mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Penolakan pluralisme agama

DEWASA ini masyarakat kembali berhujah berkaitan dengan isu pluralisme agama. Ramai pula di kalangan orang Islam dan bukan Islam berpandangan semua agama adalah sama dan tidak ada satu agama pun boleh diberikan kelebihan berbanding agama lain. Islam adalah sebuah agama suci yang diturunkan oleh Allah bebas daripada sebarang penyelewengan. Mereka berhujah adalah tidak adil sekiranya orang bukan Islam tetapi berlaku adil dan membuat kebaikan di dunia tetapi masih lagi diazab dengan api neraka. Tambahan pula dakwa mereka amat bertentangan dengan sifat Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Menyayangi.

Pendekatan seperti ini sebenarnya jauh tersasar dalam agama Islam dan jika kita melihat daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan sekalipun ia tidak langsung mempunyai asas dan disokong oleh undang-undang tertinggi negara itu.

Konsep tauhid di dalam Islam merupakan paksi utama kepada akidah Islam itu sendiri dan ia berlawanan daripada konsep pluralisme agama. Pendukung pluralisme agama berpendapat setiap nabi membawa risalah yang berbeza dan umat terdahulu tidak beragama Islam. Namun sebenarnya umat terdahulu adalah terdiri daripada ‘millah Ibrahim’ yang membawa syariat Allah untuk umat ketika itu.

Pandangan pluralisme agama ketika ini bukan hanya disebarkan oleh orang yang tidak berkelulusan agama tetapi juga dalam kalangan mereka yang mempunyai kelulusan agama yang tinggi. Aliran pemikiran sosialis, pluralisme dan sebagainya ini telah menular di negara kita dan perlu dikekang bagi mengekalkan jati diri negara.

Menurut Dr. Khaliff Muammar dalam bukunya, Islam dan Pluralisme Agama, Jamal al-Banna, saudara kandung kepada Hasan al Banna umpamanya menegaskan orang bukan Islam seperti Thomas Edison sewajarnya akan memasuki syurga kerana sumbangannya yang besar kepada umat manusia dengan menciptakan lampu elektrik. Beliau beranggapan apa pun agama yang dianuti oleh seseorang itu tidak penting yang paling penting ialah dia berbuat baik dan oleh kerana itu sesiapa sahaja boleh masuk syurga asalkan dia orang baik. Beliau juga membuat kesimpulan bahawa orang Islam tidak perlu berusaha untuk mendakwahkan orang bukan Islam masuk Islam.

Bagi saya, walaupun seseorang itu memasuki syurga dengan rahmat daripada Allah SWT namun untuk mengenepikan faktor Islam sebagai pra syarat memasuki syurga adalah amat keterlaluan dan tidak boleh diterima umat Islam.

Daripada sudut perundangan sendiri, Perlembagaan Persekutuan tidak langsung mengiktiraf pluralisme agama. Ini amat jelas kerana hanya Islam sahaja yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan hanya merujuk agama lain boleh dianuti dan diamalkan dalam aman dan damai. Jaminan penganutan dan pengamalan agama lain selain Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah bermakna agama lain disamatarafkan di dalam undang-undang.

Terdapat pelbagai faktor yang diambil kira di dalam memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti faktor sejarah, sosial dan juga keselamatan. Oleh hal yang demikian, Islam tidak sekadar diisytiharkan sebagai agama rasmi negara tetapi dalam konteks yang lebih jitu iaitu sebagai ‘agama bagi Persekutuan’.

Tidak hairanlah terdapat banyak kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi negara yang mengukuhkan kedudukan Islam di dalam negara dan menolak konsep pluralisme agama di Malaysia.

Oleh itu Perlembagaan Persekutuan tidak menyamakan Islam dengan agama lain. Kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah lebih tinggi daripada agama-agama lain. Banyak kelebihan diberikan kepada agama Islam berbanding agama lain termasuklah dana-dana awam boleh digunakan bagi pembangunan agama Islam.



ZAINUL RIJAL ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28/03/2013
Tags: pluralisme
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments