mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Anak berhak dipelihara

TIDAK dapat dinafikan ramai orang beranggapan bahawa anak yang dilahirkan ke dunia hasil hubungan perkahwinan yang sah adalah hak mutlak mereka yang boleh dibuat sesuka hati. Anak bukannya barang yang boleh dipindah-pindahkan daripada satu orang ke satu orang. Anak adalah manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Anak adalah amanah Allah SWT kepada manusia yang digelar ibu bapa.

Dalam keadaan biasa di mana sepasang suami isteri hidup aman damai, anak biasanya juga mendapat manfaat daripada hubungan tersebut. Jika ibu bapa anak itu hidup dalam berkasih sayang maka anak akan merasa kebahagiaan itu. Anak lebih aman dan tenteram dan dia juga akan menjadi seorang yang periang, ceria dan bahagia.

Namun jika setiap hari anak mendengar ibu bapanya berperang, memaki hamun, tentulah ini akan menjejaskan emosi dan pemikiran anak tersebut. Anak yang dibesarkan dalam keadaan keluarga yang huru-hara, apatah lagi dipenuhi dengan pergaduhan dan persengketaan akan membesar dengan perasaan benci pada diri sendiri atau kepada ibu bapa ataupun memilih salah seorang daripada mereka. Sedangkan dalam Islam, kedua ibu bapa mempunyai hak untuk ditaati oleh anak-anak mereka.

Jika anak ada hak terhadap ibu bapa, begitu juga sebaliknya. Dalam hal pemeliharaan anak, ibu bapa sering beranggapan itu adalah hak mutlak mereka. Sebenarnya, memelihara anak adalah tanggungjawab ibu bapa dan anak berhak dipelihara dengan baik sehingga dewasa. Pemeliharaan atau disebut sebagai hadanah atau bermakna himpun di samping atau di sisi. Dalam syarak ia bermakna hak mendidik dan menjaga anak.

Saya menggunakan istilah pemeliharaan untuk membezakannya dengan penjagaan. Bagi saya PENJAGA adalah yang mempunyai kuasa pengawasan yang lebih besar terhadap anak dan penjaga mutlak bagi anak ia BAPA anak. Dalam bahasa Inggerisnya ia sering dirujuk sebagai GUARDIAN, sedangkan hadanah atau pemeliharaan melibatkan pengurusan makan minum, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan anak.

Penjaga bertanggungjawab dalam hal pendidikan, perwalian dalam hal perkahwinan, memberi nafkah dan semua urusan harta anak. Dalam isu hadanah, ia bukan hak yang memelihara tetapi hak anak yang dipelihara. Anak berhak dipelihara oleh kedua-dua ibu dan bapa dan sekiranya ibu dan bapa telah bercerai, anak tetap berhak mendapat peliharaan daripada kedua-duanya mengikut kesesuaian yang ditentukan oleh mahkamah.

Oleh yang demikian, mahkamah syariah mempunyai kuasa menentukan siapa yang berkewajipan memelihara anak jika pasangan bercerai dan memastikan anak mendapat hak pemeliharaan daripada kedua-duanya. Dalam hal ini, Islam memberi keutamaan kepada ibu atau kaum wanita untuk mendapat tanggungjawab memelihara anak kerana dari segi fitrahnya seorang ibu lebih peka dan sabar dalam menjalankan tugasnya sebagai ibu.

Jika pasangan masih hidup sebagai suami isteri, hal pemeliharaan anak tidak timbul. Tentunya semasa dalam perkahwinan, tanggungjawab ini digalas bersama. Pasangan hari ini mendapat pendedahan yang banyak dan mencukupi, semenjak mengandung mereka telah diberikan taklimat dan ceramah mengenai pemeliharaan anak. Di hospital-hospital semasa duduk menunggu giliran berjumpa doktor semasa mengandung, mereka ditayangkan video mengenai cara memandi bayi, menjaga bayi semasa kecil dari sudut kesihatan. Malah telah ada di pasaran pelbagai jenis buku mengenai pendidikan anak secara lengkap dari kecil hingga dewasa.

Pada pandangan saya segala kemudahan ini membuka ruang yang besar kepada pasangan suami isteri untuk berkongsi dalam memelihara bayi mereka. Sikap tolong-menolong ini akan mengerat hubungan antara suami isteri serta anak. Jika ibu bapa kita dahulu sangat mengasingkan tugas memelihara kepada ibu sahaja, hari ini cara itu telah berubah. Ia juga memberi peluang bapa/suami mengetahui kesukaran memelihara anak, terutama semasa kecil.

Malahan amalan hospital bersalin membenarkan suami hadir semasa isteri melahirkan anak juga memberi kesan positif kepada hubungan suami isteri dan tanggungjawab suami terhadap isteri dan anak-anaknya. Ia juga menimbulkan rasa ihsan suami terhadap isteri dan juga ibunya sendiri bahawa proses melahirkan anak adalah suatu proses yang amat mencabar bagi seorang wanita yang sangat-sangat memerlukan sokongan suami. Jika ini diketahui, suami/lelaki tidak akan derhaka kepada ibunya dan tidak akan mendera isteri serta anak-anak.

Lelaki yang waras dan beragama akan menghargai seorang wanita yang dipanggil isteri dan ibu. Hari ini perkongsian suami isteri dalam memelihara anak semasa masih bayi menjadikan hubungan anak-ayah lebih kukuh dan ini boleh mengurangkan isu anak bermasalah. Jika dulu anak hanya manja dan lebih mudah berbual dengan ibu, hari ini anak manja dan selesa dengan kedua ibu dan bapa.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 06/03/2013
Tags: anak, nafkah, perkahwinan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments