip Shariah dikenali sebagai sulh atau wisatoh iaitu akad yang menamatkan pertikaian secara sukarela dan reda-meredai.

Ia berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: "Dan jika dua puak dari orang orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya". (Al-Hujurat:9)

"Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya 'nushuz' (kebencian),atau tidak melayaninya, maka tidaklah salah bagi mereka berdua (suami isteri) membuat perdamaian diantara mereka berdua, secara yang sebaik baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik bagi mereka berdua daripada bercerai-berai". (An Nisaa':128)

Manakala, sempadan hukum syarak dalam pelaksanaan proses sulh turut digariskan dalam hadis Rasulullah SAW yang maksudnya: "Sulh itu antara kalangan Muslim adalah suatu yang harus kecuali adalah yang mengharamkan sesuatu perkara halal atau sulh menghalalkan suatu yang haram". (riwayat Tarmizi, Sahih Subulus Salam)

Perantaraan atau mediation adalah suatu proses perundingan terpimpin, tertutup serta terjaga, tidak formal dan sukarela untuk menyelesaikan pertelingkahan dengan dibantu oleh pihak ketiga yang neutral.

Pihak ketiga terbabit yang dikenali sebagai mediator bekerjasama dengan pihak bertelingkah bagi mencari jalan penyelesaian secara damai dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Alternatif sokongan

Prosedur mediation boleh digunakan dalam pelbagai konteks terutamanya hubungan dan masalah kekeluargaan.

PPMM berhasrat menubuhkan Pusat Mediasi Islam (PMI) yang bertujuan antara lainnya untuk memberi sokongan terhadap sistem kehakiman Syariah yang tersedia ada serta alternatif kepada pihak pihak yang ingin menyelesaikan pertelingkahan mereka secara proses mediasi.

Penubuhan pusat ini akan membantu menyelesaikan kes tertangguh seperti kes berkaitan nafkah, harta sepencarian dan hadanah atau perubahan perintah berkaitan ketiga tiga kes tersebut.

PPMM sendiri sudah acapkali membuat kursus asas mediation dengan kerjasama badan badan kerajaan seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Kehakiman Negeri Terengganu dan Perak, Jabatan Mufti Selangor dan yang terbaru bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia di mana pakar mediation dari Austria memimpin kursus tersebut.

Melalui proses itu, pihak bertelingkah mampu mengekalkan silaturrahum sesama sendiri, justeru dijalankan dalam keadaan tertutup serta membuka ruang kepada semua pihak untuk bersama sama menyelesaikan masalah secara hikmah dan santun.

Penubuhan PMI mengambil peranan menyediakan khidmat nasihat mengendalikan proses mediation bagi pihak bertelingkah berlandaskan prinsip prinsip Shariah. khidmat nasihat penyelesaian pertelingkahan berlandaskan Shariah.

Keunikan PMI ialah berupaya menyelesaikan pertikaian yang dibawa ke mahkamah sivil ataupun mahkamah syariah. Malah pertikaian yang tidak dibawa ke mahkamah juga boleh dirujuk kepada PMI bagi penyelesaiannya. PMI adalah institut pertama akan menawarkan khimat nasihat serta kepakaran dalam proses mediation secara Islam selain proses sulh di Mahkamah Syariah.



ZAINUL RIJAL ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28/02/2013
Tags: bicara, penceraian, perkahwinan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments