mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

12 tahun derita batin

KAMAL (bukan nama sebenar) menepuk dahinya sambil termenung sendirian. Masalah yang sama dilalui setelah hampir 12 tahun mengikat pernikahan bersama isterinya Faridah (bukan nama sebenar) masih menghantui rumahtangganya.

Walaupun puas berusaha dan mencuba pelbagai jenis rawatan perubatan moden dan alternatif, namun hanya sia-sia dan tidak menampakkan sebarang tanda permasalahan yang dihadapinya bakal berakhir.

Ikatan pernikahan yang sepatutnya menjadi pengalaman indah bagi lelaki dan wanita selepas dihalalkan perbuatan yang sebelum ini haram sebaliknya menjadi mimpi negeri bagi kedua-dua pasangan ini.

Malah, impian perkahwinan yang dibina atas dasar cinta untuk menimang cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga dan zuriat penyambung keturunan juga terpaksa dikuburkan.

Apakan tidak, setiap kali ingin bersama pelbagai kejadian pelik berlaku sehingga menghalang keinginan Kamal dan isteri untuk bersama.

Peristiwa yang hampir tidak tercapai akal memikirkannya itu bukan berlaku sekali dua, tetapi berlanjutan hinggalah 12 tahun mendirikan rumah tangga.

Menceritakan kisah itu, pengasas Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, Lokman Abdul Hamid berkata, hanya berbekalkan perasaan kasih sayang dan cinta menjadi benteng mempertahankan rumah tangga pasangan malang tersebut.

"Ketentuan Allah SWT yang menguji hambanya tidak mungkin dapat dihalang daripada berlaku, walaupun menggunakan pelbagai usaha dan langkah mengelakkannya. Hanya iman dan takwa sebagai pegangan.

"Selama hampir 12 tahun mendirikan rumah tangga yang sepatutnya dilayari dengan penuh bahagia, namun malangnya tidak bagi pasangan ini.

"Sejak malam pertama lagi, apabila ingin 'bersama' ada sahaja yang tidak kena. Pasangan lelaki seperti langsung tidak berselera melihat isterinya secara tiba-tiba.

"Begitu juga isteri yang merasakan kesakitan yang teramat sangat apabila bahagian sulitnya disentuh oleh suami," katanya memulakan bicara ketika ditemui di rumahnya di Sg. Pusu, Gombak, baru-baru ini.

Lebih menghairankan, Lokman berkata, keinginan Kamal yang pada mulanya memuncak melihat wanita lain di luar tiba-tiba menjadi 'layu' apabila mendekati Faridah.

Bukan itu sahaja, bagi Faridah pula setiap kali didekati suaminya seperti terhidu bau yang sangat busuk daripada tubuh suaminya tetapi hanya ditahan demi menjaga perasaan suami tersayang.

"Sehinggakan Faridah mengakui alat sulitnya terasa pedih seperti dihiris dengan pisau tajam apabila disentuh oleh Kamal. Akhirnya kedua-dua menyerah dengan kesudahan mengalir air mata," ujarnya.

Puas melakukan pelbagai kaedah untuk merawat penyakit pelik yang dilalui selama hampir 12 tahun, sehinggalah Kamal dan Faridah mencuba mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah.

Setelah diselidiki tambah Lokman, itulah balasan bagi hamba Allah SWT yang suka membuat dosa maksiat dan melanggar had perbatasan antara hubungan lelaki dan wanita.

"Dalam situasi ini kita perlu mengenal pasti latar belakang pesakit. Setelah diselidiki, barulah kita tahu bahawa ini merupakan balasan Allah SWT kepada pasangan ini yang gemar berfoya-foya dan melanggar perintah-Nya.

"Yang lelaki sering melakukan zina, begitu juga wanita yang suka hidup berfoya-foya tanpa mengambil berat had dan batasan lelaki dengan wanita dan perkara yang ditegah oleh syarak," katanya.

Menurutnya lagi, berkemungkinan juga penyakit yang dilalui oleh pasangan ini adalah angkara perbuatan individu yang pernah dianiayai oleh salah seorang atau kedua-dua pasangan ini sebelum berkahwin dahulu.

"Kebiasaannya dalam hal ini, langkah pertama yang kita lakukan adalah dengan menyuruh pasangan ini supaya bertaubat bersungguh-sungguh. Minta juga maaf kepada sesiapa yang dirasakan pernah dizalimi sebelum ini.

"Ini kerana dengan bertaubat dan meminta maaf dapat menghapuskan dosa antara makhluk dengan tuhan dan makhluk dengan makhluk.

"Selepas itu, selain memberi rawatan, kita juga membekalkan mereka dengan beberapa potongan ayat al-Quran untuk diamalkan sebagai permohonan harian oleh pesakit tersebut," jelasnya.

Lokman berkata, difahamkan kira-kira setahun selepas menjalani rawatan di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, pasangan suami isteri itu dikhabarkan telah mendapat zuriat yang pertama.

Lokman menasihatkan kepada orang ramai agar mengelakkan daripada melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT kerana pelbagai ujian daripada Allah SWT, sama ada secara terus atau melalui perantaraan manusia atau jin akan menimpa kepada orang melakukan dosa.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Malaysia Online Bicara Agama  05/03/2013
Tags: batin, sihir
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments