mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Lembaran baru Islam-Kristian baharu

PEMILIHAN Kardinal Argentina, Jorge Bergoglio sebagai Pope untuk memimpin 1.2 bilion penganut Kristian Katholik di seluruh dunia telah mendapat sambutan positif daripada umat Islam seluruh dunia.

Bergoglio, 76, dipilih memegang jawatan Pope dalam suatu pemilihan yang dibuat di Vatican City bagi menggantikan Pope Benedict XVI yang meletak jawatan pada 28 Februari lalu setelah hampir lapan tahun menyandang gelaran itu.

Beliau yang akan menggunakan gelaran Francis adalah Pope pertama yang dilantik dari benua Amerika Selatan dan dari luar Eropah dalam tempoh lebih 1000 tahun.

Pope berkenaan yang kelihatan agak terkejut dengan pelantikannya, turut melambaikan tangan kepada beribu-ribu orang yang berhimpun di Dataran St. Peter yang turut kehairanan kerana jawatankuasa pemilih kardinal perlu menilai satu dunia untuk memilih biskop Rom.

Pemilihan itu juga jelas menunjukkan mereka tidak memerlukan Pope muda yang bertenaga untuk menjadi pemimpin mereka selama beberapa dekad, tetapi memilih calon yang lebih tua dan popular.

Jawatankuasa pemilih kardinal turut mengatasi perpecahan dalam kalangan mereka untuk memilih Pope yang ke-266 itu secara pantas dalam lima pengundian secara sulit.


Tanggapan dakyah Islamophobia perlu ditepis dengan mengadakan dialog antara para pemimpin Islam dan Kristian.

Francis telah lama menjadi Ketua Biskop Buenos Aires dan menghabiskan seluruh kerjaya di tanah airnya di Argentina untuk memantau gereja dan paderi. Seperti kardinal lain, beliau telah memfokus kepada usaha membantu pelbagai lapisan masyarakat.

Dialog

Pelantikan Bergoglio yang menggunakan gelaran Pope Francis diharap menjadi satu jambatan penghubung dialog antara agama Islam dan Kristian yang selama ini keruh kerana pelbagai isu.

Para pemerhati melihat penggunaan gelaran Francis atau St. Francis of Assisi mengingatkan bahawa nama itu pernah digunakan oleh seorang tokoh Katholik yang pernah berjumpa Sultan Mesir pada tahun 1219, Sultan Malik al-Kamil untuk mewujudkan suasana aman antara kedua-dua belah pihak.

Oleh demikian, para pemimpin pertubuhan Islam di Itali, Perancis dan Jerman berkata, persamaan nama antara kedua tokoh itu diharap menjadi titik permulaan untuk kedua-dua agama itu mengadakan dialog bagi mengelakkan perbezaan besar.

"Kami sebagai penganut Muslim di barat, mengambil kesempatan ini sebagai tanda peringatan dan contoh untuk membawa keluar kemelut yang melanda antara dua agama itu sejak sekian lama," jelas Komuniti Islam Itali (COREIS) dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Hubungan pihak Vatican dengan dunia Islam keruh apabila pada 2006, Pope Benedict XVI memetik kenyataan Maharaja Byzantine yang mengatakan bahawa Islam adalah sebuah agama zalim dan tidak rasional.

Namun Benedict telah memohon maaf atas tindakan itu setelah mendapat kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Selain COREIS, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut mengucapkan tahniah kepada Bergoglio di atas pelantikan berkenaan sambil berkata, hubungan antara Islam dan Kristian bakal kembali mesra melalui talian persahabatan yang ikhlas.

Pusat Koordinator Muslim Jerman pula menyatakan, kebetulan persamaan nama antara kedua-dua tokoh itu adalah misi penting untuk mengikat talian perbincangan atas landasan dialog.

Manakala para pemimpin Islam di Argentina pula berkata, hubungan baik terjalin selama ini antara 80,000 penganut Islam di negara itu dengan Pope Francis dilihat sebagai satu permulaan positif.

"Kami mempunyai banyak persamaan selain keterbukaan beliau untuk berdialog," kata Presiden Persekutuan Pertubuhan Argentina Arab, Galeb Moussa.

Beliau menyatakan Pope Francis boleh membantu memupuk dialog Katholik dengan umat Islam di Eropah lebih-lebih pada saat agama Islam menerima tohmahan ancaman Islamophobia.


JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 11/04/2013
Tags: islam, kristian, paus, pope
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments