mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Laksana tanggungjawab diamanahkan rakyat

Daripada Ummu Al-Mukminin Ummu Salamah Hindi binti Abu Umaiyah Huzaifah, daripada Nabi Muhammad SAW bahawa sesungguhnya Baginda bersabda: “Sesungguhnya pada suatu masa nanti akan dilantik beberapa pemimpin. Maka ada yang kamu bersetuju (kerana amalan mereka yang bertepatan menurut syarak) dan yang kamu tidak bersetuju (kerana perbuatan mereka yang bercanggah dengan syarak).

Sesiapa yang benci (dalam hati) maka terlepaslah ia (daripada) dosa dan sesiapa yang membantah sesungguhnya ia terselamat. Tetapi, sesiapa yang reda dan mengikuti (pemimpin itu) yang telah bermaksiat. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah tidakkah kita perlu memerangi mereka? Sabda Rasulullah SAW: Jangan perangi mereka selagi mereka mendirikan solat.” (Riwayat Muslim)

Jangan redai perbuatan jahat

Janganlah kamu meredai perbuatan jahat, jika kamu reda maka kamu dianggap berkongsi dalam mengerjakannya.


Setiap orang yang bertaraf pemimpin hendaklah menyedari tanggungjawabnya dan bersedia melaksanakan hukum Allah dalam pemerintahannya.

Pemimpin yang arahannya menyeleweng daripada ajaran Allah tidak wajib dipatuhi tetapi tidak boleh diperangi selagi dia mendirikan solat.

Menimbulkan fitnah dan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam adalah dilarang kerana perpecahan itu lebih berat dan lebih dahsyat daripada kemungkaran pemerintah serta ketidakadilan mereka.

Rasulullah SAW bersabda: “Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.” (Riwayat Muslim)

Pikul amanah dengan ikhlas

Setiap amanah mestilah diterima secara hak dan penuh kefahaman tugas-tugas dan kewajipan yang terkandung dalamnya. Seterusnya dipikul dengan ikhlas dan jujur serta berusaha sedaya upaya supaya tanggungjawab dapat dilaksanakan.

Sebaliknya sesuatu amanah itu jika dijadikan batu loncatan untuk kepentingan diri, bermegah dan berseronok maka kepimpinan itulah yang bakal menjadi punca penyesalan serta kehinaan di akhirat. Bahkan ketika di dunia lagi ia akan merasai kehinaannya terutama apabila kepimpinannya itu terlucut daripadanya.

Oleh itu bagi orang yang benar-benar menyedari hakikat tanggungjawab kepimpinan, tidak mungkin akan meminta atau terlalu ghairah merebut sesuatu jawatan kerana setiap amanah itu perlu dipikul dengan berhati-hati. Amanah akan disoal di hari akhirat kelak.

Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Berita Harian Online Agama 17/04/2013
Tags: amanah, ikhlas, ketua, pemimpin
Subscribe

  • Bukan sekadar sebut, tetapi perlu hayati

    KALIMAH ‘laa ilaaha illallah’ atau maknanya, “Tiada tuhan selain Allah SWT” memang kerap kita dengar atau ucapkan.Kalimah…

  • Erti kalimah Syahadah & tuntutannya

    SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang tidak menjadikan sesiapa sebagai anak-Nya dan juga tidak mempunyai sekutu dalam penciptaan-Nya. Sesungguhnya rukun…

  • Lambang keutuhan Perlembagaan

    KUALA LUMPUR 22 Jan. - Keputusan Mahkamah Persekutuan melarang penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan bahasa Melayu,…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments