mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Musyawarah lerai permasalahan

Ahli organisasi patut berlapang dada terima keputusan mesyuarat

Mesyuarat dan perbincangan salah satu instrumen pengambilan keputusan terpenting dalam sesebuah organisasi. Seandainya mekanisme pengambilan keputusan sentiasa berjalan dengan baik, maka organisasi itu akan mempunyai kesepaduan dan pertahanan yang tinggi.

Islam melihat musyawarah ini besar ertinya dalam konteks kebaikan yang dihasilkan. Khalifah Umar Al Khattab pernah berkata: “Tidak ada kebaikan pada urusan yang diputuskan tanpa permesyuaratan.”

Medan wujud kesatuan

Amalan ini dikaitkan dengan proses perbincangan dan perundingan untuk mencari keputusan bertujuan menyelesaikan sesuatu masalah. Bahkan yang lebih utama menjadi medan bagi mewujudkan kesatuan pemikiran untuk mencapai tujuan organisasi.

Bermesyuarat sememangnya menyumbang kepada kebaikan antaranya mendapatkan keputusan yang betul, mengelak membuat kesilapan, menghindari celaan, menyelamatkan daripada penyesalan dan berupaya menyatukan hati dalam ikatan persaudaraan Islam.

Pemuka Bani Tamim dan pahlawan bangsa Arab, Al-Ahnaf bin Qais, pernah ditanya bagaimana dia mengurangkan kesilapan dalam urusannya. Jawapannya, berbincang dengan mereka yang berpengalaman.

Musyawarah adalah jalan terbaik untuk memecahkan kebuntuan dalam mencari penyelesaian membabitkan urusan keduniaan seperti pentadbiran dan pengurusan organisasi yang mempunyai ketua serta pasukan pengurusannya.

Ulama Iraq yang terkenal di peringkat antarabangsa, Dr Abdul Karim Zaidan menyebut, musyawarah adalah hak umat dan menjadi kewajipan kepada imam atau pemimpin untuk mengendalikannya. Allah memerintahkan Nabi untuk bermusyawarah dengan sahabatnya.

Firman Allah SWT: “Maka disebabkan rahmat Allahlah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah keampunan bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Berlapang dada terima keputusan

Ahli organisasi perlu berlapang dada menerima keputusan yang dibuat barisan kepemimpinan. Usah menentang keputusan bersama yang telah dibuat kerana ia pelengkap strategi organisasi.

Mendengar idea yang dikemukakan oleh orang lain memerlukan penilaian secara positif walaupun bertentangan kehendak kita. Sekiranya kita mempunyai tanggapan negatif, maka kita akan cenderung untuk menolaknya walaupun ia mempunyai kebaikan dan membawa kejayaan kepada organisasi.

Firman Allah SWT: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati). Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfaal, ayat 46)

Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh terbaik dalam soal ini. Baginda mempamerkan sikap kepimpinan yang ideal dalam menegakkan prinsip permesyuaratan ini.

Selepas Baginda SAW wafat, sahabat telah menjejaki langkah baginda dalam urusan permesyuaratan. Abu Bakar as-Siddiq telah berbincang dengan Umar dan sahabat dalam perkara yang tidak ada nas al-Quran atau as-Sunnah.

Ketika peperangan dengan Parsi, ketua tentera Parsi telah memanggil ketua tentera Muslimin untuk berunding. Setelah ketua tentera Parsi itu mengemukakan pandangan serta tuntutannya, panglima tentera muslimin meminta izin untuk ditangguh perundingan bagi membolehkannya berbincang dalam majlis permesyuaratan Muslimin.

Berkata ketua tentera Parsi itu: “Kami tidak melantik (sebagai ketua) orang yang suka berbincang. Ketua tentera Muslimin menjawab: “Sebab itulah kami selalu mengalahkan kamu kerana kami tidak melantik (ketua) orang yang tidak berbincang.”


Amran Zakaria Berita Harian Online Agama 08/04/2013
Tags: musyawarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments